© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » PAS: Antara G25 Dan ISIS

PAS: Antara G25 Dan ISIS

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 17 December 2015


Kumpulan dikenali G25 yang telah beberapa kali muncul dengan beberapa kenyataan kontroversi mengenai Islam dan pengamalannya di negara kita nampaknya semakin berani ke depan.

Umum mengetahui bahawa mereka membawa ajaran yang salah dan bertentangan dengan Islam. Mereka memahami dan menafsirkan Islam bersumberkan rujukan dan kefahaman Barat seolah-olah dari Baratlah wahyu al-Quran diturunkan. Antara seruan utama mereka ialah menolak kesalahan-kesalahan atau dosa-dosa peribadi sebagai satu jenayah yang mesti dihukum.

Kemudian kumpulan ini berusaha membina kefahaman mengikut tafsiran dan acuan barat bahawa dosa-dosa tersebut hanyalah satu kesalahan moral yang tidak merosakkan masyarakat dan negara. Ia hak peribadi yang tidak boleh diganggu oleh sesiapa pun. Ertinya, tiada hukuman ke atas orang yang meninggalkan solat dan puasa. Juga, bukanlah berzina dan minum arak itu satu kesalahan jenayah yang perlu dihukum.

Ia isu peribadi dan masing-masing berhak memilih samada untuk meninggalkannya sebagai satu usaha sendiri membina moral diri yang lebih baik atau sebaliknya.

Malah kumpulan ini, sama seperti kumpulan-kumpulan lain seumpamanya, begitu berani masuk jauh ke dalam urusan dan hukum ugama Islam yang utama. Segala hukum agama daripada sumber nas yang nyata turut dijarah oleh mereka. Hukum hudud, pusaka dan hak wanita misalnya, menjadi medan kritikan dan serangan mereka seolah-olah agama Islam mestilah ditukar ajarannya sesuai dengan citarasa yang mereka mahukan.

Mereka secara jelas menghalakan serangan ke atas pensyariatan ibadah jihad fi sabilillah dan menuduhnya sebagai jenayah agama yang menggugat keamanan dunia. Bagi mereka, jihad telah merosakkan Islam, bukan mengembangkan Islam dan tamadunnya.

Inilah G25 dan kumpulan-kumpulan seumpamannya. Ia tumbuh begitu terbuka dan berani dalam negara kita dan tanpa segan silu seolah-olah merekalah pemilik agama dan negara ini juga. Tidak salah jika dikatakan kumpulan ini memiliki sandaran kewangan dan kekuasaan di belakang tabir yang agak besar dan mewah.

Dari sebelah sudut yang bertentangan, wujud kumpulan Islam lain yang cuba mempengaruhi masyarakat Islam dalam negara untuk bertindak balas terhadap kumpulan pertama tadi secara keras. Antara kumpulan ini yang semakin dikenali ialah ISIS atau DAISH yang sedang menjarah dan menumpahkan darah sesama umat Islam yang bertentangan dengan mereka di Iraq dan Syria. Kumpulan dan fahaman ini kini cuba meluaskan pengaruh mereka di kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Pada pandangan mereka, umat Islam mesti menolak Barat secara total. Islam dan umatnya telah dirosakkan oleh Barat dan Barat mestilah dihapuskan. Caranya ialah memaksa umat Islam untuk kembali kepada hukum dan syariah Islam tanpa pilihan. Sesiapa yang ingkar dianggap musuh dan akan dihukum termasuk dibunuh. Non-muslim adalah musuh yang mesti diperangi.

Pada mereka, ia sama ada al-Quran atau senjata. Ia sama ada negara Islam atau negara kafir harbi. Hitam atau putih. Hidup untuk kawan dan maut untuk lawan.

Inilah dua kumpulan yang saling bertentangan. Satunya berusaha menjauhkan umat sendiri daripada syariah Islam, manakala satu kumpulan lagi berusaha memaksakan Islam ke atas dunia.

Umat Islam hari ini berada di tengah-tengah konflik di antara kedua-dua kumpulan yang saling bertentangan tersebut. Negara kita rupanya turut terkena tempiasnya, bahkan ia semakin membesar dan lantang bersuara.

PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dalam negara sudah pasti telah menyatakan sikap dan pendirian yang tegas di dalam isu ini. PAS menolak kedua-duanya dan menyeru umat Islam agar menjauhi pemikiran yang menyalahi ajaran Islam yang sederhana, adil dan sejahtera. Islam adalah rahmat untuk dunia, bukan kecelakaan dan kesempitan.

Dalam kejelasan ini, PAS tetap menerima tuduhan diresapi pemikiran rosak kedua-dua jalur fitnah tersebut.

Kumpulan pertama menuduh PAS sebagai menyokong ISIS atau keras seperti ISIS. Sebaliknya pula, kumpulan kedua menuduh PAS terlalu memberi muka, diresapi pemikiran, malah bersekongkol dengan kumpulan Islam acuan Barat. PAS dituduh beriman dengan demokrasi barat yang menyalahi ajaran Islam.

Mudahnya, masing-masing kumpulan mahukan PAS membuat pilihan. Sama ada bersama mereka atau menjadi musuh mereka. Jika tidak, PAS bagi mereka, bukanlah sebuah gerakan Islam yang layak mewakili suara umat Islam yang sebenar.

Walau bagaimanapun, anda akan dapati bahawa tuduhan PAS diresapi ISIS atau mengamalkan Islam secara keras adalah lebih jelas dan nyata berbanding tuduhan PAS sebagai parti Islam yang terlalu memandang ringan dan berlembut dengan kumpulan pro-Barat.

Ada dua faktor utama; Pertama, PAS adalah parti dakwah dan politik yang hari-harinya adalah dakwah dan jihad mengajak rakyat kepada syariah Islam. Kedua, ajaran ISIS dan seumpamanya adalah diharamkan pergerakan mereka di dalam negara, sedangkan kumpulan seperti G25 dan seumpamanya tidak diharamkan, malah bebas bergerak. Justeru kerana PAS menyeru kepada syariat, manakala kumpulan penolak syariat berleluasa, maka PAS dituduh menjaja fahaman ISIS tanpa sekatan oleh pihak kerajaan.

Kumpulan berfahaman keras seperti ISIS pastinya tidak memiliki jentera propaganda yang bebas sebebas G25 dan seumpamanya. Maka tuduhan bahawa PAS terlalu menerima sistem Barat tidaklah meluas dan menjadi viral.

Serangan terhadap PAS adalah daripada pelbagai pihak dan berterusan. UMNO pernah menuduh PAS membawa ajaran keras dalam beragama dan menuduh PAS menjaja fahaman takfiri (kafir mengkafir). Baru-baru ini dua bekas pemimpin PAS yang kalah dalam pemilihan dan menubuhkan parti baru menuduh PAS berfahaman ISIS. Sebelumnya, mereka pernah menyatakan sokongan terhadap kumpulan Sisters in Islam (SIS) yang dihukum sesat oleh pihak berwajib agama. Ertinya tuduhan PAS berfahaman keras ini datang daripada pelbagai arah; UMNO, kumpulan Islam liberal dan bekas pimpinan PAS juga.

Jika anda memerhatikan secara mendalam, anda akan dapati betapa Islam sentiasa berhadapan cabaran yang besar. Islam dicemburui pada saat ianya berada pada acuannya yang asal. Ia ditakuti mencabar ketuanan jahiliyah dalam kehidupan manusia hari ini. Justeru apabila ada sekumpulan umat yang berusaha mengembalikan umat Islam kepada Islam yang benar, ia akan dihalang, difitnah dan diperangi dengan pelbagai cara. Tuduhan sebagai Islam yang palsu adalah sebaik-baik senjata untuk menarik sokongan ramai menolak kumpulan Islam ini.

PAS turut terkena tempias ini. Ia jalan mudah bagi musuh Islam untuk memalingkan umat Islam daripada melihat PAS dan perjuangannya. PAS pula terpaksa meluangkan masa yang banyak bagi menangkis serangan yang terancang dan bermatlamat ini.

Kewajiban PAS adalah terus bertahan, berdakwah dan beristiqamah. Kewajiban umat pula adalah berusaha memahami Islam dengan mendalam. Di hujungnya, Islam dan PAS akan bertemu. Islam dan PAS adalah isi dan wadah yang disatukan sedari awal penubuhannya. PAS kekal bertahan puluhan tahun walaupun musuh dari luar dan dalam tidak pernah jemu berusaha memesongkannya daripada landasan istiqamah.

Sebab itu, ahli dan penyokong PAS terutamanya perlu sedar bahawa kewajiban PAS adalah besar. PAS mestilah berwajah Islam dan Islam mestilah mewajahi PAS.

Musuh PAS ramai. Bukan hanya UMNO yang menjadi musuh politik PAS, bahkan PAS berhadapan musuh-musuh yang berusaha meranapkan PAS sehingga ke akar umbi. Bagi sesetengah mereka, ketakutan mereka kepada PAS adalah lebih besar berbanding ketakutan mereka kepada UMNO yang membawa agenda ketuanan Melayu.

Justeru ahli dan penyokong PAS mestilah melihat dalam kerangka yang lebih luas untuk lebih memahami liku-liku perjuangan yang terpaksa di lalui oleh PAS. Ia adalah tugas agung mendaulatkan Islam yang menyeluruh dan sederhana yang menepati panduan al Quran dan Sunnah.

Biodata Penulis

Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-