Headlines Articles :
Home » » Islam Liberal: Satu Pendedahan

Islam Liberal: Satu Pendedahan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday, 27 January 2016


Peredaran masa telah membuktikan kepada kita apa yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam kepada para sahabat. Selaku orang yang mengaku beragama Islam, al-Quran dan al-Sunnah merupakan jalan penyelesaian yang paling selamat dengan berpaksikan kepada aqidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah. Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda;
افترقت اليهود على إحدى وسبعين فرقة، وافترقت النصارى على اثنتين وسبعين فرقة، وستفترق هذه الأمة على ثلاث وسبعين فرقة كلها في النار إلا واحدة وهي الجماعة
“Umat Yahudi telah berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan maka hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh lagi masuk neraka. Umat Nasrani telah berpecah-belah menjadi tujuh puluh dua golongan maka tujuh puluh satu masuk neraka dan hanya satu golongan masuk syurga. Umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, hanya satu golongan sahaja yang masuk syurga dan tujuh puluh dua lagi akan masuk neraka dan ia adalah jamaah (golongan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah).” (riwayat Ibnu Majah)

Sehingga kini telah berlaku bermacam-macam perkara dan perpecahan di kalangan umat Islam, mereka menamakan kumpulan mereka dengan bermacam-macam gelaran dan berselindung di bawah naungan kerajaan dan juga persatuan bebas (NGO) sama ada dengan nama Islam Liberal dan sebagainya. Aliran ini menyeru ke arah pembukaan pintu ijtihad dan penyeruan ke arah kefahaman Islam yang terbuka dan progresif dengan tujuan untuk memajukan pemikiran umat Islam. Namun yang demikian, mereka mempunyai kecenderungan untuk melewati batas keagamaan apabila mereka menuntut tafsiran Islam yang pelbagai (pluralis), mempertikai syariat Allah dan hukum-hukum fiqah dengan hujah rasional serta menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama. Gerakan Islam Liberal di Malaysia, sekalipun tanpa memakai lencana ‘Islam Liberal’, ianya lebih banyak bersifat meniru apa yang sebelum ini wujud di negara-negara Timur Tengah dan Indonesia contohnya pertubuhan Sisters in Islam (SIS) yang banyak menimbulkan isu-isu kontroversi mengenai hak-hak wanita atas dasar liberalisasi.

Latar Belakang

Sebagaimana yang kita maklumi bahawa pensyariatan hukum Islam telah diamalkan oleh umat Islam sejak zaman Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam sehinggalah Mustafa Kamal al-Tarturk menghancurkan kekhilafahan Islam di Istanbul pada tahun 1924. Sepanjang kurun tersebut, tidak seorangpun ilmuwan pernah mengatakan bahawa umat Islam “meminjam” hukum-hakam yang lain untuk menutupi kekurangan - apatah lagi mengganti - hukum Islam. Para fuqaha’ Islam pada masa lalu, telah mampu meng-istinbath (menggali) berbagai-bagai hukum sebagai penyelesaian terhadap pelbagai masalah melalui sumber-sumber hukum Islam. Sebaliknya, pada hari ini, di tengah kemunduran tahap berfikir umat Islam serta penjajahan pemikiran terhadap mereka, umat Islam menjadi bingung, tidak tahu jalan menuju kemajuan yang sahih.

Ini berikutan perubahan teknik peperangan musuh daripada menggunakan senjata kepada kaedah merosakkan aqidah dan pemikiran umat Islam. Hal ini lebih jelas dalam ucapan Raja Louis ke 9 di hadapan tentera Salibiyah selepas dibebaskan daripada penjara Dar Ibnu Luqman, Mansurah Mesir, katanya;
إذا أردتم أن تهزموا المسلمين فلا تقاتلوهم بالسلاح وحده، فقد هزمتم أمامهم في معركة السلاح، ولكن حاربوهم في عقيدتهم
“Jika kamu ingin menewaskan orang-orang Islam maka jangan perangi mereka dengan senjata semata-mata, telah terbukti kamu tewas, akan tetapi tumpukanlah serangan kamu terhadap akidah mereka.”

Sekarang mereka telah berjaya mewujudkan kelompok umat Islam yang liberal terhadap agama. Maka timbullah apa yang dipanggil Islam Liberal. Setiap individu dengan mudah boleh menyatakan, “hukum ini dan itu adalah tidak bertentangan dengan Islam”; “pemikiran ini dan itu adalah bersumber daripada Islam”. Pada akhirnya mereka tidak terpanggil untuk menggali lebih mendalam akan khazanah ilmu Islam. Jadi, menurut mereka, setiap orang berhak menyatakan pemahamannya (pemikiran liberal) atas nilai-nilai Islam.

Padahal sesungguhnya, pemikiran Islam liberal ini tidak lain merupakan usaha untuk mempermainkan nas-nas syariat, melakukan interpretasi yang salah terhadapnya dan menundukkan kesimpulan hukum pada akal fikiran. Saidina Ali bin Abi Talib radhiallahu anhu meriwayatkan sebuah hadis daripada Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam yang berbunyi;
لو كان الدين بالرأي لكان أسفل الخف أولى بالمسح
“Sekiranya agama itu berdasarkan akal (pemikiran liberal dan logik) maka bahagian tapak khuf lebih layak untuk disapu (dibersihkan).”

Sesungguhnya kehadiran pemikiran Islam Liberal adalah dengan maksud dan tujuan untuk memutarbalikkan kebenaran Islam, menabur keraguan, untuk mendangkalkan keyakinan umat, dan berusaha untuk menjauhkan mereka. Bahkan, sampai satu tahap, mereka berusaha mendorong umat agar memeluk keyakinan baru iaitu peri pentingnya masyarakat beragama Islam menerima sekularisasi, emansipasi wanita (pembebasan wanita dan feminisme) dan menyamakan agama Islam dengan agama lain (pluralisme teologis). Gerakan feminisme yang timbul di Barat sebagai contoh adalah bertujuan mewujudkan persamaan di antara lelaki dan perempuan (gender equality), juga mempengaruhi pemikiran Islam liberal. Aliran feminisme Islam Liberal biasanya menuntut persamaan hukum-hakam syariah antara lelaki dan wanita. Perbezaan hukum syarak antara wanita dan lelaki Islam dianggap tidak adil oleh mereka. Oleh yang demikian, setiap apa yang menjadi hak kaum lelaki, mestilah juga menjadi hak kepada wanita. Maka, sebarang perbezaan hak atau keistimewaan yang terdapat di antara lelaki dan wanita mestilah dihapuskan kerana bagi mereka ia bersifat diskriminasi dan menindas kaum wanita.

Makna Islam Liberal

Sebagaimana yang kita ketahui antara takrif Islam dinyatakan oleh Dr. Abd al-Karim Zaidan adalah istislam (menyerah diri), khudhu’ wa al-iz’an (tunduk dan patuh), dan inqiyad liLlah (taat kepada Allah). Firman Allah;
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (surah Aali-Imran ayat 85)

Maka jelaslah kepada kita bahawa perkataan Islam membawa maksud menyerah diri, patuh dan taat kepada titah perintah Allah. Manakala perkataan Liberal bermaksud pandangan yang terbuka dan tidak terkongkong. Dalam Laman Jaringan Islam Liberal (JIL) mereka telah menafsirkan diri mereka sendiri dengan kata mereka;

“Nama Islam Liberal menggambarkan prinsip-prinsip yang kami anut, iaitu Islam yang menekankan kebebasan peribadi dan pembebasan dari struktur sosio-politik yang menindas. Liberal di sini bermakna dua: kebebasan dan pembebasan. Kami percaya bahawa Islam selalu dilekati kata sifat, sebab ada kenyataannya Islam ditafsirkan secara berbeza-beza sesuai dengan keperluan penafsirnya. Kami memilih satu jenis tafsir, dan dengan demikian satu kata sifat terhadap Islam, iaitu Liberal.”

Penggabungan dua perkataan ini dilihat sebagai satu usaha daripada pendokong aliran ini untuk menyandarkan diri kepada Islam, tetapi pada masa yang sama mereka tidak mahu terikat dengan prinsip-prinsip Islam, atau dalam erti kata lain kebebasan dan pembebasan daripada kekangan akidah, ibadah dan akhlak.

Apa yang saya perhatikan aliran ini seakan menganggap Islam yang terkandung nas-nas al-Quran dan al-Sunnah adalah Islam terkongkong dan terbelenggu serta tidak bebas. Maka mereka berusaha untuk mebebaskan Islam dari sebarang keterikatan terhadap nas-nas syara’. Caranya ialah dengan menafsirkan, mangolah atau menafikan apa jua dalil syara’ agar bersesuaian dengan kehendak pemikiran mereka. Padahal pemikiran mereka berteraskan falsafah yang dipegang oleh Dunia Barat yang mereka anggap bertamadun.

Oleh itu dapatlah kita nyatakan bahawa Islam Liberal adalah satu ungkapan yang membawa erti “Islam yang menuju ke arah kebebasan dan lebih moden”. Ini merupakan satu penyelewengan yang jelas lagi nyata kerana Islam Liberal lebih menekankan kepada kebebasan dalam kehidupan tanpa ada sekatan dan halangan. Mereka berhujjah dengan salah satu daripada firman Allah yang berbunyi;
لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىَ لاَ انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (surah al-Baqarah ayat 256)

Ayat ini sebenarnya menerangkan tentang paksaan dalam berdakwah kepada golongan non-Muslim, tiada paksaan kepada mereka sama ada untuk menerima Islam mahupun tidak. Akan tetapi jikalau telah memeluk Islam dan sememangnya berketurunan Islam, maka wajib ke atas mereka untuk berada dalam Islam dan memegang agama dengan sebenar-benarnya tanpa ada penambahan atau pengurangan.

Maksud Pluralisme

Pluralisme yang dimaksudkan di sini ialah fahaman yang manganggap dan menyamakan agama Islam dengan agama lain (pluralisme teologis). Pemikiran yang menganggap semua agama itu sama telah lama masuk ke beberapa negara Islam. Akhir-akhir ini pemikiran ini menjelma menjadi sebuah gerakan baru. Sebenarnya umat Islam sejak duhulu telah biasa hidup dalam kepelbagaian agama dan menerimanya sebagai realiti masyarakat. Piagam Madinah dengan jelas telah berjaya menyusun kepelbagaian agama ini dan para ulama telah pula menjelaskan hukum-hukum yang berkaitan.

Kesalahan yang paling ketara ialah apabila menganggap realiti kepelbagaian agama dan fahaman pluralisme teologis sebagai sama sahaja. Lalu menganggap ia adalah sunnatullah. Padahal kedua-duanya sangat berbeza. Yang pertama (kepelbagaian agama) adalah satu keadaan di mana berbagai-bagai agama wujud dalam suatu masyarakat atau negara. Sedangkan yang kedua (pluralisme teologis) adalah suatu fahaman yang menjadi fokus dalam disiplin sosiologi, teologi dan falsafah agama yang berkembang di Barat dan juga agenda penting globalisasi.

Oleh itu pluralisme teologis adalah bertentangan dengan Islam. Firman Allah berbunyi;
 إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسْلامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ إِلاَّ مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya. (Perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.”  (surah Aali-Imran ayat 19)

Oleh itu, menganggap pluralisme agama sebagai sunnatullah adalah anggapan yang berlebihan dan tidak benar. Dalam fahaman pluralisme teologis yang berkembang di Barat sendiri terdapat sekurang-kurangnya dua aliran yang berbeza: iaitu fahaman yang dikenali dengan program teologi global (global theology) dan fahaman kesatuan agama-agama (Transcendent Unity of Religions). Kedua-dua aliran ini telah berkembang dan mempunyai gagasan, konsep dan prinsip masing-masing yang akhirnya menjadi fahaman yang sistemik.

Islam Liberal : Anak Kandung Barat

Barat sengaja melontarkan pelbagai istilah dan pemikiran dengan trend politik mahupun ideologi. Semua itu bertujuan untuk meragukan keyakinan umat terhadap pemikiran Islam serta melakukan permainan istilah yang berbahaya; semata-mata kerana ketakutan mereka melihat kebangkitan umat Islam. Mereka mecipta pemikiran nasionalisme, demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan, globalisasi, dan sebagainya; termasuk dalam hal ini adalah apa yang dikenal dengan istilah “Islam Liberal” dan “Pluralisme teologis”. Mereka beranggapan bahawa gerakan liberalisasi yang dilakukan adalah satu-satunya alternatif yang melakukan usaha penyatuan di antara agama (faith) dan akal fikiran (reason). Mereka melihat majoriti umat Islam mengikut aliran tradisionalis konservatif yang jumud dan tidak memberi ruang kepada akal fikiran untuk berperanan dan berijtihad. Lebih dari itu, golongan fundamentalis dikatakan telah berusaha untuk memonopoli pemahaman Islam, sehingga apa sahaja pandangan yang tidak sesuai dengan kerangka berfikir mereka akan dicap sebagai tidak Islamik.

Charles Kurzman, profesor sosiologi agama di Universiti North Carolina, memperkenalkan istilah atau gerakan baru di Dunia Islam ini dalam bukunya, Islamic Liberalism. Sebenarnya, Kurzman bukan orang pertama, kerana sebelumnya telah muncul Leonard Binder seorang sarjana berketurunan Yahudi yang cuba menyebarkan fahaman tersebut dalam bukunya, Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies. Kurzman menyatakan tiga gagasan mengenai Islam liberal (hal ini mungkin boleh dijadikan asas aliran tersebut), iaitu:-
  1. Syariah liberal, (“liberal shari’a” argues that the revelations of the Quran and the practices of the Prophet command Muslims to follow liberal positions).
  2. Syariat senyap, (the “silent shari'a’ holds that coexistence is not required by the shari'a, but is allowed. This trope argues that the shari'a is silent on certain topics-not because divine revelation was incomplete or faulty, but because the revelation intentionally left certain issues for humans to choose).
  3. Penafsiran syariat (interpreted shari’a, this third trope suggests that religious diversity is inevitable, not just among religious communities but within Islam itself).
Selain itu, secara ringkas, aliran Islam Liberal ini sebenarnya berakar pada idea demokrasi. Pemikiran-pemikiran lain sebagai asal-usulnya akan terlihat sangat bertumpu di atas fahaman demokrasi ini; seperti gagasan pemisahan negara dengan agama, hak-hak wanita dalam kepemimpinan politik dan kekuasaan, kebebasan penafsiran teks-teks agama, kebebasan berfikir dan berpendapat, toleransi beragama, dialog dan keterbukaan antara agama, pluralisme dan sebagainya.

Pemikiran mengenai hubungan negara dengan agama (Islam) merupakan persoalan kritikal yang paling banyak mendapat penolakan dan tentangan dari pendokong Islam Liberal. Pemahaman yang sering dipakai;
  1. Negara Islam tidak pernah dikenal dalam sejarah.
  2. Negara adalah kehidupan duniawi, berdimensi rasional, dan kolektif; sedangkan agama berdimensi spiritual dan peribadi.
  3. Masalah kenegaraan tidak menjadi sebahagian hubungkait (integral) dari Islam.
  4. Islam tidak menggariskan konsep asas pemerintahan (definitive), misalnya dalam bab kekuasaan.
  5. Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam hanya menjadi penyampai risalah, tidak mengepalai suatu institusi politik.
  6. Al-Quran dan Sunnah tidak pernah menyebut, “Dirikanlah negara Islam!” dan sebagainya.
Penolakan gagasan ini, pada akhirnya menerima secara total idea demokrasi dalam urusan kenegaraan, politik, dan pemerintahan. Hasilnya, menolak kebolehan seorang wanita terlibat dalam urusan kekuasaan adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi. Menolak keterlibatan warga negara berdasarkan perbezaan prinsip agama adalah tidak sesuai dengan demokrasi. Mengambil peraturan dan hukum-hukum kemasyarakatan dari satu agama sahaja merupakan diskriminasi atas agama lain. Kebebasan beragamanya ialah dengan menafsirkan teks-teks agama (dalil-dalil) yang menjadi gagasan liberal dan kebebasan berfikir serta berpendapat. Demikianlah, semua pemikiran asal ini akan berlindung di belakang induknya: pemikiran Barat.

Demokrasi merupakan medium paling dominan yang sekaligus melahirkan sejumlah pemikiran asas (derivation) seperti kebebasan berpendapat dan berfikir, persamaan kedudukan agama (pluralisme), hak sama rata, pergaulan antara budaya dan peradaban, dan sebagainya. Membetulkan kerosakan idea demokrasi ini akan menjadi penyelesaian primer bagi persoalan-persoalan lain.

Ini kerana, idea ini menjadi pintu masuk dan prasyarat tertegaknya idea-idea asasnya. Kurzman sendiri mengungkap, “The first trope of liberal Islam holds that the shari’a requires democracy, and the second trope holds that the shari’a allows democracy.”

Plato sendiri menilai betapa mustahilnya idea demokrasi ini. Pemerintahan demokrasi dianggap sebagai bentuk pemerintahan yang tidak sempurna, penuh dengan kecelaruan dan kekacauan. Jika rakyat diizinkan untuk membuat keputusan secara kolektif, mereka pasti hanya akan membesar-besarkan kepentingan mereka sendiri.

Parti-parti berkuasa dalam sistem demokrasi telah menjadi “Tuhan” bagi rakyatnya. Mereka menentukan halal dan haramnya suatu perkara semahu mereka. Padahal, Islam telah menetapkan bahawa pemutus halal-haram, baik-buruk, salah-benar, terpuji-tercela hanyalah Allah semata-mata sebagai Musyarri’. Kaum Muslim tidak dibenarkan berpendapat dan berperilaku liberal. Mereka mesti tunduk kepada apa yang ditetapkan oleh syariat. Mereka tidak boleh menggantikan hukum hudud dengan hukum lain berdasarkan pertimbangan akal; menggantikan sistem khilafah dengan sitem demokrasi atau kerajaan, atau meletakkan kekuasaan tertinggi negara di tangan seorang wanita, sekalipun ia Muslimah.

Allah berfirman;
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُّبِينًا
“Tidaklah patut bagi laki-laki Mukmin dan tidak (pula) bagi wanita Mukmin, jika Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Siapa sahaja yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguh dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” (surah al-Ahzab ayat 36)

Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam juga bersabda;
من قال في القرآن برأيه فأصاب فقد أخطأ
“Siapa sahaja yang menghuraikan al-Quran dengan akal fikirannya sendiri, meskipun benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan.” (riwayat al-Tirmidzi dan Ahmad)

Faktor Kemunculan Aliran Liberal

Liberalisme merupakan suatu falsafah yang muncul di Eropah kerana pergolakan kelas menengah ketika menentang hak-hak khusus pihak kerajaan, aristokrat, dan pihak gereja. Liberalisme muncul pada masa renaissance yang menjadi punca tercetusnya Revolusi Perancis dan Amerika. Yang menjadi fokus dalam fahaman liberalisme adalah kebebasan individu. Kekuasaan negara harus dipisahkan dari campurtangan agama (gereja). Liberalisme mencetuskan gagasan-gagasan liberalisasi politik (John Locke), ekonomi (Adam Smith), dan pemikiran (Jeremy Bentham dan John Stuart Mill).

Di samping itu, kebebasan beragama (liberal religious) meletakkan para pemeluknya sebagai pemegang kuasa mutlak dalam menilai teks-teks sumber agama. Liberalisme memungkinkan mereka menerima unsur-unsur asing dari luar, mereka memiliki kebebasan untuk meyakini atau menolaknya.

Selain itu khilafah Uthmaniyah pada abad ke-15 M yang menguasai sebahagian besar Dunia Islam, lebih menumpukan kekuatan fizikal dan ketenteraan. Mereka mengabaikan pengembangan Bahasa Arab, padahal ia sangat penting untuk memahami Islam dan menjadi salah satu syarat untuk berijtihad. Ia juga tidak memperhatikan masalah Islam sebagai pemikiran dan susunan hukum. Akibatnya, tahap berfikir dan praktikal tasyri’ merosot teruk.

Pada masa yang sama Eropah menemukan berbagai-bagai kemajuan di antara abad ke-16 M dan akhir abad ke-18 M. Hal ini telah menyebabkan sebahagian Dunia Islam terutamanya Timur Tengah terpesona dengan Eropah. Kaum Muslim merasakan perlunya untuk melakukan transformasi ilmu pengetahuan dari Barat pada awal abad ke-19 M.

Kesannya terjadilah pertembungan di antara umat Islam dengan peradaban Barat, meskipun pada awalnya hanya dalam aspek material (teknologi) untuk pembangunan, tetapi bersama dengan modenisasi tersebut, meresap juga pandangan-pandangan politik, unsur-unsur kemanusiaan, falsafah dan pemikiran Barat.

Sebenarnya umat Islam tidak perlu mengambil asas Barat dalam membangunkan umat. Islam mempunyai asas ketamadunannya yang tersendiri. Kelemahan dan kemunduran umat Islam bukan kerana Islam, sebaliknya kerana mereka meninggalkan Islam. Islam tulen yang sebenarnya telah dipinggirkan daripada kehidupan umat. Firman Allah;
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
“Dan berkatalah Rasul; Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” (surah al-Furqan ayat 30)

Dalam membina tamadun kegemilangan, kita tidak boleh bebaskan diri daripada ikatan-ikatan Islam, kononnya kerana inginkan kemajuan dan ketamadunan. Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan dan membebaskan diri daripada ikatan Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, maka tidak perlu kita membinanya atas nama Islam.

Apabila kita ingin membina kemajuan dan ketamadunan atas nama umat Islam, maka kita mesti terikat dengan kehendak dan peraturan Islam. Pembebasan daripada peraturan Islam ini menjadikan kemajuan dan tamadun yang dicapai tidak bererti dan sangat rapuh. Dalam hal ini kata Syaikh Dr. Yusof al-Qaradawi dalam al-Sunnah Masdaran Li al-Ma’rifat wa al-Hadharat;

“Hadharah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan. Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadharah Islamiyah (Tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara roh dan kebendaan. Ia sebenarnya tamadun kerohanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jemaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan wasatiyyah.”

Ideologi Liberal

Dalam artikel ini, kita akan melihat sepintas lalu idea-idea pokok Islam liberal dan sekaligus melihat latar belakang ideologinya;
  1. Kritikan terhadap teks al-Quran;
  2. Idea pluralisme teologis;
  3. Penolakan terhadap Syari’at Islam.
Bagi Islam Liberal teks al-Quran perlu ditafsirkan melalui kaedah hermeneutik ataupun melalui pemahaman substantif agar tidak lagi terpaku kepada pemahaman literal terhadap syari’ah, akan tetapi pemahaman yang liberal. Antara tokoh pemikiran Islam liberal yang menimbulkan kontroversi terhadap penafsiran al-Quran saat ini ialah Nasr Hamid Abu Zaid. Anak kelahiran Mesir yang kini sedang bertugas di Institut Pengajian Asia, Universiti Leiden, Belanda, telah dihukum murtad oleh Jawatankuasa Fatwa, Universiti al-Azhar, Mesir beberapa tahun lalu kerana kritikannya kepada al-Quran al-Karim dan lain-lain aspek terpenting dalam agama Islam. Dia telah menulis beberapa buah karya mengenai teks al-Quran seperti “Mafhum al-Nas: Dirasah fi ‘Ulum al-Qur’an” (Kefahaman Mengenai Teks: Satu Kajian Mengenai al-Qur’an).

Mengenai konsep wahyu dan Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam versi Nasr meletakkan Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam seorang pengarang al-Quran. Katanya lagi bahawa Nabi Muhammad sallallahu’alaihi wasallam sebagai seorang yang ummi, bukanlah penerima wahyu yang pasif, tetapi juga mengolah al-Quran, sesuai dengan keadaannya sebagai manusia biasa. Pandangan ini adalah rentetan dari pemikiran orientalis-orientalis Barat generasi awal yang telah mendakwa bahawa Islam itu adalah “agama ciptaan Muhammad” dan hukum Islam disebut sebagai “Muhammadan Law”, sementara umat Islam digelar sebagai “Mohammadun”. Seterusnya, Nasr mengkritik keras method tafsir para mufassir ternama Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah. Katanya anggapan yang menyebut bahawa autoriti tafsir adalah milik mutlak mufassirin terdahulu adalah salah.

Tuduhan itu timbul kerana golongan Islam Liberal sering melihat bahawa autoriti agama hanya akan memberi kesan negatif. Pada anggapan mereka monopoli ulama akan menatijahkan hukum pandangan selain daripada ulama sebagai tidak Islam, sesat dan sebagainya.  Selain daripada Nasr, seorang lagi pemikir kontroversi liberal Muslim ialah Muhammad Arkoun, professor pemikiran Islam di University Sorbone, Perancis. Arkoun banyak terpengaruh dengan pemikiran postmodenisme khususnya Jacques Derrida. Amat jelas terlihat metode “deconstruct” dan “no truth-claim” dalam pemikiran Arkoun. Robert D. Lee dalam kata pengantarnya terhadap buku Arkoun, “Rethinking Islam”, mengatakan;

“In the world Arkoun proposes, there would be no margins and no center, no marginalized groups and no dominant ones, no inferior beliefs and no superior, truth-producing logic.”

Kajian Arkoun mengenai al-Quran adalah dengan menggunakan pendekatan “sejarah” atau “historical method”. Antara karya-karya Arkoun yang sangat disanjung di Dunia Barat serta dalam beberapa buah Negara Islam saat ini ialah The Unthought in Contemporary Thought (2002) dan Min al-Ijtihad Ila Naqd al-Aql al-Islami (1992). Arkoun yakin bahawa kajian kritis sejarah tentang al-Quran adalah satu bentuk ijtihad. Menurut Arkoun lagi bahawa pendekatan terhadap fenomena wahyu dari perspektif umum. Dia memasukkan berbagai fenomena kitab suci dari komuniti agama lain, seperti kitab agama Hindu, Buddha, dan lebih penting lagi kitab Injil Perjanjian lama dan Perjanjian Baru.

Selain daripada bidang kajian kritis mengenai al-Qur’an, satu lagi aspek pemikiran Islam liberal yang sedang merebak saat ini ialah peri pentingnya masyarakat beragama Islam menerima adanya plurisme teologis. Alwi Shihab daripada Indonesia salah seorang pendokong aliran ini mendakwa dalam bukunya “Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka dalam Beragama”, beliau mendakwa bahawa terdapat ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 62 dan surah al-Ma’idah ayat 69 yang membuktikan agama Islam sama dengan agama lain.

Golongan liberal turut menolak pelaksanaan Syari’at Islam dengan mengatakan bahawa pelaksanaan hukum Islam pada saat ini hanya akan memberi kesan negatif kerana pelaksanaannya dianggap sangat bertentangan dengan hak-hak asasi manusia dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Abdullah al-Naim, seorang penulis yang berasal dari Sudan telah menghasilkan sebuah karya yang berjudul “Toward an Islamic Reformation” (1989) yang isinya menolak pemahaman orang Islam terhadap syari’at. Al-Naim berpendapat bahawa syari’at Islam khususnya Islamic Public Law mesti diubah kerana nas syara’ tidak perlu diikuti secara literal (harfiyyah). Kata al-Naim;

“I have shown that shari’ah was in fact constructed by Muslim jurists over the first three centuries of Islam. Although derived from the fundamental divine sources of Islam, the Qur’an and Sunnah. Shari’ah is not divine because it is the product of human interpretation of those sources.”

Sebenarnya penolakan syariat Islam secara terang dan sembunyi boleh menjejaskan akidah seseorang Muslim. Kepentingan perlaksanaan syariat melalui kuasa undang-undang dapat memperlihatkan ketinggian dan keadilan Islam. Saidina Uthman bin Affan menyebut;
إن السلطان يزع ما لا يزع بالقرآن
“Sesungguhnya kekuasaan mampu menerapkan sesuatu yang tidak mampu diterapkan oleh al-Quran.”

Melekatkan perkataan Islam dengan Liberal sama sekali tidak menjunjung Islam, malah sebaliknya. Sebenarnya Islam Liberal adalah ancaman yang merbahaya yang akan dihadapi oleh rakyat negara ini. Pelbagai peraturan akan diwujudkan atas nama agama, atau hujah yang berbau agama untuk menghidupkan masyarakat yang hidup tanpa sempadan dan batasan peraturan agama. Pemikiran “Islam Liberal” ini perlu ditolak disebabkan ia boleh membahayakan akidah umat Islam. Walaupun idea Islam Liberal dilihat bersifat reformasi tetapi ia adalah satu pembohongan terhadap Allah kerana mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan.

Berdasarkan ideologi-ideologi aliran Islam Liberal ini, dapatlah kita simpulkan juga bahawa pluralisme teologis adalah salah satu juzu’ daripada Islam Liberal. Perbincangan mengenai Islam Liberal sekaligus akan membincangkan juga plural. Bahaya aliran ini perlu didedahkan dan dibincangkan dengan lebih meluas untuk menjamin ketulenan Islam tetap terpelihara. Semoga Allah memelihara kita semua.

Biodata Penulis

Tulisan ini telah dibentangkan oleh Ustaz Hj. Anhar bin Opir dalam Seminar Cabaran Ummah Semasa di Kuantan pada Disember 2006.
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia