© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Keikhlasan Terhadap Perjuangan Islam

Keikhlasan Terhadap Perjuangan Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 3 January 2016


Keikhlasan adalah rahsia antara seorang pejuang dengan Tuhannya. Ia pula menjadi sumber utama yang menentukan nusrah (pertolongan) dalam mencapai kemenangan daripada Allah. Keikhlasan seorang pejuang merupakan jambatan utuh antara dirinya dengan Allah dan ini memudahkan urusan membina hubungan erat (taqarrub) yang berterusan. Melalui hubungan erat inilah pula akan disalurkan pertolongan dan kemenangan.

Masakan tidak, kerana keikhlasan melahirkan kesungguhan bekerja dan bertugas tanpa mengharapkan balasan atau imbuhan dunia yang sedikit. Kesungguhan tersebut pula akan menghasilkan kualiti perjuangan yang tinggi malah turut merningkatkan reputasi pejuang itu sendiri.

Keikhlasan turut berfungsi sebagai formula yang sangat berkesan untuk membunuh virus yang terbit dari sifat mazmumah (negatif) seperti;
1- Riya’ : رياء (bekerja untuk diperlihatkan kepada umum kononnya ia seorang yang rajin dan tekun sedang prestasinya merosot jika tiada orang melihat aksinya)
2- U’jub : عجوب (bangga diri kerana telah banyak memberi sumbangan kepada jamaah dan merasakan orang lain tidak sepertinya)
3- Hubbu Riyasah : حب الرياسة (cinta jawatan sehingga mendorong berlakunya lobi melobi, politik cantas, gerakan sulit menjatuhkan rakan, membunuh karektor, fitnah) dan sebagainya yang merosakkan keikhlasan beramal dengan amal Islami.

Tanpa keikhlasan dalam perjuangan, biarpun sehebat mana pengaruh dan publisiti yang berjaya diraih kesannya sangat memudaratkan jamaah. Paling minima kesan yang bakal diterima ialah hilangnya keberkatan dan kemanisan berjuang. Seterusnya mencetuskan pelbagai konflik dalaman yang melambatkan perjalanan jamaah dan kemuncaknya ialah Allah swt membatalkan jadual kemenangan yang telah dijanjikan-Nya.

Petanda Ikhlas Seorang Pejuang

Petanda Satu : Nawaitu yang jelas dan tepat hanya kerana Allah, tidak kerana target nak jadi ketua atau seumpamanya sehingga melanggar disiplin amal Jama’ie atau membina imej diri sehingga merempuh sistem syura dalam amal Islami.
 إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَ إِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا  نَوَى  فَمَنْ كَاْنَتْ هِجْرَتُهُ إِلى  اللهِ وَ رَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلى اللهِ وَ رَسُوْلِهِ وَ مَنْ كَاْنَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
“Sesungguhnya amalan berasaskan niat dan sesungguhnya bagi setiap individu terpulang kepada apa yang diniatkan, maka barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya  kembali kepada Allah dan Rasul-Nya dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia (tujuan keduniaan) yang  ingin diperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kembali kepada tujuan asal hijrah yang ia lakukan.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Nawaitu yang betul sangat diperlukan oleh seorang  pejuang kerana ia kelak akan berfungsi sebagai senjata dan penangkis agar ia tidak gugur dari perjuangan suci ini sekalipun diuji dan digoncang perasaannya. Hasil nawaitu yang ikhlas ini mercerna 5 sifat positif bagi seorang pejuang iaitu ;

السكينة  النفسية - Jiwa  yang tenang

القوة الروحية - Rohani yang kuat

الإستمرار في العمل - Istiqamah terhadap tugas

تحويل العاديات إلى العبادات  - Semua tugas menjadi ibadat

احراز ثواب العمل - Beroleh ganjaran dalam tugas

Petanda Dua : Bekerja dan bertugas walau tanpa jawatan.  Jawatan hanya menjadi alat dan pengagihan tugas, bukan platform amal. Sikap hanya aktif  semasa memegang jawatan dan menghilangkan diri dikala tidak berjawatan adalah sikap negatif yang menzahirkan ketidakikhlasan dalam perjuangan. Contohilah Khalid ibn al-Walid yang menerima surat pemecatan di tengah medan perang dari Amir al-Mukminin Umar al-Khattab, tetapi Khalid al-Walid meneruskan perjuangan sehingga perang selesai, baharulah surat itu diwartakan kepada umum.

Lantas sahabat mempersoalkan kenapa Khalid al-Walid terus berperang walhal ia tidak lagi menjadi ketua turus tentera waktu itu. Khalid al-Walid mengemukakan jawapan yang cukup jelas mempamerkan keikhlasan seorang pejuang bahawa ia berjuang dan berperang bukan kerana Umar tetapi kerana Allah.

Petanda Tiga : Bersedia menerima dan memberi nasihat atau teguran, kerana sikap ini bukan sahaja menyuburkan budaya التناصح (nasihat-menasihati) dikalangan anggota parti / jamaah malah menyemarakkan semangat keikhlasan berjuang. Justeru mereka yang memperjuangkan kepentingan peribadi dan merasakan hanya dirinya yang betul, pasti tidak akan memiliki sikap tersebut.
الَدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ، قُلْنَا لِمَنْ؟ قَالَ؛ لِلَّهِ وِ لِكِتَابِهِ وَ لِرَسُوْلِهِ وَ لأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَ عَامَتِهِمْ
“Agama ialah nasihat, lantas kami bertanya; Bagi siapa? Rasulullah menjawab, bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin muslimin dan orang-orang awam mereka (Muslimin).” (riwayat Muslim)

Petanda Empat : Tidak bermain alasan untuk mengelak diri dari aktiviti jamaah. Sebaliknya gigih berikhtiar untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam apa jua keadaan sekalipun.
لَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَن يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ
“Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”

إِنَّمَا يَسْتَأْذِنُكَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَارْتَابَتْ قُلُوبُهُمْ فَهُمْ فِي رَيْبِهِمْ يَتَرَدَّدُونَ
“Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.” (surah al-Taubah : 44 - 45)

Petanda Lima : Bersedia menerima arahan dalam apa jua keadaan sungguhpun arahan itu tidak bersesuaian dengan keinginan diri. Sanggup mengenepikan kepentingan peribadi demi bukti sebuah keikhlasan.

Petanda Enam : Prihatin terhadap keperluan jamaah. Memberi tumpuan penuh dan serius terhadap jadual aktiviti dan keperluan semasa dengan rasa tanggungjawab, tidak hanya menanti surat jemputan atau arahan. Rasa terpanggil untuk menunaikan keperluan jamaah adalah sikap yang mempamerkan keikhlasan seorang pejuang.

Petanda Tujuh : Tolak ansur dalam mengendali gerak kerja dan masalah jamaah jua menjadi cermin ke arah melahirkan jiwa yang ikhlas. Tabiat mementingkan diri sendiri  adalah jelas bertentangan dengan prinsip keikhlasan.

Petanda Lapan : Menghormati generasi terdahulu sekalipun mereka serba kekurangan kerana mereka sekurang-kurangnya menjadi mata rantai menyambung perjuangan suci ini.

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata; Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.” (surah al-Hasyr : 10)

Petanda Sembilan : Post mortem dan muhasabah aktiviti yang telah dijalankan. Pejuang yang ikhlas tidak bersikap sambil lewa terhadap aktiviti jamaah yang dilaksanakan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (surah al-Hasyr : 18)

Petanda Sepuluh : Mengakui dan menginsafi kesilapan yang dilakukan agar ia tidak berulang kembali. Pejuang yang ikhlas tidak teragak-agak dan malu untuk akui kesilapan malah segera insaf dan bertaubat.

Petanda Sebelas : Jaga rahsia jamaah, justeru ia suatu amanah yang mesti dipelihara oleh setiap anggota dan pimpinan. Perbuatan membocorkan rahsia jamaah seperti mendedahkan minit mesyuarat kepada mereka yang bukan ahli mesyuarat dan umum adalah merupakan perbuatan khianat yang tidak sewajarnya dilakukan oleh anggota atau peminpin jamaah.

Petanda Dua Belas : Menepati keputusan dan ketetapan jamaah. Ia merupakan kewajipan jamaei yang mesti dipatuhi. Mewujudkan jamaah dalam jamaah atau mesyuarat tidak rasmi selepas mesyuarat rasmi untuk merubah keputusan jamaah dan menyanggahinya adalah satu kesalahan serius dalam akhlak berjamaah.

Biodata Penulis

YB Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan ahli Parlimen Temerloh (P.88). Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat sesi 2015-2017. Mantan Ketua Pemuda PAS ini pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-