© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » PAS Tidak Amal Politik Ibarat Menangguk di “Air Keruh”

PAS Tidak Amal Politik Ibarat Menangguk di “Air Keruh”

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 27 March 2016


Perumpamaan yang menjadi pepatah Melayu yang menarik, ditujukan kepada sesiapa yang mengambil peluang daripada kekeruhan yang berlaku, laksana nelayan menangkap ikan yang mudah dengan mendapat peluang tangkapan ikan apabila airnya keruh, kerana mangsanya tidak nampak pukat, kail dan tali yang digunakan untuk menangkapnya. Inilah peluang keemasan bagi penangkap ikan menggunakan jala, pukat dan kail untuk mendapat ikan sebanyak-banyaknya.

Dalam arena politik dan peperangan pula, peluang untuk mengalahkan musuh yang mengalami krisis dan masalah, khususnya masalah dalaman kerana leka dan pening dengan masalah yang dialami dan dihadapi sehingga tidak mampu menghadapi lawan sepenuh tumpuan dan masa.

Ramai kalangan bertanya, mengapa PAS tidak mengambil peluang daripada krisis parti kawan dan lawan yang sedang dihadapi oleh masing–masing? Khususnya kerana PAS dikira selesai menghadapi masalah dalamannya, sehingga menyingkirkan masalahnya menjadi serpihan.

Perlu difahami bahawa politik perlu kepada perhitungan yang amat teliti dan mendalam. Kepada ahli dan penyokong setia PAS, saya tegaskan bahawa politik yang berlandaskan Islam wajib berakhlak bagi mencapai kemenangan, bersama hikmah yang berhidayah kerana politik kita ada perhitungan dosa dan pahala. Matlamatnya pula tidak menghalalkan cara dan bukan untuk berlumba menjadi pemimipin semata-mata atau memikul amanah menjadi peluang untuk mengambil kesempatan bagi diri dan kroni tetapi amanah menyelamatkan ummat dunia dan akhirat.

Allah mengesahkan dalam Surah Yasin, malangnya dibaca hanya untuk kematian, bukannya petunjuk di alam kehidupan dunia yang mencabar. Kisah ucapan seorang yang beriman dan budiman berusaha sehingga mengorbankan dirinya kerana menyelamatkan tiga orang Rasul yang dikepung;
وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ (20) اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ (21) سورة يس
“Tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang tinggal dipinggir bandar, yang datang dengan segera (menyertai para Rasul yang dikepung oleh khalayak ramai yang membohonginya). Lelaki itu menegaskan dengan katanya: “Wahai kaumku yang tersayang! Ikutlah beriman kepada para Rasul ini. Ikutlah orang yang tidak meminta apa-apa upah daripada kamu. Mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk Allah.” (Surah Yasin: ayat 20-21)

Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam berjuang dengan tema ini ketika berdakwah dan berpolitik menyebarkan Islam dan mendaulatkannya. Apabila dakwahnya diterima, sikapnya menerima hakikat dengan sikap yang ikhlas kepada tujuan dakwah dan politiknya yang matang.

Apabia penduduk asal Madinah (‘Aus dan Khazraj) serta kalangan bukan Islam dalam masyarakat majmuk menerimannya sehingga dimeteraikan Piagam Madinah, maka Baginda Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam menerimanya sehingga berhijrah dan memimpin negara.

Apabila Raja Habsyah, Masqat, Oman dan Bahrain menerima Islam, mereka dikekalkan di atas takhtanya. Adapun yang tidak menerima Islam dan berdamai diberi peluang tanpa paksaan. Ada pun yang menentangnya pula, dilawan dengan cara yang sewajarnya dengan pendekatan yang adil terhadap semua, bukannya melampau dan membalas dendam. Apabila mencapai kemenangan, sikapnya mengutamakan kemaafan lebih daripada menghukum.

Ditanya mengapa PAS tidak menangguk di air keruh politik terkini?

UMNO yang memerintah negara dan negeri menghadapi krisis dalaman diperingkat pusat dan negeri seperti Kedah dan Terengganu yang dikira sangat kuat PAS-nya. DAP juga yang kini paling bermusuh terhadap PAS menghadapi krisis dalaman dan luarnya juga.

Mengapa PAS tidak bersungguh menyokong usul undi tidak percaya menjatuhkan kerajaan pusat dan khususnya Terengganu yang paling dekat laksana dicapai tangan sahaja, kerana kerusi ADUN PAS yang hampir mendekati majoriti mudah? Mengapa tidak bersemangat menyertai himpunan yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang yang bersemangat bergabung dengan UMNO yang memprotes pemimpinnya?

Jawapannya kepada ahli PAS dan penyokongnya, bahawa nelayan yang bijak walaupun miskin, tidak boleh menangguk di air keruh yang ikannya bercampur belut, ular dan buaya, kerana membahayakan diri dan merosakkan jala dan pukat, bahkan boleh menenggelamkan perahunya serta membahayakan diri.

Keadaan yang begini lebih baik menangguk di air jernih yang nampak manfaat dan dilihat mudaratnya, walaupun bersusah payah, kerana pukat kita belum kukuh, keadaannya boleh merosakkan pukat, memutuskan tali pancing dan kita masih berperahu yang boleh ditenggelamkan dengan mudah kalau dibedal buaya atau dimasuk kedalamnya ada yang gelikan belut boleh melumpat kedalam dan keluar atau disengat ular sehingga mati.

Kepada pihak yang lain saya tegaskan, bahawa kita adalah Parti Islam yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah bersama dakwah dan Siyasah Syar’iyyah, berkepimpinan ulama dan ilmuan yang wajib beriman dan budiman.

PAS bukannya parti yang sifatnya angkut penyokong dan pengundi tanpa perhitungan. Makan diri kawan untuk naik. Angkut ahli sehingga menyusahkan diri. Nak cari setiap peluang tanpa perhitungan. Angkara dicipta sehingga menyusahkan rakyat. Hentam melulu tanpa tujuan yang betul. Ulama dan ilmuannya laksana terompah kayu yang digunakan sekadar untuk masuk ke tandas kemudian ditinggalkan.

Marilah kita pilih politik yang jernih dan matang, bukannya menangguk di air keruh yang mengelirukan dan menyusahkan semua. Sebab yang kita hadapi kini semuanya kerana penentuan kita melalui pilihanraya.

Buah salak, buah kedondong,
Dipungut buang ke dalam baldi,
Bukan salah ibu mengandung,
Tetapi silap memangkah undi.

Biodata Penulis

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-