Headlines Articles :
Home » » Mengambil Iktibar Kejatuhan Baghdad

Mengambil Iktibar Kejatuhan Baghdad

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday, 25 June 2016


Catatan sejarah ini cuba mengikat kita tentang peristiwa kedatangan puak-puak Monggol yang bersatu di bawah suaka Kerajaan Tatar, yang melumatkan seluruh wilayah-wilayah Islam ketika itu. Ia sudah pasti akan menimbulkan rasa sebak, sayu dan hiba ke atas generasi-generasi umat Islam dahulu yang teraniaya akibat kepincangan politik pada waktu itu. Ia juga mengenangkan kembali jatuh bangun kota Islam paling berprestij di zaman emasnya yang dikenali sebagai Sayyid al-Bilad, Baghdad. Sangat tragis sekali, kota kosmopolitan itu kerap menjadi mangsa kebiadaban manusia yang datang daripada pelbagai bangsa dan agama.

Kerajaan Tatar memulakan langkah penjajahan ketika Temujin (Genghiz Khan, 1162 M - 1227 M) berjaya menyatukan seluruh kabilah berpuak Monggol yang ketika itu hidup berpindah-randah di pergunungan Siberia pada tahun 1194 M. Mereka yang asalnya dari bangsa nomad, menjadi sebuah kerajaan gasar terbesar yang dikenali sebagai Empayar Monggol, dan hampir menguasai seluruh Eurasia yang terdiri daripada wilayah Kara-Khitan Khanate (kini dikenal Kyrgyzstan), wilayah pergunungan Caucasus, wilayah Parsi Khawarizmiah, Xia Barat dan Dinasti Qin.

Kekuatan Tatar pimpinan Genghiz Khan mula menyerlah ketika kejayaan mereka menguasai wilayah-wilayah China yang diasaskan oleh Qin Shi Huang. Banjaran China itu membuka mata Genghiz Khan kepada wilayah yang lebih solid dan maju iaitu Baghdad yang ketika itu dikenali sebagai pusat tamadun dunia. Tetapi cita-cita tersebut tersekat dengan kekuatan lawan terbesarnya iaitu Kerajaan Khawarizmiah yang dipimpin Sultan Alauddin (Muhammad II, 1200 M - 1220 M) yang merentangi seluruh wilayah Parsi iaitu Iran, Afghanistan, Kazakhtan, Turkistan, Kurdistan dan Samarkand.

Namun, konflik perpecahan umat Islam menyebabkan peluang yang dinantikan Genghiz Khan terbentang sempurna. Peluang tersebut sangat cerah apabila beliau menyedari hubungan retak antara Kerajaan Khawarizmiah dan Kerajaan Abbasiah di Baghdad. Menurut satu riwayat, Sultan Alauddin pernah melepaskan satu surat yang diamanahkan Kerajaan Abbasiah kepada Genghiz Khan, kononnya isi surat tersebut adalah keinginan Khalifah Nasir li Dinillah (1180 M - 1225 M) semata-mata untuk menjalankan urusan perdagangan. Sultan Alauddin sendiri tidak tahu isi sebenar surat tersebut sebenarnya adalah arahan Khalifah Nasir kepada Genghiz Khan supaya menyerang Khawarizmiah, bahkan memberi jaminan akan membantu Tatar dengan cara membiarkan Khawarizmiah bersendirian.

Tahulah Genghiz Khan ketika itu bahawa kedua-dua kerajaan Islam ini sedang bermusuhan. Inilah titik mula keyakinan Kerajaan Tatar menjatuhkan Baghdad kerana kubu terkuat Islam ketika itu sebenarnya adalah Kerajaan Khawarizmiah yang menjadi penghalang cita-cita mereka selama ini. Sebahagian ahli sejarah menyifatkan Khalifah Nasir li Dinillah sebagaimana berikut;
رجلاً ظالماً مستبداً، فرض المكوس والضرائب على كل شعبه؛ في كل أزمة اقتصادية يفرض ضريبة جديدة، ويعتمد في الخروج من الأزمة على قوت الشعب وكدِّه وكدحه
“Seorang lelaki zalim yang bersikap tidak adil, selalu membebankan rakyatnya dengan cukai. Setiap kali berlaku krisis ekonomi, cukai baharu akan dikenakan kerana dia berpegang untuk menyelamatkan dari krisis dengan cara memeras tenaga rakyat, penipuan dan muslihatnya.”

Sebahagian sejarawan terlalu membesar-besarkan pengkhianatan Syiah bernama Ibnu Alqami, tetapi memicingkan mata terhadap pengkhianatan awal yang dilakukan oleh Khalifah Nasir li Dinillah terhadap umat Islam sendiri. Akhirnya pengkhianatan dibalas pengkhianatan. Umat Islam saling perang-memerangi, tindas-menindas, zalim-menzalimi sebelum rempuhan Tatar lagi ke atas Kota Baghdad sehingga mereka tidak berdaya menghadapi serangan musuh sebenar ketika itu walaupun daripada sudut jumlah, tentera Islam lebih ramai jika masing-masing membentuk persefahaman dan penggabungan tenaga.

Perpecahan demi perpecahan berlaku menjadi momentum terbaik Genghiz Khan menghancurkan kerajaan-kerajaan Islam yang menghadapi konflik dengan Kerajaan Abbasiah. Akibatnya, walaupun Kerajaan Khawarizmiah yang memiliki keupayaan ketenteraan hebat, kalah dalam pertempuran menentang Kerajaan Tatar yang hanya terdiri dari pelbagai suku puak gasar dan nomad. Lebih malang lagi, tiada sebarang bantuan-pun yang diberikan oleh mana-mana kerajaan Islam pada waktu itu termasuklah Kerajaan Abbasiah yang berpusat di Baghdad. Benarlah sabda Baginda salallahualaihi wasalam yang diriwayatkan dari Tsauban radhiAllahu anhu;
 يُوشِكُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمُ الأُمَمُ مِنْ كُلِّ أُفُقٍ كَمَا تَتَدَاعَى الأَكَلَةُ عَلَى قَصْعَتِهَا، قُلْنَا: مِنْ قِلَّةٍ بِنَا يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: لا، أَنْتُم يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، يَنْزَعُ اللَّهُ الْمَهَابَةَ مِنْ قُلُوبِ عَدُوِّكُمْ وَيَجْعَلُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ، قِيلَ: وَمَا الْوَهَنُ؟ قَالَ: حُبُّ الْحَيَاةِ وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Akan tiba suatu masa nanti umat Islam dicatur seperti makanan yang terhidang, sahabat yang mendengar terkejut lantas bertanya; Ya Rasul Allah, apakah kerana kita umat yang sedikit? Rasulullah mengatakan tidak, kalian adalah majoriti tetapi tidak ubah seperti buih di lautan. Allah cabut dari jiwa musuh-musuh kalian rasa takut dan ditimpakan pula rasa takut ke dalam jiwa kalian, kemudian di dalam jiwa kalian akan ada satu penyakit iaitu al-wahn. Sahabat bertanya apakah al-wahn itu? Rasulullah menjawab; al-Wahn adalah cinta dunia dan takut mati.”

Kerana xenofobia dengan Kerajaan Khawarizmiah, Khalifah Nasir li Dinillah rela membiarkan saudara-saudara se Islamnya di wilayah-wilayah itu ditimpa petaka perang dengan kaum penyembah bintang dan matahari (Syamanisme) bahkan mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukan yang dipimpin Genghiz Khan. Pertempuran Kerajaan Tatar dengan Khawarizmiah yang dikatakan sebahagian riwayat berfahaman Syiah itu sangat sengit. Kemangkatan Sultan Alauddin tidak mengakhiri kejatuhan Kerajaan Khawarizmiah, pewarisnya yang terakhir iaitu Sultan Jalaluddin al-Khawarizm (1220 M - 1231 M) terus memberikan tentangan ke atas Kerajaan Tatar.

Sultan Jalaluddin meminta bantuan wilayah-wilayah Islam di sekitarnya, namun sedikitpun bantuan tidak diberikan sehingga beliau terpaksa melarikan diri dari satu wilayah ke satu wilayah bahkan ada riwayat yang mengatakan beliau menjarah wilayah-wilayah tersebut. Perjuangan Sultan Jalaluddin memerangi Tatar itu suatu perbuatan mulia, tetapi cara beliau menangani masalah wilayah-wilayah yang enggan memberikan bantuan kepadanya adalah cara yang hina dan tidak sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam yang taat kepada Allah dan terikat dengan hukum-hakam-Nya. Akhirnya Sultan Jalaluddin terbunuh dalam pelariannya.

Kejatuhan total Khawarizmiah, menjadi kubu terbaik Kerajaan Tatar untuk dijadikan sebagai pangkalan tentera dalam siri-siri serangan seterusnya menuju ke Asia Barat. Terdapat sejarawan Islam yang memberikan pandangan, jika umat Islam waktu itu bersatu iaitu Kerajaan Abbasiyyah bergabung dengan Kerajaan Khawarizmiyyah – tentulah kekejaman tentera Tatar tidak merebak sehingga ke perbatasan Syam. Malangnya Khalifah Kerajaan Abbasiah, Nasir li Dinillah bersekongkol dengan Kerajaan Tatar agar kerajaan Khawarizmiah diranapkan. Allah Taala berfirman dalam Surah al Kahfi ayat 59 :
وَتِلْكَ الْقُرَى أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِم مَّوْعِدًا
“Dan penduduk negeri-negeri itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.”

Umm al-Mukminin, Salamah radhiAllahu anha pernah bertanya kepada Nabi;
 يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ: نَعَمْ، إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ
“Wahai Rasul Allah, adakah kami dibinasakan sedang di kalangan kami terdapat orang soleh? Rasulullah menjawab; Iya, apabila terlalu banyak kejahatan.”

Pada tahun 1227 M, Genghiz Khan menemui ajalnya ketika umurnya menjangkau 65 tahun tetapi hal itu bukanlah bererti sisa kekejaman kerajaannya berakhir. Setelah Genghiz Khan menjahanamkan wilayah Khawarizmiah, cuma tinggal misi meranapkan Baghdad ketika itu belum tercapai sepenuhnya. Misi ini seterusnya akan digalas oleh pewaris-pewaris takhta Genghiz Khan yang akan meneruskan episod penaklukan Kerajaan Islam. Pada tahun 1251 M, para pembesar Kerajaan Tatar berkumpul di Karakoum, mereka melantik Mankhu Khan, cucu Genghiz Khan untuk menjadi “The Great Khan” yang baru.

Mankhu Khan telah membahagikan dua bahagian tentera; Tentera pertama menguasai Tanah Besar China dan tentera kedua menguasai Asia Barat. Antara komander tentera yang dilantik itu adalah adiknya bernama Hulago Khan (1218 M - 1265 M). Hulago telah diarahkan untuk menjayakan misi menjatuhkan kerajaan Abbasiyyah sampai bersih dan tidak tersisa. Dengan kerjasama menteri kerajaan Abbasiyah yang berpaling tadah, Muayiddin Alqami termasuklah pengkhianatan para pembesar Islam yang lain iaitu Raja Mosul, Emir Badruddin Lu’lu, Raja Anatolia, Kaikawis II, Qalaj Arsalan IV, Ashraf al-Ayyubi, pemimpin Halab dan Dimashq iaitu al-Nasir Yusuf. Akhirnya kota agung Baghdad hancur lebur buat pertama kali ketika pemerintahan al-Musta’sim Billah (1242 M - 1258 M).

Sekalipun pengkhiantan Alqami telah mencemari kelompok Syiah, tetapi populasi Islam tidak kira puak Sunnah atau Syiah ia tetap disembelih oleh tentera Tatar dengan dahsyat. Para wanita, kanak-kanak dan semua harta Khalifah dirampas oleh tentera Tatar. Seterusnya Khalifah al-Musta’sim beserta keluarganya, dijahit dalam permaidani dan dipijak-pijak oleh kuda sampai mati. Bau mayat sangat teruk di dalam kota Baghdad sehingga tentera Monggol sendiri terpaksa berkhemah di luar kota. Manuskrip-manuskrip Islam-Arab hilang tenggelam di arus sungai yang merubahnya menjadi hitam pekat kerana cecair tinta.

Baghdad ketika itu ibarat kota mati, yang ada hanya bau busuk mayat yang merebak ke seantero negeri. Tiada sesiapa yang berani berhadapan dengan Kerajaan Tatar, kecuali menyerah diri dan menghulur kepala supaya dipenggal tidak hidup lagi. Kejatuhan kerajaan Abbasiyyah di Baghdad, telah mewartakan satu “rumour” yang diperakui oleh semua orang bahawa, “Jika kamu mendengar Kerajaan Tatar dikalahkan, jangan percaya...” Ertinya, Kerajaan Tatar terlalu kuat untuk dikalahkan.

Prof Dr Qasim Abdul Qasim, pakar sejarah Islam Mesir dari Universiti al-Azhar cawangan Zagazig memberitahu ketika itu ada juga umat Islam yang percaya bahawa kekuatan seorang tentera Tatar sahaja mampu mengalahkan berbelas-belasan orang Islam. Jiwa umat Islam ketika itu diserang wabak takut, mereka merelakan tubuh untuk dibunuh tanpa melakukan apa-apa pun terhadap penindasan Tatar. Terdapat suatu kisah yang diceritakan tentang seorang Muslim ditangkap oleh tentera Tatar yang tidak bersenjata untuk dibunuhnya. Tentera Tatar tersebut berkata;
ضع رأسك على الأرض ولا تبرح
“Letakkan kepala kamu menyembah bumi jangan larikan diri!”

Lantas lelaki Muslim tersebut membiarkan dirinya kaku melekap ke bumi sehinggalah datang tentera Tatar membawa pedang untuk memancungnya.

Selain Kerajaan Mamluk yang masih bertahan di Mesir, hanya Sultan al-Kamil Muhammad al-Ayubi (1247 M - 1260 M) dari Mayyafarqin (sekarang Diyarbakir, Turki) sahaja yang berani melaungkan jihad ketika itu. Apabila Hulago Khan tahu masih ada raja yang berani melawannya, lantas beliau berkata;
هذا الرجل لا يمثل دين الإسلام  لأن الإسلام دين السماحة والرحمة والحب والسلام
“Lelaki ini (Sultan Mayyafarqin) tidak boleh menjadi ikutan kepada ajaran Islam kerana Islam adalah agama yang mengamalkan toleransi, penuh kerahmatan dan kesejahteraan.”

Hulago Khan terus menggila membakar Kota Mayyafarqin tanpa belas kasihan. Hujan panah dan lontaran nafta menghiasi latar langit sehingga tiada seorangpun yang berjaya menyelamatkan diri, semuanya dikejar dan dibunuh. Tiada saki baki penduduk yang selamat dari pencerobohan kejam Tatar. Sultan al-Kamil Muhammad dibunuh dengan tusukan tombak tajam menusuk sekali ke arah jantungnya sehingga darahnya memancut membasahi bumi. Kepala Sultan al-Kamil Muhammad ditetak, digiring dan dibawa mengelilingi kawasan Syam sehingga menyebabkan semangat umat Islam di sana runtuh. Kata Ibnu Athir (550 H - 630 H);

“Aku termenung panjang sebelum menulis peristiwa ini, kerana aku tidak suka mengenangnya. Kadang-kadang aku menoleh kembali perjalanan yang telahku lalui saat itu. Siapa yang tergamak untuk menulis tentang berita sedih ini, siapa yang mudah untuk memahatnya kembali? Mungkin aku lebih beruntung jika tidak dilahirkan oleh ibuku, atau aku meninggal sebelum peristiwa ini terjadi, sehingga aku tidak pernah mengetahuinya akan hal ini…”

Sejak dari peristiwa itu umat Islam terus menghadapi penghinaan, ada di kalangan mereka yang sanggup menggadaikan agama semata-mata untuk mendapat jaminan hidup daripada Kerajaan Tatar yang diketuai Hulago Khan. Hulago memantapkan kekuasaannya di Baghdad selama dua tahun, sebelum melanjutkan gerakan serangan ke Syria dan Mesir. Kerajaan Tatar (Mongol) telah menjadi musuh kuat yang ditakuti oleh dunia saat itu. 

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia