© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Khutbah Gerhana Matahari 29 Jamadil Awwal 1437 H

Khutbah Gerhana Matahari 29 Jamadil Awwal 1437 H

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 9 March 2016


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ. وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَيَزِيدُهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَالْكَافِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدً رَسُولُ اللهِ الْإِمَامُ الْأَنْبِيَاءِ وَ سَيِّدِ الْمُرْسَلِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ دَعَا بِدَعْوَاتِهِ وَاسْتَنَّ بِسُنَّتِهِ وَجَاهَدَ بِجِهَادِهِ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ 
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah سبحانه وتعالى. Alam, dijadikan oleh Allah سبحانه وتعالى sebagai bukti kehebatan kekuatan dan kekuasaan-Nya. Dalam erti kata lain jika manusia ragu-ragu mengenai Kekuasaan Allah سبحانه وتعالى yang mampu membina kembali alam ini setelah runtuh, menghidupkan kembali manusia yang telah mati, maka lihatlah alam ini sebagai pembuktian. Ini kerana alam ini adalah bukti jelas kekuatan dan kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Bukti itu bukan sahaja ada pada alam, bahkan pada diri manusia, pada makanan atau minuman, haiwan dan tumbuhan dan pada segala-segalanya. Allah سبحانه وتعالى menyuruh manusia untuk mengkaji alam ini, untuk memahami dan mengenali Allah سبحانه وتعالى dengan lebih dekat dan lebih mendalam.

Firman Allah سبحانه وتعالى dalam surah Aali-Imran 190-191;
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ.  الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan Bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan Bumi (sambil berkata); Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.”

Menurut Amru Khalid seorang tokoh motivasi Islam kontemporari di dunia Arab dalam bukunya Ibadat Tafakkur, terdapat dua jalan bagi mereka yang mahu mengenali Allah سبحانه وتعالى iaitu;
  1. Mengenali dengan pengakuan lisan dan hati wujudnya Allah سبحانه وتعالى. Jalan ini dikongsi oleh ramai manusia samada fasiq atau mukmin.
  2. Mengenali dengan medium perasaan seperti kecintaan, kekaguman, malu dan takut. Jalan ini tidak semua manusia sama ada mukmin apatah lagi fasiq yang memperolehinya, kecuali dengan jalan tertentu seperti berfikir.
Para ulama’ juga menyatakan bagaimana kita mengenali Allah سبحانه وتعالى melalui 2 kitab, iaitu;
  1. Melalui kitab Allah yang dibaca (maqru’) iaitu al-Quran.
  2. Melalui kitab Allah yang dilihat (manẓur) iaitu alam ini.
Alam ini adalah satu pembuktian kebesaran Allah سبحانه وتعالى. Namun tidak semua manusia dapat memahami bahasa alam ini. Al-Quran menyebutkan hanya manusia yang digelar Ulul Albab sahaja, dapat memahami alam ini. Allah mentakrifkan sendiri golongan Ulul Albab ini dengan dua ciri penting iaitu zikir dan fikir. Ulul Albab adalah manusia yang punya pengetahuan mendalam tentang alam ini. Namun ia bukan sekadar maklumat yang dicernakan dalam analisis dan data semata-mata. Namun setiap analisis dan data tersebut akhinya membuahkan natijah rasa takjub dan gerun pada Allah سبحانه وتعالى. Maka, timbullah rasa keinsafan dan hilanglah rasa keangkuhan, setiap kali mereka melihat kebesaran Allah dalam alam ini.

Sidang jemaah sekalian. Pada hari ini iaitu 9 Mac 2016 M bersamaan 29 Jamadil Awal 1437 H kita berkumpul untuk melakukan solat sunat gerhana matahari yang sedang berlaku pada pagi ini. Ia gerhana matahari pertama berlaku pada tahun 2016 dan dapat dilihat pula di seluruh Malaysia. Gerhana yang kita lihat pada pagi ini, turut dilihat oleh seluruh rantau Asia seperti Singapura, Indonesia, Brunei malah China, Pakistan dan Australia turut melihat gerhana ini. Bagi sebahagian saudara-saudara kita yang berada di Indonesia, mereka akan melihat gerhana matahari penuh, di mana kesan gerhana akan lebih jelas bila siang akan bertukar gelap seperti malam. Bagi kita di Perak, gerhana matahari yang kita lihat hanyalah pada fasa gerhana separa, di mana hanya separuh matahari ditutupi oleh bulan. Ia telah berlaku bermula pada 7.25 pagi tadi dan akan berakhir pada jam 9.30 pagi. Kemuncak gerhana ini akan berlaku pada jam 8.25 pagi, di mana matahari akan ditutupi bulan pada 73%. Ini bermakna matahari akan berbentuk seperti bulan sabit. Namun matahari pada fasa ini hanya boleh dilihat dengan menggunakan penapis cahaya matahari yang agak tebal.

Dalam khutbah ini, khatib ingin menjelaskan bagaimana gerhana matahari ini berlaku. Berdasarkan kajian ilmu falak. Gerhana matahari berlaku apabila bulan berada di antara matahari dan bumi. Keadaan ini hanya akan berlaku di penghujung bulan Qamariyah seperti yang digunakan pada Taqwim Hijrah. Ini bermakna setelah gerhana matahari berlaku, bulan dalam bentuk hilal akan kembali kelihatan pada waktu Maghrib di sebelah ufuk Barat. Ini dibuktikan dengan tarikh hijrah pada hari ini iaitu 29 Jamadil Awal dan keesokan hari pula ialah 1 Jamadil Akhir. Ini membuktikan ketepatan taqwim qamariyah yang digunakan oleh umat Islam, di mana ia selari dengan perjalanan alam yang sebenar.

Namun mengapa gerhana tidak berlaku pada setiap tahun? Hal ini berlaku kerana matahari dan bulan mempunyai orbitnya yang tersendiri. Laluan matahari ini disebut sebagai ekliptik, manakala laluan bulan disebut sebagai satah bulan. Laluan matahari mempunyai sudut menyerong 23.5º dari garisan khatulistiwa. Manakala satah bulan mempunyai perbezaan 5° dari ekliptik. Kedua-duanya akan bergerak atas orbitnya. Namun ketika gerhana berlaku, kedua-dua orbit ini akan berselisih atau bersilang pada satu titik. Titik perselisihan inilah disebut sebagai nod atau uqdah. Umpama dua buah kereta yang berjalan pada lorong yang berbeza, pada kelajuan yang juga berbeza, namun pada satu ketika ia bertemu pada laluan yang sama. Apa yang menakjubkan lagi ialah, gerhana yang sama akan berlaku lagi dalam tempoh yang telah ditetapkan iaitu dalam selangan 18 tahun 10 Bulan 8 jam. Seolah-olah janji yang telah sama dimeterai, masing-masing akan berada tempat yang telah dijanjikan pada selangan tempoh yang sama selang tahun tersebut. Hal ini, tidak mungkin berlaku kecuali atas kebijaksanaan Allah سبحانه وتعالى yang menciptakan alam ini.

Sidang jemaah sekalian. Dalam Islam, antara pengajaran besar dari peristiwa gerhana ialah agar kita sentiasa mengingati kedatangan hari kiamat. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim daripada Abi Musa رضي الله عنه berkata;
خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ مَا رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلَاةٍ قَطُّ ثُمَّ قَالَ إِنَّ هَذِهِ الْآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ لَا تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ بِهَا عِبَادَهُ فَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْهَا شَيْئًا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ وَدُعَائِهِ وَاسْتِغْفَارِهِ
“Ketika zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم hidup gerhana matahari telah berlaku, maka baginda bangun tergesa-gesa kerana bimbang hari Kiamat sudah tiba, lalu Baginda bersegera ke masjid. Maka baginda pun bersolat dengan berdiri, rukuk dan sujud yang lama, dan aku tidak pernah melihat selama ini baginda solat begitu. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya inilah ayat-ayat yang dikirimkan oleh Allah, yang terjadinya bukan kerana kematian seseorang atau kehidupannya tetapi Allah mengirimkannya untuk menakuti para hamba-Nya. Oleh sebab itu, apabila kalian melihatnya maka segeralah ingat kepadanya, berdoa memohon ampun kepadanya.”

Dalam satu hadis lain, yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abdullah Ibn Abbas telah menyatakan baginda dan para sahabat telah melakukan solat gerhana dengan amat panjang. Baginda صلى الله عليه وسلم berdiri pada rakaat pertama sepanjang bacaan surah al-Baqarah, di dalam rakaat kedua pula sepanjang bacaan surah Aali-Imran, pada rakaat ketiga pula sepanjang bacaan surah al-Nisa, dan pada rakaat keempat sepanjang bacaan surah al-Maidah. Ketika solat inilah Nabi صلى الله عليه وسلم diperlihatkan juga dengan syurga dan neraka. Ketika melihat syurga, Nabi صلى الله عليه وسلم telah melihat setandan buah-buahan, hingga Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم cuba mengambilnya. Namun ketika itulah Allah سبحانه وتعالى memperlihatkan neraka hingga baginda ketakutan dan mengundur kebelakang kerana takut dijilat api neraka.

Oleh kerana itulah terdapat sebahagian ulama' seperti Imam Al-Karmini dan Al-Sindi berpandangan, gerhana merupakan sebahagian dari tanda-tanda dekatnya kiamat. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan keadaan Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang bersegera ke masjid, bersolat dan berdoa kerana bimbang kedatangan hari kiamat, menunjukkan bahawa gerhana mempunyai kaitan dengan kedatangan hari kiamat. Jika kita merujuk ayat-ayat al-Quran yang membicarakan tentang Kiamat pula, ia tidak akan pernah lekang dari peristiwa kehancuran langit dan bumi. Antaranya, peristiwa langit akan terbelah, hilang cahaya matahari, bintang jatuh berselerak, dan gempa bumi. Demikian jugalah kejadian gerhana akan mengingatkan kita ketika detik-detik berlakunya Kiamat. Seperti mana difirmankan Allah سبحانه وتعالى di dalam surah al-Qiamah ayat 6-9;
يَسْأَلُ أَيَّانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ. فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ. وَخَسَفَ الْقَمَرُ. وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ
“Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu? Maka (jawabnya: Hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpindar-pindar (kerana gerun takut). Dan bulan hilang cahayanya. Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama.”

Imam al-Qurtubi menyatakan ketika hari hampir-hampir Kiamat, matahari dan bulan akan kehilangan sinar dan cahayanya. Ini disebabkan perhimpunan antara matahari dan bulan telah dihimpun ketika mana langit seluruhnya akan digulung. Imam al-Aalusi pula mengambarkan suasana ketika berlaku Kiamat, matahari dan bulan akan dihimpunkan. Namun perhimpunan ini bukanlah dengan pengertian gerhana seperti yang difahami oleh ahli falak. Ini kerana gerhana berlaku bila cahaya matahari dihalang oleh bumi atau bulan. Namun hilangnya cahaya ini dalam erti kata yang sebenar di mana bulan kehilangan cahayanya kerana dihimpunkan bersama matahari seperti dalam fasa bulan gelap (muhaq). Namun Imam al-Aalusi tidak menolak kemungkinan gerhana dalam pengertian ahli falak mungkin akan berlaku. Ia mungkin berlaku pada pertengahan bulan hijrah di mana berlakunya gerhana bulan, atau di akhir bulan hijrah di mana berlakunya gerhana matahari kerana tiada dalil yang menyatakan tarikh berlaku keadaan ini.

Ringkasnya, ayat 8 surah al-Qiyamah mengambarkan keadaan gerhana dengan erti hilangnya cahaya bukanlah dengan maksud gerhana. Persoalannya mengapa bulan hilang cahayanya? Ia dijawab oleh ayat 9, surah al-Qiyamah iaitu kerana matahari dan bulan telah dihimpunkan. Namun perhimpunan ini bukan dalam erti kata bumi berada di antara matahari dan bulan seperti situasi gerhana bulan, namun bulan dan matahari telah disatukan. Lebih menarik Muhammad Basil al-Ta’i menyatakan ayat ini menunjukkan bagaimana Allah سبحانه وتعالى menyatakan detik-detik kemusnahan bumi dan alam ini. Perhimpunan ini bukan bermaksud gerhana, namun perhimpunan dalam erti kata bulan dan matahari akan disatukan! Ianya berlaku ketika matahari sudah mencapai penghujung hayatnya, ia akan mengembang hingga membakar planet-planet termasuk bumi dan bulan. Dalam erti kata lain kemusnahan sistem solar akan berlaku apabila matahari mengembang dan membesar hingga semua objek-objek di langit berhampiran dengan matahari akan hancur di“makan” matahari.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa kejadian gerhana ini sepatutnya mengingatkan kita tentang kedatangan Kiamat dan kehancuran alam ini. Ini semua berdasarkan wahyu-wahyu Ilahiyah bahawa langit ini akan terbelah, bintang dan planet akan berguguran, hingga menyebabkan lautan bercampur baur, matahari akan lenyap cahayanya, dan bulan pun sudah gelap kerana ketika itu ia sudah dicantum dengan bulan. Matahari dan bulan juga bukanlah makhluk yang akan hidup selama-lamanya, tetapi kedua-duanya juga akan menghadapi saat kehancuran dan kematiannya. Manusia yang beriman ketika melihat gerhana, hatinya akan segera membayangkan detik kedahsyatan kiamat yang pasti akan berlaku satu hari nanti. Apatah lagi mengingati kedahsyatan kiamat itu adalah sekelip mata malah lebih cepat lagi. Atas alasan itulah Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم bersegera lari ke masjid, solat, berdoa, bersedekah dan membanyakkan zikir kerana ingin mengajar umatnya untuk sentiasa takut dan bersedia menghadapi hari kiamat.

Maka kita disarankan untuk melakukan ibadah solat gerhana sebagai tanda pengiktirafan kita pada kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Ia adalah wasilah bagi kita menzahirkan sifat kehambaan diri kita sebagai manusia yang sangat lemah. Bayangkan makhluk sebesar matahari dan bulan malah alam yang terbentang luas dan lebih besar dari manusia ini tunduk dan patuh pada segala perintah Allah سبحانه وتعالى dan bakal musnah satu ketika nanti pada saat detik-detik kiamat. Ini terbukti dengan ketaatan matahari dan bulan beredar pada edaran iaitu falak yang telah ditetapkan dan ketika Kiamat hampir berlaku segala sistem ini akan berubah dan ketika itulah kehancuran alam akan berlaku. Maka bagaimanakah mungkin manusia yang kerdil ini boleh menyalahi peraturan atau syariat yang telah ditetapkan Allah. Bagaimanakah manusia yang sangat lemah ini boleh menderhakai Allah سبحانه وتعالى.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَاوَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمؤْمِنِيْنَ وَالمؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ، أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ حَبِيْبِنَا وَشَفِيعِنَا وَزُخْرِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ الله، اِتَّقُوْا اللهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ؛ أَوَلَمْ يَنْظُرُوا فِي مَلَكُوتِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا خَلَقَ اللَّهُ مِنْ شَيْءٍ وَأَنْ عَسَى أَنْ يَكُونَ قَدِ اقْتَرَبَ أَجَلُهُمْ فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَهُ يُؤْمِنُونَ 
“Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan oleh Allah dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal kebinasaan mereka? Maka kepada perkataan yang mana lagi sesudah (datangnya Kalamullah al-Quran) itu mereka mahu beriman?” (surah al-Aa’raf ayat 185)

Sidang Jemaah Sekalian. Dalam khutbah pertama khatib telah menerangkan bagaimana gerhana terjadi menurut ilmu falak. Khatib juga telah mengingatkan para jemaah sekalian bagaimana gerhana yang telah dan akan terus pada masa-masa akan datang adalah peringatan dari Allah mengenai detik kejadian hari kiamat.

Maka marilah kita berdoa pada Allah سبحانه وتعالى pada saat ini untuk menunjukkan kelemahan diri kita. Berdoalah memohon keampunan dan menjauhkan diri kita dari azab neraka. Banyakkan bersedekah dan berzikir bagi mengingatkan kita kepada kebesaran Allah.

Allah سبحانه وتعالى telah menunjukkan kepada manusia menerusi gerhana ini, bahawa Allah سبحانه وتعالى adalah Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Memiliki Kekuasaan untuk menjadikan siang yang sepatutnya terang dan cerah tetapi menjadi gelap. Matahari yang sepatutnya bersinar penuh tapi dihalangi bulan. Insaflah, hari ini ketika gerhana matahari berlaku ternyata matahari dan bulan masih terus wujud dan terus beredar pada edarannya. Nyatalah Allah سبحانه وتعالى ingin memberikan kita masa dan peluang untuk terus melakukan kebaikan dan bertaubat kepadanya atas segala keburukan. Namun akan tiba masanya, hilanglah cahaya matahari dan bulan, cahaya itu tidak akan kembali lagi, di saat itu tidaklah berguna amal kebaikan dan taubat kerana segalanya sudah terlewat. Kiamat akan berlaku, nyawa akan dicabut dan alam akan hancur. Semoga kita akan dapat mengambil pengajaran besar dari peristiwa gerhana agar kita akan tergolong dalam golongan Ulul Albab. Semoga kita akan menginsafi segala peringatan ini demi peringatan yang telah ditunjukkan Allah سبحانه وتعالى kepada kita sebelum segala-segalanya terlewat.

اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ أَنْ تَرْزُقَ كُلًّا مِنَّا لِسَنًا صَادِقًا ذَكِرًا، وَقَلْبًا خَشِعًا مُنِبًا، صَالِحًا زَاكِيًا، وَعِلْمًا نَافِعًا رَافِعًا، وَإِيْمَانًا رَاسِخًا ثَابِتًا، وَيَقِينًا صَادِقًا خَالِصًا، وَرِزْقًا حَلَالًا طَيِّبًا وَاسِعًا، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَمِ. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، وَوحِّدِ اللَّهُمَّ صُفُوْفَهُمْ، وَأَجْمِعْ كَلِمَتَهُمْ عَلَى الْحَقِّ، وَاكْسِرْ شَوْكَةَ الظَّالِمِينَ، وَاكْتُبِ السَّلَامَ وَالْاَمْنَ لِعِبَادِكَ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات، إِنَّكَ سَمِيعٌ قَرِيبٌ مُجِيبُ الدُّعاءِ. عِبَادَ الله، اِنَّ الله يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.

Biodata Penulis

Dewan Ulamak PAS Negeri Perak.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-