© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Amanah kah Kita?

Amanah kah Kita?

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 11 January 2016


Dalam tradisi ilmu Islam, amanah memiliki makna yang memenuhi lebih daripada satu pengertian. Sebagai orang yang beriman yang amanah dia mestilah yakin merasakan bahawa Allah sentiasa menyertainya dalam setiap urusan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Maksudnya seseorang itu melaksanakan apa yang ditugaskan kepadanya tanpa melakukan sebarang unsur-unsur penyelewengan dan tipu daya. Itulah konteks perjuangan para amilin PAS yang disebut tajarrud, iaitu fokus amal Islami kita hanyalah untuk Allah dan Rasul-Nya tanpa campur tangan elemen-elemen luar, tanpa terlalai dengan apa jua kepentingan selain Allah.

Pentingnya amanah kepada setiap Muslim bolehlah diperhatikan kepada hadis ketika Rasulullah ﷺ ditanya;
يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَخْبِرْنِي بِأَشَدِّ شَيْءٍ فِي هَذَا الدِّينِ وَأَلْيَنِهِ؟
“Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku apakah sesuatu yang paling berat dalam agama dan apakah yang ringan?”

Maka jawab Rasulullah ﷺ;
أَلْيَنُهُ شَهَادَةُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، وَأَشَدُّهُ الأَمَانَةُ، إِنَّهُ لا دِينَ لِمَنْ لا أَمَانَةَ
“Yang paling ringan ialah mengucapkan dua kalimah syahadat, bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu hamba juga Rasul-Nya, dan yang paling berat ialah amanah. Sesungguhnya tiada agama (tidak sempurna) bagi yang tidak amanah.” (Riwayat al-Bazar)

Firman Allah;
إِنَّا عَرَضْنَا اْلأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا اْلإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولاً
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (surah al-Ahzab ayat 72)

Allah mengangkat martabat orang yang melaksanakan amanah. Manakala hubungan manusia antara manusia akan kekal terjaga, selama amanah itu terpelihara. Begitu juga dalam negara, jika pemerintah sebagai pemegang amanah menjaga baik kemaslahatan rakyatnya, maka negara akan makmur dengan program-program berteras kebajikan.

Hal demikian menunjukkan bahawa salah satu karakter untuk membangunkan masyarakat bercirikan keadilan adalah orang-orang yang selalu memelihara amanah. Justeru, kita sama sekali tidak boleh lupa merujuk tokoh yang paling amanah dalam sejarah manusia iaitu Para Nabi dan Rasul. Merekalah contoh yang seharusnya menjadi tokoh-tokoh pegangan kita. Mereka bukan sahaja menjalankan perintah Allah secara amanah, bahkan juga melaksanakan urusan manusia secara saksama. Tidak hairanlah apabila Allah banyak memaparkan kisah-kisah mereka di dalam al-Quran sebagai model umat sepanjang zaman.

Sifat mulia pada diri Rasulullah ﷺ sebagai pemimpin umat manusia contohnya, amat terserlah dalam banyak perkara. Antaranya periwayatan yang dinaqalkan oleh Imam Ibn Jarir al-Tabari, ketika Abu Jahal dan Walid bin al-Mughirah berbincang mengenai keperibadian Rasulullah. Maka Abu Jahal berkata, “Sejak usia remajanya lagi kami sudah memanggil Muhammad sebagai al-Sadiq al-Amin.”

Sifat “al-Sadiq al-Amin” yang bersinar pada diri Rasulullah ﷺ turut menjadi kesaksian pemimpin empayar terbesar ketika itu. Dalam dialog Heraclius,  iaitu Raja Rom Byzantine (Rom Timur) dengan Abu Sufyan, ketika Heraclius bertanya kepadanya, “Apa yang diperintahnya (Rasulullah) kepada kaum kamu?”

Jawab Abu Sufyan, “Dia memerintahkan bersembahyang, jujur, menahan diri dari perkara haram, melaksanakan janji dan menunaikan amanah.”

Mendengar jawaban Abu Sufyan tersebut, Heraclius pun berkata, “Itu adalah sifat seorang Nabi.”

Jelas sekali amanah itu adalah sifat istimewa bagi para pemangku risalah sehinggakan ia turut menjadi ‘qudwah’ para pengganti selepas Rasulullah, para khulafa’ al-rasyidin seperti Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan, Ali bin Abi Talib dan khalifah-khalifah Islam seterusnya. Mereka inilah yang menggalang-ganti tugas kepimpinan nabawi, di dalam memelihara agama dan mentadbir dunia dengan amanah.

Kerana itu sesungguhnya setiap Para Nabi dan Rasul sentiasa berkata kepada kaumnya;
إِنِّي لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ
“Sesungguhnya aku adalah seorang rasul kepercayaan (yang amanah) kepadamu.” (surah al-Syu’ara ayat 107, 125, 143, 162 dan 178)

Jelasnya sifat amanah itu adalah sifat Para Anbiya’ dan Mursalin yang memikul beban tanggungjawab khusus daripada Allah. Sikap mereka ialah tidak meminta-minta jawatan itu, tetapi Allah memilih mereka berdasarkan kebenaran hati dan kebesaran jiwa mereka di hadapan manusia walaupun sering dicerca, dinista dan didustai. Tentunya antara tanda orang yang amanah ialah sikap tidak meminta-minta jawatan demi kepuasan hawa nafsu dan kemahsyuran. Rasulullah ﷺ mengingatkan;
مَا ذِئْبَانِ جَائِعَانِ أُرْسِلَا فِي غَنَمٍ بِأَفْسَدَ لَهَا مِنْ حِرْصِ الْمَرْءِ عَلَى الْمَالِ وَالشَّرَفِ
“Tidaklah dikira dua ekor serigala lapar yang dilepaskan kepada kambing itu lebih merosakkan berbanding dari tamaknya seseorang terhadap harta dan kedudukan (jawatan).” (riwayat al-Tirmizi)

Amanah merupakan salah satu elemen terpenting dalam setiap peribadi Muslim. Hukum menunaikan amanah adalah wajib, sedangkan mengkhianatinya adalah haram. Sifat orang beriman juga tidak menagih-nagih jawatan seperti anjing yang menghulurkan lidahnya, sebaliknya jawatan itu hanya ditagih apabila dalam keadaan tertentu sahaja ia menjadi wajib diterima setelah ketiadaan yang layak dan dari sudut syarak untuk jawatan itu, atau ertikata lain hukum wajib itu jatuh ke atas peribadi yang berhak menduduki jawatan itu.

Amanah adalah cabang keimanan, seseorang yang beriman mempunyai sifat amanah dan jika sebaliknya pula menandakan kekurangan imannya. Sabda Rasullullah ﷺ;
لاَ إيْمَانَ لِمَنْ لاَ أَمَانَةَ لَهُ وَلاَدِيْنَ لِمَنْ لاَعَهْدَ لَهُ
“Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang tidak ada amanah padanya, dan tidak ada agama (yang sempurna) bagi orang yang tidak menepati janji.”  (riwayat Ahmad)

Amanah tidak boleh dipandang remeh, Rasulullah ﷺ bersabda;
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، الْإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, dan anak-anaknya, dia bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap harta jagaannya.” (riwayat Bukhari)

Jika kepincangan berlaku dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, ia mengakibatkan pengagihan dana infrastruktur negara menjadi tidak seimbang, kelemahan urus tadbir akan berleluasa seperti budaya manipulasi, korupsi, eksploitasi, defisit, penipuan, curiga-mencurigai termasuklah amalan rasuah.

Sekalipun tidak sampai kepada tahap memimpin sebuah negara, syarikat atau sebagainya, kepimpinan dalam keluarga juga merupakan asas penting dalam unit masyarakat yang mesti diberi perhatian. Khususnya dalam keadaan berleluasanya gejala keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda.

Masalah itu semua bertitik-tolak kepada nilai amanah yang dilaksanakan oleh setiap lapisan masyarakat di semua peringkat. Ketahuilah bahawa kemungkaran itu bukan sekadar terhad kepada segala jenis perbuatan dosa yang dilakukan, tetapi pengabaian terhadap amanah juga merupakan salah satu dosa yang menjatuhkan seseorang ke lembah api neraka. Sabda Rasulullah ﷺ;
كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ
“Cukuplah seseorang itu berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawab orang yang wajib dinafkahi (tidak amanah).” (riwayat Abi Daud)

Orang yang amanah akan menjalankan tugasan dengan penuh dedikasi kalaupun dia dikhianati, golongan yang amanah ini tentu sekali tidak akan membalas pengkhianatan tersebut dengan pengkhianatan daripada pihaknya. Sabda Rasulullah ﷺ;
أَدِّ اْلأَمَانَةَ إِلَى مَنِ ائْتَمَنَكَ وَلاَتَخُنْ مَنْ خَانَكَ
“Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepadamu, dan janganlah engkau berkhianat kepada orang yang berkhianat kepadamu.” (riwayat al-Bukhari)

Orang yang mendakwa dirinya amanah tetapi sebenarnya tidak amanah bukan sahaja mendapat kehinaan di dunia, di hari kiamat kelak orang ini tersungkur di titian al-Sirat dan menuju dasar neraka jahannam sebagai akibat menyia-nyiakan amanah, menipu dan melanggar batasannya, sebagaimana dalam hadis;
وَتُرْسَلُ اْلأَمَانَةُ وَالرَّحِمُ فَتَقُوْمَانِ جَنْبَيِ الصِّرَاطِ يَمِيْنًا وَشَمَالاً
“Dan dikirimlah amanah dan silaturrahim, maka kedua-duanya berdiri di kedua sisi titian (al-Sirat), sebelah kanan dan kiri.” (riwayat Muslim)

Kita haruslah sentiasa beringat bahawa di sisi kanan dan kiri kita sentiasa ada Malaikat yang setia memerhatikan amalan kebaikan dan kejahatan tanpa leka. Keyakinan itulah nilai takwa yang sewajarnya dipupuk oleh setiap individu Muslim yang menggalas beban amanah, justeru mereka menikmati firman Allah Taala;
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan di hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (surah Qaaf ayat 16)

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ
“Semasa dua Malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.” (surah Qaaf ayat 17)

مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلاَّ لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ
“Tiada sebarang perkataan yang dilafazkan melainkan di sisinya Malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (surah Qaaf ayat 18)

Bagi yang menyakini sebenar-benarnya hakikat ini, mereka tidak akan sesekali leka terhadap persoalan amanah, bahkan sentiasa berusaha memperbaiki kualiti kerja, mengukuhkan integriti dan meningkatkan produktiviti pada setiap masa tanpa merasa jemu.

Coretan ini tentunya akan menjadi renungan kepada kita kepada salah satu bencana akhir zaman iaitu rosaknya keluhuran amanah, orang yang sebenarnya amanah dikata menipu manakala orang yang menipu pula mendakwa-dakwi dirinya sebagai amanah kepada khalayak. Sabda Rasulullah ﷺ;
سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خداعَاتٌ؛ يُصَدَّقُ فِيْهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذِّبُ فِيْهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيْهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيْهَا اْلأَمِيْنُ، وَيَنْطِقُ فِيْهَا الرُّوَيْبِضَةُ فِى أَمْرِ الْعَامَّةِ. قِيْلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ
“Akan tiba kepada manusia tahun-tahun yang sangat menipu, orang yang bohong dipercayai, orang yang dipercayai dituduh bohong, orang yang khianat diberi kepercayaan, orang yang amanah dianggap pengkhianat, dan ruwaibidhah berbicara dalam perkara besar. Ada yang bertanya, Apakah ruwaibidhah itu? Baginda menjawab, Orang yang hina (meminta-minta jawatan sedangkan dia tidak berhak dan layak).” (riwayat Ibnu Majah)

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-