© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Pra Syarat Kemenangan Kita

Pra Syarat Kemenangan Kita

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 13 December 2015


Kemenangan amat bermakna bagi sebuah perjuangan. Apatah lagi perjuangan yang gigih berusaha untuk mendaulatkan syariat Allah. Namun, ia tidak mudah dicapai. Kemenangan adalah anugerah Allah. Ia dikurniakan hanya kepada yang layak dan berpotensi. Kelayakan dan potensi itu pula dinilai setelah kita berjaya menepati pra syarat sebuah kemenangan.

Pra syarat kemenangan ini boleh dimiliki melalui proses pembinaan dalaman dan luaran dengan sistem pentarbiyahan yang efektif dan istiqamah. Tanpa melalui proses ini, terlalu sukar untuk memiliki pra syarat kemenangan tersebut, sementara tanpa pra syarat ini pula kemenangan tidak akan dapat dicapai sekalipun kita mempunyai pengaruh yang luas dan kekuatan fizikal yang hebat.

Ingat dan hayati apa yang telah ditegaskan melalui firman Allah;
لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُّدْبِرِينَ
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (surah al-Taubah : 2)

Memiliki Aqidah Perjuangan

Islam merupakan cara hidup yang disyariatkan oleh Allah swt kepada manusia. Ia adalah satu-satunya cara hidup yang sejahtera, adil dan tenang untuk manusia sejagat. Justeru itu Islam selayaknya dijadikan dasar dan perlembagaan hidup, samaada secara individu, bermasyarakat mahupun bernegara.

Bertolak dari noktah inilah setiap individu muslim wajib memperjuangkan Islam sehingga ia benar-benar diletakkan pada suatu tempat yang selayaknya. Namun begitu suatu hal yang wajib disedari bahawa menganut, mengamal dan mendaulatkan Islam memaksa kita berjuang menempoh mehnah dan ibtila’ (tribulasi) yang direntang oleh anasir atau agen musuh Allah di hadapan kita.

Merentasi Tribulasi

Tribulasi dalam perjuangan adalah menepati ujian dari Allah sebagai proses saringan kelayakan untuk menyandang status seorang pejuang. Firman Allah;
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّىٰ نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ
“Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang orang-orang yang benar-benar berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang benar-benar sabar (dalam menjalankan perintah Kami); sedang Kami tahu kedudukan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (surah Muhammad : 31)

Tribulasi

Tribulasi-tribulasi ini menjelma dalam beberapa keadaan dan suasana.
  1. Syaitan dan Nafsu Syahwah (Faathir : 6)
  2. Kaafirin, Munafiqin, Zholimin (al-Baqarah : 217)
  3. Kesengsaraan dan Penderitaan (al-Baqarah : 214)
  4. Ketakutan dan Kegopohan (al-Baqarah : 155)
  5. Anak pinak dan keluarga (al-Taghaabun : 14)
Bergelut dan berhempas pulas untuk memenangi atau melepasi tahap dan paras ujian tersebut itulah dinamakan perjuangan. Berasaskan pendedahan dan penegasan Ilahi melalui wahyunya, jelas kita tidak mempunyai helah dan alasan untuk mengelak diri daripada berjuang merentasi tribulasi demi sebuah kemenangan buat Islam dan umatnya.

Berpeluk tubuh (tanpa perjuangan) dengan menyaksikan konspirasi musuh-musuh Allah beraksi memusnahkan umat Islam dan jamaahnya, membiarkan ummah menjadi mangsa fatamorgana dunia dan syahwah serta akur terhadap manipulasi golongan opurtunis untuk melemahkan ummah dan jamaahnya dari dalam, adalah merupakan jenayah yang kejam dilakukan oleh seorang muslim.

Firman Allah (surah al-Taubah ayat 38 - 39);
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu; Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.”

إِلَّا تَنفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Perjuangan Satu Kebanggaan

Melibatkan diri dengan perjuangan suci ini (demi menganut, mengamal dan mendaulatkan Syariat Allah) adalah satu kebanggaan justeru ia adalah pelaksanaan kepada arahan dan amanah Allah. Firman Allah;
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.” (surah al-Baqarah : 193)

Tentu sahaja tidak sama kedudukan orang berjuang berbanding mereka yang berpeluk tubuh. Firman Allah;
لَّا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran --- dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.” (surah al-Nisa’ : 95)

Berbanggalah mereka yang berintima’ (menyatu diri) dengan gerakan Islam untuk meneruskan perjuangan suci Para Rasul as sekalipun mereka terpaksa menghadapi pahit getir dan susah sukar perjuangan ini. 

Firman Allah;
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (surah al-Taubah : 111)

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan bekas Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-