© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Ke Arah Melahirkan Pembela Agama Allah “AnsaruLlah”

Ke Arah Melahirkan Pembela Agama Allah “AnsaruLlah”

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 30 April 2016


Pemuda adalah sayap penting bagi perjuangan Islam yang suci ini justeru pemuda jualah yang digantung harap oleh Nabi sallallahu’alaihi wasallam untuk mendokong cita-cita perjuangan Baginda sallallahu’alaihi wasallam. Pemuda “AnsaruLlah” ialah :-
  1. Pemuda yang siap-siaga untuk menyahut tanpa sebarang rasa ragu terhadap seruan perjuangan bagi menegakkan syariat Allah di atas muka bumi ini.
  2. Menjunjung segala peraturan dan arahan jamaah, tidak gentar mendepani cabaran malah bersedia menghadapi apa jua implikasi perjuangan, biarpun terpaksa mengorbankan segala kepentingan diri sendiri.
Firman Allah di dalam surah al-Shaff ayat 14;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ فَآمَنَت طَّائِفَةٌ مِّن بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَت طَّائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu; Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)? Mereka menjawab; Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israel beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang nyata kemenangannya.”

Prinsip utama pemuda “AnsaruLlah” ialah kesediaan yang tidak berbelah bahagi untuk turun ke medan bagi menunaikan tanggungjawab dan amanah perjuangan bersama slogan serta ikrar pejuang yang berbunyi (إما نصر و إما شهادة), iaitu sama ada menang atau gugur sebagai syuhada’.

“AnsaruLlah” merupakan kualiti dan tahap piawaian yang ingin dicapai oleh Pemuda PAS melalui pelbagai aktiviti yang disusun dan diatur. Menggarap semua lapangan gerak kerja yang melibatkan :-
  1. Amal Tarbawi (perkaderan)
  2. Amal Siyasi (politik)
  3. Amal Kebajikan; dan
  4. Dakwah (penerangan)
Memahami PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, sayugialah para pemudanya terdiri dari kalangan pemuda yang menepati piawaian “AnsaruLlah” dalam semua aspek :-
  1. “AnsaruLlah” dalam aqidah (pegangan dan prinsip)
  2. “AnsaruLlah” dalam fikrah (pemikiran dan pandangan)
  3. “AnsaruLlah” dalam akhlak (keperibadian dan moral)
  4. “AnsaruLlah” dalam aktiviti (gerak kerja dan penglibatan)
Namun, asas utama untuk mencapai piawaian sebagai pemuda “AnsaruLlah” ialah :-
  1. Tasawwur Ilmu Islam yang jelas dan tepat
  2. Ilmu pengetahuan dalam semua aspek yang diperlukan
  3. Keiltizaman bersama aktiviti pengkaderan dan pembinaan jamaah
  4. Tahap taqarrub yang erat dan intim dengan Allah
  5. Intima’ (penglibatan atau penyertaan) berasaskan aqidah perjuangan
Islam mesti dijadikan sebagai produk unggul sebagai tema pemerkasaan dalam setiap bidang. Perlu juga saya tegaskan disini bahawa “AnsaruLlah” bukanlah pemuda yang kasar dan ganas, bukan juga pemuda yang ekstrem dan subversif. Sebaliknya pemuda “AnsaruLlah” ialah pemuda yang mewarisi kemulian akhlak Baginda Rasulullah sallallahu’alaihi dengan meletakkan diri sebagai;
  1. Pemuda yang beriman dan bertaqwa
  2. Pemuda yang berilmu pengetahuan dan berwibawa
  3. Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
  4. Pemuda yang berhemah dan berhikmah
  5. Pemuda yang berjiwa besar dan lapang dada
  6. Pemuda yang tangkas dan berani
  7. Pemuda yang cerdas dan cergas
  8. Pemuda yang sabar dan tabah
  9. Pemuda yang memegang janji dan setia
Kita tidak mahu penyertaan anak-anak muda bersama PAS hanya mengekalkan peribadi dan kualiti yang lama sebagaimana sebelum mereka menyertai PAS. Sebaiknya “menaiktaraf”-kan mereka agar menjadi pemuda “AnsaruLlah” melalui pelbagai aktiviti perkaderan, pembinaan dan pembentukan aqidah, fikrah serta syakhsiah tanpa menafikan kecenderungan dan minat mereka dalam gaya dan penampilan hidup yang tidak bertentangan dengan syarak. Melahirkan Pemuda “AnsaruLlah” bukan bermaksud menukar minat “mat motor” kepada “mat gasing”, sebaliknya “AnsaruLlah” bermaksud pemuda yang dibina aqidahnya agar mereka miliki aqidah yang sahih, dibina fikrahnya agar mereka miliki fikrah Islam yang syumul, dan dibina syakhsiahnya agar mereka miliki syakhsiah yang soleh. Ertinya kita mahu kualiti pemuda yang mengikuti acuan perjuangan Islam.

PAS adalah sebuah wadah perjuangan Islam yang memiliki cita-cita besar untuk melihat perubahan berlaku dalam negara kita. Perubahan yang dimaksudkan ini ialah perubahan secara total dan gradual, dari sebuah negara yang penuh dengan korupsi kepada negara yang telus dan saksama, dari negara yang berkecamuk dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kepada negara yang aman, adil dan sejahtera, serta dari negara yang cemar dengan maksiat dan mungkar kepada negara yang mendaulatkan al-amru bil makruf dan al-nahyu an al-mungkar.

Rakyat atau masyarakat (Muslim atau non-Muslim) tidak boleh dibiarkan hidup dalam sebuah negara yang hanya mementingkan pembangunan material (semata-mata) tetapi meruntuhkan spiritual, negara yang mengamalkan semangat perkauman yang sempit dan negara yang merosakkan tamadun dan peradaban manusia dengan memaksa pemikiran dan peraturan yang ciptaan manusia lalu mengenepikan peraturan (syariah) Allah, Tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam cakerawala ini.

Bertolak dari realiti ini, pemuda “AnsaruLlah” sebagai sayap kanan kepada perjuangan atau Gerakan Islam PAS juga merupakan agen perubah (agent of change) yang bertanggungjawab menggerakkan agenda perubahan dalam negara, masyarakat dan sistem pemerintahannya. Justeru, tugas dan tanggungjawab pemuda “AnsaruLlah” bersama perjuangan Islam ini (PAS) adalah sangat besar dan berat . Tidak sekadar membayar yuran dan menyertai aktivitinya tetapi berperanan untuk merancang, menggerakkan dan menjayakan segala misi dan visinya.

Menggalas tugas besar dan berat seperti ini tentunya pemuda tidak boleh hanya bergantung kepada kesasaan fizikal semata-mata melainkan pemuda “AnsaruLlah” mesti memiliki jua keperkasaan spiritual sebagai kekuatan dalaman di samping kesahihan aqidah dan ketulenan fikrah yang berasaskan manhaj perjuangan Islam yang benar. Pemuda “AnsaruLlah” selayaknya terlebih dahulu mempersiapkan diri untuk dikaderkan dengan segala skema amal tarbawi berasaskan prinsip amal Islami (amal jama’ei, amal ijtima’ei dan amal fardiyy) agar kelak tatkala turun ke medan, pemuda benar-benar mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah ini dengan baik lagi berjaya.

Bangkitlah wahai pemuda dan bersedialah untuk menjadi pemuda “AnsaruLlah” yang berjuang siang dan malam untuk menegakkan agama Allah dengan segala keupayaan diri yang dimiliki tanpa dolak-dalih dan lengahkan waktu dengan 1001 alasan.

Hindari sikap suka bertelagah dan saling tuding-menuding, sedang tanggungjawab kita untuk mendaulatkan Islam ini memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan idea malah jika perlu darah dan nyawa jua menjadi taruhan buat perjuangan Islam ini. Kita tidak punya banyak masa dan waktu untuk dibazirkan kepada perkara yang tidak mendatangkan faedah buat perjuangan Islam ini, apatah lagi membawa mudharat seperti keretakan dan perpecahan kepada jamaah ini.

Perjuangan ini untuk menegakkan Islam dan inilah peranan utama pemuda “AnsaruLlah”. Pemuda “AnsaruLlah” tidak berjuang untuk mencari publisiti dan membina empayar politik peribadi serta kelompok tertentu. Sebaliknya berjuang untuk Islam dan umatnya meliputi elemen-elemen berikut;
  1. “Rahib” yang tekun beribadah di waktu malam dan “Kuda” yang tangkas berlari di waktu siang adalah modul perkaderan yang gigih dilaksanakan oleh para ulama’ Gerakan Islam untuk melahirkan para pejuang yang hebat sekaligus berkeupayaan tinggi untuk thabat  (tetap pendirian) di medan perjuangan meskipun berdepan dengan cabaran dan halangan yang getir.
  2. Perkaderan ini mesti melalui proses pentarbiyahan yang istiqamah dan munazzamah (sistematik) agar ia benar-benar berkesan untuk melahirkan susuk seorang pejuang yang mampu melazimi tahajjud, zikir al-Ma’thuurat, bacaan al-Quran, munajat, solat sunat, puasa sunat, solat berjamaah, kuliah agama dan pelbagai aktiviti amal fardiyy (ibadah persendirian) serta dalam masa yang sama aktif  dan lincah di medan siasah (politik) jua dakwah (penerangan).
Pejuang atau anggota parti yang mampu mengadun ketiga-tiga elemen ini (tarbiyah, siasah dan dakwah) dengan baik dan seimbang, maka ia adalah pejuang yang melengkapi piawaian yang dikehendaki oleh sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Saya sangat mengharapkan agar Pemuda PAS melahirkan kualiti pejuang seperti ini memandangkan mereka adalah kilang untuk melahirkan anggota dan pemimpin parti yang berkualiti di semua peringkat.

Tegasnya kita tidak mahu melahirkan hanya kumpulan pemimpin yang lincah di medan politik dan petah di pentas pidato semata-mata, tetapi juga seorang anggota dan pemimpin parti itu mestilah akrab (dekat) dengan Allah, menjadi orang-orang yang membela hak-Nya (Rabbaaniyyun) gigih berjuang untuk menegakkan syariat Allah.

Saya telah tegaskan dalam ucaptama Pemuda PAS suatu ketika dahulu pada tahun 2010, betapa pemuda mesti melayakkan diri untuk mencapai piawaian “AnsaruLlah” (pejuang agama Allah). “AnsaruLlah” tidak sekadar politikus tetapi ia adalah pejuang dan politik adalah sebahagian dari tugas wajib yang mesti dilaksanakannya.

Semua dari kita sangat menginsafi bahawa kemenangan buat perjuangan yang kita dokong ini hanyalah datang dari Allah. Sebagaimana Allah yang mewajibkan kita berjuang untuk menegakkan agama-Nya, maka Allah jua-lah yang menentukan jadual dan tarikh kemenangan. Justeru itu, selaku pejuang agama Allah, kita semua mestilah erat hubungan dengan Allah dan dekat kedudukan kita di sisi Allah. Semakin jauh kita dengan Allah, ertinya semakin sukar kita menggapai kemenangan buat perjuangan ini.

Mungkin ramai orang tidak berminat dengan kaedah ini kerana ia bukanlah kaedah yang popular dengan pendekatan politik moden hari ini. Hari ini populariti memberi saham besar untuk menang. Malah budaya dan tindakan populis ini kian meluas untuk gapai kemenangan. Tanpa menafikan peranan tindakan populis dalam politik moden hari ini, kemenangan masih ditangan Allah. Maka seorang anggota dan pimpinan parti mesti peruntukan masa yang secukupnya untuk ia berada dekat dengan Allah dan jangan sekali-kali lupakan Allah, kelak Allah pula tidak ada masa untuk kita dan Allah pula melupakan kita.

Ayuh pemudaku! kita semarakkan kembali tarbiyah ruhiyah agar ia seimbang dengan politik (siasah) dan penerangan (dakwah) kita di semua peringkat (pusat, negeri dan kawasan malah cawangan) dengan aktiviti seperti berikut (antaranya) ;
  1. Solat berjamaah
  2. Menghadiri kelas-kelas pengajian agama
  3. Menyertai usrah mingguan dan liqa’ fikri
  4. Ijtima’ Tarbawi secara bulanan atau dwi bulanan (beserta qiyamullail)
  5. Mujaalasah Ulama’ (mendampingi para ulama’ secara berkala)
  6. Melazimi al-Ma’thuurat
Moga-moga lahir pejuang yang gigih dan tekun mengabdikan diri kepada Allah  di waktu malamnya serta tangkas dan cergas laksana seekor kuda di waktu siang untuk menjalankan tugas sebagai seorang anggota dan pemimpin parti. Kita tidak mahu anggota atau pemimpin parti yang banyak menghabiskan masa dengan tidur, berbual kosong, khayal, bertelingkah dalam soal khilaf, mencari salah orang lain, menonton filem yang melekakan, mendengar muzik yang melalaikan dan pelbagai aktiviti yang tidak mendatangkan manafaat kepada agama, diri dan jamaah (parti).

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan mantan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-