© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Sayf al-Din Qutuz, Pahlawan Islam di Ayn Jalut

Sayf al-Din Qutuz, Pahlawan Islam di Ayn Jalut

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 27 June 2016


Nama sebenar Sayf al-Din Qutuz ialah Mahmud bin Mamdud. Beliau sebenarnya bukanlah berasal dari kalangan Mamluk, tetapi sebenarnya mempunyai hubungan kerabat sultan dengan silsilah keturunan “Khawarizm Shah”. Justeru bagaimana namanya boleh berubah menjadi Sayf al-Din Qutuz? Kerana sewaktu Kerajaan Khawarizmiah dijahannamkan oleh Kerajaan Tatar pada tahun 1225 M, keluarga Mahmud bin Mamdud adalah antara kaum Muslimin yang tidak terlepas menjadi mangsa pembunuhan itu. Hanya Mahmud bin Mamdud sahaja yang ditangkap hidup-hidup oleh tentera Tatar dan dijual sebagai hamba. Usianya yang masih begitu muda, sangat tertekan dengan peristiwa kematian keseluruhan kaum keluarganya. Setiap hari beliau dicambuk oleh tentera Tatar sehingga puluhan parut membekas ditubuhnya.

Disebabkan sikap memberontak serta kedegilannya, nama Mahmud ditukar menjadi Qutuz dalam bahasa Tatar, yang bermaksud “direwolf” (anjing liar mengganas). Manakala nama Sayf al-Din diterima setelah beliau dibeli oleh orang-orang Ayyubiah untuk dijadikannya sebagai anggota tentera Mamluk. Lazimnya, hamba-hamba yang dibeli dengan wang perbendaharaan negara Kerajaan Ayyubiah akan dilatih dengan ilmu agama dan menjadi tentera Ayyubiah satu ketika dahulu. Begitulah perjalanan hidup Sayf al-Din Qutuz, bermula dari anak bangsawan yang memiliki silsilah pertalian sultan, dia menjadi tawanan dan hamba. Qutuz menjadi hamba sehinggalah beliau dibeli oleh orang-orang suruhan Kerajaan Ayyubiah yang kemudian diasuhnya dengan agama dan strategi ketenteraan sebagai perajurit generasi Mamluk.

Mamluk memang terkenal sebagai pasukan tentera paling kanan dimiliki Sultan Salahuddin al-Ayyubi (1138 M - 1193 M) ketika memerangi Salibiyyah. Orang-orang Mamluk sangat kuat berpegang dengan agama walaupun pada asalnya mereka tidak memeluk Islam, tetapi kerana mereka diasuh dengan pentarbiyahan sejak kecil di kem-kem tentera bukan sahaja ilmu peperangan, bahkan turut diajar ilmu agama yang sempurna. Mamluk asalnya dijadikan tentera bagi mempertahankan negara dari kuasa asing selain menjaga keamanan negara. Namun, lama-kelamaan tugas itu berubah kepada tentera peribadi (personal army) kepada sultan yang memerintah. Sebelum diserap masuk ke dalam pasukan tentera, mereka ditempatkan di kawasan perlindungan yang disediakan kerana itu di kalangan mereka ada yang dikenali sebagai Burji (kem kubu batu) dan Bahri (kem kubu laut).

Disebut oleh Imam al-Maqrizi;
إن أول المراحل في حياة المملوك هي أن يتعلم اللغة العربية قراءة وكتابة، ثم بعد ذلك يُدفع إلى من يعلمه القرآن الكريم، ثم يبدأ في تعلم مبادئ الفقه الإسلامي، وآداب الشريعة الإسلامية. ويُهتم جداً بتدريبه على الصلاة، وكذلك على الأذكار النبوية، ويُراقب المملوك مراقبة شديدة من مؤدبيه ومعلميه، فإذا ارتكب خطأً يمس الآداب الإسلامية  نُبه إلى ذلك، ثم عوقب
“Permulaan kitaran hidup orang-orang Mamluk ialah belajar membaca dan menulis Arab, kemudian diupah sesiapa untuk mengajar mereka al-Quran. Bermula dari itu barulah diajar ilmu fekah, akhlak dan syariat Islam. Mendirikan solat sangat ditekankan dalam latihan mereka, mereka diajar zikir-zikir yang terpilih dari amalan Nabi sambil diawasi dengan pengawasan yang begitu tegas oleh pembimbingnya, jika didapati mereka melakukan kesalahan terhadap akhlak Islam, mereka akan diberi nasihat kemudian didenda.”

Mahmud Shith Khattab mengisahkan di dalam bukunya berjudul “al-Islam wa Nasr” bahawa Sayf al-Din Qutuz turut menerima pentarbiyahan daripada Sultanul Ulama’, Sheikh Izziddin Abd Sallam dan Sheikh Abi Hassan al-Syazuli. Beliau akhirnya dipilih secara musyawarah pada tahun 1259 M sebagai pemimpin selepas konflik politik Ayyubiah dan Mamluk tidak berkesudahan di Mesir sedangkan ancaman Kerajaan Tatar semakin hampir. Kerana itu, janji Qutuz kepada pembesar-pembesar wilayah yang terdiri dari kalangan Mamluk Burjiah, Mamluk Bahri, termasuklah kumpulan Ayyubiah bahawa jawatan “Sultan” yang disandangnya itu adalah bersifat sementara (temporary) dan beliau akan menyerahkan kembali kepada orang yang layak memerintah Mesir selepas tentera Tatar ditumbangkan.

Pemilihan Sayf al-Din Qutuz sebagai “viceroy” dipersetujui Sheikh Izziddin Abd Sallam kerana setelah kemangkatan Sultan Izzudin Aibaq, Mughith al-Din Umar al Ayyubi (keturunan Ayyubiah) ingin mengambil alih tampuk kerajaan Mesir. Hasratnya tidak dipersetujui oleh rakyat apabila menyedari Mughith al-Din merupakan pemimpin lemah dan akan berpaling tadah kepada Tatar. Walaupun sistem monarki raja melayakkan Nuruddin Ali Aibaq (anak Sultan Izzudin Aibaq) sebagai pemimpin Mesir waktu itu tetapi pemilihan Qutuz adalah untuk mengambil alih strategi ketenteraan. Baghdad telah jatuh, Qutuz tidak akan membiarkan Mesir jatuh tanpa maruah begitu sahaja. Bukanlah suatu perkara luar biasa tentang peralihan kuasa seperti itu, kerana Qutuz merupakan orang paling kanan Sultan Izzudin Aibaq manakala Nuruddin Ali pula masih kanak-kanak yang berusia 10 tahun.

لا بد من سلطان قاهر يقاتل هذا العدو، والملك الصبي صغير لا يعرف تدبير المملكة
“Sultan yang berwibawa mesti dipilih untuk memerangi musuh ini (Tatar), sedang penguasa kanak-kanak masih belum matang dan tidak arif mentadbir kerajaan.”

Meskipun banyak situasi-situasi politik pelik yang menimpa Dinasti Mamluk, bahkan ada sebahagian sejarawan Barat yang menuduh Sayf al-Din Qutuz merampas kuasa dari Nuruddin Ali tetapi Qutuz termasuk pemimpin yang berakhlak baik, teratur dan berperaturan serta mempunyai banyak kebijaksanaan dalam perhitungannya. Sebelum menghadapi pasukan Tatar dalam peperangan, Qutuz melakukan transisi pengislahan internal dengan meredakan ketamakan sebahagian besar pemimpin yang berniat untuk merampas takhta Mesir. Qutuz menyedarkan kumpulan Mamluk Bahri dan Mamluk Burji supaya membuang sengketa lama dan bersatu ke arah satu matlamat untuk menewaskan musuh sebenar mereka. Qutuz juga mengusahakan penyatuan kembali Mesir dan Syam sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al-Ayubi satu ketika dahulu.

Ibn Kathir menyebut tentang peribadi Sayf al-Din Qutuz di dalam Bidayah wa al-Nihayah;
كان شجاعا بطلا، كثير الخير، ناصحا للإسلام وأهله وكان الناس يحبونه ويدعون له كثيرا
“Beliau adalah seorang pahlawan yang berani, banyak kebaikan tentangnya dalam memandu agama dan rakyatnya menuruti Islam; Seluruh manusia sangat menyayanginya dan mendoakannya pelbagai kebaikan.”

Ada riwayat yang diceritakan oleh sahabatnya Hussam al-Din Baraka, sejak kecil lagi Sayf al-Din Qutuz pernah mengatakan beliau bermimpi bertemu Rasulullah sallallahualaihi wasallam dan mengkhabarkannya bahawa beliau akan menjadi penguasa di Mesir dan akan mengalahkan Tatar. Kata Qutuz;
رأيت النبي صلى الله عليه وسلم في المنام وقال لي: أنت تملك الديار المصرية وتكسر التتار، وقول النبي صلى الله عليه وسلم حق لاشك فيه
“Aku telah bermimpi melihat Nabi sallallahualaihi wasallam dan Baginda berkata kepadaku; engkau akan menjadi penguasa Mesir dan akan mengalahkan Tatar, adalah kata-kata Nabi itu benar tiada ragu lagi aku tentangnya.”

Ketika Sayf al-Din Qutuz merasakan indikasi kelemahan jiwa berlaku di tengah pasukan tenteranya, langkah selanjutnya beliau dengan tegas berkhutbah di hadapan manusia, mengobarkan semangat para pasukan tentera Islam yang awalnya menolak untuk berjihad menentang tentera Tatar;
يا أمراء المسلمين، لكم زمان تأكلون بيت المال وأنتم للغَزاة كارهون! وأنا متوجه إلى الله ورسوله، فمن اختار منكم الجهاد يصحبْني، ومن لم يختر ذلك يرجعْ إلى بيته فإن الله مطلع عليه
“Wahai penguasa kaum Muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu enggan (benci) mempertahankan negara dari musuh. Aku akan pergi bertemu Allah dan Rasul dalam keadaan aku berjihad, sesiapa yang memilih untuk berjihad, dialah sahabatku. Sesiapa yang enggan berjihad, baliklah ke rumah. Allah akan memerhatikannya, dosa kehormatan Muslimin dicabuli ditanggung oleh orang yang tidak berjihad!”

Kata-kata Sayf al-Din Qutuz telah menyentak dan menyedarkan ramai sahabat-sahabatnya ketika itu. Bukanlah berhadapan dengan tentera Hulago Khan yang mereka harus takuti, tetapi mereka perlu takut apabila berhadapan dengan pilihan yang diberikan oleh Allah iaitu berjihad tetapi mereka memilih untuk enggan melaksanakannya. Dari sudut ini kita melihat Qutuz telah menyiapkan rakyat dan tenteranya dengan senjata iman dan taqwa.

Sayf al-Din Qutuz memilih untuk melakukan tindakan yang cukup berisiko apabila beliau mencadangkan pandangannya di dalam mesyuarat bersama pimpinan-pimpinan tentera untuk mengubah rancangan asal mereka iaitu menunggu tentera Tatar ke Mesir. Pandangan ini amat mengejutkan pimpinan tentera sehinggakan sebahagian dari mereka bangun. Qutuz menerangkan kepada mereka rahsia pilihannya itu. Qutuz menegaskan beberapa noktah yang kemungkinan tidak disedari oleh sebahagian pimpinan tentera akibat terlalu lama berada dalam krisis politik internal, iaitu;
  1. Keselamatan Mesir bukan terletak di Kaherah tetapi sebaliknya bermula dari sempadan Mesir di sebelah Timur. Dengan itu usaha untuk menyelamatkan sempadan Mesir - Palestin mesti dilakukan dari peringkat awal lagi dengan cara menyerang Tatar di Palestin.
  2. Berperang di luar Mesir memberikan kelebihan; iaitu mereka masih lagi ada peluang kembali ke Mesir untuk menyusun semula strategi. Tetapi jika mereka kalah di dalam bumi Mesir, mereka tidak mempunyai peluang tersebut. Sebaliknya tentera Tatar dengan mudah dapat terus menerobos ke Kaherah, ibu negara Mesir.
  3. Tentera Islam mesti melakukan kejutan ke atas musuh dengan cara mereka yang menentukan tempat dan masa untuk berperang. Dengan itu mereka berada dalam keadaan cukup bersedia untuk berperang dalam keadaan musuh tidak bersedia sepenuhnya.
  4. Mesir bertanggungjawab bukan sahaja ke atas keselamatan Mesir tetapi juga ke atas keselamatan bumi-bumi Islam yang lain. Jihad mempertahankan negara Islam yang dijajah adalah fardhu ke atas negara jiran jika negara yang dijajah itu tidak mampu mempertahankan dirinya.
Setelah perbincangan yang panjang, akhirnya keputusan diambil bersama untuk menerima pertimbangan matang Sayf al-Din Qutuz. Tentera Islam akan bergerak menuju ke bumi Palestin dan menyerang Tatar dari situ. Qutuz telah menghantar satu batallion pertama diketuai oleh Rukn al-Din Baybers untuk menawan beberapa wilayah penting yang telah dikuasai tentera berkuda Tatar. Hal ini dapat melindungi pergerakan tentera yang lebih utama di bawah kepimpinan Qutuz yang lebih besar jumlahnya nanti. Apabila Baybers melepasi sempadan Mesir, perisikan Tatar menyangka pasukan tentera Mesir telah keluar secara keseluruhannya tanpa mengetahui tentang kewujudan pasukan kedua tentera Islam yang dipimpin Qutuz. Lalu Kerajaan Tatar telah menghantar satu pasukan tentera yang paling kuat dan berpengalaman.

Rukn al-Din Baybers berjaya menumpaskan pasukan berkuda tersebut dalam pertempuran pertama Mesir - Tatar, sebahagian tentera Tatar yang terselamat melarikan diri menyampaikan berita kekalahan tersebut kepada Katabgha Noyan, orang paling kanan Hulago Khan. Reaksi Noyan begitu marah dan terkejut ketika mendengar berita pasukan tenteranya ditewaskan kerana sebelum ini mereka sudah biasa membunuh orang Islam tanpa mendapat tentangan yang sengit. Di luar jangkaan mereka, rupa-rupanya masih ada lagi tentera Islam yang berani melawan mereka dan mampu mengalahkan mereka. Di pihak tentera Islam, kemenangan itu telah menaikkan semangat mereka untuk terus berjihad.

Apabila Rukn al-Din Baybers berjaya menawan kubu-kubu Tatar di Palestin, beliau telah meminta izin kepada Sayf al-Din Qutuz untuk memerangi Salibiyyah di Acre tetapi Qutuz tidak membenarkan, sebaliknya mahu peperangan dilakukan terhadap musuh yang paling utama waktu itu. Acre merupakan wilayah kebal milik Salibiyyah di Palestin, oleh kerana itu timbul kekhuatiran jika mereka tiba-tiba menyebelahi tentera Tatar dan membantu mereka. Qutuz memahami ancaman yang mungkin boleh wujud dari wilayah tersebut jika tidak ditangani dengan baik. Lalu Qutuz bersama tentera-tenteranya telah berkhemah di Acre sebelum menuju ke Ayn Jalut untuk memberikan amaran jika tentera Salibiyyah terlibat membantu Tatar, tentera Islam tidak teragak-agak untuk menyerang Acre terlebih dahulu. Akhirnya tentera Salibiyyah memberikan perjanjian untuk tidak terlibat dalam perang Mesir - Tatar, dan mengharapkan kemenangan berpihak kepada Islam.

Pada 25 Ramadan 658 H (1260 M), seluruh tentera Islam pimpinan Sayf al-Din Qutuz berada di Ayn Jalut, Palestin. Ayn Jalut merupakan sebuah kawasan perkampungan yang terletak antara Bisan dan Nablus, manakala di sebelah Timur-nya terletak sebuah lembah yang dikenali Lembah Jalut iaitu kawasan yang dipercayai merupakan tempat Nabi Daud alaihissalam menewaskan Jalut. Deretan kuda-kuda perang penuh siaga mula meningkah debu-debu di lembah Jalut, masing-masing menahan pijar-pijar mentari sementara menunggu arahan dari ketua panglima perang untuk memulakan serangan.

Dalam perang di Ayn Jalut, Hulago Khan telah melantik Katabgha Noyan sebagai panglima perangnya yang akan menjenterai serangan ke atas tentera Islam. Pemilihan tersebut dilakukan berdasarkan pengalaman puluhan tahun yang pernah dilalui Noyan. Ketika peperangan Ain Jalut, Noyan berusia lebih 60 tahun atau mungkin lebih 70 tahun. Satu tempoh usia yang menandakan pengalaman yang tidak sedikit berkenaan taktik-taktik perang di zaman itu. Tetapi Allah mengatur segala-galanya apabila strategi yang diambil oleh Sayf al-Din Qutuz sangat menakjubkan, beliau melaungkan di tengah-tengah tentera Islam;
وا إسلاماه! وا إسلاماه! وا إسلاماه! يا الله، انصر عبدك قطز على التتار
“Demi Islam! Demi Islam! Demi Islam! Ya Allah, bantulah hambamu Qutuz mengalahkan Tatar!”

Laungan ini dilaungkan oleh Sayf al-Din Qutuz sambil turun ke medan perang dengan menunggang kudanya. Panglima-panglima tentera Islam bersemangat. Tentera Tatar terperanjat dengan kehadiran Qutuz di tengah-tengah medan perang sekalipun beberapa libasan pedang, panah dan tombak hampir mengenai beliau. Kudanya berjaya ditikam mati oleh tentera Tatar menyebabkan beliau terjatuh, pun begitu beliau meneruskan kudrat jihadnya sehinggalah beliau menerima kuda bantuan oleh pembantunya. Tentera Islam bimbangkan keselamatan Qutuz terancam sambil berteriak agar beliau menyelamatkan diri. Tetapi Qutuz menjawab;
أما أنا فكنت أروح إلى الجنة، وأما الإسلام فله رب لا يضيّعه
“Diriku, sesungguhnya ia sedang menuju syurga. Ada pun Islam, ia mempunyai Tuhan yang tidak akan membiarkannya.”

Akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam dan mitos bahawa Tatar tidak akan dikalahkan menjadi palsu setelah kemenangan Islam di Ayn Jalut. Kemenangan tersebut begitu besar ertinya kerana ia telah mewujudkan satu sempadan kepada perluasan kuasa tentera Tatar dan dalam masa yang sama membebaskan Syam daripada kekuasaan Hulago Khan. Sayf al-Din Qutuz bersujud panjang dalam syukurnya, apabila beliau bangkit air matanya berhamburan membasahi janggutnya sambil berucap pendek, “Wahai umat Islam, janganlah kamu bermegah dengan apa yang telah kamu capai, hendaklah kamu bersyukur kepada-Nya (Allah) dan tunduklah kepada kekuatan-Nya. Barangkali doa saudara-saudara kamu lebih kuat dan tajam dari tetakan pedang, tusukan tombak dan panahan tirus yang keluar dari busur kalian...”

Kemenangan ini menegaskan bahawa umat Islam memiliki pelbagai potensi untuk mencapai kunci-kunci kemenangan. Bila-bila masa sahaja mereka mampu bangkit selama mana di dalam darah umat Islam ini masih mengalir keyakinan aqidah yang jitu dan selama ada orang yang memimpin mereka untuk menegakkan kalimah Allah dengan ikhlas. Walaubagaimanapun, keriangan yang dibawa pulang oleh Sayf al-Din Qutuz tidak kekal lama kerana semasa perjalanan beliau balik ke Mesir dari Ayn Jalut melalui Syam, beliau telah dibunuh oleh Rukn al-Din Baybers pada tanggal 16 Zulkaedah 658 H (1260 M). Peristiwa tersebut berlaku berikutan dakwaan terhadap Qutuz yang mungkir janji untuk memberikan wilayah Halab kepada Baybers selepas kejayaan di Ayn Jalut dan tersebarnya fitnah bahawa Qutuz berkomplot dengan tentera untuk membunuh Baybers.

Kedua-dua alasan tersebut langsung tidak munasabah bahkan sebenarnya sengaja direka-reka untuk menghalalkan pembunuhan Sayf al-Din Qutuz ketika beliau sedang keluar memburu dalam perjalanan pulang ke Kaherah. Pembunuhan tersebut tidak mendapat reaksi negatif ataupun tentangan daripada tentera-tentera Mamluk, malah Rukn al-Din Baybers tetap diperakui sebagai pengganti takhta yang telah ditinggalkan oleh Qutuz kerana pembunuhan tersebut adalah berdasarkan kepada undang-undang Turki Lama yang menetapkan bahawa sesiapa yang membunuh seseorang sultan maka ia akan dilantik menjadi sultan yang baru berdasarkan sistem Mamluk;
الحكم لمن غلب
“Kekuasaan merupakan hak bagi pemenang.”

Sayf al-Din Qutuz telah ditusuk tiga anak panah ke dada, tetapi dengan lembut beliau berkata kepada Baybers;
حسبي الله ونعم الوكیل، أتقتلني يا صديقي وأنا أريد أن أولیك سلطاناً مكاني
“Cukuplah Allah bagiku, Dia-lah sebaik-baik pelindung. Adakah engkau membunuhku duhai sahabat sedangkan aku memang berkehendak melantikmu sebagai Sultan mengganti tempatku.”

Ketika tentera Mamluk mahu mengambil tindakan atas perbuatan Rukn al-Din Baybers itu, segera ia dileraikan oleh Sayf al-Din Qutuz;
دعوا (بیبرس) لا تقتلوه إنه سلطانكم وقد سامحته فأطیعوه
“Biarkan Baybers, jangan kamu membunuhnya kerana dia adalah Sultan kamu yang baru dan aku telah memaafkannya maka patuhilah dia (sebagai Sultan).”

Sebelum Sayf al-Din Qutuz menghembuskan nafas yang terakhir, beliau mewasiatkan lagi agar Baybers memerintah Mesir dengan baik dan berjanji tidak akan mengkhianatinya dengan membiarkan musuh Islam bermaharajalela di negara umat Islam;
قاتل أعداء الإسلام يا بیبرس ھذه وصیتي لك، ويغفر الله لك خطیئتك
“Perangi musuh-musuh Islam wahai Baybers inilah wasiatku, moga engkau peroleh keampunan Allah tentang kesilapanmu.”

Kata-kata Sayf al-Din Qutuz itu telah menyebabkan Baybers sebak menitiskan air mata penyesalan. Imam al-Zahabi rahimahullah menyebut Qutuz adalah Sultan yang syahid walaupun beliau dibunuh oleh panglima tenteranya sendiri. Sifat tamak kuasa Rukn al-Din Baybers itu telah menimbulkan kemarahan Sheikh Izziddin Abd Sallam yang kemudiannya beliau pun meninggal dunia pada 1262 M, dua tahun selepas peristiwa pembunuhan Qutuz. Semoga Allah merahmati perjuangannya.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-