Headlines Articles :
Home » » Permusuhan Sekular Terhadap Gerakan Islam

Permusuhan Sekular Terhadap Gerakan Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday, 15 January 2016


Sekular adalah sebuah ideologi yang menjarakkan pandangan agama dari politik; pemisahan agama dari urusan kenegaraan, iaitu mendirikan kehidupan kosong daripada panduan agama sebagaimana syiar mereka; (دع ما لقيصر لقيصر، وما لله لله). Ini bererti semua orentasi pemerintahan dan pentadbiran negara bebas serta tidak terikat dari prinsip dan pandangan agama. Sebaliknya berasaskan kepada apa yang dipandang baik oleh pemerintah.

Dalam bahasa Arab, sekular disebut “al-Ilmaniyyah” diambil daripada perkataan ilmu (dalam bahasa Arab = ‘ain, lam dan mim). Kononnya dari segi mafhum, bermaksud mengangkat sains sebagai ilmu, jadi timbullah dakwaan bahawa ia tidaklah bercanggah dengan mafhum Islam yang juga menjadikan ilmu sejak wahyu pertama lagi. Tetapi sebenarnya penterjemahan kalimah sekular kepada al-Ilmaniyyah hanyalah suatu tipu daya. Sebenarnya jika diperhatikan makna tersirat bagi sekular ialah “al-Laa’diniyyah”, yakni tanpa agama atau “al-Laa’aqidah” yakni tanpa akidah. Syaikh Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut perkara ini di dalam penulisannya tentang sekularisme, istilah “al-Laa’diniyyah” bukanlah maksud terkeluar daripada agama (murtad) tetapi merujuk kepada sebuah fahaman pemikiran yang menjarakkan agama daripada urusan politik.

Fahaman sekular tidak terikat dengan prinsip dan pandangan agama. Sebaliknya berasaskan kepada apa yang dipandang baik oleh nafsu pemerintah walaupun berselindung di sebalik nama demokrasi, konsultasi dan sebagainya. Sedang Islam adalah satu agama yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk urusan pemerintahan negara mestilah tunduk dan patuh kepada hukum Ilahi.

Sekularisme mengakui kekuasaan yang mutlak, hak yang mutlak bagi umat manusia, apa yang dihalalkan oleh manusia ia adalah halal sekalipun semua agama langit bersepakat tentang pengharamannya. Apa yang menariknya kini pemikiran sekular moden gemar berselindung atas nama “maqasid syariah” sedangkan apa yang dilakukan golongan sekular ini ialah “mafasid nafsiyah”. Sedangkan Islam adalah satu agama yang merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk urusan pemerintahan negara mestilah tunduk dan patuh kepada hukum Ilahi, bukan memanipulasi hukum syariat demi kepentingan peribadi dan parti.
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنْ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ. أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنْ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ. يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” (surah al-Maidah ayat 49 - 51)

Sekularisme bukan hanya sekadar berpandangan politik suku agama suku tetapi dengan menyempitkan ruang lingkup agama, itu juga termasuk dalam sekularisme seperti beramal dengan Islam secara separuh. Apa yang memberi keuntungan dan kemudahan diterima pakai manakala yang mendatangkan kesusahan ditolak tepi. Sebab itulah perbuatan ini ditempelak oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 85;
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ
“Adakah kamu percaya (beriman) kepada sebahagian kandungan Kitab (al-Quran) dan ingkar akan sebahagiannya?”

Pertentangan antara Islam dan sekularisme sememangnya tidak akan menemui noktah terakhir disebabkan kedua-duanya mempunyai asas kepercayaan dan pemikiran yang berbeza. Maka tidaklah menghairankan apabila PAS yang mendukung Islam sebagai gagasan perjuangannya sentiasa dilihat mempunyai pertentangan dengan sesiapa sahaja sama ada individu dan kumpulan yang mendukung sekularisme. Ini kerana sekularisme secara antologi bererti membuang segala yang bersifat syariat dan keyakinan terhadap akidah yang dianggap mistik, mitos dan tidak relevan oleh penganut-penganut sekular. Sedangkan Allah telah berfirman mengenai urusan kehidupan umat manusia adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya sebagaimana di dalam surah al-Dzariyat ayat yang ke 56;
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِي
“Dan tidak Aku mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku.”

Sekularisme adalah natijah kepada serangan pemikiran yang dihadapkan kepada umat Islam. Ia berfungsi untuk membendung semangat beragama yang ada pada umat Islam sekaligus mereka mampu mematahkan usaha penguasaan terhadap umat Islam. Kealpaan dan sikap tidak mengambil berat merupakan agen pembunuh yang sangat berbahaya. Ia mampu membunuh stamina perjuangan seorang aktivis sekaligus mampu melumpuhkan sebuah Gerakan Islam yang besar jika kehadirannya tidak dibanteras. Islam adalah suatu agama yang optimis, sensitif dan responsif, ia melarang umatnya beku membatu diri, pasif dan dhaif. Sungguhpun suatu kenyataan bahawa kini umat islam telah ditekan dan ditindas serta dikepung dari segenap arah oleh musuh-musuh Islam yang begitu ramai dan memiliki segala kelebihan maddiyah.

Namun, sebagai seorang pemuda Muslim, kenyataan itu tidak sewajarnya menjadikan kita kaku dan berputus asa terhadap amal Islami malah sebaliknya menyemarakkan semangat perwira dan jiwa kepemudaan untuk menghadapi segala kemungkinan . Justeru Islam bukanlah satu agama yang menjanjikan kemenangan dan kejayaan di dunia malah ia satu agama yang membawa berita gembira untuk kemenangan di dunia dan di akhirat.

Penguasaan sekularisme akan tiba hari dan saatnya untuk ia jatuh tersungkur mencium bumi bersama kebesaran dan keangkuhan mereka. Namun khabar gembira ini adalah suatu yang amat mahal nilai harganya. Ia tidak mungkin berlaku tanpa pengorbanan dan kegigihan pejuang-pejuang Islam yang tidak mengenal erti penat dan putus asa, demikianlah sunnatullah;
إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَيَتَّخِذَ مِنْكُمْ شُهَدَاءَ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.” (surah Aali-Imran ayat 140)

Kepada para pejuang Islam mestilah yakin dengan janji Allah ini yang berbunyi;
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (surah al-Nuur ayat 55)

مَن كَانَ يَظُنُّ أَن لَّن يَنصُرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ فَلْيَمْدُدْ بِسَبَبٍ إِلَى السَّمَاء ثُمَّ لِيَقْطَعْ فَلْيَنظُرْ هَلْ يُذْهِبَنَّ كَيْدُهُ مَا يَغِيظُ
“Siapa yang menganggap bahawa Allah sekali-kali tidak akan menolong (perjuangannya), maka biarkanlah dia memanjat langit dan cari kepastian; apakah itu semua boleh menghilangkan kemarahannya (kepada Qada’ dan Qadar Allah).” (surah al-Hajj ayat 15)

Kita bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang-orang Islam. Kita bersyukur kepada Allah yang telah menjadikan kita umat Nabi Muhammad sallallahu‘alaihi wasallam. Maka janganlah kita mengambil fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam, fahaman-fahaman yang tidak diredhai oleh Allah. Sebagai orang Islam, kita mesti yakin bahawa agama kita adalah agama yang lengkap, agama yang meliputi semua aspek kehidupan manusia. Kita mesti menjadi orang yang menghayati dan megambil keseluruhan aspek ajaran agama Islam, bukan mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian. Allah memerintahkan dalam al-Quran sebagai tanda orang beriman;
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya.” (surah al-Baqarah ayat 208)

Jika kita mengikuti cara penghidupan yang telah dibawa oleh Islam, nescaya kehidupan manusia akan bahagia dunia dan akhirat. Seseorang akan terus meningkatkan dirinya sendiri, meningkatkan ilmu dan kemahirannya untuk dimanfaati dan memanfaati. Keluarga akan bertambah utuh dan harmoni kerana hubungan kekeluargaan akan sentiasa kuat dan mesra. Masyarakat akan bertambah maju dan ada sifat saling tolong-menolong. Dan hubungan kita dengan Allah akan bertambah dekat lagi.

Begitulah ajaran Islam. Maka barangsiapa yang menolak ajaran Islam akan menghadapi kesusahan di dunia ini dan di akhirat. Kita mesti berbangga dengan Islam. Kebanggaan kita dengan Islam bukan hanya dengan mulut sahaja. Adakah kita hanya mengatakan bahawa, “Saya berbangga menjadi orang Islam”, “Saya memandang rendah terhadap mereka yang tidak berugama Islam kerana mereka tidak akan dimasukkan ke dalam syurga” ?! Tetapi kita kaji diri kita sendiri. Adakah kita mengikut semua ajaran dan panduan Islam? Atau adakah kita mengambil Islam dalam ibadahnya sahaja dan mengambil fahaman yang bukan dari Islam dalam aspek kehidupan kita yang lain? Tidakkah kita malu jika diperkatakan oleh orang bukan Islam bahawa orang Islam mundur dari sudut ekonomi dan pelajaran? Adakah salah Islam itu sendiri atau salah diri kita sebagai penganut ajaran Islam yang tidak mengikut 100% ajaran Islam?

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan bekas Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia