© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Tangani Masalah Umat Islam Secara Keluarga, Bukan Kafir-Mengkafir

Tangani Masalah Umat Islam Secara Keluarga, Bukan Kafir-Mengkafir

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday, 11 March 2016


Ketika Dunia Islam dan umatnya bersemangat menerima berita “Intifadah” rakyat Palestin yang gagah berani menghadapi keganasan Zionis Israel yang melampau, kerana negaranya yang haram itu dilindungi negara besar berkuasa veto, dibekalkan segala jenis senjata, menggunakan pengaruhnya terhadap media yang tidak adil, monopoli ekonomi dan pengaruh politiknya. Namun, sejarah tidak boleh dipadamkan, betapa golongan pelampau Yahudi itu merompak, meroboh rumah kediaman dan menghalau rakyat Palestin. Terkini lebih melampau lagi, apabila melaksanakan usaha membina Haikal Sulaiman (Kuil Yahudi) di atas runtuhan Masjid al-Aqsa yang dirancang untuk diroboh, ke arah menakluk dunia dengan menegakkan semula Kerajaan Nabi Sulaiman alaihissalam yang sudah tamat risalah kenabiannya.

Mangsa paling malang ialah penduduk asal Palestin, mengikut konsep asal ketetapan Allah sejak zaman Nabi Ibrahim alaihissalam yang menganut Islam mengikut kenyataan Allah. Al-Quran menegaskan;
مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ. إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ
“Bukanlah Ibrahim itu seorang Yahudi dan Nasrani (Kristian) tetapi sebenarnya dia seorang muslim (menganut Islam ) dan dia juga bukan seorang musyrikin. Sebenarnya, yang lebih utama bersama Ibrahim ialah mereka yang mengikutnya dan Nabi ini (Muhammad) dan orang-orang yang beriman. Dan Allah menjadi Wali kepada orang-orang yang beriman.” (surah Aali-Imran ayat 67-68)

Tegasnya bumi Palestin diamanahkan kepada penganut Islam yang sebenar, dan mereka bersikap terbuka terhadap semua panganut agama-agama lain yang berkunjung memuja bumi Palestin tanpa halangan mengikut acara agama masing-masing. Polisi Islam yang terbuka dilaksanakan di Palestin, sejak dibebaskan di zaman Khalifah Umar al-Khattab radhiallahu anhu daripada penjajah Rom Ortodoks yang menyekat penganut bukan Kristian dan Kristian yang tidak semazhab dengan mereka.

Begitu juga dilakukan oleh tentera Salib yang pernah menakluknya, sehinggalah dibebaskan oleh Sultan Salahuddun al-Ayubi, maka dibuka semula kepada penganut agama–agama yang mengunjunginya termasuk Yahudi. Bahkan kerajaan Uthmaniyyah memberi perlindungan kepada kaum Yahudi yang dibunuh dan dihalau daripada Andalus, menunjukkan Islam mengatasi kebangsaan.

Malangnya Barat dan Timur bukan Islam tidak menilai budi dan jasa Islam dan tamadunnya, mereka boleh mengiktiraf penaklukan tentera salib yang bermandi darah dan melangkah timbunan mayat, dan menolak Sultan Salahuddin yang adil dan pemaaf terhadap musuh dan melupai sikap terbuka Khilafah Uthmaniyyah.

Kini bumi Palestin dijajah pula oleh Zionis Yahudi selepas Perang Dunia Kedua, dengan lesen merompak dan membunuh oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kuasa veto Kuasa-Kuasa Besar yang menjadi anggota tetapnya. Terkini dilaksanakan perancangan merampas Masjid al-Aqsa dan me“yahudi”kan bandar sucinya. Mutakhirnya satu usul dibawa ke Kaniset (Parlimen Israel) undang-undang bagi menutup masjid-masjid bermula dengan membatalkan kegiatannya termasuk khutbah dan pengajian di-atas nama menentang keganasan.

Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam telah berjanji dengan sabdanya;
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدّينِ، ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ؛ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
“Akan sentiasa muncul satu kumpulan manusia dari umatku yang berada dalam jalan agama ini, mereka menjelaskan kebenaran dan menentang musuh-musuh mereka, mereka tidak merasa mudharat oleh orang-orang yang memusuhi mereka sehingga Allah menentukan kemenangan kepada mereka, mereka tetap dalam keadaan demikian. Para sahabat bertanya; Siapakah kumpulan itu wahai Rasulullah? Jawabnya; mereka ialah penduduk Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.” (Riwayat Imam Ahmad)

Sejarah merakamkan apabila Negara Haram Israel diisytiharkan mengikut jadual perjanjian Sykes-Picot, berikutnya ditubuhkan negara-negara Arab yang dibahagikan kepada pemimpin yang  menyokong kuasa besar menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah di atas semangat masing-masing. Sama ada nasionalisme Arab atau Sunnah Wahabi Salafi yang menentang Sunni yang tidak semazhab termasuk Turki Uthmaniyyah, begitu juga  Shah, Iran bermazhab Syiah dan Raja Yaman bermazhab Zaidiyyah.

Maka kini kalangan negara itu manyambut hari kebangsaan masing-masing kerana berjaya menghalau Turki Uthmaniyyah yang dianggap penjajah dengan sokongan Kuasa Besar Timur dan Barat yang dianggap sahabat karib, berbeza dengan hari kebangsaan kita di sini kerana bersempana keluarnya penjajah British dan Belanda.

Di tengah kegembiraan mendapat takhta dan kuasa dengan perlindungan pengkalan tentera negara besar yang bertapak di negeri masing-masing sehingga hari ini, tiba-tiba Negara Israel diisytiharkan tahun 1948 secara haram dan ganas. Kumpulan Islam dan beberapa kumpulan nasionalis bangkit berperang menentang penubuhan Negara Israel di masa itu di atas nama Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab, melaksanakan hasil pertemuan bersejarah di antara Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh di awal abad yang lalu dan di antara Imam Hasan al-Banna dan Imam Khomeini yang masih muda pada tahun 1938.

Hasilnya tercetus kesedaran menentang penubuhan Negara Israel, walaupun hilangnya Khilafah, namun kebangkitan ini dikecewakan oleh negara Arab dan Islam yang bersekongkol dengan kuasa besar. Banyak pemimpin menentang penubuhan Israel ditahan di negeri masing-masing kerana bersama perjuangan Palastin bahkan ada yang dibunuh, seperti Hasan al-Banna daripada gerakan Ikhwan al-Muslimin Mesir (1949) dan Nawwab Safawi daripada gerakan Fidayyan Islam di Iran (1955) dan lain-lain, namun perjuangan Palestin gagal dipadamkan walaupun memakan zaman  beberapa dekad dan bersenjatakan batu dan tangan.

Kata al-marhum Fathi Yakan di dalam kitabnya “al-Islam, Fikrah wa Harakah wa Inqilab”;
واليوم وبعد ان اعترفت ايران باسرائيل عدوة الاسلام والمسلمين، لا بد للعرب ان يلتمسوا في ايران نواب واخوان نواب، لكن الدول العربية لم تدرك هذا حتى الآن، ولم تعلم بأن الحركة الاسلامية هي وحدها التي تدعم قضاياها خارج العالم العربي
“Hari ini dan selepas perisytiharan negara Iran bahawa Israel adalah musuh Islam dan kaum Muslimin, bangsa Arab seharusnya bersama-sama Nawwab dan para pendukungnya di Iran. Tetapi negara-negara Arab tidak juga memahaminya sehingga saat ini dan enggan menerima bahawa Gerakan Islam adalah satu-satunya solusi dalam menyelesaikan masalah-masalah Muslimin di luar Arab.”

Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat dibimbangi oleh semua kuasa besar dunia yang terus bermusuh terhadap Islam yang mendaulatkan negara, bersamanya berlaku Intifadah di Palestin yang gagal dipadamkan. Revolusi Islam di Iran yang tidak dijangka, kejayaan Mujahidin Afghanistan menghalau Tentera Soviet, serta kemaraan parti berteraskan Islam di beberapa buah negara yang agak bebas. Kuasa Besar yang semuanya bersekongkol menubuhkan negara haram Israel tidak senang dengan semua perubahan kepada Islam tanpa mengira mazhabnya, termasuk yang bersikap menentang Israel tanpa mengira ideologinya.

Maka Barat mengisytiharkan Order Baru Dunia dan Globalisasi merempuh sempadan selepas gagalnya blok Komunis dan Sosialis dengan berkecainya Negara Besar Soviet setelah kalah di Afghanistan, serta muncul semula cahaya Islam. Islam tetap menjadi sasaran, maka diisytiharkan isu Islamophobia. Negara Islam yang telah merdeka daripada kuasa penjajah masih meneruskan agenda penjajah selepas kemerdekaan mengikut agenda Islamophobia-nya. Maka masalah dalaman tanahair umat Islam gagal diatasi, namun Islam juga disalahkan.

Islam telah berjaya memerintah masyarakat majmuk dengan aman lebih daripada seribu tahun. Pemerintah yang adil dan penyelesaian perbezaan mazhab dengan ilmu dan kebijaksanaan oleh para ulamak telah berjaya menyatukan umat. Mazhab Salaf dan Khalaf sudah wujud dalam aspek aqidah, juga Mazhab Fiqh Sunni, Syiah dan Khawarij kerana politik dalaman umat juga sudah lama bertapak, di samping Tareqat Sufi berbagai nama. Kezaliman dan krisis dalaman umat diselesaikan di atas konsep kesatuan umat, dengan sabar dan ilmu tanpa campur tangan asing.

Pihak kuasa besar di zaman kini tiba-tiba berjaya melagakan umat Islam dengan mencetuskan peperangan secara wakalah (proksi) dengan mengambil peluang daripada pemerintahan kuku besi yang zalim di negeri-negeri yang menindas dengan perlindungan mereka juga, dengan mengumpan golongan yang menentang kerajaan termasuk bantuan senjata bagi melahirkan kalangan pelampau di atas nama Islam dan jihad tanpa feqah dan siyasah syariyyah.

Sebenarnya, supaya timbul kekacauan di atas nama Jihad atau Demokrasi atau hak rakyat yang adil dalam masa yang sama mempertahankan kerajaan yang sah. Ucapannya sangat baik tetapi tujuannya sangat jahat terhadap Islam dan penganutnya yang sebenar. Kini apa yang berlaku di Mesir, Syria, Yaman, Arab Saudi, Bahrain dan lain-lain, hukuman terhadap beberapa yang dituduh, termasuk tokoh-tokoh ulamak dan rakyat tanpa mengira mazhabnya, masih ramai lagi dalam penjara.

Sudah menjadi kebiasaan bagi agenda musuh Islam, menggunakan slogan yang zahirnya benar dan manis, tetapi niat yang salah dan jahat, tujuannya yang sebenar ialah menyelamatkan Israel dan pengaruh kuasa besar yang bertapak di rantau itu, dengan menggalakkan isu yang kecil dibakar menjadi api fitnah yang besar. Tujuannya ibarat mencurah petrol ke atas api fitnah yang sengaja diwujudkan.

Saya tetap berpegang dengan mazhab Ahli Sunnah wa al-Jamaah dengan keimanan, ilmu dan keyakinan, namun kita diajar tidak mudah mentakfirkan dan menyesatkan mana-mana ahli kiblat yang satu yang berlainan mazhab, walaupun qaulnya terlalu lemah dan ditolak oleh mazhab Ahli Sunnah wa al-Jamaah, namun dasar dan rukunnya masih bersamaan.

Majmak Fiqh OIC di Jeddah dan Majmak Buhus al-Azhar Mesir telah menyenaraikan lapan mazhab dan beberapa yang lain adalah golongan Ahli al-Qiblah, sehingga semuanya datang ke-Makkah tanpa halangan. Majmak Buhus Islamiyyah di Mesir mengeluarkan Ensiklopedia Fiqh lapan mazhab “Ahli al-Qiblah”. Maka sangat malang kalau fatwanya terkini mengikut arus kuasa besar Timur dan Barat yang mempermainkan para ulamak kita, kerana dipergunakan oleh kerajaan yang bertawakkal  kepada perlindungan NATO bukannya pertolongan Allah.

Saya menyaksikan dalam hidup saya di negara arab, bagaimana para jamaah haji bermazhab Syiah daripada Iran, Lubnan, Yamen dan yang lain, di zaman Shah berkuasa di Iran, ketika berhubungan diplomatik yang kukuh dengan negara Israel, di masa itu Iran yang penuh dengan pelacuran, judi, arak dan segala maksiat yang bebas juga bagi jiran arabnya, para jamaah hajinya pula bersembahyang berasingan tanpa mengikut imam masjid di Makkah dan Madinah, betapa ulamak di masa itu tetap menerima Zaidiyyah dan Imamiyyah, Wahabiyyah dan tidak Wahabiyyah adalah kalangan umat Islam.

Tetapi selepas Revolusi yang dipimpin oleh Imam Khomeini kerana mazhabnya Syiah, bersikap berani terus memutuskan hubungan dengan Negara Israel dan mengisytiharkannya negara haram, mengharamkan segala kelucahan, sehingga pelancung wanita Barat diwajibkan berpakaian sopan, judi, arak dan pelacurannya dimusnahkan, menjatuhkan hukuman mati kepada penghina Nabi dan semua perkara yang tidak khilaf daripada semua mazhab. Para jamaah hajinya diarahkan sembahyang bersama satu imam sahaja, tiba-tiba fatwa-fatwa mengikut arahan kenyataan Bush, Obama dan John Kerry, mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, diarah supaya Sunni menyerang Syiah habis-habisan dan Syiah menyerang Sunni, atau sesama mazhab kerana berbeza kebangsaannya, tanpa hujah ilmu yang bijak dengan meletakkan semuanya dalam satu bakul.

Isu Takfir dan menyesat dalam satu umat menjadi sumbu fitnah. Tanpa dinafikan adanya kelakuan murtad di kalangan umat, tetapi Islam menyelesaikannya secara keluarga dalam satu umat dan ilmu dengan konsep menyelamat aqidah secara bijak, termasuk yang murtad kerana kejahilan sendiri dan tipu daya musuh. Lebih malang lagi berdakwah mazhab dalam satu umat, apabila dihidupkan paksaan sunnah mazhab Wahabi di kalangan Sunni yang lain atau bertempur Syiah dan Sunni dalam satu umat, padahal kita tidak diizinkan memaksa orang bukan Islam menganut Islam, tidak dibenarkan memusnahkan gereja dan membunuh paderi dan sami, kerana konsep tiada paksaan dalam agama, mengapa berperang kerana mazhab dan kaum?

Saatnya pula, Intifadah di-Palestin menentang pelampau Yahudi yang sedang bermaharajalela meroboh rumah rakyat Palestin untuk penempatan Yahudi dan melaksanakan perancangan meroboh Masjid Aqsa bagi diganti dengan Haikal Sulaman (Kuil Besar Yahudi). Negara-negara jiran yang menepuk dada semangat Arabnya terus mengecewakan Palastin dan masih banyak berhubungan secara langsung atau berselindung dengan Negara Israel (diplomatik, perdagangan, pelancongan dan yang lain). Bakhil menderma kepada Palestin, pengecut menghadapi Zionis, tetapi mempunyai harta kekayaan yang tidak dimanfaatkan untuk kepentingan umat Islam, perkara ini diberi amaran oleh Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam;
وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ
“Kamu menyaksikan mereka yang berkaki ayam, bertelanjang dan papa kedana, para pengembala tiba-tiba berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi.” (Riwayat Muslim)

Dijelaskan dalam riwayat Imam Ahmad dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu anhuma, beliau berkata;
يَا رَسُـولَ اللهِ، وَمَنْ أَصْحَابُ الشَّاءِ وَالْحُفَاةُ الْجِيَـاعُ الْعَالَةُ قَالَ: اَلْعَرَبُ
“Wahai Rasulullah, siapakah para pengembala, orang yang tidak memakai sandal, dalam keadaan lapar dan papa kedana itu? Baginda menjawab, orang Arab.”

Percayalah bahawa Israel dan sekutunya tetap berperang dengan sesiapa sahaja yang tidak mengiktirafnya tanpa mengira mazhabnya Sunni atau Syiah, Wahabiyyah atau Asyairah/Maturidiyyah tanpa mengira ideologi kanan atau kiri. Mereka akan mengekalkan Negara Islam dan Parti Islam tanpa cita-cita pelaksanaan Islamnya asalkan sanggup mengiktiraf Israel atau bermujamalah dengannya.

Perkara-perkara yang menakjubkan ialah negara serantau khususnya negara-negara Arab sedang menggali kubur sendiri mengikut pelan yang dilakar dan diatur oleh kuasa bekas penjajah, menghidupkan dan menyuburkan semula krisis mazhab, kaum, kabilah dan ideologi-ideologi asing. Tujuannya, menubuhkan negara baru mengikut pecahan-pecahan mazhab Sunni dan Syiah, Arab, Kurdish dan Turkuman, semata-mata kerana terikut-ikut dengan pengaruh Timur dan Barat tanpa Islamnya.

Mereka membina ketenteraan untuk berperang sesama sendiri bukannya menghadapi ancaman Israel, secara tidak langsung hal itu menguatkan kuasa besar dengan sumber tenaga kurnia Allah dengan wang sekadar jaminan negara yang dianggap berkuasa besar, menjaga harta dan takhta tanpa jatidiri bersama Islam. Bahkan sebarang perubahan kepada Islam dikira ancaman dan bahaya, maka “Arab Spring” tidak berbuah masak atau dicantas putiknya sebelum masak, pesertanya dibunuh, diburu, disumbat ke dalam penjara.

Sepatutnya mereka bersatu di atas perkara yang sama, dalam perkara rukun agama, politik dan ekonomi yang tidak berbeza. Adapun dalam perkara yang berbeza berbincang secara ilmu di kalangan ahlinya dengan adab-adab ikhtilaf yang menyatukan umat walaupun adanya perbezaan di antara satu sama lain. Segala-galanya boleh dilakukan apabila kembali kepada Islam. Sangat tidak patut menerima jaminan Naib Presiden Amerika Syarikat John Baiden bahawa Amerika akan membantu Turki dan Arab bagi menentang Syiah.

Khalifah Umar al-Khattab radhiallahu anhu pernah menegaskan kata-katanya yang mahsyur;
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
“Kita adalah Umat yang diperkasakan oleh Allah bersama Islam, sekiranya kita mencari kekuatan dengan cara yang lain daripada Islam nescaya kita dihukum oleh Allah menjadi hina.”

Sepatutnya OIC berperanan membina kekuatan Islam serantau dan sedunia dan para ulamanya menyatukan umat dengan ilmu dan hujjah yang adil yang kaya bersama Islam  yang sumber asasinya tetap dipelihara Allah.

Tegakkan Islam yang menyatukan bangsa dan umat semuanya selamat, tetap tidak selamat dengan menegakkan semangat kebangsaan atau mazhab dan ideologi tanpa Islamnya menghilangkan jati diri bangsa dan memusnahkannya.

Maka sepatutnya Arab, Iran dan Turki bersatu bersama Islam menjadi barisan hadapan kepada seluruh umat Islam, menghadapi Israel dan semua kuasa besar dibelakangnya. Malangnya dilagakan untuk menghancur sesama sendiri, sehingga perjuangan Palestin dibiarkan bersendirian.

Biodata Penulis

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-