© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Naqib: Tugas dan Tanggungjawab Beberapa Pelajaran Untuk Dikaji

Naqib: Tugas dan Tanggungjawab Beberapa Pelajaran Untuk Dikaji

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 13 January 2016


Naqib adalah teras jemaah kerana ia memiliki hak tarbiyah, takwin, pengambilan baiah, pengaliran qiadah, membuat keputusan (qarar) dan menyimpan rahsia jamaah termasuklah qiadah. Kata Said Hawwa dalan Madkhal li Dakwah al-Ikhwan al-Muslimin, bahawa naqib yang benar-benar bermutu jarang dapat dilahirkan dan ia bersesuaian dengan sabda Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam;
النَّاسُ كَإِبِلٍ مِائَةٍ، لَا تَجِدُ فِيهَا رَاحِلَةً
“Manusia yang ramai seumpama unta-unta yang beratus-ratus jumlahnya, tetapi tidak dapat diperolehi dari kalangannya yang sesuai untuk dibawa bermusafir (kerana tiada kualiti).” (riwayat Muslim)

Naqib di dalam hadis di atas ditamsilkan sebagai unta kembara. Naqib adalah pemimpin, guru, murabbi dan mujahid. Dalam artikel ini hanya beberapa tugas naqib sahaja yang akan diperbincangkan iaitu; (1). Memelihara amanah dakwah. (2) Memperkemas tanzim usrah. Dan; (3). Memelihara hak-hak syura.

Naqib adalah individu yang menyeru ke jalan Allah, ia juga merupakan tugas pendakwah yang mewarisi tugas-tugas Para Rasul iaitu mengajak masyarakat ke arah jalan yang benar. Allah telah menggariskan empat tugas terpenting yang wajib dilaksanakan oleh Para Rasul dan para da’ie ini. Firman Allah;
كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ
“(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.” (surah al-Baqarah ayat 151)

Empat tugas tersebut ialah;
  1. Menyampaikan dakwah kepada manusia
  2. Menggilap jiwa manusia
  3. Mengajar manusia al-Kitab dan al-Hikmah
  4. Mengalihkan kecenderungan manusia daripada kegelapan kejahilan dan kesesatan kepada sinaran keilmuan dan petunjuk kebenaran
Allah mengancam kepada sesiapa yang mengabaikan tugas yang mulia ini dengan azab yang amat pedih;
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِن بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُوْلَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاَّعِنُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (surah al-Baqarah ayat 159)

Tugas naqib seterusnya ialah memperkemas tanzim iaitu menentukan bidang-bidang tugas dan kewajipan, melantik individu-individu pelaksana tugas tersebut serta menjangkau masa yang diperlukan oleh amal demi untuk mencapai matlamat yang dikehendaki. Pelaksanaan tugas secara sistematik adalah wajib ke atas jamaah Islam kerana faktor-faktor berikut;
  1. Kekuatan dan kesatuan hanya lahir dari kerja-kerja yang bertanzim dan berperencanaan (تخطيط) yang sistematik.
  2. Allah mengisyaratkan bahawa seluruh alam ini berjalan mengikut ketentuan-Nya (tanzim), maka semua kerja amali berpedoman kepada isyarat tersebut.
  3. Kejayaan segala bentuk amal sama ada kecil atau besar bergantung kepada tanzim. Oleh itu ia adalah wajib berdasarkan kepada kaedah (ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب).
  4. Tanzim adalah asas manhaj Islami sama ada dalam peraturan ibadat, hubungan masyarakat sosial, undang-undang kenegaraan, dakwah, peperangan dan sebagainya.
  5. Menghidupkan kembali seluruh aspek amal Islami dalam segenap sudut serta mengembalikan khilafah dan Daulah Islamiyah menurut perencanaan yang bertanzim.
  6. Cabaran dan tentangan terhadap Islam yang bersifat tempatan dan antarabangsa mewajibkan amal bertanzim.
Jamaah Islam mestilah diarahkan kepada tanzim yang kemas dan cekap kerana tanpanya banyak kerja yang akan tergendala dan terbengkalai. Berdasarkan kepada Sirah al-Nabawiyah, Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam yang dibantu dengan wahyu itu pun turut melaksanakan perancangan secara bertanzim, maka “min bab aula” ke atas seluruh para da’ie untuk bekerja secara bertanzim.

Keperluan-keperluan amal jama’ie yang bertanzim ialah:
  1. Tanzim tertegak di atas qiadah yang bertanggungjawab dan anggota bawahan yang saling terikat (bersatu hati)
  2. Tanzim berdiri di atas kefahaman yang jelas yang menggariskan tali hubung antara qiadah dan pihak bawahan atas asas syura yang mulzimah dan ketaatan yang jelas.
Kesemua keperluan ini dibahagikan kepada dua bahagian;

Bahagian Pertama : Syarat-syarat tanzim yang baik
  1. Memiliki qiadah yang memahami matlamat dan mengetahui wasilah-wasilah serta mampu merencana untuk mencapai matlamat tersebut.
  2. Tanzim yang berasaskan manhaj keilmuan dan tarbiah yang sejahtera serta perencanaan yang lengkap.
  3. Perlaksanaan tanzim mestilah seimbang, tetap dan utuh.
  4. Tanzim mampu menghimpunkan seluruh anggota di mana sahaja mereka berada.
  5. Thiqah (kepercayaan) yang mendalam antara barisan qiadah dan pihak bawahan.
  6. Setiap orang bekerja mengikut kemampuan, kebolehan, kelayakan, keupayaan dan persediaan masing-masing.
  7. Tanzim yang dikuasai oleh peraturan yang mengawal perlaksanaan perkara-perkara di atas.
Bahagian Kedua : Sebarang teori yang hendak dikemukakan sebagai tanzim mestilah:
  1. Bersifat fitrah dan tidak mengatasi hubungan fitrah sesama muslimin.
  2. Terbit dari nas-nas (al-Quran dan al-Hadis) atau menyokongnya.
  3. Berdasarkan syura pada perkara yang tiada nas (لا نص فيه)
  4. Tidak dimasukkan ke dalam tanzim kecuali setelah diuji secara praktikal.
  5. Rangka tanzim mestilah disokong oleh nas atau pengalaman supaya wujud kemantapan (ثوابت) teori tanzim.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian naqib dalam pengurusan tanzim ialah;
  1. Tanzim adalah rahsia usrah berdasarkan slogan (علانية العمل وسرية التنظيم)
  2. Naqib boleh memanfaatkan mana-mana wasilah, teori atau teknik yang baik demi kebaikan tanzim berdasarkan sebuah hadis (خذ الحكمة ولا يضرك من أي وعاء خرجت) atau athar yang berbunyi (خذ الحكمة ممن سمعتها، فإن الرجل ينطق بالحكمة، وليس من أهلها، فتكون كالرمية خرجت من غير رام)
  3. Kegagalan tanzim selalu berlaku kerana individu pelaksana tanzim hanya dipilih dari kalangan ikhwah yang berkeupayaan dari sudut keilmuan, pidato dan memberi taujihat tanpa berkebolehan dari sudut berorganisasi.
Peringkat seterusnya ialah memelihara hak-hak syura. Syura adalah rukun tanzim, Allah mengambil perhatian berat terhadap sistem syura sehingga dikhususkan sebuah surah yang bernama surah al-Syura. Antara dalil-dalil syura ialah;
وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ
“Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah.” (surah Aali Imran ayat 159)

 وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.” (surah al-Syura ayat 38)

Antara hak-hak syura ialah;
  1. Syura diserahkan kepada ahlinya (المُسْتَشَارُ مُؤْتَمَنٌ). Ahli syura adalah terdiri di kalangan mereka yang mendekatkan diri kepada Allah dan bersifat adil. Mereka melaksanakannya sebagai suatu ibadat dengan tujuan menolak kemafsadatan dan mengambil kemaslahatan seterusnya meletakkan keazaman kepada Allah terhadap keputusan yang diambil.
  2. Bermesyuarat sama ada pada perkara-perkara yang tiada nas (لا نص فيه), kaifiyat pelaksanaan nas atau masalah teknikal dan duniawi yang tidak bertentangan dengan syara’.
  3. Ahli syura haruslah berkomitmen dengan keputusan ketua selama ia menepati dasar-dasar Islam.
Kata Imam al-Tartusi;
المستشير وإن كان أفضل رأياً من المستشار فإنه يزداد برأيه رأيا
“Orang yang mengajak musyawarah sekalipun ia memiliki pandangan yang lebih baik berbanding ahli-ahli yang diminta pendapat (ahli mesyuarat) ia dapat menambahkan lagi pandangannya dengan pendapat-pendapat lain.”

Akhirnya, seseorang naqib itu sedang memikul satu tanggungjawab yang besar. Keikhlasan hati, pengorbanan yang maksima dan terlalu berharap kepada natijah dari kerja-kerja yang dilakukan mesti ada dalam diri naqib lantaran di akhirat kelak hanya disoalkan mengenai tanggungjawab mereka dan bukanlah hasil dan buahnya. Naqib mestilah menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain walaupun manusia berbuat jahat kepadanya.

Biodata Penulis

Susunan Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-