© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Revisi Tahun Keempat Ledakan Krisis Kemanusiaan Syria

Revisi Tahun Keempat Ledakan Krisis Kemanusiaan Syria

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 12 February 2016


Bunga- bunga Yasmin menyembunyikan diri dalam kesejukan hawa musim sejuk. Mentari yang agak malu minggu ini hanya memberikan khidmat yang pendek di waktu siang. Rayhanli seperti berselimut panjang dengan aktiviti malam yang agak terbatas. Aku menyerupup perlahan kopi hangat yang sangat berharga saat musim dingin ini.

Ingatanku melayang jauh kebelakang, menerobos kembali masa yang bergerak pantas meninggalkan kita yang termanggu. Empat tahun krisis Syria yang menelan ratusan ribu korban dengan perit tak tertanggung, jutaan menjadi pelarian ke pelbagai buah negara, termasuk Eropah. Berakar daripada penolakan rakyat terhadap regim Bashar pasca Arab Spring, membawa kepada pembantaian rakyat seterusnya mengheret pertembungan antara mazhab. Bashar didokong oleh Iran, Iraq, Soviet ,China dan pelbagai negara yang lain.

Perjuangan rakyat Syria Sunni pula mendapat sokongan para jihadis pelbagai negara sehingga pertembungan menjadi sangat rencam, termasuk kehadiran ISIS yang menyebabkan konflik ini semakin tajam dan tak terjangkau. ISIS menjadi tema utama media sehingga menenggelamkan isu kejerihan dan kesengsaraan pelarian Syria di sempadan. Kematian demi kematian terutama di musim sejuk dengan suhu di bawah paras 0 darjah. Pelarian memakan apa sahaja yang mampu mereka telan termasuk merebus rumput, pokok kaktus, memakan kucing dan tikus.

Tanah Syria menjadi padang jarak, padang tekukur dengan lanskap kematian dan sungai darah yang sangat menggerikan. Turki sahaja terpaksa menampung dua juta pelarian Syria di sempadan negara itu, termasuk di Rayhalli sahaja angka pelarian telah mencecah setengah juta orang. Anak-anak yatim adalah fenomena dunia peperangan, apatah lagi dianggarkan kanak-kanak ini terlepas peluang mendapat pendidikan rendah dan menengah. Kesannya umat Islam Syria hilang satu generasi berpendidikan dan akan membawa kepada masalah hiliran yang lain.

NGO terbesar di Turki iaitu IHH melihat pendidikan kepada anak-anak pelarian ialah satu isu yang besar, maka mereka mempelawa Muslim Care Malaysia untuk sama-sama mencaknai ruang pendidikan. Banyak NGO-NGO menfokuskan kepada bantuan peralatan musim sejuk makanan dan minuman kepada pelarian. Ini mungkin kerana pendidikan akan melibatkan kos yang besar serta komitmen yang padu.

Kesan lain peperangan ialah pengaliran keluar tenaga pakar, tenaga kerja akademia serta profesional tahap tinggi dari Syria. Sebahagian besar mereka berhijrah ke Eropah yang menjanjikan peluang hidup yang lebih baik. Seandainya perang berakhir, sukar untuk menjangkakan tenaga pakar dan kaum intelek ini akan kembali semula ke Syria. “Brain drain” ini sangat merugikan tanah Syam dan juga melebarkan jurang sosio ekonomi.

Muslim Care Malaysia menggerakkan enam buah sekolah di Rayhalli dan satu di Idlib dengan kerjasama IHH Turki dan pelajar-pelajar anak pelarian ini kini berjumlah 1600 orang. Kunjungan Muslim Care ke Rayhalli disambut dengan meriah oleh relawan dan pelajar-pelajar tajaan Muslim Care, termasuk Ahli Parlimen serta Datuk Bandar Rayhalli. Rombongan yang terdiri daripada doktor-doktor perubatan, aktivis kemanusiaan pelbagai kepakaran ini juga melawat khemah pelarian, memberikan bantuan secara langsung kepada pelarian.

Pelarian Syria di Eropah, Mengapa Tidak Negara Umat Islam?

Krisis kemanusiaan terbesar abad ini belum nampak tanda akan surut, malah semakin meruncing serta merobek nurani kita. Syria semenjak empat tahun yang lepas menjadi sorotan media setiap detik, bukan sekadar dengan episod serangan dan pembantaian tetapi juga tangisan hiba di khemah-khemah pengungsian yang telah mencecah angka empat juta lebih pelarian.

Bumi Syria yang merupakan sebahagian daripada Syam ialah tanah berkah yang telah melahirkan ribuan ulama dan sang pencerah. Tanah yang juga menempatkan kuburan sahabat dan sahabiah Nabi sallallahu‘alaihi wasallam seperti Bilal Bin Rabah, Saad Bin Ubadah, Khalid al Walid, Ummu Salamah dan ratusan yang lain. Tanah yang menjadi tapak kepada pemerintahan Islam, kerajaan Bani Umaiyyah yang bermula pada tahun 40 hijrah sehinggalah berakhir pada tahun 132 Hijrah.

Kini bumi yang indah dan mendamaikan ini menjadi puing puing berserakan, padang jarak padang tekukur yang menggerikan. Angka kematian telah mencecah 300 000 orang lebih dan menjangkau kepada masalah hiliran yang lain. Jihadis dunia bergerak ke tanah Syam ini dan berdepan dengan pakatan Ahzab moden yang tak peduli kepada darah yang berkubang.

Pelarian Syria telah berhimpun dengan jumlah yang ramai di sempadan Jordan Syria dan juga sempadan Turki Syria. Mutakhir ini aliran penghijrahan pelarian Syria semakin galak menuju ke arah Benua Eropah yang lebih menjanjikan kehidupan yang lebih baik, di mana dianggarkan lebih sejuta pelarian telah memasuki Benua Eropah.

Pelarian menggunakan pintu Turki untuk mencari peluang kehidupan di Eropah. Antara negara yang menjadi pilihan mereka ialah Greece, Hungary, Republik Chech, Astria, Jerman, Belanda dan lain-lain lagi. Mengapa Eropah? Itu yang menghantui penulis, apatah lagi dengan jumlah selimut dalam amaun yang besar masih tersangkut di lapangan terbang Amman akibat karenah birokrasi pihak kerajaan Jordan.

Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan dalam misi bantuan Muslim Care ialah misi membantu pelarian Syria musim sejuk di Eropah. Tak mudah denai laluan mereka yang bersabung nyawa, melawan kesejukan dan gelombang lautan.

Antaranya mereka akhirnya menggunakan laluan laut berhijrah ke Greece, Hungary, Austria, Jerman, Belanda, Perancis dan juga negara-negara lain. Negara Jerman menjadi negara terbesar menampung kedatangan pelarian Syria. Ratusan ribu akhirnya pelarian Syria telah datang ke Jerman yang merupakan Negara Eropah Timur yang pernah mengadakan pemuafakatan dengan kerajaan Uthmaniah pada satu ketika dahulu. Semasa di Jerman, saya dan anggota-anggota Muslim Care telah mengadakan usahasama dengan Pusat Islam An Nour di Hamburg.

Relawan Muslim Care mengagih-agihkan makanan kepada pelarian yang berada di shelter atau tempat perlindungan di Hamburg. Kami melihat sendiri bagaimana aktifnya relawan-relawan Jerman ini, mereka telah menunggu pelarian di stesen keretapi Hamburg dan setelah itu membawa pelarian-pelarian ini ke shelter atau tempat perlindungan.

Pelarian yang masih kepenatan dan kebingungan ini akan diberikan makanan, pakaian dan perlindungan. Akhirnya selepas daripada beberapa tempoh tertentu, pelarian-pelarian ini juga diberikan peluang pekerjaan, sebagai buruh-buruh kasar bagi memastikan kelangsungan hidup mereka. Saya yakin dan percaya sekitar 20 tahun akan datang, negara Jerman akan menjadi bumi yang subur kepada dakwah Islam di Eropah, bahkan akan melonjakkan dengan drastik populasi muslim di negara yang pernah melakar sejarah terhadap pembantaian Yahudi dalam era Perang Dunia Kedua.

Jerman kini juga mempunyai 5 hingga 6 juta penduduk Muslim, juga dengan latar sejarah migrasi pasca Perang Dunia Kedua.  kesan daripada kebanjiran rakyat Turki selepas daripada perang dunia kedua di Jerman, akibat Jerman kehilangan ramai anak-anak muda akibat bencana peperangan. Migran Turki ini berkhidmat di sektor-sektor perkilangan yang sememangnya subur di Jerman.  Hari ini generasi kedua mereka telah menjadi generasi yang berpendidikan bahkan telah banyak menubuhkan NGO-NGO Muslim membantu misi kemanusiaan di seluruh dunia seperti NGO Hasana.  NGO Hasana, sebagai contoh telah menyantuni lebih 100 buah negara dalam musim raya korban, mereka menyembelih lembu-lembu korban diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan termasuklah pelarian Syria. Mereka aktif dalam gerak kerja dakwah, begitu juga dengan puluhan NGO muslim yang lain yang secara umum ditubuhkan oleh generasi kedua migran dari Turki.

Jerman bukan sahaja hebat dengan pencapaian industri automobil dan kerancakan heavy metal band yang menaufan buana ini dalam dekad 80an tetapi sangat berjiwa besar membuka setiap pintu negaranya kepada pelarian Syria, disaat negara umat Islam agak malu-malu kucing untuk membantu. Banyak yang akan berubah di negara legasi Hitler itu, semoga laungan azan akan mengganti dentingan loceng gereja, “Wind of Change” kata senandung Klaus Maine, vokalis Scorpions.

Biodata Penulis

Dr Riduan Mohamad Nor ialah Ketua Penerangan Muslim Care Malaysia yang mengikuti misi bantuan musim sejuk Syria di Rayhalli
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-