© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Imbasan Surah al-Kahfi

Imbasan Surah al-Kahfi

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 14 October 2016


Surah al-Kahfi banyak merakamkan amaran Allah kepada orang yang kufur terhadap nikmat-Nya, di samping memberikan khabar gembira kepada hamba-hamba-Nya yang soleh, menghuraikan dengan jelas pertentangan antara iman dan “madiyyah” (materialisme) serta menggariskan makna kebahagiaan yang sebenar menurut Islam. Kisah-kisah yang terkandung di dalam surah al-Kahfi menjadi bahan renungan dan peringatan kepada umat beriman sepanjang zaman khususnya di era tamadun ke“dajjal”an bermaharajalela. Ini kerana, pertarungan materialisme dan iman berterusan sepanjang zaman.

Di zaman mengaku tuhan umpamanya, penganut materialisme diwakili Firaun dan menteri-menterinya termasuk Haman dan Qarun. Sementara golongan beriman diwakili Nabi Musa dan para pengikut setianya yang beriman kepada Allah. Di zaman kini, golongan materialisme diwakili negara-negara “superpower” yang memiliki peralatan perang canggih, media putar-belit, empayar hiburan dan sebagainya untuk menyesatkan umat manusia agar perang-memerangi dan terkeluar dari jalan kebenaran.

Islam tidak menolak keperluan material (benda), tetapi memerangi materialisme, suatu fahaman yang menjadikan kekayaan, pengaruh dan kuasa sebagai matlamat utama dan tuhan-tuhan baru yang dipuja dan disembah. Materialisme adalah suatu bentuk kezaliman yang disebut di dalam surah al-Kahfi. Galakan Nabi agar umatnya mengamalkan surah al-Kahfi selain daripada maksud ibadah adalah supaya mengambil “ibrah” agar intisari pengajaran ayatnya memelihara kita daripada fitnah Dajjal. Fitnah Dajjal adalah merupakan fitnah yang terakhir dan paling besar sekali.

Baginda ﷺ bersabda;
مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ خَلْقٌ أَكْبَرُ مِنْ الدَّجَّالِ
“Di antara penciptaan Adam sampai ke hari kiamat itu, tidak ada perkara yang lebih besar dari Dajjal.” (riwayat Muslim)

Tamadun kebendaan di akhir zaman ini telahpun memperlihatkan ciri-ciri untuk memperdajjalkan umat manusia dalam semua perkara. Antara kriteria-kriterianya ialah mengaburkan kefahaman orang ramai, melabelkan sesuatu dengan nama yang tidak sepatutnya, memalsukan kebenaran, mengubah perkara yang baik kepada keji dan keji kepada baik, serta mengatakan sesuatu perkara sedangkan dirinya tidak mempunyai kearifan dalam isu yang ditimbulkannya itu. Hal itu yang paling banyak terjadi sekarang ini sama ada kita sedar atau tidak sedari.

Justeru, surah ini dalam segala aspek menekankan benteng akidah, jiwa, fikrah dan tabi’ie di mana keseluruhannya itu ditolak oleh fikrah kebendaan (materialisme) yang semata-mata berpegang pada perkara yang boleh dinikmati, lahiriah, praktikal, memberikan faedah duniawi, kepuasan jasmani dan penghormatan bangsa. Di dalam surah ini terdapat empat kisah yang akan dihuraikan dalam tulisan ini. Kesemuanya mengandungi maksud yang berhubung walaupun disampaikan dalam situasi yang beragam. Iaitu : -
  1. Kisah Ashabul Kahfi
  2. Kisah Pemilik Dua Kebun
  3. Kisah Nabi Musa dan Khidir
  4. Kisah Zulqarnain
Imam Jalal al-Din al-Suyuti menceritakan bahawa kaum Yahudi bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang tiga soalan berkisar masalah roh, Ashabul Kahfi dan Zulqarnain bertujuan untuk mengejek Nabi. Lalu Allah menurunkan wahyu kepada Rasul-Nya, bagi menjawab soalan tentang roh di dalam surah al-Isra’ ayat 85, manakala soalan-soalan berbaki dijawab di dalam surah al-Kahfi. Segelintir kaum Yahudi memang suka merendah-rendahkan Nabi ﷺ dengan soalan bersifat “supernatural” seolah-olah merekalah jaguh segala maklumat. Namun, Allah Taala tidak menilai berapa banyak ilmu pengetahuan yang dimiliki tetapi berapa banyak ia diamalkan dalam kehidupan.

Kisah Ashabul Kahfi

Kisah ini menceritakan para pemuda beriman yang diselamatkan Allah daripada politik kuku besi. Kedudukan zaman sebenar yang dilalui oleh pemuda-pemuda Ashabul Kahfi terdapat khilaf di kalangan mufassirin, pandangan yang sahih ialah mereka hidup di zaman sebelum kenabian Isa alaihissalam. Berapa jumlah pemuda Ashabul Kahfi tidak penting, apa yang mustahak dikisahkan Allah dalam surah ini ialah golongan beriman yang pada awalnya dimomokkan dengan penindasan politik kuffar akhirnya menjadi wira dalam menegakkan kalimah Allah.

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى. وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا
“Sesungguhnya mereka itu para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah lagi bagi mereka petunjuk. Dan Kami kuatkan hati-hati mereka dengan kesabaran, tatkala mereka berdiri lalu berkata; Tuhan kami, Pengurus bagi langit-langit di bumi, kami tidak akan seru Tuhan selain Allah kerana kalau begitu, bererti kami berkata sesuatu yang melewati batas.” (al-Kahfi, ayat 13-14)

Kisah ajaib yang dialami para pemuda Ashabul Kahfi menjadi pengajaran berguna kepada generasi kemudian, mengukuhkan iman mereka dan memukul kesangsian orang yang ragu dengan kuasa Allah Taala kerana terpedaya dengan tamadun kebendaan. Antara sikap pemuda al-Kahfi ini ialah mereka tidak memandai-mandai pada perkara yang mereka tidak tahu tentangnya. Oleh kerana itu, ketika mereka tidak sependapat tentang tempoh berada di gua, masing-masing menyerahkan hal tersebut kepada Allah;
قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ
“Salah seorang mereka bertanya, berapa (lamakah) kamu tinggal? Mereka menjawab; kita tinggal satu hari atau setengah hari. Berkatalah mereka; Tuhan kamu lebih mengetahui berapa lama kamu tinggal.” (al-Kahfi, ayat 19)

Pemuda al-Kahfi ini juga sangat berwaspada dalam menjaga rahsia, kerana khuatir jika kedudukan mereka terbongkar, mudahlah musuh menghancurkan gerakan mereka. Justeru, sikap supaya berlembut, mengutamakan rasional dan tidak membabi-buta menjadi pesanan sesama mereka supaya agenda mentauhidkan Allah tidak tergendala disebabkan tekanan dan ancaman daripada pihak musuh.

وَلْيَتَلَطَّفْ وَلا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا
“Hendaklah bersikap lembut, janganlah (bersikap tidak munasabah) sehingga menyebabkan orang lain sedar tentang siapa diri kamu.” (al-Kahfi, ayat 19)

Kisah Pemilik Dua Kebun

Kisah berikutnya menceritakan mengenai usahawan yang mengecap kesenangan dan kemewahan disebabkan hasil tanamannya yang menakjubkan kerana mengeluarkan jenis buah yang terbaik, “gred A+” dan disukai ramai. Kalau di zaman kini, mungkin ia boleh dikaitkan dengan produk yang paling terkenal dan paling banyak “like” di media sosial. Di celah-celah kebunnya itu pula dipenuhi dengan tanaman-tanaman yang subur, serta sistem pengairan yang “sistematic”. Kemudian usahawan tersebut bersikap sombong, bongkak kepada sahabatnya sehingga tidak mahu berkongsi kebahagiaan yang dikecapi itu, dengan lantang menyebutkan kata-kata yang mengandungi kekufuran;
أَنَا أَكْثَرُ مِنكَ مَالا وَأَعَزُّ نَفَرًا
“Aku lebih banyak hasil keluaran darimu dan lebih berpengaruh dengan pelangganku yang ramai.” (al-Kahfi, ayat 34)

Dia juga percaya bahawa orang yang mendapat kebaikan, mengecap nikmat, tidak akan dirundung malang, tidak akan ditimpa kesusahan dan sebaliknya pula sentiasa berada di puncak kebahagiaan;
مَا أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَذِهِ أَبَدًا
“Aku tidak fikir, kesenangan ini akan binasa selama-lamanya.”

وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَى رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبً
“Aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.” (al-Kahfi, ayat 35-36)

Dalam kisah ini, pengusaha kebun tersebut telah mensyirikkan Allah kerana meyakini kekuatan lahiriah semata-mata dalam menentukan kebahagian dan memberikan kesan kepada sesuatu. Tanpa sedar falsafah kebendaan ini telah memperhambakan dirinya kepada kelazatan nafsu dan kehidupan duniawi, serta menghindarkan dirinya daripada amal kebajikan.

Kisah Nabi Musa dan Khidir

Kisah ketiga menceritakan perihal tindakan-tindakan ganjil yang dilakukan oleh Khidir ketika bersama dengan Nabi Musa alaihissalam. Pendapat yang tepat sebagaimana yang disepakati oleh ramai mufassirin mengenai Khidir, beliau ialah seorang Nabi. Hal ini dijelaskan di dalam surah al-Kahfi ketika Khidir menjelaskan perbuatannya kepada Nabi Musa bukanlah atas kehendaknya tetapi kehendak Yang Maha Perkasa;
وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي
“Tidaklah aku lakukan menurut kemahuanku sendiri.” (al Kahfi, ayat 82)

Antara tabir pertama perbuatan Khidir ialah;
  1. Khidir menebuk sampan yang dinaikinya bersama Nabi Musa.
  2. Membunuh kanak-kanak.
  3. Membaiki tembok yang hampir roboh walaupun mereka tidak diberikan layanan yang baik di kampung tersebut.
Setiap yang dilakukan oleh Khidir mempunyai sebab yang tertentu dan tidak perlu dipersoalkan. Semua keputusan yang dibuat oleh Khidir hanya mesti diperhatikan oleh Nabi Musa sahaja, namun sebenarnya tindakan Khidir merupakan perintah dari Allah Taala. Tindakannya menebuk sampan adalah untuk mengelakkan sampan tersebut dirampas oleh pemerintah zalim. Tindakan kedua, iaitu membunuh kanak-kanak kerana kelak anak itu dewasa akan menjadi fitnah kepada kedua orang tuanya. Tindakan terakhir dilakukan oleh Khidir adalah kerana di kawasan tembok yang hampir runtuh itu terdapat harta kepunyaan anak yatim. Jika tembok itu tidak dibaiki dan roboh, harta tersebut pasti akan diambil oleh pencuri serta perompak.

Kisah ini menggambarkan bahawa setiap inci ilmu manusia adalah kurniaan dari Allah. Banyak perkara yang berlaku di dunia ini yang tidak difahami dan tidak mampu disingkap tabirnya oleh manusia meskipun dia amat cerdik, dapat CGPA 4.0 contohnya. ;
نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مِّن نَّشَاء وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيم
“Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.” (Yusuf, ayat 76)

Di dalam Sahih al-Bukhari, diriwayatkan bahawa peristiwa ini bermula apabila Nabi Musa alaihissalam ditanya oleh kaumnya, Bani Israel, “adakah di sana orang yang lebih alim selain Tuan?” Lalu, Nabi Musa menjawab, “Tiada”. Lalu Allah menegurnya dengan mewahyukan supaya bertemu dengan hamba-Nya yang soleh di antara pertemuan dua lautan. Sebahagian riwayat menyebut pertemuan dua lautan yang dimaksudkan ialah Nabi Musa dan Khidir. Nabi Musa akhirnya bertemu dengan Khidir yang menjalankan tindakan-tindakan ganjil menurut ilmu Allah yang khusus kepadanya, walaupun ia tidak dapat diterima akal dan perasaan manusia, bahkan dihukum mungkar oleh orang alim sealim Nabi Musa alaihissalam ketika menyaksikan tabir pertama perbuatan Khidir.

Kisah Zulqarnain

Lawan kepada personaliti Zulqarnain adalah Firaun. Zulqarnain, seorang pemerintah yang terhimpun di dalam dirinya keimanan, kebaikan dan kekuatan yang luar biasa. Beliau dikurniakan Allah dapat memiliki semua jenis sumber kekuatan material serta menguasai semua kemudahan dan perkakasan yang ada pada zamannya. Sungguhpun demikian, Zulqarnain menggunakannya untuk kemanfaatan manusia, berkhidmat kepada insan dan membangunkan sebuah kota yang berkebajikan.

Zulqarnain juga merupakan rahmat kepada satu kaum yang selalu diganggu oleh orang-orang nomad yang dikenali sebagai Yakjuj dan Makjuj. Zulqarnain datang ke kampung tersebut dan membantu mereka membina tembok yang boleh menghalang orang-orang nomad ini daripada terus merusuh dan mengganggu kehidupan mereka. Zulqarnain hanya meminta supaya penduduk yang ada di situ membantunya dengan tenaga buruh bukannya dengan mengenakan cukai yang sengaja diada-adakan. 

Zulqarnain tidak menganggap bahawa bantuan tersebut sebagai kempen untuk menunjukkannya seorang yang hebat, sebaliknya menyerahkan segala kelebihan tersebut kepada Allah agar manusia mentaati dan menyembah-Nya. Meskipun Zulqarnain berada di kemuncak kegemilangan dan kekuasaan, namun beliau tetap tunduk kepada Allah Yang Maha Mencipta dan Menjadikan. Beliau tidak mudah dikaburi dengan harta yang menjadi perhiasan duniawi walaupun dilimpahkan seluas dataran bumi kepadanya. 

Pengajaran

Surah al-Kahfi ini sering diingatkan supaya menjadi bacaan rutin setiap kali menjelang Jumaat yang berkah, tetapi hanya mereka yang berjuang menegakkan agama Allah dan mengembalikan umat manusia di landasan kebenaran merasai roh dan semangat yang digarapkan daripada surah ini.

Secara keseluruhannya, surah al-Kahfi menyampaikan mesej kepada empat kategori manusia yang agar tidak terpedaya dengan pemikiran materialisme, iaitu :-
  1. Rakyat
  2. Usahawan/ Korporat
  3. Para Ilmuan/ Pendakwah
  4. Pemerintah
Pertarungan materialisme dan iman ini terus berlaku di sepanjang sejarah manusia bahkan hampir serupa senarionya. Terdapat sekurang-kurangnya tiga fungsi di dalam surah al-Kahfi, iaitu :-
  1. Tashih Aqidah (membetulkan pegangan semata-mata kerana Allah)
  2. Tashih Manhaj al-Fikr wa Nazar (membetulkan metode berfikir dan penganalisaan)
  3. Tashih al-Qiyam bi al-Mizan al-Aqidah (membetulkan nilai-nilai berlandaskan pegangan)
Jangan menggadaikan akidah Islam semata-mata kerana dikaburi dengan kebendaan yang dihasilkan dari sebab usaha dan strategi kita, kerana yang memberikan kurnia tersebut adalah Allah Taala.

Surah al-Kahfi ini diakhiri dengan suatu ayat yang merupakan tuntutan melaksanakan sesuatu perkara itu dengan ikhlas dan bersih daripada segala anasir-anasir syirik kepada Allah.
فَمَن كَانَ يَرْجُو لِقَاء رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
“Barangsiapa yang mengharapkan untuk bertemu dengan Tuhan-nya maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah mensyirikkan-Nya (menduakan-Nya) dalam melakukan ibadat kepada Allah.” (al-Kahfi, ayat 110)

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-