© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Antara Gerakan Tajdid, Salafiyyah dan Reformis Agama

Antara Gerakan Tajdid, Salafiyyah dan Reformis Agama

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 10 December 2016


Sering juga kita membaca artikel atau mendengar pandangan yang menyamakan gerakan Tajdid dengan reformis agama. Pandangan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tentang gerakan Salafiyyah yang dikategorikannya sebagai tercetus daripada kebekuan berfikir dalam agama seperti yang berlaku dalam agama Kristian semasa zaman pertengahan. Semasa diwawancara oleh wartawan Malaysiakini, Fauwaz Abdul Aziz beliau menyebut bahawa kebekuan agama yang disebabkan oleh golongan “conservative” Islam telah menyebabkan golongan muda bangkit sebagaimana yang berlaku terhadap gereja Katholik semasa Zaman Kegelapan Eropah. Antara gerakan yang bangkit dari kebekuan tersebut ialah Gerakan Salafiyyah yang bertujuan mengembalikan semula ketulenan Islam kepada pegangannya yang asal (Malaysiakini, “Mufti: Religious Leaders Can Be Challenged”, 27 November 2006).

Sememangnya ramai ilmuan Islam yang terpengaruh dengan gagasan Barat tentang kebekuan agama sehingga menuntut kepada berlakunya gerakan pembaharuan untuk keluar dari kebekuan tersebut. Begitu ramai juga tokoh-tokoh yang muncul membawa gagasan untuk membebaskan umat Islam daripada fenomena tersebut yang antaranya berpunca daripada kebekuan berfikir dan kongkongan golongan ulama jumud. Kadang-kadang kesemua mereka ini digolongkan dalam kategori yang sama iaitu golongan reformis Islam. Method pengkelasan sebegini sememangnya sering digunakan oleh para pengkaji Barat yang menulis tentang reformasi dalam masyarakat Muslim sehingga sukar dibezakan golongan Islah, golongan tajdid dan golongan reformis. Malangnya ramai pula para ilmuan Islam yang bertaklid dengan metodologi seperti ini.

Sesungguhnya menjadi satu kesilapan besar sekiranya seseorang mengambil sejarah refomasi dalam agama Kristian sebagai titik tolak berlakunya gerakan Islah dan gerakan Tajdid dalam agama Islam. Betapa lagi dikaitkan pula dengan gerakan Salafiyyah yang bertujuan untuk kembali kepada manhaj Salaf al-Soleh. Hakikat ini disedari oleh para pengkaji Barat sendiri sehingga mereka sudah membezakan antara “Theology” dan “Religious Studies” (Kajian Agama). Malah menurut Carl Ernst tidak lagi sesuai menggunakan istilah-istilah yang sinonim dengan sejarah perkembangan agama Kristian untuk dibandingkan dengan agama-agama lain yang mempunyai akar-umbi sejarah yang berbeza. Setiap agama mempunyai akar-umbi sejarah yang berbeza dan setiap istilah yang lahir daripadanya mempunyai konotasi yang berbeza pula.

Sejarah kebekuan agama Kristian semasa Zaman Pertengahan yang dikenali dengan Zaman Kegelapan Eropah adalah satu peristiwa khusus untuk agama Kristian. Kebekuan ini bukan hanya disebabkan oleh kejumudan golongan eklesiastik tetapi kesahihan kandungan ajaran Kristian Katholik itu sendiri. Kejumudan golongan eklesiastik ini berkait rapat dengan politik kerajaan Romawi dan kedudukan Vatican sebagai kuasa autoriti yang bersifat kudus. Manakala kandungan ajaran Kristian pula telah begitu banyak bercampur-baur dengan falsafah Yunani sehingga sukar dibezakan antara ajaran Kristian dengan doktrin falsafah Yunani. Persoalannya adakah fenomena tersebut wujud dalam agama Islam sehingga adanya golongan yang memegang kuasa autoriti yang kudus dan kesahihan ajaran Islam sudah tiada ketulenannya lagi?

Kemunculan Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment) di Eropah seharusnya juga dilihat latarbelakangnya daripada zaman pertengahan (medieval) dan sifat-sifat golongan eklesiastik pada ketika itu. Tradisi kristian sebenarnya telah bercampur dengan falsafah yunani khususnya Neo-Platonisme dan Scholastic sehingga sukar dibezakan dengan sumber kitab mereka. Sebagai contoh doktrin Geocentric serta doktrin Mikrocosmic dan Makrocosmic adalah hasil pemikiran Yunani yang telah dibaptiskan sehingga dianggap sebagai doktrin suci kristian. Dalam sejarah Islam percampuran itu hampir tidak berlaku, malah telah ditapis antaranya oleh tokoh-tokoh seperti al-Ghazali. Kemasukan anasir-anasir Falsafah Yunani yang dibawa oleh tokoh-tokoh Masyaiyyun (peripetetik) dan Muktazilah telah ditentang secara berterusan oleh tokoh-tokoh Islah Muslim di zaman masing-masing.

Sebahagian ahli falsafah Barat menyebut sebelum berlakunya pencerahan berlaku terlebih dahulu Revolusi Saintifik yang merupakan titik tolak perubahan epistemologi Barat. Peristiwa ini ditunjangi oleh beberapa pemikiran revolusioner seperti kemunculan doktrin Heleocentric oleh Coppernicus dan doktrin Mechanistic Newton. Pencerahan juga adalah hasil daripada semangat Humanisme yang meletakkan fungsi rasional (akal) mengatasi wahyu sehingga mempengaruhi Descartes dengan kata-katanya “I Think therefore I am”. Sekiranya faktor inilah yang dijadikan bandingan untuk mensabitkan golongan Islah dalam masyarakat Islam, maka golongan yang sebanding dengannya ialah seperti al-Farabi, Ibn Sina dan Ibn Rushd yang disebut sebagai masyaiyun dan golongan mu’tazilah, bukannya Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim yang dikenali sebagai salafiyyah.

Golongan salafiyyah yang selalu dikaitkan dengan gerakan Islah ini jauh sekali dibandingkan dengan gerakan Humanisme kerana pandangan mereka yang keras terhadap peranan akal antaranya pendirian mereka terhadap Tafsir bi al-Ra’yi. Adapun golongan pertengahan seperti al-Ghazali agak lebih toleran dalam konteks penerimaan peranan akal. Bagaimanapun al-Ghazali selalu dianggap golongan mutakallimin atau dalam bahasa ilmu Barat disebut golongan ortodoks. Malah al-Ghazali juga selalu dikenali sebagai tokoh yang menghancurkan rasional sehingga menyebabkan kebekuan pemikiran dunia Islam. Mungkin beliau seperti Galen yang mengasaskan falsafah teleologi yang selalu dianggap sebagai doktrin yang melumpuhkan kecerahan zaman Yunani.

Sepertimana al-Ghazali diserang oleh golongan filosof seumpama Ibn Rushd selepas kematiannya, beliau juga turut diserang oleh golongan salafiyyah selepas kematiannya. Sedangkan al-Ghazali mempunyai pendirian yang tersendiri tentang falsafah sehingga mekarnya falsafah Islam daripadanya dan mempunyai pendirian tersendiri tentang salafi sehingga mempunyai pengaruh yang besar dalam perbahasan tauhid. Boleh jadi jalan pertengahan yang ditempuhinya lebih menepati Islah sekiranya bersandarkan kepada konsep Islah seperti yang selalu disebut, iaitu kembali berpegang kepada sumber yang asal lalu memperkukuhkannya sebagai landasan untuk membangunkan semula umat dan pada masa yang sama Islah juga selalu dikaitkan dengan pembebasan dari kebekuan iaitu mengiktiraf peranan akal. Maka jalan yang dirintis oleh al-Ghazali lebih menepati kedua-duanya.

Bagaimanapun untuk menafikan peranan Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim serta mereka yang hadir lewat selepasnya seperti Muhammad bin Abdul Wahab dan al-Shawkani sebagai golongan Islah adalah tidak wajar sama sekali. Mereka dikenali sebagai golongan yang menyeru kembali kepada sumber yang asal di samping meletakkan kedudukan akal pada peranannya yang sebenar di sisi Islam. Yang jelas mereka tidak boleh disamakan seperti Descartes, Locke, Hume, Voltaire dan lain-lain tokoh reformis Barat yang memimpin Zaman Pencerahan di Eropah. Malah lebih tegas lagi gerakan Islah dalam masyarakat Islam sama sekali tidak boleh disebandingkan dengan gerakan Reformasi dalam masyarakat Kristian. Kalau gerakan Refomasi hendak dilabelkan terhadap mana-mana golongan dalam masyarakat Islam, yang sesuai dengannya ialah Masyaiyyun dan Mu’tazilah, bukannya Salafiyyah.

Biodata Penulis

Dr. Mohd Zuhdi bin Marzuki dilahirkan ada 26 Julai 1970 di Slim River Perak, bandar yang kecil tempat bersemaraknya kebangkitan pejuang Melayu Islam seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Di dalam gerakan Islam Parti Islam SeMalaysia (PAS), beliau merupakan Pengarah Penyelidikan PAS Pusat (PPP). Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia. Bergiat dalam kegiatan akademik dan dakwah Islamiyah dalam usaha mewujudkan sebuah kehidupan dunia yang diredhai oleh Allah.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-