Headlines Articles :
Home » » Perbalahan dan Konflik Mazhab, Strategi Jahat Musuh Islam

Perbalahan dan Konflik Mazhab, Strategi Jahat Musuh Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday, 12 March 2016


Semasa konspirasi jahat berlaku untuk menumbangkan Dr. Mohamad Mursi dulu, isu mazhab ditimbulkan supaya umat Islam lupa untuk pertahankan Jemaah Islam Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Ulama’ berbalah dengan mazhab akhirnya tumbang Mursi, diangkat Abdul Fattah al-Sisi jelas meneruskan agenda hubungan dengan Amerika dan Israel.

Di Malaysia senario yang sama menimpa. Ketika negara kita dijajah TPPA, tiba-tiba digembar-gemburkan isu mazhab, para ulama’ berbalah. Yang untung, sekular. Persoalannya, kebetulan?

Sudah lebih setengah abad bumi Palestin ditakluk Zionis Yahudi, hingga membolehkan mereka menubuhkan negara haram Israel ke arah menegakkan empayar Yahudi untuk menakluk dunia. Inilah sebenarnya hasrat mereka sebagai satu dongengan yang menjadi cita-cita pelampau Yahudi.

Sejarah juga merakamkan peristiwa kerjasama atas semangat kebangsaan Arab untuk menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah sejak satu abad, tanpa dinafikan kesilapan dan kelemahannya. Di samping itu, kejatuhan khilafah juga menjadi buah catur kerajaan Pahlavi yang mendukung mazhab Syiah Imamiyyah di Iran dan kerajaan Imam di Yaman yang mendukung mazhab Zaidiyyah. Walaupun semuanya berada dalam lipatan sejarah, namun fanatik mazhab dan semangat kebangsaan yang diapi-apikan menjadi senjata musuh untuk menjatuhkan kerajaan Islam secara mengadu-domba.

Balasannya ialah Palestin bersama Masjid al-Aqsa dirampas dan tanah air umat Islam dijajah seluruh pelosok dunia secara langsung atau tidak, semuanya laksana dicucuk hidung. Malangnya lagi apabila hari kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah telah menjadi hari sambutan kebangsaan bagi kebanyakan negara-negara Arab.

Kini, Islam bangkit semula untuk menyelamatkan dunia daripada bencana tamadun Barat yang maju aspek fizikal semata-mata tanpa mempunyai nilai rohnya. Kemajuan persenjataannya telah menjadikan manusia lebih ganas untuk membunuh mengatasi keganasan binatang paling buas, kerana mereka menghasilkan senjata pemusnah yang boleh membunuh berjuta-juta manusia, namun binatang paling buas dan paling ganas pun tidak tergamak mengatasi kebuasan manusia ini. 

Sebagaimana kemajuan perubatan hari ini yang melampaui batas sehingga membawa kepada penyalahgunaan dadah dan candu berbagai jenama yang merosakkan akal. Sepatutnya kemajuan ini diekploitasi manusia untuk membangunkan negara dan ummah, malangnya dirosakkan dengan kepentingan duniawi yang merosakkan masyarakat awam. Termasuklah juga kemajuan pembangunan kita dapati hari ini telah merosakkan alam sekitar dan cuaca dunia sehingga berlakunya fenomena yang menakutkan.

Islam adalah penyelamat kepada permasalahan ini, masalah dunia mahupun akhirat. Tetapi Islam hanya diberikan sedikit kedudukan dalam sistem demokrasi, dihalang mentadbir negara secara bebas dan berdaulat. Kumpulan yang menjuarai kemenangan di Palestin dihalang mentadbir bumi yang luas walau hanya  “sekangkang kera” di Gaza. Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sehinggakan penduduknya dikepung supaya kebuluran dan menyerah kalah, ramai saudara-saudara kita yang gugur dan cedera.

Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam telah bersabda;
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدّينِ، ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ؛ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ، وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ
“Akan sentiasa ada satu kumpulan manusia dari umatku yang berada dalam jalan agama ini, mereka menjelaskan kebenaran dan menentang musuh-musuh mereka, mereka tidak merasa mudharat oleh orang-orang yang memusuhi mereka sehingga Allah menentukan kemenangan kepada mereka, mereka tetap dalam keadaan demikian. Para sahabat bertanya; Siapakah kumpulan itu wahai Rasulullah? Jawabnya; mereka ialah penduduk Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.” (Riwayat Imam Ahmad)

Paling mengecewakan ialah negara-negara jiran Arab yang kaya-raya tergamak mendiamkan tragedi yang berlaku di Palestin. Mereka hanya peka jika arahan itu dari Amerika, sebab itu mereka sanggup hantar tentera ke Syria dan Yaman hanya setelah mendapat restu daripada pemimpin-pemimpin Barat. Sentimen Sunni-Syiah dibangkitkan di Syria dan Yaman, tetapi masyarakat Islam di Palestin yang umumnya majoriti penganut mazhab Sunni dibiarkan pemimpin-pemimpin Arab. Adakah masyarakat Islam di Selatan Lubnan dibiarkan dibelasah Israel kerana mereka menganut Syiah? Adakah sentimen mazhab ini terus-menerus akan menjadi derita kepada umat Islam dari era lalu sehingga zaman kini? Ada yang berpendapat Syiah perlu dihapuskan, biarkan Sunni sahaja yang menjadi pegangan umat Islam, kenyataan ini ibarat fantasi kerana sudah menjadi Sunnatullah bahawa umat ini saling bercanggah antara sama lain. Apa yang penting, perselisihan yang berlaku antara kita itu diurus dengan baik berpandukan al-Quran dan Sunnah supaya kita tidak menjadi bahan permainan musuh-musuh Islam.

Serangan negara-negara Arab ke atas Yaman, berlaku selepas perisytiharan diumumkan di Washington dan New York. Bermakna tindakan itu adalah di atas persetujuan Amerika dan Presiden Barack Obama. Selepas itu diadakan persidangan kemuncak negara Arab di Syarmu al-Syaekh, Mesir. Tiba-tiba mereka memberi alasan serangan ketenteraan adalah wajar kerana Yaman sudah dikuasai pengaruh Iran bermazhab Syiah.

Permulaannya berlaku seminggu sebelum serangan negara Arab ke atas Yaman, Perdana Menteri Israel Netanyahu telah membuat lawatan ke Majlis Kongres Amerika Syarikat tanpa menjemput Presiden Obama dan berucap di Perhimpunan Yahudi. Netanyahu menegaskan bahawa sangat bahaya apabila Iran berjaya menguasai Yaman kerana ia akan membahayakan keselamatan Israel. Maka fatwa berperang menghadapi Syiah di Yaman diapi-apikan. 

Marilah kita soroti kembali kepada ucapan Khalifah Umar bin al-Khattab radhiallahu anhu ketika peristiwa penyerahan Kota Suci Bait al-Maqdis kepada Islam di atas permintaan Paderi Besar Bait al-Maqdis. Umar menegaskan kata-katanya yang mahsyur;
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
“Kita adalah Umat yang diperkasakan oleh Allah bersama Islam, sekiranya kita mencari kekuatan dengan cara yang lain daripada Islam nescaya kita dihukum oleh Allah menjadi hina.”

Ibnu Khaldun menceritakan di dalam Muqaddimah-nya, selepas Khalifah Umar melawat gereja besar di Bait al-Laham apabila tiba waktu solat, Umar berkata kepada paderi di gereja tersebut;
أريد الصلاة
“Aku hendak mendirikan solat”

Paderi menjawab;
صلِّ موضعك
“Solatlah di sini (di gereja ini).”

Umar menjawab;
لو صليتُ داخل الكنيسة أخذها المسلمون بعدي وقالوا هنا صلَّى عمر
“Kalau saya solat dalam gereja ini, generasi selepasku nanti akan mengambil contoh dari perbuatanku dengan mengatakan di sinilah (dalam gereja) Umar melaksanakan solat (lalu mereka melaungkan azan di dalam gereja).”

Akhirnya Umar memilih solat di luar gereja kerana khuatir hal sedemikian terjadi. Di tempat beliau solat kemudiannya dibina sebuah masjid bersebelahan gereja dan menjadi lambang perpaduan Islam dan Kristian untuk menentang kezaliman Zionis di bumi Palestin.

Hujah menyerang Yaman kerana bahaya Syiah sangat memalukan, kerana fatwanya dikeluarkan selepas fatwa Obama dan tauliah daripada Amerika dan sekutunya. Golongan Syiah dan Khawarij sudah bercampur dalam masyarakat Sunni lebih seribu tahun dahulu. Mereka dibenarkan mengerjakan haji dan sebahagiannya berada di tanah suci Makkah tanpa halangan, pengajian mereka dimasukkan ke dalam kitab-kitab Sunni.

Zaman keemasan Islam dahulu telah berlakunya perkembangan Islam dengan adanya semua mazhab termasuk mazhab yang terkeluar daripada Islam. Imam Malik menegaskan;
من صدر عنه ما يحتمل الكفر من تسعة وتسعين وجهاً، ويحتمل الإيمان من وجه، حمل أمره على الإيمان
“Sesiapa (di kalangan orang Islam) yang kemungkinan jatuh kufur dengan 99 hujah, dan hanya 1 hujah yang menandakan imannya (masih Islam). Maka ambillah pertimbangan bahawa dia masih beriman walaupun hanya satu hujah yang menunjukkan demikian.”

Sepatutnya apabila berlaku masalah serantau dikumpulkan negara serantau Arab dan bukan Arab, Sunni, Syiah dan Khawarij duduk dalam satu meja. Persoalannya, di manakah peranan OIC kalau tidak mengatasi masalah seperti ini? Sangat memalukan negara serantau menjemput bekas penjajahnya datang menjadi imam dan mufti untuk menyelesaikan masalah umat. Lebih memalukan lagi apabila bermesyuarat untuk berperang sesama sendiri.

Sangat memalukan jika peperangan itu kerana menjaga keselamatan Israel dan kepentingan kuasa besar dan berperang kerana menjadi wakil atau proksi mereka. Berperang dengan duit umat Islam untuk membunuh dan mencederakan diri kita sendiri dengan senjata orang lain yang mengambil kesempatan menjual senjata dengan bayaran yang mereka pula menentukan harganya. Inilah akibat daripada kebodohan kita. Jadilah laksana pepatah bahasa Melayu yang patut diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, “Lesung dan alu yang bertumbuk ayam pula yang kenyang.”

Ingatlah sabda Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam;
لَا يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ
“Seseorang yang beriman itu tidak seharusnya disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang yang sama.” (Riwayat al-Bukhari)

Cukuplah peristiwa kuasa Barat dan Syaitan yang bernama Lawrence menjadi pengajaran dalam sejarah hitam Dunia Arab dan Islam. Akhirnya saya mengucapkan kata-kata Nabi Lut alaihissalam yang lemah menghadapi kaumnya yang sukar dinasihat;
أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ
“Tidakkah ada di kalangan kamu seorang yang berakal (boleh berfikir dengan baik).” (surah Hud ayat 78)

Biodata Penulis

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia