© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Tegak Sunnah Rasulullah ﷺ Sepanjang Hayat

Tegak Sunnah Rasulullah ﷺ Sepanjang Hayat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 20 January 2016


Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan terhadap Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Sebagai seorang yang mencintai dan mengasihi Baginda, tentu sekali kita sentiasa terkenang akan sirah atau lakaran-lakaran pengorbanan Rasulullah sallallahualaihi wasallam sehingga kita semua dapat menerima cahaya Islam, hidayah dari Allah bagi mengecapi nikmat Iman dan Islam yang sangat berharga. Pengorbanan ini juga menuntut kita menghayati sirah Para Sahabat Nabi dan Para Tabi’en sebagai pendokong ajarannya yang mulia, mempertahankan Nabi di saat senang dan susah. Tanpa pengorbanan mereka, Islam tidak menembus ke belahan ceruk dunia.

Perhatikanlah kata-kata Khalifah Umar Abd al-Aziz kepada Abu Bakr bin Hazm;
انْظُرْ مَا كَانَ مِنْ حَدِيثِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاكْتُبْهُ فَإِنِّي خِفْتُ دُرُوسَ الْعِلْمِ وَذَهَابَ الْعُلَمَاءِ وَلَا تَقْبَلْ إِلَّا حَدِيثَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلْتُفْشُوا الْعِلْمَ وَلْتَجْلِسُوا حَتَّى يُعَلَّمَ مَنْ لَا يَعْلَمُ فَإِنَّ الْعِلْمَ لَا يَهْلِكُ حَتَّى يَكُونَ سِرًّا
“Tengoklah apa yang mampu diperolehi daripada hadis Rasulullah salallahualaihi wasalam, lalu tulislah kerana aku khuatir ilmu itu akan lenyap disebabkan meninggalnya para ulama. Dan jangan diterima selain hadith Rasulullah salallahualaihi wasalam dan hendaklah disebarluaskan ilmu dan diadakan majlis-majlis ilmu (berkaitan hadith) supaya orang yang tidak mengetahuinya dapat mengetahuinya, adapun ilmu itu tidak akan hilang binasa sehinggalah ia dirahsiakan daripada pengetahuan.”

Kita sebagai seorang Muslim perlulah sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita menunaikan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahualaihi wasallam dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung silih berganti hingga ke hari ini?

Di dalam surah Aali-Imran ayat 146, Allah telah menyatakan kriteria golongan yang layak bersama dengan Para Nabi ialah para pejuang yang mewarisi perjuangannya menegakkan panji Islam di muka bumi ini;
وَكَأَيِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ
“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar”

Wajib bersama kita hayati firman Allah yang termaktub di dalam al-Quran;
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (surah Saba’ ayat 28)

Baginda Rasulullah sallallahualaihi wasallam telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna, melalui adanya al-Quran serta Sunnah Rasulullah sallallahualaihi wasallam.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan Maulid al-Rasul yang diraikan saban tahun dengan menguatkan iltizam laksana ungkapkan oleh Imam al-Syafie;
لَوْ كانَ حُبُّكَ صَادِقاً لأَطَعْتَهُ، إنَّ الْمُحِبَّ لِمَنْ يُحِبُّ مُطِيعُ    
“Kalau cintamu kepadanya tulus murni, nescaya engkau akan mentaatinya. Kerana sesungguhnya orang yang mencintai akan patuh terhadap (suruhan) orang yang dicintainya.”

Mereka yang semata-mata melaungkan pujian ke atas Nabi, tetapi enggan mewarisi perjuangannya menegakkan syariat di muka bumi ini samalah seperti orang yang mengaku bahawa dirinya mencintai Nabi tetapi ia hanya sekadar pengakuan sahaja seperti yang diungkapkan di dalam ungkapan syair Arab;
 والدعاوى ما لم تقيموا عليها بينات أصحابها أدعياء
“Pengaku-pengaku yang tidak menyokong pengakuannya dengan bukti-bukti maka ia sebenarnya hanyalah pengakuan belaka.”

Bersamalah kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan atau perbarisan dan berslogan mencintai Rasulullah semata-mata. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah sallallahualaihi wasallam dengan mengamalkan serta menegakkan segala suruhan baginda, meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci oleh Baginda.

Rasulullah sallallahualaihi wasallam meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskannya. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah sallallahualaihi wasallam walaupun dia menyambut kelahiran Baginda sallallahualaihi wasallam saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah sallallahualaihi wasallam hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah sallallahualaihi wasallam, seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah dan Rasul di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah sallallahualaihi wasallam dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya.

Biodata Penulis

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden PAS.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-