© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Kerajaan Langgar Hudud Allah, Rakyat Hidup Tanpa Batas

Kerajaan Langgar Hudud Allah, Rakyat Hidup Tanpa Batas

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 9 December 2016


Sesungguhnya Allah telah menurunkan suatu peraturan yang khusus kepada umat Islam agar batasan-batasan itu sentiasa dijaga dan dipelihara sebagaimana di dalam surah al-Nur ayat 1, berbunyi;
سُورَةٌ أَنزَلْنَاهَا وَفَرَضْنَاهَا وَأَنزَلْنَا فِيهَا آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لَّعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
“Ini ialah satu surah yang Kami turunkan dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).”

Alhamdulillah, setinggi-tinggi lafaz syukur kita rakamkan ke hadrat Allah kerana dengan limpah rahmat dan keizinan daripada-Nya, dapat kita bersama-sama berada di dalam Majlis perasmian sambutan Hari “Hududulullah” Negeri Kelantan Darul Naim untuk kali ini. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) di atas penganjuran sambutan ini. Saya difahamkan majlis ini telah didahului dengan seminar bertajuk hukum sebat di dalam Islam yang telah bermula semenjak pagi tadi. Sekali lagi tahniah dan syabas kepada pihak penganjur.

Saya mulakan dengan serangkap pantun;

Papan tualang mari diukir,
buat penyeri si kayu jati,
Siang malam hidup berzikir,
Hidup bersendi kehendak rabbi.

Undang-undang hudud merupakan salah satu daripada undang-undang yang difardhukan oleh Allah. Sebagaimana kita wajib bersolat, berpuasa dan mengeluarkan zakat, begitu jugalah wajib untuk kita menegakkan tuntutan melaksanakan undang-undang yang disediakan oleh Allah. Jika kita boleh menerima bahawa di sekolah ada undang-undangnya di mana pelajar perlu mematuhi arahan guru dan pentadbir. Di pejabat ada undang-undangnya di mana pekerja perlu mematuhi arahan majikannya. Di dalam negara ada undang-undangnya di mana rakyat diminta taat patuh kepada pemimpinnya. Maka adakah manusia hidup di dunia Allah ini, tidak dikenakan undang-undang? Sudah tentu lebih daripada itu kerana hidup ini satu urusan yang terlalu sulit dan “complicated” sehinggakan di luar daripada kemampuan manusia menguasainya. Siapakah yang berhak menentukan undang-undang hidup di dunia selain daripada pencipta dunia sendiri iaitu Allah?

Inilah yang disebut di dalam firman-Nya:
إِنِ الْحُكْمُ إِلاَّ لِلَّهِ يَقُصُّ الْحَقَّ وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ
“Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran dan Dia-lah sebaik-baik yang memberi keputusan.” (surah al-Ana’am, ayat 57)

وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا
“Kebenaran itu milik Allah, keadilan juga milik Allah.” (surah al-Ana’am, ayat 115)

Saya dimaklumkan dalam seminar yang diadakan pagi tadi bukan sekadar kertas kerja ada demonstrasi hukuman sebat di dalam Islam. Saya yakin tuan-tuan sekalian telah mendapat pendedahan dan maklumat yang banyak daripada seminar tersebut. Perlulah diingatkan bahawa hukuman sebat merupakan hukuman yang diturunkan oleh Allah. Ayat yang saya bacakan di awal ucapaan tadi merupakan permulaan surah al-Nur. Nur memberi makna cahaya. Cahaya matahari, bulan, bintang diperlukan untuk fizikal. Cahaya al-Quran dan al-Sunnah diperlukan untuk rohani manusia:
يَوْمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَى نُورُهُم بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِم بُشْرَاكُمُ الْيَوْمَ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“(Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): “Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (surah al-Hadid, ayat 12)

Adapun surah al-Nur itu tadi dimulakan dengan (سُورَةٌ أَنْزَلْنَاھَا وَفَرَضْنَاھَا وَأَنْزَلْنَا فِیھَا آَیَاتٍ بَیِّنَاتٍ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ). Perhatikanlah bagaimana Allah menggunakan perkataan  أَنْزَلْنَاھَا  bermaksud; Kami turunkan diikuti dengan  فَرَضْنَاھَا  bermaksud; Kami wajibkan hukum-hukumnya dan seterusnya  أَنْزَلْنَا فِیھَا آَیَاتٍ بَیِّنَاتٍ  bermaksud; Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata. Ketiga-tiga ini dinyatakan secara berturutan dan beriringan. Walaupun kita semua sudah maklum bahawa al-Quran memang diturunkan oleh Allah, dan memang difardhukan hukum-hukumnya oleh Allah dan diturunkan ayat-ayatnya dengan terang dan jelas juga oleh Allah. Bagaimanapun apabila ketiga-tiganya dinyatakan secara berturutan di dalam satu ayat, ia merupakan satu isyarat bahawa betapa seriusnya perintah yang akan dinyatakan selepasnya. Perintah itu ialah hukuman sebat yang merupakan salah satu daripada hukuman hudud. Justeru, diakhirkan ayat tersebut dengan perintah  لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ  bermaksud; supaya kamu benar-benar beringat. Beringat ertinya sentiasa pada setiap masa kita hendaklah mengambil ingatan bahawa perintah-perintah yang mengandungi hukuman-hukuman tersebut telah ditetapkan oleh Allah dan akan disoal oleh-Nya di padang Mahsyar kelak.

Allah berfirman selepas ayat pertama surah al-Nur tersebut;
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap
keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.”
(surah al-Nur, ayat 2)

Hudud bukanlah bererti hukuman sebat dan potong tangan semata-mata. Malangnya wajah hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat seringkali tersalah anggap tentang hudud. Hakikatnya hudud bermakna batasan. Setiap apa yang diperintahkan atau dilarang oleh Allah itulah yang dinamakan batasan. Melanggar batasan dengan meninggalkan apa yang disuruh atau mengerjakan apa yang dilarang itulah yang disebut sebagai melanggar “hududullah”. Al-Quran menyebut perkataan hudud bukan sahaja di dalam bab jenayah, tetapi dalam masalah peraturan rumahtangga dan nikah cerai.

Allah berfirman;
وَلاَ يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُواْ مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلاَّ أَن يَخَافَا أَلاَّ يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ
“Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang telah diceraikan itu), kecuali jika keduanya (suami isteri ) takut tidak dapat
menegakkan hudud Allah yakni aturan-aturan hukum Allah.”
(surah al-Baqarah, ayat 229)

Di dalam masalah pembahagian harta pusaka, turut disebut perkataan hudud. Firman Allah;
وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ. تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar. Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.” (surah al-Nisa’, ayat 12-13)

Hari ini negara sedang berada pada keadaan yang sangat memalukan. Kita sering kedengaran berlaku rasuah, penyelewengan dan pecah amanah semakin meningkat. Peningkatan gejala sosial pula kini sampai ke tahapsangat-sangat membimbangkan, ditambah lagi dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian di negara kita. Kes-kes buang bayi pula semakin membimbangkan di mana ia meningkat saban tahun. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain. Kenapakah undang-undang yang ada tidak mampu membendung masalah ini? Tidak lain hanyalah kerana undang-undang yang ada tiada kemampuan untuk pencegahan. Undang-undang yang dicadang oleh Allah itulah yang merupakan satu pencegahan. Firman Allah;
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah lakukan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (surah al-Maidah, ayat 38)

Kita di Kelantan membawa dasar “Membangun Bersama Islam” sudah lama menyedari hakikat ini. Di antara maksud “Membangun Bersama Islam” ialah; mendidik, mentarbiah qalbu manusia supaya bertaqwa kepada Allah sejak kecil-kecil lagi sampai ke peringkat remaja dan terus kepada meningkat dewasa.Bayi di atas riba diperdengarkan basmallah setiap kali susuan dilakukan. Yang terbaik lagi ibu perlu berwudhuk sebelum susuan dilakukan. Nama Allah, nama “al-Rahman”, nama “al-Rahim”, adalah suntikan ajaib untuk mengukir berkat dan qudus ke atas qalbu bayi yang baru mengenali alam dunia. Tidak ada doktor, tidak ada alat canggih yang boleh mengesan seni Asma’ul Husna ke atas qalbu bayi. Bila anak memasuki alam persekolahan, guru pula mencambah, membajai benih-benih yang telah ditabur oleh golongan ibu di rumah tadi. Dan bila mereka melepasi alam persekolahan dan memasuki alam pekerjaan, menjadi rakyat, bergerak dalam semua bidang hidup, pihak kerajaan pula menyambung, membimbing, dan melaksana segala benih yang ditabur di rumah, dan di sekolah, supaya ianya berubah dan mendatangkan hasil yang memenuhi kehendak iman dan taqwa kepada Allah.

Firman Allah;
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka segala macam berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat
kami) itu, Maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (surah al-A’araf, ayat 96)

Adalah mendukacitakan sangat-sangat kerana kita yang pandai-pandai menolak pencegahan daripada Allah. Bagaimana rakyat mahu menjaga batas sekiranya kerajaan yang berkuasa sendiri tidak mempedulikan batas “hududullah” sendiri? Bila kerajaan melanggar hudud Allah, dengan sendirinya rakyat hidup tanpa batas. Di sana sini berlaku pelanggaran terhadap hudud Allah dengan sewenang-wenangnya. Tersebarnya gambar-gambar dan video yang merosakkan melalui media massa mahupun internet dan disaksikan oleh anak-anak muda kita setiap hari semakin mendekatkan mereka kepada gejala keruntuhan moral dan akhlak.

Lantas dengan kudrat yang ada, kekangan undang-undang dan kewangan, kita di Kelantan telah melakukan setakat yang termampu untuk meletakkan Islam sebagai syariah yang memerintah bukannya diperintah. Lahirlah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan pada tahun 1993 hasil sumbangan idea dan garapan beberapa tokoh undang-undang yang terkenal seperti Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof. Mahmud Saidun Awang Osman dan beberapa nama-nama yang lain. Namun, sekeping surat bertarikh 8 Jun 1994 daripada Perdana Menteri Malaysia pada masa itu kepada Menteri Besar Kelantan telah menghalang hasrat murni kerajaan negeri Kelantan ini.

Kita tidak pernah berputus asa. Apa yang mampu untuk kita laksanakan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri akan dilaksanakan. Kita membataskan penjualan arak, mengharamkan riba, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, menguat-kuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel dan banyak lagi perubahan yang telah kita perkenalkan yang kesemuanya bersumberkan dari ajaran al-Quran.

Untuk memastikan kewajipan menutup aurat terlaksana, kita mewajibkan mana-mana papan iklan hanya menayangkan gambar yang menutup aurat, kita juga mewajibkan para peniaga beragama Islam di premis-premis perniagaan berpakaian menutup aurat selain turut mewajibkan kakitangan kerajaan yang beragama Islam menutup aurat dengan sempurna. Manakala bagi yang tidak beragama Islam, kita pohon supaya dapat berpakaian dengan baik dan sopan. Semua ini bagi memastikan suasana sekitar tidak tercemar dengan amalan pendedahan aurat yang menyebabkan berlakunya seks bebas dan zina. Apa yang mampu kita lakukan mengikut bidang kuasa kerajaan negeri sudah kita laksanakan. Selebihnya terletak pada bahu kerajaan pusat kerana kita menghormati konsep federalisme. Tepuk dada tanya iman.

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak JAHEIK di atas kejayaan menganjurkan sambutan hari “hududullah” pada tahun ini. Semoga dengan penganjuran ini, kita sentiasa mengingatkan rakyat Kelantan khususnya bahawa kewajipan melaksanakan dan menjaga undang-undang Allah sentiasa terpikul setiap masa. Semoga setiap amalan kita mendapat ganjaran di sisi Allah.

Biodata Penulis

Artikel di atas adalah teks ucapan Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Hudud Negeri Kelantan pada 9 Ramadhan 1431 H bersamaan 19 Ogos 2010 di Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-