© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » TPPA: Pendirian Islam Terhadap Globalisasi

TPPA: Pendirian Islam Terhadap Globalisasi

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 20 January 2016


TPPA (Trans-Pacific Partnership Agreement) adalah sebuah perjanjian perdagangan bebas FTA (Freight Transport Association), iaitu perjanjian antara 2 negara atau lebih, di mana negara anggota memberikan layanan yang lebih baik sesama sendiri berbanding dengan negara bukan ahli.

TPPA melibatkan 12 buah negara di rantau Lautan Pasifik, iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam. Ia bakal muncul sebagai sebuah blok ekonomi terpenting di dunia, bagi menyaingi kebangkitan gergasi ekonomi dunia yang baharu, iaitu Brazil, Rusia, India dan China (BRIC).

Apa yang membezakan TPPA dengan FTA tradisional adalah skop perjanjian TPPA yang lebih komprehensif dan meluas, meliputi aspek harta intelek, tender kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, buruh, dan alam sekitar, berbanding skop yang biasa terkandung dalam FTA, meliputi aspek ekonomi dan pelaburan sahaja.

Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Oktober 2015 di Atlanta (tiada pindaan dibenarkan) dan bakal ditandatangani pada Februari 2016 di New Zealand, diikuti tempoh ratifikasi selama 2 tahun (2016-2018) untuk setiap negara meminda undang-undang bagi mematuhi peraturan yang terkandung dalam TPPA, seterusnya memberi jalan kepada penguatkuasaan TPPA kepada negara anggota selewatnya pada 2018.

Keuntungan Yang Tidak Pasti

Kerajaan Malaysia menyedari penyertaan dalam TPPA pastinya akan ada yang menang dan kalah. Namun, kerajaan berpendapat faedah penyertaan dalam TPPA lebih banyak daripada keburukan, antaranya;

1
Faktor Akses Pasaran
Malaysia bakal mendapat manfaat dari aspek ekonomi yang ditawarkan TPPA – saiz pasaran yang lebih luas melibatkan 800 juta penduduk dengan jumlah KDNK bernilai USD27.5 trilion (40% KDNK dunia). Hakikatnya, jika dilihat secara terperinci, pasaran TPPA bakal didominasi pasaran Amerika Syarikat – KDNK bernilai USD17.4 trilion atau 62%, berbanding 38% saiz KDNK oleh 11 buah negara yang lain. Manakala Malaysia adalah terlalu kerdil, dengan saiz pasaran hanya 1% daripada keseluruhan pasaran TPPA (USD0.3 trilion).

Justeru, tiada keperluan untuk Malaysia menyertai TPPA dan sewajarnya Malaysia meningkatkan kerjasama sedia ada dalam 13 FTA yang tidak terlalu mengikat – 6 menerusi ASEAN dan 7 secara bilateral, di samping meneroka pasaran baharu sesama negara anggota OIC, tanpa melibatkan Amerika Syarikat sebagai watak dominan dalam sebarang perjanjian dagangan dan mengekalkan polisi ‘mesra kepada semua’ dalam pentas diplomatik antarabangsa.

2
Faktor Pertumbuhan Ekonomi
PriceWaterhouseCoopers (PWC), firma yang dilantik kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat terhadap negara, meramalkan penyertaan Malaysia dalam TPPA membawa manfaat kepada ekonomi dengan peningkatan dalam pertumbuhan KDNK, pertambahan pelaburan serta import dan eksport. Menariknya, kajian yang dijalankan PWC ini hanya mengemukakan manfaat jika Malaysia menyertai TPPA dan kerugian jika Malaysia tidak menyertai, tetapi gagal memberi gambaran menyeluruh kerugian jika Malaysia menyertai TPPA.

Kajian PWC mendapati sektor yang bakal mendapat manfaat adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik (dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah). Manakala sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca – TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat tempatan. Malah, PWC mengunjurkan impak TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu besar – hanya menyumbang kenaikan 1.15% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang berkembang pada kadar 4%-6% setahun.

3
Impak Sosio-ekonomi
Beberapa sarjana ekonomi seperti Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram dan Prof. Joseph Stiglitz berpendapat Malaysia tidak akan mendapat apa-apa kelebihan dari segi ekonomi, sebaliknya penyertaan dalam TPPA akan membawa kerugian kepada negara. Kerugian ini antara lainnya berpunca daripada eksport negara berkurangan dan import akan meningkat, di samping akan terus melebarkan jurang pendapatan (income inequality) dalam negara.

Kajian yang dijalankan pihak Kerajaan, samada oleh ISIS dan PWC tidak menggariskan secara terperinci kesan langsung TPPA kepada aspek sosio-ekonomi rakyat, khususnya dua isu utama yang membebankan rakyat iaitu kos sara hidup dan kadar hutang yang tinggi (87% KDNK), kesan daripada pelaksanaan GST dan kejatuhan nilai matawang ringgit. Malah, PWC turut menyatakan akan ada perubahan struktural pihak kerajaan dan swasta bagi menyesuaikan operasi dan perniagaan pasca TPPA. Ini bermakna rakyat akan menerima kenaikan kos secara langsung dan tidak langsung, sebagaimana yang dihadapi rakyat pasca pelaksanaan GST.

Berdasarkan kepada 3 pertimbangan ini, ia menunjukkan tiada keperluan untuk Malaysia terikat dengan perjanjian TPPA yang tidak menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan tidak membawa manfaat yang besar kepada ekonomi negara, berbanding risiko dan kerugian yang tidak dapat dipastikan.

Justeru, tindakan kerajaan untuk menyertai TPPA dalam keadaan untung dan rugi yang tidak pasti, adalah umpama kita menandatangani cek kosong untuk diserahkan kepada pihak broker, dan
broker tersebut adalah Amerika Syarikat yang sangat kita kenali.

Globalisasi & Kesejagatan

Firman Allah;
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (surah al-Rum ayat 41)

Dunia tanpa sempadan pada era globalisasi menjanjikan pelbagai peluang dan cabaran untuk generasi masa kini. Ia juga merupakan suatu proses di mana sempadan sesebuah negara kian terbuka kepada elemen luaran sehingga menjadikan seluruh dunia umpama sebuah perkampungan global.

Menurut Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, pengertian globalisasi (al-‘Awlamah) hampir sama dengan nilai kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa Islam, sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam al-Quran;
 وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (surah al-Anbiya’ ayat 107).

Namun, menurut beliau globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti membaratkan dunia (Westernisation) atau meng‘amerika’kan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu Globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

Perbahasan mengenai sikap dan pendirian Islam terhadap globalisasi moden ini dikupas dengan teliti oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di dalam kertas kerja beliau yang diterjemahkan daripada Bahasa Arab berjudul “Globalisasi: Pendirian Islam Mengenainya”, dibentangkan sempena Kolokium Antarabangsa Penyatuan Umat Sedunia di Tehran (Urusetia Penerangan Negeri Terengganu, 2003).

Di dalam kertas kerja tersebut, beliau menggariskan bentuk dan pendekatan globalisasi di zaman moden ini, seterusnya mengemukakan tindakan dan strategi yang perlu diambil dunia Islam, dengan mengambil pandangan tokoh ilmuwan Islam kontemporari, termasuklah Syeikh al-Qaradhawi, Prof. Dr. Najmuddin Erbakan, Syeikh Dr. Fathi Yakan dan Syeikh Mohammad Hussin Fadlullah.

Globalisasi & Orde Baru Dunia

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, globalisasi moden adalah hasil daripada Orde Baru Dunia yang dilakukan dengan perancangan yang mendalam dan strategi yang teliti ke arah penjajahan bentuk baru dengan cara moden, bukan seperti penjajahan kurun pertengahan dulu. Ia dirancang dengan begitu teratur untuk menguasai dunia dengan tirai demokrasi, ekonomi, kebebasan, kebudayaan, keadilan dan hak asasi manusia.

Dalam aspek politik, globalisasi dirancang untuk melibatkan diri dalam pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara dengan nama pemulihan demokrasi, bagi membolehkan campur tangan asing dalam kemelut politik sesebuah negara, sebagaimana yang menimpa negara Bosnia, Kuwait, Afghanistan, Kashmir, Iraq, Tunisia, Mesir, dan Syria.

Dalam aspek ekonomi, ia dirancang untuk menguasai sumber minyak dan gas, aliran modal dan mata wang, serta pengembangan operasi syarikat multinasional, termasuklah mekanisme IMF (International Monetary Fund), World Bank, WTO (World Trade Organization) dan seumpamanya, dengan alasan untuk memulihkan kewangan sesebuah negara, khususnya pergantungan kepada dana asing dan hutang luar negara.

Dalam aspek pendidikan dan kebudayaan, penguasaan teknologi maklumat dan media berjaya mempengaruhi corak pemikiran dan gaya hidup generasi muda, dengan jenama pemodenan dan keterbukaan, sehingga melangkaui batas agama dan budaya.

Globalisasi & Pendirian Islam

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, Islam adalah agama yang bersifat sejagat (universal). Ini dapat dilihat dari sudut akidah, syariat dan akhlaknya yang sesuai dengan peredaran zaman dan suasana setempat.

Kedatangan Islam ke alam ini bukan untuk menjajah, menakluki atau menguasai mana-mana agama tetapi Islam petunjuk Tuhan yang mencipta alam ini. Oleh itu kita melihat kedatangan Islam ke sesebuah negara dinamakan sebagai “pembukaan”, bukannya penjajahan.

Islam juga mengiktiraf terdapat pelbagai ideologi, budaya dan bahasa dalam sesebuah negeri, walaupun Islam menyeru semua manusia menganut ajarannya. Justeru, globalisasi adalah suatu keistimewaan dan keunikan Islam, sebagaimana yang ditunjukkan Nabi Muhammad sallallahu‘alaihi wasallam dan Para Sahabat Baginda, yang melaksanakan tugas mendirikan agama dan memakmurkan dunia dengan agama ke segenap pelosok dunia secara damai dan berhikmah.

Dalam menghadapi cabaran globalisasi ala-Barat dan ala-Amerika ini, Tuan Guru Abdul Hadi menggariskan 6 strategi yang perlu diambil umat Islam sedunia, iaitu;
  1. Akidah yang bebas daripada penjajahan pemikiran
  2. Mengurangkan pergantungan Amerika
  3. Persaudaraan dan penyatuan
  4. Revolusi dakwah global
  5. Membina kekuatan
  6. Revolusi ilmu yang syumul
Umat Islam wajib membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran sekular agar dapat kembali kepada agama yang sempurna, seterusnya keluar daripada kepompong pemikiran Barat untuk menyelesaikan masalah politik, ekonomi, dan sosial yang dihadapi negara umat Islam.

Negara umat Islam amat kaya dengan hasil galian semula jadi dan dikurniakan muka bumi yang subur dengan hasil pertanian. Di samping itu, kita punyai ramai pakar dalam pelbagai bidang sebagai modal insan berkualiti dan berintegriti untuk dimanfaatkan. Justeru, umat Islam mesti bekerjasama daripada segi modal dan kepakaran dengan mengambil faedah dan peluang hasil mahsulnya yang kaya untuk manfaat negara dan juga ummah.

Umat Islam mesti menjalinkan tali persaudaraan dan mengeratkan hubungan keimanan, supaya dapat merasai penderitaan yang dihadapi saudara seagamanya. Kita mestilah menyelesaikan pertelingkahan dalam perkara furu’ dan perbezaan mazhab yang tidak berkesudahan. Pemimpin negara umat Islam perlu bebas perasaan asabiyyah (perkauman) dan kenegerian, mengikut sempadan geografi yang dilakar penjajah yang bertujuan untuk memecahbelahkan kekuatan umat Islam.

Kita perlu mengambil peluang daripada kecanggihan media dan teknologi maklumat untuk menyebarkan risalah dakwah Islam secara lebih kreatif, khususnya untuk membentuk kefahaman yang benar terhadap Islam dan menangkis prejudis Islamophobia yang dibawa media Barat.

Umat mesti membina kekuatan yang jitu daripada segi rohani dan jasmani kerana kedua-duanya saling melengkapi dan memartabatkan kedudukan umat Islam di mata dunia dengan penuh kemuliaan dan kemegahan. Kita mempunyai rujukan mencukupi yang terdapat pada kitab dan dada para ulama, di samping kelengkapan fizikal dan ketenteraan yang wajar disusun dan dipertingkatkan.

Kita perlu sedar segala hikmah dan kebijaksanaan itu adalah barang tercicir orang beriman di mana saja ia dijumpai maka hendaklah memungutnya. Oleh itu, dasar kita adalah lebih kuat dari Jepun dan Jerman yang bangkit melalui revolusi ilmu selepas dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua, dengan menggabung-jalin ketinggian ilmu yang berasaskan keimanan dan nilai akhlak yang mulia.

TPPA Agenda Penjajahan Moden

Dalam perbahasan Bajet 2016, Tuan Guru Abdul Hadi menggariskan pendirian PAS dan mengemukakan saranan kepada kerajaan mengenai rundingan TPPA yang bakal ditandatangani oleh Malaysia pada Februari 2016, antaranya;
  1. TPPA ini agendanya adalah bagi menghapuskan sempadan bumi dan perairan negara, bersamanya dihilangkan sempadan bumi dan perairan negara, bersamanya dihilangkan sifat kemanusiaan sejagat dan hak asasi yang adil sesama manusia yang berkeluarga secara masyarakat madani;
  2. Jika penjajahan purba merompak tanpa undang-undang, maka penjajahan baru diadakan undang-undang melindungi rompakan global di sebalik perjanjian yang dimeterai laksana cacing kerdil yang menumpang dalam perut ular lebih besar atau ikan kecil menumpang jerung lebih besar lagi ganas;
  3. TPPA bukannya penyelesaian ekonomi global, bahkan lebih bersifat penjajahan baru dalam aspek ekonomi kerana tidak mewujudkan kerjasama yang saksama dan adil. Adalah lebih baik bagi negara kita mengadakan kerjasama serantau dan negara yang terdekat diutamakan;
  4. Selamatkan keadaan secara bermasyarakat madani di kalangan negara serantau (Asean), negara satu umat dan seagama (OIC) dan juga satu kemanusiaan (NAM) dengan adil dan kesaksamaan kemanusiaan yang bermoral, dengan kemajuan sains dan teknologi yang tidak disalahgunakan;
  5. Jalinkan kerjasama Asean, OIC, China, Jepun, Rusia selepasnya diikuti Eropah dan Amerika tanpa bermusuh dengan sesiapa dengan menggunakan bahan bersama secara adil sama ada sumber bumi, kepakaran dan tenaga kerja yang bersifat kerjasama yang adil;
  6. Bebaskan daripada bergantung dengan dolar Amerika kepada dinar atau mata wang Asia, dengan membebaskan diri daripada mata wang negara yang juga mengalami krisis ekonomi dengan menjadikan kita pelampung penyelamat yang ditinggalkan selepas mereka selamat.
Sebagai kesimpulan, inilah hikmahnya al-Quran menegaskan manusia seluruhnya adalah satu keluarga walaupun berbeza bangsa, agama, dan budaya, seterusnya mewajibkan kerjasama yang adil dengan penuh saksama sesama manusia tanpa mengira batasan sempadan.

Biodata Penulis

Sdr. Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dilahirkan pada 30 Mac 1983. Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-