© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Bahana “Ilmuwan Politik Dhirar”

Bahana “Ilmuwan Politik Dhirar”

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 22 March 2016


Penghargaan kepada orang yang berilmu bukanlah suatu perkara yang asing di dalam Islam. Allah Taala telah memperkenalkan budaya menghargai dan menganugerahkan kemuliaan seorang yang memiliki ilmu di hadapan Para Malaikat-Nya. Hal ini disebut di dalam al-Quran apabila Allah memerintahkan Para Malaikat ber-“sujud” kepada Nabi Adam alaihissalam di atas kelebihan ilmunya. 

Firman Allah Taala;
وَعَلَّمَ آدَمَ الأَسْمَاء كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاء هَؤُلاء إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ
“Dia telah mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada Para Malaikat lalu berfirman; Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!”

قَالُواْ سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Mereka menjawab: Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada Kami. Sesungguhnya Engkau-lah Yang Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana.”

قَالَ يَا آدَمُ أَنبِئْهُم بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ
“Allah berfirman; Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini. Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu. Allah berfirman; Bukankah sudah-Ku katakan kepadamu, bahawa Sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?”

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُواْ لآدَمَ فَسَجَدُواْ إِلاَّ إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ
“Dan (Ingatlah) ketika kami berfirman kepada Para Malaikat; Sujudlah kamu kepada Adam, maka bersujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.” (surah al-Baqarah ayat 31-34)

Di dalam ayat ini, Allah telah menceritakan bagaimana Nabi Adam alaihissalam telah diajar dengan pelbagai jenis ilmu oleh Allah sebagai nikmat pertama yang diterima oleh manusia. Kemampuan untuk belajar dan mengajar ini merupakan keistimewaan yang hanya ada pada manusia dan tidak ada pada makhluk yang lain hatta Para Malaikat pada ketika itu. Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu untuk dikembangkan dengan lebih meluas. Berasaskan kepada kelebihan inilah, Nabi Adam alaihissalam telah menerima anugerah daripada Allah berupa perintah-Nya kepada Para Malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam.

Ilmu merupakan anugerah yang pertama yang dikurniakan Allah kepada manusia bagi menunjukkan pengiktirafan terhadap kebolehan manusia menerima dan menyampaikan ilmu. Firman Allah;
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ وَالْمَلائِكَةُ وَأُوْلُواْ الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ 
“Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), yang menegakkan keadilan. Para Malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tidak ada Tuhan melainkan Dia (yang berhak disembah), Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (surah Aali-Imran ayat 18)

Ayat dibacakan ini juga menunjukkan pengisytiharan daripada Allah bahawa penyaksian “Dia-lah Tuhan yang layak disembah diakui oleh-Nya sendiri, Para Malaikat serta orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan”. Ayat ini menunjukkan ketinggian golongan yang diberikan ilmu oleh Allah. Bagaimanapun, penghargaan yang diterima oleh orang-orang yang berilmu bukanlah sesuatu yang hakiki. Semahal manapun anugerah yang diberikan, ia tidak dapat menandingi anugerah yang paling besar yang menanti di akhirat kelak iaitu syurga Allah Taala. Oleh yang demikian, belajarlah, bekerjalah serta berilah sumbangan untuk kepentingan dan menegakkan Islam bukan semata-mata untuk dihargai, diberikan anugerah pingat sebagainya tetapi untuk anugerah yang dijanjikan di akhirat.

Jika hal  ini berjaya diyakini oleh kita semua, kita tidak akan kecewa jika tidak diberikan anugerah. Tidak akan merajuk jika sumbangan tidak dihargai, tidak lari jika usaha kita dinafi. Bukankah kita sering membaca firman Allah di dalam surah al-Tin, ayat 4-6;
لَقَدْ خَلَقْنَا الإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ. ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ. إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; Maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.”

Ilmu, kemahiran dan segala macam pemberian yang datang daripada Allah tidak hadir secara percuma. Ia datang dengan tanggungjawab. Ilmu yang diberikan oleh Allah menuntut untuk diamalkan. Oleh yang demikian, orang yang berilmu mestilah sentiasa meneguhkan niat untuk melakukan amal yang soleh sesuai dengan ilmu yang dimiliki. Ilmu yang tinggi tanpa disertai dengan amalan yang soleh tidak akan bernilai di sisi Allah. Bagaimanapun, selain menjadi seorang yang soleh, kita juga dituntut menjadi seorang yang “muslih”. Soleh ertinya baik, muslih ertinya mendatangkan kebaikan kepada orang lain. 

Menjadi soleh barangkali tidaklah terlalu sukar, tetapi menjadi seorang yang muslih bererti menempah kesukaran dan kepayahan di dalam hidup untuk mengajak orang lain kepada iman dan takwa. Ibaratnya seekor anak ayam yang baru menetas, pada peringkat pertama ia baru melalui proses belajar untuk keluar dari kulitnya yang rapuh dan mudah pecah tetapi masih belum terserempak dengan onak ranjau yang merintangi perjuangan hidupnya, masih belum terjumpa duri-duri tajam yang melukakan sepanjang perjalanan, masih belum bersua dengan binatang-binatang buas yang sentiasa menanti masa membaham mangsa.

Tuntutan belajar ilmu bukan sekadar berjaya memperoleh ijazah semata-mata, sebaliknya juga mestilah;
  1. Menguasai dan memahami ilmu tersebut untuk menghilangkan kejahilan manusia.
  2. Mengamalkan ilmu yang dipelajari supaya dijauhkan Allah daripada sifat munafik.
  3. Hidup berjamaah dengan menyampaikan ilmu kepada masyarakat agar kembali kepada Islam.
Sebagai ciri-ciri tambahan untuk melayakkan lagi peribadi seorang ilmuwan itu agar memenuhi kriteria sebagai pewaris Para Nabi, mestilah dia mampu menterjemahkan Islam mengikut realiti dan perkembangan semasa dalam erti kata;
  1. Mengenali musuh dalam bentuknya yang moden.
  2. Bersedia menghadapi tipu-daya musuh.
  3. Melaksanakan amal jama’ie sebagai langkah menghadapi musuh yang bergerak secara kolektif.
Demi Allah yang menguasai kerajaan langit dan bumi, telah terbukti di dalam lembaran sejarah, para ulama yang diberikan ilmu yang tinggi oleh Allah, akhirnya berpaling ke belakang menjadi duri dalam daging mengoyakkan helaian ilmu yang dimiliki dan menjual prinsip demi habuan duniawi. Ada juga golongan ulama yang kurang bijak dalam mengatur siasah, akhirnya tertipu dengan mainan politik murahan golongan sekular yang pragmatik, lalu menjadi alat politik tanpa mereka sedari untuk memenangkan musuh-musuh Islam. Pesanan ini diungkapkan supaya kita tidak terjerumus di dalam lembah yang penuh ranjau itu. Kerana sekali kita terjebak ke dalamnya, sukar sekali untuk bangkit dan bangun kembali. Oleh kerana itu, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin telah membahagikan ulama kepada ulama akhirat dan ulama dunia atau ulama su’. Golongan ulama su’ inilah yang menjadi penghalang kepada cita-cita menegakkan perjuangan Islam kerana sikap yang tidak konsisten terhadap agama Allah.

Pada zaman Rasulullah sallallahua’laihi wasallam, telah muncul ketua munafik seperti Abdullah bin Ubay, yang mengepalai golongan munafiqin merosakkan dakwah Rasulullah sallallahua’laihi wasallam sedangkan mereka tahu dengan sebenar-benarnya bahawa invididu yang mereka tentang ialah Nabi yang diutuskan oleh Allah. Lalu lahirlah daripada silibus perjuangan munafiq ini projek-projek yang lahirnya nampak baik dan murni namun hakikatnya bertujuan untuk melakukan khianat memusnahkan jamaah Islam yang dipimpin Nabi. Muncullah projek mendirikan jamaah lain atas nama “Masjid Dhirar” yang diperintahkan oleh Allah untuk dimusnahkan. Walaupun namanya masjid, tetapi tujuannya untuk memecah-belahkan dan mengelirukan umat Islam. Lalu menjadi tanggungjawab para ilmuwan sekalian untuk mengenal dengan pasti yang mana satukah projek “Masjid Dhirar” dan yang mana pula tidak.

Perkara ini penting agar para ilmuwan yang akan muncul sebagai golongan ulama tidak terperangkap dengan politik dhirar tanpa disedari dan dijauhkan daripada bandingan buruk yang dinyatakan Allah dalam al-Quran, surah al-Jumu’ah ayat 5;
مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Bandingan orang-orang yang ditanggungjawabkan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”

Demikianlah besarnya agenda ilmuwan buat ummah yang tidak tercapai hanya di atas kalam peringatan ini sahaja. Timbalah ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin, manfaatkan masa dan peluang yang diberikan oleh Allah kepada kita untuk ilmu dan amal. Dunia hari ini tidak lagi menuntut lahirnya ilmuwan-ilmuwan yang hanya menggenggam ijazah semata-mata, tetapi ilmuwan yang mampu berinteraksi dengan masyarakat mengembalikan keyakinan mereka terhadap perintah Allah dan hukum Islam. Ijazah hanyalah merupakan pengiktirafan akademik namun belum layak membuktikannya mampu untuk memberikan komitmen kepada agama Allah Taala demi meraih keredhaan-Nya.

Info Artikel

Teks ucapan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Majlis Perasmian Anugerah Darul Naim (MADANI 10) yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Kelantan Universiti Malaya (PMKUM) pada 27 Jun 2010.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-