© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Sorotan Derita Umat Islam di Bosnia 1992-1995

Sorotan Derita Umat Islam di Bosnia 1992-1995

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 12 October 2016


Kekejaman Serbia-Montenegro terhadap umat Islam Bosnia-Herzegovina (Bosnia) telah berlaku sepanjang tiga tahun bermula 6 April 1992 sehingga 14 Disember 1995. Ia merupakan salah satu tragedi kemanusiaan terbesar yang pernah menimpa kaum Muslimin. Tragedi luka yang terjadi di sebuah negara kecil di Semenanjung Balkan ini dahulunya merupakan sebahagian dari Federasi Yugoslavia, di mana majoriti penduduknya Muslim sejak dakwah Islam tersebar di sana pada abad ke-14. Ketika itu masyarakat Bosnia dipimpin Mehmed Bey Minnetoğlu (1463 M – 1464 M) mewakili Kerajaan Islam Uthmaniyah sehingga berjaya mewujudkan kawasan yang di kenali sebagai “Bosnian Sanjak”. Islam telah membawa banyak perubahan ke atas rakyat Bosnia khususnya di Sarajevo, ramai masyarakat Slavics memeluk agama Islam dengan kerelaan hati mereka sendiri sehingga mereka dikenali sebagai Bosniacs.

Walaupun empayar Uthmaniyah diperluas ke Semenanjung Balkan dan Eropah, mereka tidak pernah melakukan penghapusan dari segi fizikal atau kepercayaan di negara-negara jajahannya. Malah dalam banyak segi, sistem ekonomi, pertahanan dan pentadbiran dikukuhkan lagi oleh Kerajaan Uthmaniyah sambil mengekalkan budaya asal mereka. Hal ini membezakan Islam dengan empayar-empayar besar lain yang suka menggugat kestabilan masyarakat minoriti. Pada abad ke-19, Bosnia menjadi zon konflik yang sering mendapat perhatian kuasa-kuasa besar sebagai peluang untuk mendapatkan keuntungan sekiranya berlaku perubahan kepada status quo di Eropah. Ini kerana sepanjang abad ke-19, Kerajaan Uthmaniyah telah banyak kehilangan wilayah di Semenanjung Balkan. Wilayah ini turut menyaksikan kemunculan kuasa-kuasa besar Eropah memerintah secara silih berganti, antara lain termasuklah empayar-empayar Rom, Charlemagne dan Austria-Hungary.

Berikutan Perjanjian San Stefano di Berlin pada tahun 1878, Bosnia telah diserahkan secara sementara kepada empayar Austria-Hungary apabila Kerajaan Uthmaniyah dituduh gagal mengawal konflik di negara-negara jajahannya yang ditimbulkan oleh puak Serbia. Setelah 30 tahun di bawah pentadbiran sementara, Austria-Hungary mengambil keputusan untuk mengumumkan bahawa Bosnia adalah hak milik kekal empayar mereka yang sah pada 5 Oktober 1908. Tujuh tahun kemudian iaitu pada 28 Jun 1914, segolongan pemuda Serbia membunuh Putera Mahkota Austria-Hungary, Archduke Franz Ferdinand (1863 – 1914) dan isterinya Sophie Maria. Tindakan ini merupakan faktor tercetusnya Perang Dunia Pertama yang turut menghancurkan empayar Austria-Hungary. Dalam keadaan ini, sebuah negara “Slav” bersatu di bawah ideologi komunis berhasil ditubuhkan iaitu Yugoslavia.

Namun, pada fasa akhir perang dingin dan runtuhnya Soviet Union tahun 1988, negara-negara komunis di Eropah Timur termasuk Yugoslavia berpecah menjadi enam republik iaitu Serbia, Croatia, Bosnia, Macedonia, Slovenia, dan Montenegro. Mengikut referendum kerakyatan tahun 1992, Bosnia adalah antara wilayah di Semenanjung Balkan yang berhak menuntut kemerdekaan dan mendeklarasikan pemisahan dari Federasi Yugoslavia untuk menjadi negara berdaulat. Alija Izetbigovic merupakan presiden pertama Bosnia yang dipilih rakyat bermula pada 20 Disember 1990 – 14 March 1996. Malangnya, penegakan negara republik Bosnia-Herzegovina telah memacu kerakusan anti-Muslim oleh puak Serbia pimpinan Slobodan Milošević (1941 – 2006), presiden ke-3 Yugoslavia yang tetap mempertahankan pemerintahan konservatif Sosialis-Komunis untuk mewujudkan negara mono-etnik Serbia Raya (Greater Serbia).

Motif pembantaian etnik Muslim Bosnia itu tidak lain adalah untuk menghilangkan kesan kemasukan Islam di negara-negara Eropah. Selain Milošević, Ratko Mladić dan Radovan Karadžić adalah antara individu-individu kejam yang turut memimpin kempen pembantaian penduduk Islam Bosnia khususnya di Srebrenica pada tahun 1995. Beribu-ribu orang Islam dibunuh kerana agamanya. Meskipun Tribunal Jenayah Antarabangsa menyatakan pembantaian itu sebagai kejahatan perang terhadap kemanusiaan, tetapi rakyat Serbia menyanjung tindakan tidak bertamadun pemimpin mereka sebagai pejuang. Malangnya sistem ketenteraan Bosnia sangat lemah dan sama sekali tidak bersiap untuk menghadapi apa jua operasi ketenteraan Serbia membunuh orang awam. Berbeza dengan kerajaan Serbia yang mewarisi persenjataan dan didanai kelengkapan militer bekas angkatan bersenjata Federasi Yugoslavia.

Tindakan melampau Serbia telah mendorong Setiausaha Agung PBB ketika itu, Boutros-Boutros Gali untuk menghantar tentera pengaman dengan menggunakan nama United Nations Protection Force (UNPROFOR). UNPROFOR dianggotai 23 549 orang tentera dari seluruh dunia termasuklah Malaysia untuk mengawasi pencabulan genjatan senjata, menyampaikan bantuan kemanusian dan menyediakan infrastruktur pemindahan kepada mangsa pelarian. Di kalangan negara Islam lain yang turut menunjukkan rasa keprihatinan melalui pelbagai bentuk bantuan yang banyak kepada Bosnia adalah Arab Saudi, Brunei, Turki, Kuwait dan Iran. Hal ini mengundang rasa kurang senang Barat kerana tidak mahu mengaitkan isu di Bosnia dengan penglibatan negara-negara Islam. Berbeza dengan negara jiran Malaysia, Indonesia yang telah menimbulkan polemik di antara kerajaan dengan umat Islam di sana tentang isu Bosnia kerana keengganan Jakarta mengutuk Serbia demi menjaga hubungan dengan Yugoslavia.

Namun, walaupun usaha baik telah diambil oleh Malaysia atas faktor persaudaraan Islam, ia tidak banyak membantu pihak Bosnia memandangkan dalam krisis ini pihak Barat telah pun menetapkan agenda mereka sendiri. Malaysia hanyalah menjadi “bidak” dalam percaturan di rantau Balkan itu apabila menjadikan PBB sebagai “swim with the tide” dalam menguruskan konflik di Bosnia. Solusi PBB tidak menampakkan keberkesanan apabila menjadi “pak turut” kepada kuasa-kuasa besar seperti Amerika, Britain dan Perancis. Lebih memburukkan lagi, bantuan kepada Bosnia diembargo oleh Majlis Keselamatan PBB, tetapi sikap lunak pula dipamerkan dengan membiarkan Serbia memiliki kelengkapan senjata. Perbuatan berat sebelah PBB dikecam hebat oleh negara-negara Islam antaranya Turki dan Iran yang menyifatkannya ibarat memberi “licence to kill” kepada Serbia. Konflik Bosnia mendedahkan kepada umat Islam bahawa PBB bukanlah organisasi yang boleh diharapkan.

Beberapa pertubuhan dunia melaporkan, hampir 200 000 orang terbunuh dalam peperangan tersebut dan kebanyakan mangsa merupakan 65% Muslim Bosnia, termasuk lebih 1 000 orang kanak-kanak. 50 000 wanita Islam Bosnia menjadi mangsa rogol puak Serbia, bayi-bayi hasil perkosaan itu dianggap sebagai warga etnik mereka, jika tidak bayi tersebut akan dirobek dan dibunuh walaupun masih dalam kandungan lagi. Kaum lelaki Bosnia yang ditawan dibogelkan, mereka yang didapati berkhatan akan didera sebelum dibunuh dengan kejam. Dianggarkan lebih 2.2 juta penduduk Bosnia meninggalkan kampung halaman masing-masing, mereka terpaksa berjalan sejauh 100 kilometer demi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Serbia. Rakyat Bosnia yang terkepung di Sarajevo, menjadi mangsa sasaran penembak tepat apabila mereka keluar mencari sesuap makanan. Laluan-laluan konvoi pelarian turut dibom secara sistematik oleh puak pengganas Serbia.

Peperangan di wilayah Semenanjung Balkan berakhir apabila PBB melepaskan tanggungjawabnya kepada Organisasi Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan mengantarabangsakan pembebasan Bosnia dan merampas segala infrastruktur yang telah direbut oleh Serbia dalam misi Implementation Force (IFOR) pada 20 Disember 1995. Campur tangan tersebut adalah tindakan perjanjian keamanan yang dimeterai di Paris pada 14 Disember 1995 sebagai “Perjanjian Dayton”. Kerajaan Bosnia turut menyaman Serbia di atas peristiwa pembantaian warga negaranya dengan mengheret mereka kepada perbicaraan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice, ICJ). Namun, mahkamah memutuskan Serbia tidak terlibat dalam pembersihan etnik (ethnic cleansing) kaum muslimin, sebaliknya hanya menyatakan kegagalan Serbia waktu itu mencegah perang saudara di Srebrenica ataupun di Timur Bosnia sahaja, khususnya di kawasan aman PBB ketika perang Bosnia-Serbia terjadi.

Walaupun terdapat bukti pembunuhan, pengepungan bandar, perogolan besar-besaran, pemusnahan etnik dan penderaan di kem dan pusat tahanan oleh tentera Serbia, keputusan ICJ hanyalah untuk memuaskan kedua-dua belah pihak iaitu dengan membebaskan Serbia dari tuduhan penganiayaan manusia dan menghadiahkan Bosnia untuk mengutuk pembantaian di Srebrenica. Adakah penganiayaan Serbia terhadap masyarakat Muslim Bosnia terbela dengan keputusan ICJ ini? Sudah tentu tidak! Presiden Serbia, Boris Tadić menyambut baik keputusan ICJ itu dan meminta agar parlimen Serbia mengutuk kejahatan yang berlaku di Srebrenica tanpa ragu-ragu. Sebahagian pemerhati politik antarabangsa menilai keputusan ICJ hanyalah ibarat “splitting the baby in half”, sebagai akibat Serbia tidak perlu membayar satu sen pun ganti rugi kepada Sarajevo, sedangkan ibu kota Bosnia tersebut telah musnah akibat kekejaman mereka.

Pada hari ini, umat Islam terus ditimpa malang kerana pergantungan kepada kuasa-kuasa luar yang anti-Islam untuk menyelesaikan masalah dalam semua aspek sama ada dari sudut politik, ekonomi, pendidikan, ketenteraan dan kehakiman bahkan sumber media. Tiada satu pun aspek tersebut dibangunkan umat Islam secara mandiri. Masalah dalaman pula umat Islam sering bertelagah dan berpuak-puak. Padahal Rasulullah sallallahualaihi wasallam telah menunjukkan tauladan kepada umatnya, sebelum solat berjamaah, Baginda mengarahkan sahabat-sahabat membetulkan saff. Begitu juga dalam kepimpinan Nabi di Madinah, Baginda terlebih dahulu menyatukan Aus dan Khazraj walaupun sebelum ini mereka saling berperang dan berbunuhan, menyatukan Ansar dan Muhajirin walaupun sebelum ini mereka saling tidak mengenal antara satu sama lain. Malangnya di kalangan umat Islam hari ini lebih sanggup memporak-perandakan saff kesatuan Islam ini kerana perbezaan-perbezaan yang sangat merugikan.

Jadilah mereka ibarat buih-buih lautan walaupun banyak ia sedikitpun tidak berguna untuk menghilangkan dahaga.

بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ
“Bahkan masa itu mereka (umat Islam) lebih ramai (tetapi tidak berguna dan tidak menakutkan musuh). Mereka adalah ibarat buih di laut.”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-