© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Antara Jidal dan Amal

Antara Jidal dan Amal

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 30 April 2016


Perbezaan pandangan dan perselisihan pendapat adalah sebahagian dari kehendak Allah bagi hamba-hamba-Nya dan semua ciptaan-Nya sebagaimana pertukaran siang dan malam, pergantian musim dan seumpamanya. Manusia yang beriman tunduk terhadap ketetapan-Nya, berusaha mencari penggabungan jatidiri yang sesuai dengan makna “rabbaniy” demi mencapai redha dan rahmat Ilahi.

 وَلَوْ شَاء رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلاَ يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ. إِلاَّ مَن رَّحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ
“Dan seandainya Tuhanmu kehendaki, nescaya Dia jadikan manusia itu umat yang satu, tetapi mereka (diciptakan) sentiasa berselisih, kecuali yang dirahmati Tuhanmu, dan untuk itulah Dia menciptakan mereka (agar berselisih).” (surah Hud: 118-119)

 وَإِن جَادَلُوكَ فَقُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَعْمَلُونَ. اللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
“Dan jika mereka membantah kamu, maka katakanlah Allah lebih mengetahui tentang apa yang kamu kerjakan. Allah akan mengadili di antara kamu pada hari kiamat tentang apa yang kamu dahulu selalu berselisih padanya.” (surah al-Hajj: 68-69)

إِنَّكُمْ لَفِي قَوْلٍ مُّخْتَلِفٍ
“Sesungguhnya kamu benar-benar dalam keadaan berselisih pendapat.” (surah al-Zaariyat: 8)

إِنَّ رَبَّكَ يَقْضِي بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُواْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
“Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.” (surah Yunus: 93)

Walaupun perselisihan menjadi ketetapan penciptaan manusia, ia adalah bertujuan untuk menyatakan kebenaran dan menyanggah kebatilan. Apa yang menjadi renungan di dalam ayat-ayat tersebut bahawa perbalahan atau konfrontasi yang berlaku tidak sepatutnya menjadi sindrom keangkuhan yang tidak terkawal (kekal dalam kebatilan) dan permusuhan lebih-lebih lagi sesama Islam. Daripada Abu Hurairah radhi’allahu anhu bahawa Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda;
 تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ مُسْلِمٍ، لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ : أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
“Pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Ketika itu setiap dosa hamba yang tidak menyekutukan Allah diampunkan kecuali dosa seseorang yang bertelingkah dengan saudaranya. Lalu dikatakan, tangguhkan keduanya sehingga mereka berdamai, tangguhkan keduanya sehingga mereka berdamai, tangguhkan keduanya sehingga mereka berdamai.”

Berpolemik seakan sudah sebati dan menjadi tradisi masyarakat Islam akhir zaman. Lihatlah apa yang berlaku di dalam dunia Islam mutakhir ini, umat Islam berperang sesama sendiri tetapi membiarkan pihak lain mencemarkan maruah Islam, mensabotaj struktur ekonomi, pembangunan dan pendidikan umat Islam. Sedangkan apabila kita solat berjamaah, Imam sering mengingatkan: Rapatkan saff! Rapatkan saff! Tetapi di luar masjid, saff umat Islam tidak rapat, sebaliknya berpecah.

Apabila perdebatan berlaku sia-sia sahaja, lebih banyak rugi berbanding manfaat, lebih banyak cemuhan daripada penyelesaian, lebih banyak perseteruan daripada permuafakatan. Mengapa fenomena ini menjadi? Kerana ia hadir tidak lebih kepada kaedah untuk menceritakan keburukan lawan, menjatuhkan peribadi mereka yang tidak sependapat dengan kita, bukan untuk mencari kebenaran.

Nasihat dan kritikan adalah amal mulia jika betul pada pendekatannya, ia adalah suatu sarana tazkiyah dan islah. Namun, untuk mencapai kemuliaan itu maka seharusnya ia dilakukan dengan niat, tujuan dan cara yang mulia juga. Tidak wajar amalan mulia dilakukan dengan cara-cara yang tidak mulia seperti caci-maki, tuduhan dan fitnah serta gelaran-gelaran yang menghina dan tidak benar seperti khabar bohong dikatakan fakta, persepsi didakwa realiti, bukti-bukti direkayasa untuk memenuhi rasa kemenangan dalam diri dengan cara membuat tuduhan-tuduhan palsu, tohmahan buta dan cakap-cakap kosong.

Daripada Abu Hurairah radhi’allahu anhu, bahawa Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda;
 مَنْ دَعَا رَجُلًا بِالْكُفْرِ، أَوْ قَالَ: عَدُوَّ اللَّهِ، وَلَيْسَ كَذَلِكَ، إِلَّا حَارَ عَلَيْهِ
“Barang siapa yang memanggil seseorang dengan panggilan menandakan kekufuran atau berkata, “wahai musuh Allah”, sedangkan kenyataannya tidak demikian, maka ucapan itu kembali kepada orang yang mengucapkan.” (riwayat Muslim)

Dalam zaman moden ini kemudahan media sosial memudahkan lagi fitnah berjalan. Dalam sebuah hadis lain lagi disebutkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda;
إِنَّ أَفْرَى الْفِرَى أَنْ يُرِيَ الرَّجُلُ عَيْنَيْهِ مَا لَمْ تَرَيَا
“Sesungguhnya perbuatan mengada-adakan (mereka-reka) yang paling dusta, adalah ketika seseorang mengaku melihat sesuatu dengan kedua matanya sedangkan ia tidak melihatnya.”

Kata Qatadah ketika menilai hadis ini;
لا تقل رأيت ولم تر وسمعت ولم تسمع وعلمت ولم تعلم فإن الله تعالى سائلك عن ذلك كله
“Janganlah kamu mengatakan bahawa aku melihat sedangkan kamu tidak melihat, aku mendengar sedangkan kamu tidak mendengar, aku mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahuinya. Kerana sesungguhnya Allah akan bertanya semua itu kepadamu.”

Setiap pendakwah adalah duta yang dipilih Allah untuk mempromosikan ajaran-Nya kepada sekalian umat manusia, maka perbuatan menelanjangi maruah dengan cara mengada-adakan cerita, menimbulkan provokatif bukanlah ciri-ciri pendakwah yang sesuai dengan apa yang Allah dan Rasul-Nya perintahkan (muwafaqah bi-syara’), iaitu dengan adab yang mulia, ucapan yang berkesan, dan argumentatif.

Sesungguhnya cabaran untuk umat Islam hari ini adalah mewujudkan keadaan di mana perbezaan pandangan yang berlaku boleh memperkayakan ilmu dan membetulkan kesilapan-kesilapan yang berlaku, bukannya dendam kesumat dan permusuhan.

Sebagai suatu panduan kepada umat Islam mengenai hal ini, Syaikh Yusuf al-Qaradawi menyatakan di dalam kutaib-nya “Adab al-Ikhtilaf”  bahawa perselisihan pendapat boleh menjadi suatu lapangan akademik yang mengukuhkan ilmu sekiranya umat Islam mengikuti dua disiplin penting iaitu, pertama, mengutamakan adab di dalam berbeza pendapat dan kedua, memahami isu dakwah dan perjuangan Islam menerusi pandangan yang menyeluruh menerusi neraca aulawiyat di dalam Islam. Kedua-kedua disiplin ini amat penting diamalkan oleh umat Islam hari ini. Pada masa sama, ia boleh mewujudkan perasaan tawadhuk, berhati-hati dalam berhujah dan memberikan pendapat agar ia boleh mengelakkan kita daripada terjebak di dalam budaya “kebiadaban”.

اللهم رب جبرائيل وميكائيل وإسرافيل فاطر السماوات والأرض عالم الغيب والشهادة أنت تحكم بين عبادك فيما كانواْ فيه يختلفون. اهدنا لما اختلف فيه من الحق بإذنك إنك تهدى من تشاء إلى صراط المستقيم... ابتهالات ودعوات : د. يوسف القرضاوي
“Ya Allah, Tuhan kepada Jibril, Mikail dan Israfil, yang menciptakan langit-langit dan bumi, yang mengetahui perkara ghaib dan yang nampak, Engkau menghukumkan di antara hamba-hamba-Mu pada perkara yang mereka perselisihkan. Tunjukkan kepada kami kebenaran dari apa-apa yang mereka perselisihkan dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk sesiapa yang engkau kehendaki menuju jalan yang lurus.”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-