© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Selamatkan Negara Bersama Islam

Selamatkan Negara Bersama Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 9 December 2016


Sesungguhnya dalam tekad untuk memperjuangkan Islam, Allah Taala telah berfirman di dalam surah Hud, ayat 112-113 berbunyi;
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلاَ تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) beristiqamah (sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul) sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran (bertaubat) serta mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.”

وَلاَ تَرْكَنُواْ إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاء ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”

Ramai yang membuat kenyataan mahu selamatkan negara yang bermasalah ini, tanpa membuat muhasabah bahawa sebabnya ialah kerana pemimpin dan rakyat yang memilih pemimpin. Semua masalah yang membebankan negara sehingga terkini wajib dipikul bersama, serta wajib juga menegaskan penyelesaiannya yang diimani secara ikhlas, bukan kerana merebut peluang dan kesempatan yang mengulangi jahat dan zalimnya pula.

PAS mempunyai pendekatan tersendiri bersama Islam dan wajib beristiqamah dengannya, sehingga istiqamah dijadikan perkataan penting  kepada tema beberapa kali muktamar, sehingga mereka yang tidak beristiqamah keluar PAS atau dipecat. Mereka bersama PAS wajib bersyukur kerana mencipta rekod ketahanan jadi diri para pemimpin yang dipilih memerintah negeri, sehingga tidak ada ruang untuk bertindak kerana rasuah, salah laku dan sebagainya. Adapun kejatuhan di Perak, contohnya kerana salahlaku rakan dalam pakatan (DAP dan PKR) yang menjual kerusi.

PAS terus sedia berpakat dengan semua pihak dan tidak akan bersama dengan sesiapa sahaja yang tidak setia dan bersedia bersama acuan PAS, berpandukan konsep yang ditunjuk oleh al-Quran, Kalam Allah dan Ilmunya;
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبَرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (surah al-Maidah, ayat 2)

Al-Quran dan Sunnah menunjukkan dua pendekatan kerjasama Islam bersama pihak yang lain, berasaskan konsep wajib berpegang teguh tanpa berganjak dan tidak ada tawar menawar dalam perkara aqidah perjuangan, dasar dan matlamat yang ditetapkan oleh Allah, sehingga menjual atau mengadai atau memberi percuma dalam perkara tesebut demi kesetiaan kepada pihak lain semata-mata kerana kemenangan dunia tanpa akhirat sehingga memberi wala' kepada musuh Islam atau pengkhianat.

Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَتَّخِذُواْ بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لاَ يَأْلُونَكُمْ خَبَالاً وَدُّواْ مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الآيَاتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang yang bersama (yang dipercayai) dalam perjuangan. Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (surah Aali-Imran, ayat 118)

Allah juga berfirman di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9;
لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Rasulullah ﷺ adalah contoh manusia pilihan Allah yang menghayati petunjuk Allah, termasuk aspek politik diperingkat Makkiyyah ketika paling lemah dizalimi dan diperingkat Madaniyyah ketika berkuasa memerintah negara dalam kedudukan paling kuat.

Ketika Marhalah Makkiyyah, apabila bapa saudaranya Abu Talib yang disegani mengemukakan tawaran para pemimpin Mekah supaya berdakwah tanpa kuasa politik, paling mudah tanpa gangguan, sabdanya dengan tegas;
يا عم، والله لو وضعوا الشمس في يمينى والقمر في يسارى على أن أترك هذا الأمرـ حتى يظهره الله أو أهلك فيه، ما تركته.
“Wahai bapa saudara kesayanganku! sekiranya diletakkan matahari dikananku  dan bulan dikiriku,dengan syarat aku meninggalkan urusan menegakkan Islam ini, sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati di dalam perjalanannya nescaya aku tidak sekali-kali meningalkannya.”

Adapun bertahaaluf (berkerjasama) dengan berbagai pihak bukan Islam termasuk yang munafik ketika menegakkan negara di Madinah pula beristiqamah bersama dasar dan matlamat yang dinyatakan di dalam Piagam (Perjanjian);
وإنه ما كان بين أهل هذه الصحيفة من حدث أو اشتجار يخاف فساده فإن مرده إلى الله عز وجل، وإلى محمد رسول الله صلى الله عليه وسلم
“Dan apa-apa sahaja perkara atau pertelingkahan yang berlaku di kalangan mereka yang terlibat di dalam perjanjian ini yang ditakuti boleh merosakkannya. Hendaklah dikembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al-Quran) dan Muhammad Rasulullah (Sunnah).”

Maka mereka yang menubuhkan Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah menetapkan dalam Undang-Undang Tubuh (Perlembagaan) PAS. Hukum tertinggi ialah al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias yang nyata. Bagi memelihara perjalanan PAS maka ditubuhkan Majlis Syura Ulamak.

Matlamatnya ialah menegakkan Islam dalam masyarakat dan pengurusan negara. Maka, PAS wajib beristiqamah dan bertegas dalam perkara asas tersebut. Bahawa semua pihak yang melanggar sempadan ini jangan cuba mengheret PAS terkeluar daripada landasannya.

Maka sesiapa yang menyertai PAS hanya memandang sebelah mata aspek wawasan keduniaannya sahaja tidak boleh bertahan besama PAS. Ketahuilah bahawa perjuangan ini memandang dua belah mata, ke arah kemenangan akhirat yang paling besar dan kemenangan dunia yang diuji menjadi jambatan ke akhirat juga.

Allah menegaskan kepada mereka yang hanya inginkan kesempatan kemenangan yang cepat;
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاَّتَّبَعُوكَ وَلَكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati adanya terlalu dekat dan satu perjalanan yang dapat dilihat pencapaiannya, nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” (Surah al-Taubah, ayat 42)

Perjuangan ini juga tidak boleh disertai oleh mereka yang menjaga hubungannya dengan manusia, harta dan sebagainya, kerana Allah berfirman;
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (surah al-Taubah, ayat 24)

Demikiankan kalangan mereka yang punya apa-apa yang disenaraikan oleh Allah pasti keluar daripada PAS cara sukarela atau dipecat, dan mencari atau mencipta bahtera yang lain, menjadi si luncai yang terjun bersama labunya.

Belajar dan faham daripada Al Quran dan Sirah Nabawiyyah dan para salaf soleh, jangan sekali-kali terpengaruh dengan pandangan jalanan atau ilmu daripada syaitan yang meredah langit terbuka tidak mengira dosa dan pahala,serta tidak yakin kepada janji Allah. Sila baca firman Allah kepada generasi al-Quran;
وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلامًا
“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang jahil bercakap terhadap mereka , hadapkan kata-kata menjawab; dengan perkataan: Selamat sejahteralah (dari perkara yang tidak diingini).” (surah al-Furqan, ayat 63)

Teruskan Istiqamah, jangan diheret oleh musuh atau kawan yang berpura-pura, tangan kiri yang bergelumang memegang kita, tangan kanannya bergantung kepada lawan yang  juga mengheret kita daripada “al-Sirat al-Mustaqim”. Jadikan cahaya Islam ini lampu penyuluh jalan mencapai matlamat walau pun jauh dan panjang, namun tetap selamat dan inilah juga cara mengenal kawan dan lawan secara berhemah.

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Sa’id Hawwa, Profesor Muhamad al-Wakeel serta Dr. Abdul Satar al-Qudsi.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-