© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi

Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 22 December 2015


Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, pada dunia akhir zaman ini kita dikurniakan dengan sedikit ilmu, “...Kamu tidak diberi pengetahuan melainkan sedikit sahaja...” (surah al-Israk ayat 85)

Manusia dapat mencipta alat-alat yang canggih, untuk berpindah ke penjuru dunia dengan cepat, mendapat maklumat dalam masa yang segera, (maka) cukup bagi akhir zaman ini seorang Rasul sahaja, dengan mukjizat ilmu al-Quran al-Karim, membawa ajaran yang sama, iaitulah Islam. 

Firman Allah Taala:
أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ
“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nya lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya lah mereka dikembalikan.” (surah Aali-Imran ayat 83)

Islam adalah petunjuk Allah merentasi tujuh petala langit dan bumi, merentasi segala makhluk, bukan sahaja manusia, bahkan makhluk yang ghaib, makhluk yang nyata, makhluk yang tidak bergerak, alam dunia sehingga alam akhirat.

Rub’ie bin Amir, duta yang dihantar menemui Empayar Parsi, menegaskan;
إن الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن ضيق الدنيا إلى سعتها، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام
“Sesungguhnya Allah yang menghantar kami (iaitulah mesej Islam untuk mengajak siapa yang mahu tanpa paksaan) daripada memperhambakan diri kepada sesama makhluk, kepada memperhambakan diri kepada Allah, daripada kezaliman pelbagai ajaran, kepada Islam yang adil. Daripada wawasan dunia yang sempit, kepada wawasan yang sangat luas (daripada dunia sehingga hari akhirat).”

Menunjukkan Islam, yang disebut Ad-Din, tidak boleh ditakrifkan dengan agama dalam bahasa lain, ataupun religion dalam bahasa Barat. Buka dalam Ensiklopedia Barat, Britanicca dan sebagainya. Mereka mentakrifkan religion, mentakrifkan agama, tidak tepat dengan ad-Din yang dimaksudkan oleh bahasa al-Quran al-Karim. Kerana Islam khusus bagi manusia, di samping makhluk-makhluk yang lain, khusus bagi manusia, merangkumi fitrah, merangkumi naluri manusia itu, jasad, roh, akal, individu, masyarakat, dan hubungan manusia dengan makhluk-makhluk yang lain, menjadikan Islam merentasi seluruh alam ini.

Al-Quran menegaskan kepada kita, Islam adalah agama asal, agama-agama lain teori dan ideologi datang kemudian, Firman Allah Taala:
كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللَّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ 
“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya.” (surah al-Baqarah ayat 213)

Ibnu Abbas radhiallahu anhu menegaskan, ayat ini bermaksud manusia bermula dengan Adam alaihisalam, bukannya dengan monyet, bukan dengan zaman batu. Adam membawa ajaran Islam, agama yang asal. Setelah seribu tahun, wafatnya Nabi Adam, terdapat kalangan manusia mengadakan ajaran sendiri, agama sendiri, melantik tuhan sendiri, lain daripada Allah. Manusia yang mulia menyembah batu, binatang, dan sebagainya, mengadakan peraturan mengikut hawa nafsu.

Allah mengutuskan setiap zaman Rasul yang silih berganti, berakhir dengan Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam, yang diutuskan untuk merentasi seluruh dunia. Rasul akhir zaman yang saya maksudkan tadi, menjadi hikmat yang menakjubkan. Allah memilih Rasul itu di bumi Makkah, bumi yang kering, terpencil daripada tamadun, terpencil daripada kemajuan, dan ajaran-ajaran agama samawi dan tidak samawi yang besar. Untuk menyatakan bahawa, manusia tidak boleh menjalankan tugas di atas muka bumi, melainkan dengan membangun mengikut agenda dan peraturan Allah.

Tamadun China berbangga dengan Tembok Besarnya, Tamadun Mesir dengan Piramidnya, Tamadun Babylon dengan bangunannya. Semua tamadun berbangga dengan bangunan-bangunan yang dibina. Maka Allah membina Tamadun Islam di akhir zaman dengan membangun insan, membangun manusia. Membangun manusia dahulu mengikut fitrahnya, membangun rohnya, membangun jasadnya, membangun akalnya, membangun individunya, dan dia bangun masyarakat dan negaranya.

Sila lihat ayat-ayat yang pertama yang diwahyukan bermaksud, “...Bacalah dengan nama tuhanmu yang telah menciptakan manusia...” (surah al-Alaq ayat 1). Menyatakan ilmu membangun manusia adalah dengan ilmu Allah.

Firman Allah Taala;
لِإِيلافِ قُرَيْشٍ. إِيلافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ. فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ. الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَآمَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ
“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.” (surah Quraisy ayat 1-4)

Menjalinkan roh jasad, politik dan ekonomi, mengikut acuan Allah. Quraisy yang hidup di bumi kering, tidak ada tanaman, tidak ada air, terpaksa musafir ke Timur dan Barat mencari sumber ekonomi. Dalam masa yang sama kecintaan kepada Kaabah, dia betulkan akidah yang benar, melalui bumi yang kering ini dibangun manusia, mengikut acuan Allah.

Ilmu, iman, akhlak, ekonomi, politik dan segala-galanya, setelah tarbiyyah dalam masa 13 tahun, berhijrah ke al-Madinatul Munawwarah, dan membina masyarakat Madani. Banyak kita bercakap tentang masyarakat Madani, tanpa kita menjadi perkataan Madani, mesti diambil daripada Bahasa Arab. Madani ad-Din ataupun Tamadun, yang dihuraikan oleh Ibnu Khaldun, di dalam al-Muqaddimah. Allah menjadikan manusia satu keluarga, maka Islam merentasi Kaum dan bangsa.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (surah al-Hujurat ayat 13)

Maka risalah Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam akhir zaman itu, membahagikan manusia kepada dua kumpulan. Yang pertama Ummah Dakwah, yang kedua Ummah Ijabah. Ummah Dakwah ialah seluruh manusia, Islam dan bukan Islam. Ummah Ijabah ialah manusia yang sudah masuk Islam.

Semuanya adalah Umat Muhammad sallallahualaihi wasallam. Maka didirikan negara masyarakat majmuk. Bukan sahaja berbagai kaum, termasuk berbagai agama, di Madinah itu ada Arab, ada Yahudi, ada Parsi, ada macam-macam. Walaupun tidak besar, ada benihnya, berbagai kaum. Kerana Allah menjadikan manusia itu pada dasarnya, satu keluarga, walaupun mereka berbagai bangsa, mereka mesti bermasyarakat Madani.

Ibnu Khaldun mengatakan, al-Insan, Madaniyyun Bi al-Tabie. Manusia tidak boleh hidup sendirian, tidak mungkin hidup seorang diri, tidak mungkin hidup satu bangsa, tidak mungkin hidup satu negara, mesti digabungkan hasil-hasil negeri, dengan negeri yang lain, kebolehan dengan kebolehan yang lain.

Sehelai baju yang dipakai, memerlukan kapas yang ditanam. Pertanian, memerlukan traktor, galian, besi. Memerlukan Petroleum, memerlukan berbagai-bagai alat. Perlu digabungkan (sebagai) masyarakat madani.

Maka Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam membina Madinah itu membina masyarakat madani. Dengan mengajak manusia kepada Islam tanpa paksaan. Yang Islam, wajib patuh kepada ajaran Islam, yang tidak Islam, tidak dipaksa. Dan membuktikan bahawa Islam berjaya, menyatukan umat yang tidak mampu disatukan agama dengan ideologi yang lain. Quran menegaskan:
الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلاَّ أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ. الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ
“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (surah al-Hajj ayat 40-41)

Islam dan penganutnya mesti berkuasa. Sejarah menunjukkan, kalau Kristian yang berkuasa, bunuh Yahudi. Yahudi berkuasa bunuh Kristian. Majusi berkuasa bunuh penganut agama lain. Bila Islam memerintah dengan Islam menunjukkan adil untuk semua. Apa yang disebut Islamophobia hari ini adalah fitnah terhadap Islam. Bercanggah dengan hakikat yang ada dalam ajaran Islam. Bagaimana Nabi kita Muhammad sallallahualaihi wasallam melarang membunuh paderi, membunuh diplomat, membunuh utusan, membunuh rahib. Tiba-tiba bukan paderi yang dibunuh, gereja yang dibom, masjid yang dibom, di mana ajaran ini?

Hadis-hadis Nabi menunjukkan tidak boleh membunuh perempuan, kanak-kanak, orang awam. Disebut di dalam hadis, seorang wanita dimasuk ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing tidak diberi minum. Allah memberi rahmat kepada seorang yang memberi minum anjing yang najis mukhallazah, dapat Rahmat Allah. Bagaimana Islamophobia? Tidak menepati hakikat yang ada dalam ajaran Islam.

Ketika Islam dilaksanakan, Islam telah berjaya membina Tamadun Islam. Negeri yang orang Islam masuk, orang bukan Islam masuk Islam berduyun-duyun. Berduyun-duyun orang masuk Islam. Lihat Jalan Sutera dari Negera Arab sehingga sempadan China. Di Asia Tenggara, pedagang yang datang ke sini kerana rahmat dan kebaikan yang ada dalam ajaran Islam. Yang pertama, Islam mengajak kepada Islam. Yang kedua, Islam menggalakkan ilmu. Sebuah Hadis Nabi menyatakan;
خِيَارُكُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُكُمْ فِي الإِسْلامِ إِذَا فَقِهُوا
“Orang yang hebat di masa jahiliyyah, mereka juga hebat di masa Islam asal sahaja mereka memahami Islam.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Kalangan ilmuwan, sebelum kedatangan Islam dibunuh, ahli falsafah dibunuh. Arkitek dipotong tangan, kerana takut orang buat istana macam Istana yang dibuat. Dalam sejarah Melayu, pemuda yang menunjukkan guna batang pisang untuk menentang todak yang menentang Singapura, walaupun itu cerita dongeng, itulah hakikatnya, dibunuhnya orang yang bijak.

Islam mengambil orang yang bijak. Orang bijak, yang pintar di zaman jahiliyyah, bila bersama dengan Islam, dia disanjung tinggi bila dia seorang yang faham. Am’r bin al-Asr, Khalid bin Walid, dan lain-lain lagi, adalah tokoh-tokoh di zaman jahiliyyah, disanjung bila dia bersama dengan Islam.

Ada yang tidak masuk Islam, dalam sebuah hadis ada menyebutkan;
الحكمةُ ضالةُ المؤمنِ فحيثُ وجدها فهوَ أحقُّ بها
“Kebijaksanaan barang tercicir kepunyaan orang beriman Di mana ia dijumpai dipungut.”

Maka Islam mengambil ilmu-ilmu tamadun lain yang memberi faedah. Tamadun India, China, Parsi, Rom, Mesir dan lain-lain. Ada ilmuwan yang tidak masuk Islam, disanjung dalam masyarakat Islam. Ilmu yang diambil dan diIslamkan ilmu itu, maka lahirlah Tamadun Islam. Dan Islam telah berjaya memerintah negara yang besar, dari Timur ke Barat, Utara dan Selatan. Dalam masa yang singkat, masa tak mengizinkan. Itulah kehebatan Islam. Zaman tidak ada hubungan yang cepat, Islam boleh memerintah negara yang besar dan juga berbagai kaum dan agama.

Maka Barat tertarik dengan Tamadun Islam. Malangnya Barat ini mengambil tamadun kebendaan, tamadun duniawi, tidak mengambil akidah dan akhlaknya. Maka berlakulah kecelaruan pada hari ini. Betapa telah berjayanya Islam merentasi kaum selama mereka bersatu dalam fikiran dan tindakan.
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
“Berpegang dengan tali agama Allah, jangan bercerai-berai.” (surah Aali-Imran ayat 103)

Sebab nuzul ayat ini, apabila orang Yahudi menghasut Aus dan Khazraj, hampir berperang. Allah menurunkan ayat, dengan ayat al-Quran dengan akidah yang betul. Hilang semangat perkauman. Tak halang cinta kepada kaum, tak halang cinta kepada bangsa. Tetapi apabila kecintaan kepada kaum dan bangsa dijadikan akidah, ini yang salah, sehingga hilang nilai yang betul dan salah, ini yang salah. Islam membetulkan hubungan kaum.

Dalam Islam, lahir berbagai-bagai mazhab, sama ada mazhab politik, mazhab fekah, mazhab akidah, mazhab tasawuf yang disebut tarekat. Orang Islam tidak berpecah di zaman dahulu, tidak bergaduh, kerana mereka berpegang dengan tali Allah, dengan tali Allah. Kerana para ulama memainkan peranan yang sangat penting dan sangat besar dalam masyarakat, mereka bukan sahaja berilmu, mereka adalah fakeh, memahami bagaimana mahu menterjemahkan ilmu itu dalam menyelesaikan masalah. Walaupun berlaku peperangan zaman seperti peristiwa Jamal dan Siffin.

Di zaman para Sahabat, para pemimpin sama ada di kalangan ulamak di zaman itu menenangkan keadaan. Dakwah tidak terhalang, Tamadun Islam tidak terhalang. Orang Islam boleh menangani mazhab. Malangnya zaman mutakhir orang Islam, mereka tewas menghadapi cabaran ideologi dan propaganda yang dibawa oleh Barat, dimasukkan ke dalam pemikiran orang Islam. Apabila fahaman sekularisme yang memisahkan agama dengan cara hidup, menyebabkan teori-teori politik, teori-teori ekonomi dianut oleh orang Islam. Kerana mereka menyangka, itu tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam. Padahal, semua ajaran politik dan ekonomi sudah ada dalam al-Quran, ada dalam ajaran Islam. Mahu hendak atau tidak balik kepada Islam sahaja.

Bahkan pembaharuan di dalam politik dan ekonomi baru adalah sumber ciplak daripada ajaran Islam. Contohnya dalam politik, terdapat diktatorship, teokrasi, dan demokrasi Barat. Quran, menentang sekeras-kerasnya diktatorship, pemimpin yang berlagak jadi tuhan. Begitu juga teokrasi, ahli-ahli agama yang berkuasa penuh, ahli agama, ulamak yang berlagak, paderi-paderi berlagak macam Tuhan. Islam menentang sekeras-kerasnya.

Barangkali demokrasi lebih dekat dengan Islam, hak rakyat, kebebasan mengkritik pemerintah, pemimpin boleh ditegur, pemimpin yang bersikap terbuka, ini ada dalam Islam. Tetapi malangnya demokrasi tidak ada akidah, justeru masukkan akidah sahaja. Perlu disedari demokrasi Barat itu mengalami perubahan setelah orientalis mengkaji kitab-kitab yang dikarang oleh ulama-ulama Islam.

Di England, di Perancis, di German, sebelumnya mereka mengenali demokrasi purba yang diamalkan di Athen. Mereka tidak tahu hendak membuat perubahan dalam negara, melainkan revolusi England, revolusi Perancis, revolusi German, revolusi Rusia dan Amerika yang mengorbankan beribu-ribu dan mungkin berjuta rakyat. Setelah mereka mengkaji kitab-kitab fekah yang dikarang oleh ulama Islam, setelah wafatnya Nabi Muhammad, para Sahabat bermesyuarat memilih siapa yang menjadi ketua negara. Golongan Ansar mencalonkan Saad bin Ubadah, Ahli al-Bayt mencalonkan Ali bin Abi Talib. Kalangan Muhajirin mencalonkan Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu anhu.

Setelah dibincang, Abu Bakar adalah majoriti, dari kaum Quraisy. Ibnu Khaldun menghuraikan di dalam Muqaddimahnya, bahawa Quraisy adalah Qabilah yang paling besar di zaman itu, yang paling berpengaruh, maka Quraisy layak menjadi Khalifah. Bila Quraisy tidak ada pengaruh lagi, maka bukan Quraisy menjadi Khalifah, bangsa lain silih berganti dalam masyarakat Islam.

Abu Bakar yang dipilih menjadi pemimpin menyampaikan ucapan sebaik sahaja saya menjadi pemimpin, apa ucapan Abu Bakar?
أيها الناس فإني قد وليت عليكم ولست بخيركم، فإن أحسنت فأعينوني، وإن أسأت فقوموني، الصدق أمانة، والكذب خيانة
“Wahai sekalian manusia, saya dipilih menjadi pemimpin kamu. Saya bukan orang yang terbaik, kalau saya betul, tolong saya, kalau saya salah, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. *(Jangan mengampu saya, kalau saya betul, kata betul, saya salah, kata salah. Kalau saya betul, saya kata salah, saya salah kata betul, itu bohong, tidak boleh, merosakkan pemimpin, merosakkan rakyat.)”

Taat kepada saya, kalau saya mentaati Allah dan Rasul, kalau saya tidak taat pada Allah dan Rasul, jangan taat kepada saya.

Ini ucapan Abu Bakar. Maka Barat melalui Orientalis melakukan reformasi di dalam demokrasi Barat. Berbeza di antara satu negara dengan negara yang lain. Mereka pandai mengolah demokrasi. Malangnya, negara Barat tidak izin orang Islam pulih menjadi negara yang maju demokrasinya. Barat sengaja, tidak mengizin orang Islam membina kekuatan mereka sendiri. Dalam aspek ekonomi, dunia hanya mengenali Teori Liberal, Kapitalisme, Komunisme, Sosialisme, tidak mengenal Islam ada peranan dalam aspek ekonomi. Semua teori-teori dan ideologi itu tidak ada akidah, tidak ada roh, tidak menepati fitrah sama ada sosialisme, komunisme, yang menekan masyarakat, mengorbankan individu, ataupun liberal, kapitalisme, membina individu melupai masyarakat.

Islam mengambil kira semuanya, kita kembali kepada Islam sahaja. Malangnya kalau dahulu orang Islam bergaduh kepada mazhab, Sunnah dan Syiah, Khawarij. Hari ini kerana perbezaan ideologi, Sunni dengan Sunni berperang, Syiah dengan Syiah berperang. Berlaku peperangan secara proksi. Yang berlaku di Asia Barat pada hari ini, Sunni dengan Sunni berperang, Syiah dengan Syiah berperang. Kerana perbezaan ideologi, berperang dengan senjata yang diberi oleh Barat, oleh Timur, sama ada Amerika, Rusia, China, berniaga senjata, kita berperang dengan senjata mereka, bunuh kita, bayar dengan duit kita. Apa jenis macam ini?

In’sya-Allah, Melayu tidak akan jadi macam Arab, Indonesia tidak akan jadi macam Arab. Kita berbeza pendapat, kita berbalah, kita berkelahi, tetapi tidak seperti mereka, tidak menjadi peperangan proksi. Saya minta, Pak Dr. Muhammad Quraish Shihab, Indonesia pun sama, jangan rantau kita ini, macam rantau Asia Barat. Hindarkan pertembungan, kerana perbezaan Ideologi, berlaku pergaduhan secara proksi, orang menggunakan kita, mengaut hasil kita dan membunuh kita.

Zaman penjajahan sudah tidak ada lagi, mari kita merdekakan diri dengan benar-benar merdeka. Tafsirkan Islam di dalam Perlembagaan (Negara) mengikut Ad-Din, bukan mengikut religion. Penjajah sudah tidak ada lagi, kita sendiri, ustaz-ustaz kita, ulama-ulama al-Azhar, ilmuwan-ilmuwan yang belajar ilmu daripada Timur dan Barat, yang belajar agama, banyak di negara kita ini.

Bina kekuatan secara jama’ie, secara berkumpulan. Kita tidak perlu penasihat-penasihat dari Timur dan Barat, kita boleh ambil ilmu mereka, ilmu mereka boleh ambil, nasihat mereka tidak boleh ambil. Yang ada di dalam majlis ini bercambah, boleh jadi penasihat, boleh beri pandangan.

Biodata Penulis

*Transkrip suntingan Wartawan Harakah, Izwan Abdul Halim dari Ucaptama Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang disampaikan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur pada Khamis, 17 Disember 2015.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-