© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Membina Kekuatan dan Ketahanan ‘Amilin Melalui Penghayatan Risalah Ta’alim

Membina Kekuatan dan Ketahanan ‘Amilin Melalui Penghayatan Risalah Ta’alim

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 3 December 2016


Pembentukan manusia perlukan kepada manhaj. Manusia hari ini terutamanya orang-orang yang tidak mengenali Islam masih tercari-cari manhaj untuk membentuk manusia. Ramai para pemikir cuba membentangkan manhaj mereka, hasilnya lahirlah pelbagai teori tentang pembentukan sahsiah manusia. Kita umat Islam sebenarnya tidak perlu lagi terpinga-pinga mencari manhaj tersebut, kerana manhaj kita sudah ada bahkan sudah jelas iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Apa yang perlu kita memikirkan bagaimana untuk memahami dan memanfaatkan manhaj ini dalam kehidupan terutamanya di dalam pembentukan manusia, masyarakat dan negara. Sabda Rasulullah ﷺ ;
 تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابُ اللَّهِ، وَسُنَّةُ نَبِيِّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagimana kamu berpegang dengan keduanya iaitu al-Quran dan Sunnah”

Ketika umat Islam terdedah dengan ancaman Muktazilah, Jabbariah, Murjiah dan sebagainya yang cuba merosakkan pemikiran dan aqidah Muslimin. Para ulama’ Islam dari kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah telah mengeluarkan teori “aqidah thahawiyah”, “aqidah wasitiyyah”, “fiqhul akhbar” dan sifat 20 yang menjadi benteng kepada umat Islam daripada serangan golongan-golongan sesat tadi. Teori-teori ini bukanlah satu ideologi baru yang direka-reka oleh ulama’ tetapi ia adalah hasil pemahaman dan ijtihad terhadap manhaj aqidah yang telah sedia ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Di zaman mutaakhirin ini iaitu zaman ketiadaan khalifah Islamiyah, umat Islam terdedah kepada ancaman lebih besar dan lebih global. Serangan musuh datang dari segenap penjuru untuk melumpuhkan jiwa dan tubuh umat Islam dengan menjauhkan mereka daripada Islam. Natijahnya, pada hari ini kita melihat bukan sahaja aspek maddiy umat seperti ekonomi, politik pemerintahan dan sebagainya yang dikoyak-rabakkan oleh musuh tetapi juga dari aspek rohani (aqal, jiwa dan hati sanubari) yang merupakan aspek terpenting bagi manusia. Umat Islam di zaman mutaakhirin ini perlu dibangunkan semula. Mereka mesti diajak untuk kembali semula kepada Islam yang merupakan kekuatan asli mereka.

Imam Malik rahimahullah menyatakan;
 لا يصلح آخر هذه الأمة إلا بما صلح به أولها 
“Tidak akan pulih urusan umat di akhir ini kecuali ia dipulihkan dengan sistem yang memandu generasi awalnya”.

Tidak dinafikan bahawa tarbiyyah Islamiyah penting dalam memberikan kefahaman yang benar dan jitu tentang Islam. Ini adalah kerana Islam yang dianuti sepatutnya difahami dengan fahaman yang syamil dan meliputi semua aspek kehidupan manusia yang diturunkan untuk menjaga kemaslahatan hidup manusia dunia dan akhirat. Justeru, demi menepati kehendak yang suci lagi murni tersebut  maka fikrah tarbiyyah Islamiyah syamilah itu sepatutnya dimanfaatkan oleh syabab Muslim yang meletakkan Allah sebagai Khaliq-nya dan Rasulullah sebagai qudwah.

Usaha untuk membangunkan semula umat ini tidak akan menjadi kenyataan sekiranya “amal Islami” tidak digerakkan dan para ‘amilin (pekerja Islam) tidak dibentuk. Sepatutnya semua ini ditangani oleh pemerintah Islam (khalifah) kerana ia adalah penaung bagi umat Islam. Tetapi oleh kerana sistem pemerintah Islam (sistem khalifah) juga diranapkan oleh musuh, maka menyebabkan umat Islam memerlukan kepada satu institusi yang lain walaupun hanya bersifat sementara untuk menggerakan amal Islami dan menjalankan usaha membentuk para pekerja Islam.

Dalam keadaan inilah Allah Taala dengan rahmatnya telah mengutuskan seorang mujaddid iaitu Hasan al-Banna yang telah menubuhkan Jamaah Ikhwan al-Muslimin dan meletakan amal Islami kontemporari dan juga teori pembentuksn para ‘amilin Islam. Imam Hasan al-Banna adalah orang yang bertanggungjawab mengemukakan rukun bai’ah. Kedudukan Imam Hasan al-Banna sebagai pengasas teori amal Islami semasa, memang diakui oleh para ulama’ di antaranya ialah Syeikh Mohd Ghazali dan Syeikh Said Hawwa menyatakan ((حسن البنا، أول مَن وضع قدم المسلمين على الطريق الصحيح))

Teori-teori pergerakan dan pembentukan yang diasaskan oleh Imam Hasan al-Banna ini bukanlah satu ideologi baru tetapi ia adalah hasil penelitian dan pemahaman terhadap manhaj pergerakan dan pembentukan yang ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Di antara hasil peninggalan terpenting Imam Hasan al-Banna menurut Syeikh Said Hawa ialah Risalah Ta’alim. Kandungan buku tersebut terdiri daripada dua bahagian;
  1. Rukun bai’ah
  2. Kewajipan-kewajipan para pekerja Islam
Di dalam muqaddimah kitab Risalah Ta’alim ini Imam Hassan al-Banna menyatakan bahawa risalah ini ditujukan khusus kepada para mujahid yang beriman dengan ketinggian dan kesucian dakwah mereka dan berazam bersungguh-sungguh untuk hidup dengannya serta mati di jalannya. Menurut Syeikh Abdullah Khatib, Risalah Ta’alim membentangkan kepada para pekerja Islam “البداية السليمة”   yang amat diperlukan dalam amal Islami, di mana menurut beliau “Bidayah Salimah” ini bukan hanya tertumpu kepada interaksi secara sempuna secara sebab-sebab dan tawakal secara mutlak kepada Allah, tetapi juga meliputi;
  1. Penentuan terhadap matlamat (hadaf)
  2. Penentuan terhadap ciri-ciri peribadi muslim yang diperlukan untuk menggerakan amal Islami pada hari ini
  3. Panduan asas (usul) yang amat diperlukan untuk membentuk kefahaman yang betul, jelas dan tulen terhadap Islam
Membina Penghayatan Terhadap Risalah Ta’alim

Hari ini kita sedang menghadapi suatu realiti bahawa perjuangan menyambung risalah baginda rasul ﷺ semakin sengit dan getir. Suatu realiti yang memaksa kita memiliki segala kekuatan dalaman dan luaran.

وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan (dalam dan luaran)”. (al-Anfal, ayat 60)

Kekuatan dan ketahanan persatuan lebih banyak bergantung kepada pemimpuin daripada anak buah kerana pemimpin adalah teraju sedangkan anak buah metupakan yang diterajui. Kalau hendak diibaratkan kepada pokok maka pemimpin adalah akar dan para ahli sebagai cabang atau ranting yang bergantung kepada kesuburan dan ketahanan akar. Dengan sebab itulah yang dibajai ialah akar bukan ranting/cabang. Untuk melahirkan persatuan yang betul-betul mantap yang mempunyai unsur-unsur الطيبة . Kalimah ini terdapat dalam banyak tempat di dalam al-Quran di antaranya ialah ayat;
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاء. تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
“Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah mengumpamakan kalimah baik seperti sebatang pokok yang baik seperti sebatang pohon yang baik, pokoknya tetap di bumi sedang cabangnya menjulang di langit. Menghasilkan buahnya tiap-tiap waktu dengan izin Tuha. Allah memberikan beberapa contoh kepada manusia mudah-mudahan mereka mendapat peringatan”. (Ibrahim, ayat 24-25)

Dengan kewujudan القيادة الطيبة  ini, institusi kepimpinan akan kukuh dan mampu mengeluarkan ahli yang cemerlang dan memberi manfaat untuk dakwahIslam pada setiap masa. Bagaimana hendak mewujudkan  القيادة الطيبة ini? Iaitu melalui penghayatan rukun-rukun bai’ah tadi dengan ditambah pula dengan penghayatan terhadap kewajipan-kewajipan pekerja Islam yang merupan pentafsiran kepada rukun bai’ah. Penghayatan barisan kepimpiann merupakan langkah awal yang perlu ditekankan bersungguh-sungguh dalam usaha membina penghayatan yang lebih menyeluruh di kalangan para ahli.

Para ulama’ kita sering menyebut kata-kata hikmah فاقد الشئ لا يعطيه . Mafhum kata-kata ini dalam konteks perbicaraan kita ini apabila pemimpin tidak ada penghayatan maka bagaimana ia hendak membina penghayatan di kalangan anak buah. Perbuatan amalan yang menjadi tauladan sebenar lebih mendatangkan kesan daripada ucapan dan ceramah yang berapi-api. Hakikat ini ditunjukkan kepada kita oleh sirah Nabi sendiri. Apabila pemimpin menghayati rukun bai’ah dan menterjemahkannya ke dalam perbuatan dan amalan maka ini lebih baik lagi daripada ia berceramah berapi-api menerangkan tentang rukun bai’ah ini kemudiannya ia sendiri tidak menghayatinya.

Kata al-Syahid Abdullah Azam (mafhumnya), “Jiwa-jiwa yang ingin mengemukakan Islam kepada manusia mestilah menjadikan syariat Allah seolah-olah melata di atas muka bumi dan sanggup mengambil azimat. Mereka hendaklah menjadi cermin yang bersinar-sinar yang memantulkan hakikat agama ini (meliputi usul dan cabangnya). Begitu juga mereka mesti menjadikan agama yang mereka seru ini manhaj yang mereka laungkan supaya manusia melaluinya sebagai darah daging mereka sendiri.”

Membina Penghayatan di Kalangan Ahli

Sistem al-Quran berbeza dengan segala sistem ciptaan manusia dan teori-teori falsafah. Ia tidak meninggalkan segala prinsip dan ajaran-Nya sebagai teori sahaja dalam jiwa, juga tidak sebagai pendapat-pendapat dalam buku-buku dan tidak sebagai kata-kata di bibir mulut sahaja. Ia diletakkan untuk dipusatkan, diperkukuhkan dan dimanfaatkan segala kesan dan hasilnya sebagai interpretasi yang praktik. Dimestikan umat yang beriman dengannya dan bersandar kepada-Nya supaya bersungguh-sungguh mengamalkannya, bahkan hendaklah melaksanakannya.

Pemimpin yang berjaya ialah yang berupaya mengajak ahli untuk sama-sama menyakini dan menghayati doktrin yang diputuskan oleh barisan kepimpinan. Begitu juga doktrin yang berjaya ialah doktrin yang berupaya mendapat perhatian semua ahli dan bukan barisan pimpinan sahaja. Dengan sebab itulah Imam Hasan al-Banna menyatakan diawal rukun ialah “al-Fahmu” iaitu hendaklah kita membina kesatuan kefahaman mengenai Islam.

Kesatuan fahaman dan fikrah adalah sesuatu yang penting bagi mana-mana masyarakat besar atau kecil seperti persatuan. Jemaah dan sebagainya kerana ia boleh membawa kepada ikatan pemikiran الترابط العقل   yang merupakan asas terpenting bagi kewujudan masyarakat sebelum asas-asas yang lainnya. Dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bersatu dalam usaha melaksanakan al-Din;أن أقيموا الدين ولا تتفرقوا فيه, “Hendaklah mendaulatkan agama dan janganlah berbantah padanya”.

Tidak ada siapa dapat menafikan bahawa kesatuan yang paling asas ialah kesatuaan fikrah sebelum kesatuan yang lain. Bagaimana kita hendak membina penghayatan di kalangan ahli? Mengenai uslub kita semua telah maklum kepelbagaiannya. Jadi tidak perlu kita menghuraikan dengan panjang lebar di sini. Persoalan yang paling penting ialah; Adakah kita telah bersedia untuk mengorbankan segala asset yang ada pada kita untuk menjalankan usaha membina penghayatan Risalah Ta’alim dan kesatuan di kalangan ahli.

Secara umumnya kita boleh meletakkan bahawa asset yang ada pada kita meliputi tiga iaitu harta, masa dan diri (tenaga). Di sini kita boleh membuat persoalan untuk menilai sejauh manakah usaha kita untuk membina penghayatan di kalangan ahli.
  1. Berapa banyakkah harta yang telah kita korbankan?
  2. Sejauh manakah tenaga yang telah kita berikan?
  3. Sejauh manakah kita telah mewakafkan diri kita untuk dakwah?
Dengan terjawabnya soalan ini kita boleh mengagak sama ada kita ini berada di kaki jalan, pertengahannya atau hampir ke destinasi.

Biodata Penulis

Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil adalah anak kelahiran Tambun Tulang, Arau, Perlis. Mendapat pendidikan awal menengah di Sekolah Menengah Agama Alawiyah, Arau, Perlis (1986-1989). Kemudian melanjutkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir (1992) sehingga memperolehi Ijazah Pertama (B.A) dalam Fakulti Syari’ah dan Undang-undang (Bahagian Perundangan Islam) pada penghujung tahun 1997. Seterusnya beliau melanjutkan lagi pengajian di peringkat Dirasah ‘Ulya (Pra M.A) berkembar INSANIAH-Al-Azhar selama dua tahun di Fakulti Syari’ah, Institut Pengajian Tinggi Islam Kerajaan Negeri Kedah (INSANIAH) dan berjaya memperolehi Diploma Dirasah ‘Ulya (Pengajian Peringkat Tinggi) dalam pengkhususan Fiqh pada tahun 2004. Kini beliau salah seorang anggota penasihat syari’ah Herba Penawar al-Wahida (HPA).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-