© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Sosialisme dan Islam: Sorotan Perbandingan

Sosialisme dan Islam: Sorotan Perbandingan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 15 January 2016


Sosialisme atau fahaman sosialis dalam istilah Arab disebut ishtirakiyah (اشتراكية). Ia sebuah pemikiran yang mendukung idea sama rata dan memerangi manopoli khusus  (محاربة الملكية الخاصة). Pada awalnya perkataan “sosialisme” digunakan pada abad ke-19, iaitu pada tahun 1837 untuk melabel para pengikut Robert Owen di Britain, Claude-Henri de Rouvroy St. Simon dan Charles Fourier di Perancis yang menyuarakan ekualiti sosial tenaga buruh. Pembelaan mereka terhadap kaum buruh menyebabkan tokoh kapitalis, Otto von Bismarck memperkenalkan skim insurans kesihatan pada tahun 1884 M dan skim pencen pada tahun 1889 M. Matlamatnya adalah untuk menjamin kestabilan politik, menghilangkan perasaan tidak selamat di kalangan kelas buruh dan melemahkan gerakan sosial baru yang muncul ketika itu.

Pada abad tersebut sosialisme hanyalah menjadi teori falsafah sahaja, namun tahun demi tahun ideologi tersebut mempengaruhi masyarakat dan menjadi landasan negara. Taqi al-Din al-Hilali di dalam “al-Islam wa al-Mazahib al-Isytirakiyah” membahagikan ciri-ciri sosialisme kepada empat perkara:
  1. Pembangunan masyarakat berdasarkan perkongsian, bukan persaingan peribadi atau kepentingan individu.
  2. Mencegah segala unsur ketidakadilan sosial dan diskriminasi terhadap rakyat.
  3. Membanteras kesan-kesan buruk yang berpunca daripada kapitalisame seperti pengangguran, kemiskinan dan konflik antara pekerja dan majikan.
  4. Penyamarataan agihan sumber negara kepada rakyat.
Wujud tanggapan kononnya fahaman sosialis dan komunis itu berbeza dari aspek metodologi dan pendekatan, sosialisme dikatakan lebih bersifat gradual manakala komunisme lebih bersifat radikal. Karl Marx dalam “Das Kapital” menggunakan perkataan “sosialisme” dan “komunisme” secara bergantian untuk membuat perbandingan teori “sosialisme saintifik” yang diasaskannya dengan “sosialisme utopia” yang dipelopori tokoh-tokoh awal sosialis. Ini menunjukkan sosialis dan komunis adalah dalam jalur yang sama tetapi Marx menggunakan istilah “komunisme” agar kelihatan lebih revolusioner.

Syaikh Abd al-Aziz Badri di dalam “Hukm al-Islam fi al-Ishtirakiyah” bahawa sosialisme merupakan penyamaran terhadap fahaman sesat klasik yang berkembang pada tahun 488 M bernama “Mazdakiah”. Kesesatan ajaran Mazdak adalah mengisytiharkan bahawa kekayaan dan nafsu syahwat dianggap sebagai pemilikan bersama yang mesti dikongsi ibarat hak untuk memiliki kemudahan api, air dan tanah.

Di zaman moden, kerakusan golongan aristokrat dalam menguruskan sumber ekonomi menimbulkan protes tokoh-tokoh egalitarianism, reaksi inilah disebut sebagai anti-kapitalisme atau sosialisme. Ideologi ini terbentuk agar segala bentuk hak milik diatur bersama, dikerjakan bersama, dah hasilnya juga dinikmati bersama supaya produksi tidak hanya diselenggara oleh golongan kapitalis yang menguasai segala sumber ekonomi negara. Sosialisme amat bertentangan dengan sikap individualisme yang mementingkan diri semata-mata.

Dalam amalan ekonomi, sosialis dianggap menentang golongan kapitalis manakala dalam amalan politik, sosialis dianggap menentang dictatorship. Tidak dinafikan bahawa ramai masyarakat Muslim sama ada di rantau ini mahupun di negara-negara Arab yang beranggapan bahawa sosialisme memiliki identifikasi dengan sosio-ekonomi Islam yang memperjuangkan nasib golongan susah (kelas pekerja) dan tertindas.

Terdapat beberapa aliran sosialisme ini kepada berbagai-bagar pecahan antaranya Democratic Socialism, Communism, Libertarian Socialism, Anarchism, Fasism, Syndicalism dan Fabianism. Antara aliran sosialisme yang terkenal mempengaruhi negara Islam khususnya di Timur Tengah ialah Ba’athisme yang menjadi ideologi kepada pemerintahan regim Hafez dan Bashar al-Assad (Syria), Gamal Abd al-Nasser (Mesir) serta Saddam Hussain (Iraq). Kemunculan Ba’athisme adalah untuk membangkitkan kesedaran sosialis dan semangat nasionalis Arab sebagai bangsa yang dihormati.

Di Indonesia pula, Sjafruddin Prawinegara (1911 M – 1989 M) pernah mengutarakan istilah “sosialisme religious” untuk menggandingkan sosialisme dengan agama. Manakala Soekarno (1901 M – 1970 M) dengan gagasan “NASAKOM”, akronim kepada perkataan “nasionalisme, agama dan komunisme”. NASAKOM dinyatakan Soekarno sebagai cerminan sosial masyarakatnya yang menjunjung tinggi nilai keberagaman (multi-kulturalisme), kononnya untuk membezakan aliran fasisme Benito Mussolini (1883 M – 1945 M) di Itali dan Adolf Hitler (1889 M – 1945 M) di Jerman.

Tokoh Gerakan Islam di Timur Tengah terkemuka iaitu Dr. Mustafa al-Siba’ie (1915 M – 1964 M) pernah menulis sebuah buku berjudul Ishtirakiyah al-Islam (Sosialis Islam). Judul buku tersebut telah menjadi polemik hangat di kalangan aktivis Gerakan Islam lain seperti Sayyid Qutb dan al-Maududi, walaupun pengisiannya menggambarkan kesempurnaan syariat yang dibawa Nabi Muhammad sallallahu‘alaihi wasallam. Namun, setelah cetakan kedua buku tersebut, Syaikh al-Siba’ie mula melihat kesan buruknya, beliau menyatakan kekesalannya terhadap tajuk bukunya sendiri kepada Syaikh Muhammad al-Ghazali al-Saqqa, seorang pendakwah terkenal di Mesir. Kisah ini dinyatakan oleh Syaikh al-Ghazali di dalam tulisannya berjudul “al-Dakwah al-Islamiyah fi al-Qarni al-Haali”.

Fakta-fakta ini menjelaskan betapa halusnya fahaman sosialisme mempengaruhi pandangan masyarakat Muslim terutamanya apabila aliran Fabianisme yang meletakkan kepercayaan kepada strategi evolusi berbanding revolusi Marxisme. Aliran sosialis ini muncul kerana kekaguman salah seorang tokoh sosialis, Frank Podmore (1856 M – 1910 M) terhadap taktik panglima perang Rom bernama Fabius Maximus (Fabius the Delayer) yang menangguhkan perang ketika menghadapi tentera Carthaginian yang dipimpin Hannibal untuk mencapai kemenangan.

Mesir dikatakan sebuah negara Islam pertama yang mula-mula menjadi sasaran sosialisme. Salama Moussa (1887 M – 1958 M) adalah antara aktivis sosialis beragama Kristian Koptik berasal dari Zagazig. Kariernya sebagai jurnalis bermula sejak beliau menjadi mahasiswa lagi di Lincoln’s Inn Society, England. Dia salah seorang yang terpengaruh dengan fabianisme dan pernah menjadi anggota The Fabian Society pada Julai 1909. Pada tahun 1913, dia kembali ke Mesir kemudian menerbitkan majalah “al-Mustaqbal” bersama Farah Antoun (1874 M – 1922 M) untuk menyebarkan dasar-dasar sosialisme secara evolusi kepada rakyat Mesir. Ketika revolusi 1952 M, Presiden Gamal Abd al-Nasser telah melantik Salama Moussa sebagai penyelia unit kajian penerbitan “Akhbar al-Youm”, salah satu akhbar prima bagi rakyat Mesir.

Selain Salama Moussa, pendokong sosialisme di Timur Tengah turut menghargai karya Min Huna Nabda’ tulisan Khalid Muhammad Khalid (1920 M – 1996 M) yang ditohori sosialis sebagai intelektual Islam “progresif”. Khalid merupakan salah seorang ulama al-Azhar yang terpengaruh dengan ideologi liberal Parti al-Wafd yang diperjuangkan Ahmad Amin (1886 M – 1954 M) dan Taha Husayn (1889 M – 1973 M). Karya Min Huna Nabda’ disanggah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali melalui tulisan balasnya yang berjudul  Min Huna Na’lam.

Menurut Yusuf al-Qaradawi, pada awalnya Khalid Muhammad Khalid mengajukan serangan-serangan terhadap gerakan Ikhwan al-Muslimin, tetapi kerana kekecewaan beliau terhadap kegagalan dasar-dasar kerajaan Gamal Abd al-Nasser ke arah pemerintahan regim, secara beransur-ansur mendorongnya untuk menyertai gerakan kebangkitan Islam yang diasaskan oleh Hassan al-Banna itu. Pada tahun 1989 M Khalid Muhammad Khalid menerbitkan buku berjudul “al-Daulah fi al-Islam”, di mana beliau mengisytiharkan kesilapannya ketika melihat sejarah dan peranan Islam, serta menyokong penyelesaian politik berdasarkan kefahaman Islam yang syumul.

Permasalahannya di sini mengapa ramai yang terpesona dengan sosialisme? Kerana adanya kemiskinan dan kemelaratan maka sosialisme dipaparkan sebagai “hero” yang peduli dan progresif bagi mewujudkan “kerahmatan” secara menyeluruh. Memang sosialisme muncul sebagai reaksi terhadap pengalaman buruk yang dialami masyarakat satu ketika dahulu sewaktu berada di bawah sistem kapitalisme. Konsep kapitalisme lebih mengutamakan golongan elit, sebaliknya kaum buruh menderita, terabai dan tertindas.

Sosialis berpendapat bahawa amalan kapitalisme di sesebuah negara hanya akan mewujudkan pengagihan kekayaan yang tidak seimbang, sekaligus melebarkan jurang kemiskinan di antara golongan elit dengan golongan marhaen. Dari satu sudut, benarlah bahawa Islam membela golongan-golongan terpinggir, tertindas (mustad’afin) tidak kira sama ada Muslim ataupun non-Muslim, tetapi adakah pembelaan Islam dilakukan dengan cara menekan golongan kaya dan elit sebagaimana sosialisme?

Tidak! Kerana Islam mampu bertapak di setiap geografik dunia sama ada di benua Eropah, Afrika, Amerika dan Asia. Tidak seperti sosialisme yang hanya diterima di beberapa buah negara itupun bergantung kepada strata masyarakat mereka. Islam menjadi pegangan hidup (the way of life) sama ada mereka dari golongan senang atau susah. Konsep wasatiyyah menjadi prinsip kepada Islam iaitu tidak rigid ke kanan sehingga terlalu ketat dan tidak juga ke kiri sehingga terlalu longgar (التوسط بين الإفراط والتفريط).

 وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شُهَدَاء عَلَى النَّاسِ
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).” (al-Quran, al-Baqarah 2: 143)

Sebenarnya sosialisme ditegakkan di atas tiang-tiang sekular (pemisahan agama dari kehidupan). Sosialisme adalah natijah kepada serangan pemikiran yang sengaja dihadapkan untuk membendung kebangkitan umat Islam dan mengekalkan pemerintahan sekular. Dalam pengalaman sejarah masyarakat Barat dikatakan bahawa ideologi sosialis-lah yang memangkin perkembangan masyarakat sivil. Tetapi bagi masyarakat Islam yang sahih akidahnya dan jelas keyakinannya kepada hukum Allah, pembentukan masyarakat yang madani tidak perlu merujuk kepada gerakan sosialisasi Barat tetapi mestilah berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang pernah menjelaskan isu sosialisme ini dalam bukunya “Islam, Fikrah dan Daulah” bahawa sosialisme adalah pemikiran yang terbentuk daripada tindak balas kepada monopoli kapitalisme. Teori sosialis secara keseluruhannya sama ada aliran revolusi ataupun evolusi, masing-masing berpendapat bahawa sumber pengeluaran itu sepatutnya menjadi milik umum, dan individu hanya mendapat sekadar kerja yang dilakukan kepada kepentingan umum.

Oleh kerana itu, sumber-sumber pengeluaran itu dimilik-negarakan, atau dikawal serapi-rapinya. Cara ini kononnya sebagai usaha untuk menghapuskan sifat ananiyah (individualisme) manusia. Hakikatnya ia menyebabkan berlakunya penyelewengan di kalangan rakyat. Apabila kepentingan peribadi tidak ada, ia menjejaskan semangat kerja dan menghapuskan perasaan tanggungjawab, perkembangan ekonomi akan merosot dan keadaan ini jelas dilihat apabila negara sosialis terpaksa melonggarkan sekatan milik kepada kapitalis kecil dan langkah mengubahsuai sosialis walaupun terpesong dari prinsip sosialis yang sebenarnya.

Berdasarkan fahaman sosialisme ini umat manusia sering dianggap manusia sebagai makhluk petualang dan kehidupan mereka diwarnai motif-motif ekonomi iaitu pertarungan kelas (class struggle) yang menjadi nadi kepada kemandirian sejarah dan akan datang. Aliran sosialis wujud apabila pertarungan kelas mencapai tahap maksimumnya, iaitu ketika kapitalisme sudah benar-benar matang (melampau); lalu membawa kepada kebangkitan proletar menjatuhkan borjuis. Dialektika ini berkesinambungan sehinggalah lebur dikotomi kelas dan akhirnya masyarakat berubah daripada sosialisme.

Umat Islam tidak seharusnya terpancing dengan wawasan sosialis atau terlibat dalam mana-mana kumpulan sosialis kerana makna lafaz syahadah yang sering kita ucapkan setiap kali solat itu sendiri menunjangi makna keadilan yang alami, merangkumi manusia, segala jenis makhluk bahkan tumbuh-tumbuhan yang hidup di bumi. Kebangkitan Islam tercetus bukan kerana kecewa terhadap sistem kapitalis semata-mata tetapi ia merupakan parallel perjuangan yang diwarisi Para Nabi. Justeru di manakah logiknya fahaman sosialisme, komunisme, sekularisme, nasionalisme, pragmatisme bahkan apa jua fahaman asing menjadi dokongan masyarakat Islam? Qudwah perjuangan Islam kita ialah Nabi Muhammad sallallahu‘alaihi wasallam, bukannya tokoh-tokoh sosialis.

Kembalilah kepada Islam. Islam memiliki dasar muamalah yang berpaksikan kepada ajaran nabawi. Ia berbeza sama sekali dengan fahaman sosialisme mahupun kapitalisme yang berhujjahkan falsafah rasionalisme dan humanisme dalam menafsirkan sumber kehidupan dan pemilikan ekonomi. Islam menangani kapitalisme dengan kewajiban berzakat, pengharaman riba, melarang penipuan (gharar) dan monopoli dalam urus niaga (ihtikar). Manakala pemerataan sosialnya dibangunkan melalui amalan takaful, sedekah, wakaf dan sebagainya.

Dalam Islam, hak pemilikan peribadi tidak pernah diungkapkan sebagai rangka mengumpul kekayaan secara monopoli ataupun melampaui batas. Kekayaan bukanlah sesuatu dosa, tetapi kelayakan memiliki kekayaan sentiasa dilakar dengan perintah berkait kaedah terbaik untuk mengagihkan harta dalam menjaga hubungan persaudaraan dengan yang lain. Firman Allah (al-Quran, al-Nahl 16: 71):
وَاللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الرِّزْقِ فَمَا الَّذِينَ فُضِّلُواْ بِرَادِّي رِزْقِهِمْ عَلَى مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَهُمْ فِيهِ سَوَاء أَفَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ
“Dan Allah telah melebihkan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya; dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari kelebihan hartanya, supaya orang-orang (fakir dan miskin) itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu?”

Kelebihan rezeki yang dinyatakan adalah sebagai nikmat kurniaan Allah. Dasar al-Quran memastikan bagaimana nikmat tersebut dapat dimanfaatkan secara bertanggungjawab untuk memenuhi kebajikan golongan yang kurang bernasib baik.

Menjadikan sosialisme sebagai the art of soluble bukanlah suatu keperluan kepada umat Islam. Sesungguhnya Islam dan fahaman sosialisme tidak akan dapat disatukan dan disebatikan kerana kedua duanya adalah berbeza. Untuk membangunkan masyarakat madani mestilah menunjanginya dengan neraca wahyu bukannya teori-teori sosialis. Syaikh Mutawalli Sya’rawi pernah menyatakan kata-katanya yang sangat berharga;
الصراع دائماً يكون بين حق وباطل، وإما أن يكون صراعاً بين حقين، فذلك لا يوجد؛ لأنه لا يوجد في قضية واحدة حقان يتصارعان
“Pertembungan sering berlaku di antara kebenaran (hak) dan kesesatan (batil), tidak ada pertembungan yang berlaku antara kebenaran dengan kebenaran kerana tidak mungkin berlaku dalam satu masalah kebenaran saling bertembung.”

Umat Islam mesti mengikut (wala’) kebenaran yang diperintah Allah dan meninggalkan (bara’) segala unsur-unsur lain yang menyalahi-Nya.

Tiada jalan selamat di dunia dan di akhirat melainkan mengetahui perkara yang hak dan yang batil menurut pandangan syarak, dan tugas itu biarlah dilakukan oleh ulama-ulama yang pakar lagi ikhlas. Istiqamahlah dengan jalan Islam. Orang Islam yang memilih jalan pemikiran lain untuk membangkitkan kesedaran bangsanya sebenarnya dia berputus asa dengan agamanya sendiri.

مَن كَانَ يَظُنُّ أَن لَّن يَنصُرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ فَلْيَمْدُدْ بِسَبَبٍ إِلَى السَّمَاء ثُمَّ لِيَقْطَعْ فَلْيَنظُرْ هَلْ يُذْهِبَنَّ كَيْدُهُ مَا يَغِيظُ
“Siapa yang menganggap bahawa Allah sekali-kali tidak akan menolong (perjuangannya), maka biarkanlah dia memanjat langit dan cari kepastian; apakah itu semua boleh menghilangkan kemarahannya (kepada Qada’ dan Qadar Allah).” (Surah al-Hajj, ayat 15)

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-