© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Jangan Pisahkan Agama Dari Politik

Jangan Pisahkan Agama Dari Politik

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 6 August 2016


Allah memberikan peringatan kepada umat manusia tentang sifat-sifat yang layak bagi pemerintah di dalam al-Quran, surah al-Hajj ayat 41;
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Mereka yang kami berikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, mereka mendirikan solat, serta menunaikan zakat, dan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, dan bagi Allah sahaja akibat (balasan) bagi segala urusan.”

Allah dan Rasulullah sallallahua’laihi wasallam menegaskan hubungan semua urusan negara adalah dengan Islam, berdasarkan Aqidah, berkonsepkan Ibadah dan wawasannya yang luas dan jauh kehadapan, daripada dunia sehingga akhirat. Sabda Rasulullah sallallahua’laihi wasallam yang menafsirkan firman Allah;
كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِى أَهْلِهِ وَهْوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِى بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِى مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِى مَالِ أَبِيهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ.
“Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin) dan setiap kamu disoal berkenaan urusan dibawahnya. Imam (Ketua Negara) pemimpin rakyatnya dan dia disoal berkenaan rakyatnya. Lelaki (suami) pemimpin kepada keluarganya, dia disoal berkenaan keluarga jagaannya. Wanita pemimpin kepada urusan rumah suaminya, dia disoal berkenaan urusannya. Khadam (pekerja) adalah penjaga urusana majikannya, dia disoal berkenaan urusannya. Seseorang itu juga penjaga harta peninggalan ayahnya, dia juga disoal berkenaan urusannya. Semua kamu adalah pemimpin (yang ditugaskan mengandalikan urusan masing-masing) dan disoal berkenaan urusannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Petunjuk Allah dan panduan Rasulnya sallallahua’laihi wasallam menunjukkan bahawa tiada pemisahan di antara semua urusan dunia daripada agama, termasuk urusan politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Tegasnya Islam bukan sahaja religion (agama) dari segi bahasa bukan arab, bahkan ajarannya juga “way of life”. Maka politik, ekonomi dan segala pengurusannya juga tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam. Menurut ajarannya, bahawa seluruh kehidupan manusia berwawasan akhirat mengadap Allah bagi dihisab, dihakimi dan menerima balasan masing-masing mengikut iman, amalan dan akhlaknya.

Di atas konsep ini Rasulullah sallallahua’laihi wasallam menegur seorang sahabat yang ditugaskan memungut zakat, jizyah dan hasil-hasil yang lain daripada satu daerah, lalu dia menunjukkan hadiah yang diberi kepadanya secara berasingan. Sabdanya;
فَهَلاَّ جَلَسَ فِى بَيْتِ أَبِيهِ أَوْ بَيْتِ أُمِّهِ ، فَيَنْظُرَ يُهْدَى لَهُ أَمْ لاَ وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ يَأْخُذُ أَحَدٌ مِنْهُ شَيْئًا إِلاَّ جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى رَقَبَتِهِ
“Maka adakah sekiranya, hanya dia duduk di rumah ayah atau rumah ibunya (tanpa apa-apa jawatan) menunggu sahaja, maka adakah hadiah ini diberi kepadanya atau tidak? Demi Tuhan yang diriku berada didalam tangannya. Ketahuilah bahawa tiada seseorang yang mengambil hadiah saperti ini walau pun sedikit malainkan dibawa pada hari Kiamat nanti, dia memikulnya untuk dipertanggujawabkan.” (Riwayat al-Bukhari)

Di atas konsep negara dan segala urusannya berkaitan dengan Islam, aqidah, syariat dan akhlak, maka pemimpin generasi awal di zaman keemasan berhemat dalam semua urusan, kerana imannya kepada Allah dan hari akhirat memandu dan mengawal segala urusan dunia, bukan sahaja urusan akhirat atau perkara yang dinamakan agama sahaja dalam bahasa asing.

Di zaman keemasan Islam para Khalifah pemimpin negara yang berpegang teguh dengan Islam sangat berhati-hati menjaga diri, bertaqwa kepada Allah bukan takutkan rakyat. Khalifah Umar al-Khattab di zaman Islam menjatuhkan dua kuasa besar dunia menjadikan hasil negara melimpah ruah, kerana ditegur hanya sehelai baju yang dipakai kerana dianggap secebis kain yang diambil secara salah untuk bajunya yang dipakai, terpaksa membela diri di tengah khalayak ramai di masjid.

Khalifah Umar Abdul Aziz pula, di zamannya perbedaharaan negara melimpah ruah tanpa cukai, mengarahkan permaisurinya memulangkan pemberian ayahandanya khalifah terdahulu, kerana dibimbangi termakan duit rakyat, juga memadamkan pelita minyak yang digunakan kerana urusan kerajaan dan memasang pelita yang lain untuk urusan keluarga. Mengapa sikapnya sampai begini? Inilah sifat warak dan zuhud yang sebenar, bukan berpura-pura dengan pakaian dan lagak.

Islamnya memerintah diri dan amalannya dalam semua aspek. Bukannya Islam diperintah, atau agama hanya urusan peribadi dan akhirat yang tiada kaitan dengan urusan dunia, tanpa disedari bahawa semua amalan dunia menjadi jambatan ke akhirat. Sama ada membina jambatan ke syurga atau neraka.

Petunjuk al-Quran dan Sunnah menegaskan Islam adalah urusan Allah, Tuhan semesta alam, bukan sahaja menciptanya, bahkan seluruh alam ini berada di bawah perintah dan peraturan-Nya yang wajib semua makhluk berserah diri (Islam), serta percaya kepada Rahmat, Adil dan Hikmahnya yang menjadi sifat wajib bagi Allah. Bukan sekadar menghafal 99 Al-Asma Husna dan sifat dua puluh dengan lidah tanpa tulangnya, tanpa Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah mengikut bahasa al-Quran. Firman Allah;
الحمد لله رب العالمين
“Segala puji bagi Allah, Rabb al-‘Alamin (Tuhan Pencipta, dan Pentadbir) seluruh alam.”

Perkataan Allah (Uluhiyyah) Yang Maha Esa diibadat dan kepada-Nya sahaja memperhambakan diri. Perkataan Rabb (Rububiyyah) Pencipta alam dan mentadbir dengan peraturannya, sifat atau taklif (tugas mengikut Syariat Allah). Firman Allah menegaskan betapa seluruh alam adalah Islam:-
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ
“Adakah mereka mahu berpegang kepada yang lain daripada deen (agama dan ajaran) Allah. Pada hal telah Islam seluruh makhluk di langit dan bumi secara ta’at (pilihan) atau terpaksa (fitrah atau naluri) dan kepadanya semua mereka dikembalikan (kepada Allah dan hari Akhirat).” (surah Aali-Imran, ayat 83)

Allah bertanya secara khusus kepada manusia :-
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لا تُرْجَعُونَ
“Adakah kamu mengira (beranggapan) bahawa kami ciptakan kamu begitu sahaja? Pada hal kamu tidak dikembalikan semula kepada kami?” (surah al-Mukminun, ayat 115)

Rasulullah sallallahua’laihi wasallam menegaskan, ada tujuh jenis manusia yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat yang dahsyat. Paling awal adalah seorang Imam (pemimpin negara) yang adil. Adapun paling berat seksa nerakanya ialah pemimpin yang zalim dan menipu. Inilah aqidah yang mendidik pemimpin terdahulu. Adapun menganggap urusan dunia tiada kaitan dengan aqidah agama, menjadikannya menipu sepanjang masa, menyalah gunakan kuasa dan harta sepanjang era, tanpa sedar dan insaf.

Jawatan pemimpin dianggap peluang kepada diri, keluarga dan kroni, apabila dianggap urusan dunia seperti politik, ekonomi dan pengurusan duniawi tiada kaitan dengan agama dan tidak dibawa ke alam kubur dan akhirat. Malah ada yang berfahaman politik semuanya kotor maka diserahkan negara dibawah politik penjajah.

Bible (Injil) dengan tegas menyatakan bahawa politik (urusan pemerintahan negara) tidak ada kaitan dengan agama :-

“Render therefore to Ceasar the things that are Ceasar’s and to God the thing that are God’s.” (Luke, 20:25), bermaksud urusan negara dipisahkan daripada perhitungan adanya dosa dan pahala, dan berlaku pula pertembungan di antara agama dan sains.

Petikan ini akhirnya melahirkan teori sekularisme. Inilah yang mencipta ideologi dan teori hingga mampu mempengaruhi seluruh dunia kini kerana dibawa oleh penjajah, termasuk negara kita, walaupun sudah mencapai kemerdekaan lebih setengah abad.

Siapa sahaja yang berada dalam bakul teori ini, nescaya dijual beli kehidupannya dengan harta dan pangkat tanpa jati diri sebagai hamba Allah yang memperhambakan diri kepadanya sahaja mengikut ikrar dalam solatnya :-
إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العالمين
“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku semata-mata bagi Allah Pencipta dan pentadbir seluruh alam.”

Tegasnya apabila urusan duniawi dipisahkan daripada agama Allah, maka manusia yang memimipin berlagak menjadi Tuhan dengan kuasa politik, kuasa ekonomi memberi rezeki kemudahan hidup. Menyalahgunakan kuasa dan mendapat harta serta mengurusnya dengan jalan dan cara yang salah. Allah menyebut contoh kisah Firaun (Raja) negara Mesir yang kuat dan kaya. Firman Allah :-
وَنَادَى فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِنْ تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ. أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِنْ هَذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ. فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ. فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ. فَلَمَّا آسَفُونَا انْتَقَمْنَا مِنْهُمْ فَأَغْرَقْنَاهُمْ أَجْمَعِينَ
“Dan Firaun berkata kepada rakyatnya: Wahai kaum bangsaku! Tidakkah aku yang berkuasa memerintah Negara Mesir ini? Semua sungai-sungai yang mengalir (memberi kemudahan hidup) kepada kamu dibawah perintahku. Adakah kamu tidak dapat melihatnya? Adakah orang yang hina ini (Nabi Musa), yang cakapnya tidak jelas? Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang-gelang emas (pingat pangkat kebesaran) atau ada Para Malaikat bersamanya? Lalu dia (Firaun) membodohkan rakyatnya, maka mereka mematuhinya. Mereka semua adalah orang-orang yang fasik (jahat). Maka apabila mereka melakukan perkara yang menyebabkan kami (Allah) murka, lalu kami hukumkan mereka, maka kami tenggelamkan mereka semua.” (surah al-Zukhruf, ayat 51-55)

Allah juga murka terhadap kelompok yang berlagak menjadi Tuhan, walaupun mereka adalah para ulama, paderi dan sami yang berlindung di sebalik agama (teokrasi). Firman Allah :-
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لا إِلَهَ إِلا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Mereka anggap para paderi dan pendeta menjadi Tuhan-Tuhan selain Allah, dan juga Isa bin Maryam. Pada hal mereka tidak disuruh melainkan beribadat kepada Tuhan Yang Maha Esa, tiada tuhan lagi selainnya, melainkan Dia (Allah) sahaja. Maha Sucilah Dia (Allah) daripada segala anggapan kaum musyrikin.” (Surah al-Taubah, ayat 31)

Kesimpulannya, bukan nama tokoh pemimpin tertentu atau menukarnya sahaja silih berganti, adapun acuan, dasar dan konsepnya sama. Penyelesaiannya, ialah kembali kepada Islam yang sempurna, Islam wajib menjadi petunjuk yang diimani dalam semua urusan. Siapa pun yang dipecat atau diganti tanpa Islam dalam dirinya, tetap mengulangi perkara kesalahan yang sama.

Rakyat juga hendaklah sedar harga diri dan maruah manusia, yang harganya terlalu mahal, bukan politik pangkat, takhta, wanita dan harta. Atau berdegil sehingga tiba ajalnya tanpa berani membuat perubahan. Bacalah firman Allah :-
وَمِمَّنْ خَلَقْنَا أُمَّةٌ يَهْدُونَ بِالْحَقِّ وَبِهِ يَعْدِلُونَ. وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ. وَأُمْلِي لَهُمْ إِنَّ كَيْدِي مَتِينٌ
“Dan di antara orang-orang yang kami ciptakan itu, ada kalangan umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran (berpegang dan menegakkannya), dengannya mereka berlaku adil. Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami, kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan) menurut cara yang mereka tidak menyedarinya. Dan Aku (Allah) memberi tempoh kepada mereka. Sesungguhnya rancangan balasan Ku amat teguh.” (surah al-A’raf, ayat 181-183)

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Sa’id Hawwa, Profesor Muhamad al-Wakeel serta Dr. Abdul Satar al-Qudsi.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-