Headlines Articles :
Home » » Sindrom Islamophobia Menghantui Masyarakat Dunia

Sindrom Islamophobia Menghantui Masyarakat Dunia

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday, 21 November 2015


Media Barat sering memomok-momokkan masyarakat mereka dengan keganasan umat Islam. Pandangan prejudis terhadap Islam diapaparkan secara dusta agar Islam ditafsirkan sebagai peradaban hodoh dan mengancam survival manusia. Sebenarnya musuh-musuh Islam menyedari apabila kekuatan yang dimiliki Islam tidak diimbangi, nescaya umatnya akan bangkit memanfaatkan segala potensi dakwah mereka demi membangun tamadun sejagat. Oleh itu, propaganda “war againsts terrorism” adalah perancangan rapi mereka untuk menimbulkan inferiority complex dalam jasad umat Islam terhadap kepercayaan mereka sendiri.

Sekalipun gejala Islamophobia membuka sebahagian mata warga bukan Islam untuk mengenali dengan lebih dekat ajaran Islam. Namun, terdapat juga pandangan-pandangan mereka yang dipengaruhi oleh persepsi yang berbeza-beza. Seperti kenyataan beberapa jurnalis BBC, Pat Robertson, Gordon Thomas dan sebagainya beberapa tahun dahulu yang memburukkan gambaran Islam kepada masyarakat dunia:

“…That Islam is not a religion of peace, and that radical Muslims are satanic…”

“…The goal of Islam, ladies and gentlemen, whether you like it or not, is world domination…”

“..Just shows the kind of people we’re dealing with. These people (Muslims) are crazed fanatics, and i want to say it now; I believe it’s motivated by demonic power. It is satanic and it’s time we recognize what we’re dealing with…”

“..A radical Muslims were shown screaming; May Allah bomb you! May Osama bin Laden bomb you!!”

“...Islam is not a peaceful religion that wants to coexist...”
[sumber BBC, March 13, 2006]

Perancangan membentuk ‘public opinion’ bagi membusukkan kemurnian Islam ini adalah matlamat media jahat untuk melumpuhkan orientasi dakwah di seluruh dunia. Islam dijadikan scapegoat atau sasaran tohmahan, dianggap sebagai agama yang berbahaya, lahir dari kuasa jahat, disiarkan dengan pedang, pencetus perselisihan dan keganasan. Menurut Firestone, sikap prejudis Barat terhadap Islam sama tuanya dengan Islam itu sendiri, (…western prejudice toward Islam is as old as Islam itself). Lihat Reuven Firestone (1999), Jihad: The Origin of Holy War in Islam. New York: Oxford University Press, hlm. 13.

Antara ajaran Islam yang paling banyak mendapat perhatian adalah jihad. Perkataan jihad telah dipandang negatif dan difahami sebagai aktiviti keganasan, atau sekurang-kurangnya dianggap sebagai penyebab timbulnya gerakan keganasan. Kesalahfahaman terhadap Islam ini disebabkan berbagai faktor, antaranya:
  1. Konflik Islam dan agama gereja sejak Abad Pertengahan. Masing-masing telah berjaya menakluk pihak lainnya secara bergantian. Pada mulanya Islam berjaya mengusir Rom-Greek dari Timur Tengah, kemudian menakluk beberapa wilayah Eropah. Setelah itu giliran Barat pula yang menakluk dan menduduki dunia Islam selama berabad-abad. Barat secara tidak adil membesar-besarkan penaklukan yang dilakukan umat Islam. Pendudukan Turki ke atas wilayah Eropah dianggap sebagai “terroris dunia”. Penaklukan yang dilakukan umat Islam disebut pencerobohan budaya (cultural agression), imperialisme Arab (Arab imperialism), atau kolonialisme Islam (Islamic colonialism), dan sebagai bukti bahawa Islam disebarkan dengan pedang. Sebaliknya, penjajahan bangsa Eropah ke atas wilayah Asia, Afrika, dan Amerika Latin mereka namakan “misi membudayakan bangsa barbar” (a mission to civilize the barbaric native). 
  2. Kejahilan tentang Islam. Secara umum masyarakat Barat kurang memahami Islam. Para sarjana non-Muslim yang mengkaji Islam pun kurang mengetahui hakikat Islam sebenar. Yang mereka kaji tentang Islam lebih banyak berkenaan aktual bukan konseptual. Padahal untuk mendapatkan kajian yang lebih objektif kedua-duanya mestilah dibezakan. Oleh kerana itu sarjana Barat pada umumnya mengkaji Islam dari perspektif sosio-historik semata-mata, maka natijah yang dihasilkannya pun tidak kurang ada yang bertentangan dengan nilai Islam itu sendiri.
Max Weber dalam The Sociology of Religion misalnya memandang Islam sebagai “agama tukang-tukang perang” (the religion of warrior class), yang bertujuan mendapat ufti (jizyah) daripada penganut agama lain, supaya Islam naik ke peringkat tertinggi dalam skala sosial dunia. “...Muhammad”, kata Weber, “constructed the commandment of the holy war involving the subjugation of the unbelievers to political authority and economic domination of the faithful.”

Namun, ada juga sikap sebahagian umat Islam itu sendiri yang menjadi punca imej Islam dimomok Barat. Segolongan umat Islam memang ada yang berfikiran ganas, mereka menafsir ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi secara buta dan sembrono untuk membenarkan tindakan keganasan.

Para ulama dari dahulu sehingga kini berbeza pandangan dalam memahami jihad. Adakah jihad hanya bersifat mempertahankan diri (defensive) atau juga menyerang (offensive). Apakah ia hanya boleh dilancarkan terhadap orang-orang kafir yang memerangi umat Islam sahaja, atau terhadap non-Muslim secara keseluruhan. Ini adalah kerana adanya ayat-ayat jihad yang nampak seolah-olah bertentangan. Mereka cuba mencari penyelesaian melalui penggunaan kaedah ‘Amm dan Takhsis-nya, Mutlaq dan Muqayyad-nya, dengan cara beginilah mereka merumuskan hukum jihad.

Perintah jihad sudah turun kepada Rasulullah sallallahualaihi wasallam sejak zaman Makkah, tetapi bukan dalam bentuk perlawanan bersenjata (perang), melainkan perlawanan menggunakan hujah-hujah kebenaran.
فَلا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا
“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan jihad yang besar.” (surah al-Furqan: 52)

Surah ini diturunkan di Makkah tetapi arahan dalam ayat ini bukan bermaksud jihad bersenjata. Selama 13 tahun di Makkah kaum muslimin menerima tekanan dan penganiayaan kafir Quraish, namun mereka tidak dibenarkan melawan menggunakan senjata. Mereka diperintah supaya tetap sabar mempertahankan akidah dan berusaha terus menyampaikan hujjah, penjelasan dan pesan-pesan kebenaran yang dibawa oleh al-Quran. Inilah bentuk jihad semasa di Makkah. Sebahagian ulama menamakan ia “jihad secara damai” (al-jihad al-silmi).

Kebenaran menggunakan senjata baharulah turun ketika kaum muslimin telah berhijrah ke Madinah. Oleh itu, jihad sebetulnya lebih tepat dikekalkan dalam pengertian umum. Membatasi jihad sebagai perang sahaja akan membawa kekeliruan.

Adapun penindasan yang dilakukan kafir Quraish terhadap umat Islam adalah disebabkan agama.
وَلاَ يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىَ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُواْ
“Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup.” (surah al-Baqarah: 217)

Umat Islam diperintahkan berperang sehingga penindasan agama benar-benar lenyap.
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِينَ
“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim.” (surah al-Baqarah: 193)

Peperangan dalam Islam adalah satu jalan yang terpaksa dihadapi demi mempertahan  diri daripada pencerobohan mana-mana pihak, mempertahankan akidah dan agama, mempertahankan kemanusiaan dan kedamaian, mempertahankan kesejahteraan umat manusia serta tamadunnya. Tujuan jihad bukanlah untuk memaksa umat lain masuk Islam dan menghancurkan rumah-rumah ibadah mereka. Kebenaran berperang dalam Islam adalah juga untuk menjaga agar biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid tidak dirobohkan. Jika jihad bertujuan untuk memaksa non-Muslim masuk Islam, tentulah mereka tidak diberi pilihan langsung antara masuk Islam, atau tetap dalam agama mereka dengan membayar jizyah, atau meneruskan perang.

Sasaran jihad pula adalah orang-orang yang terlibat dalam memerangi umat Islam, bukan membunuh membabi-buta.
وَقَاتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلاَ تَعْتَدُواْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu. Janganlah kamu menceroboh (memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menjadi punca kepada permusuhan.” (surah al-Baqarah: 190)

Mereka yang tidak terlibat tidak boleh diperangi.
لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (surah al-Mumtahanah: 8)

Itulah sebabnya Rasulullah sallallahualaihi wasallam melarang menjadikan penduduk awam (non-combatants) sebagai sasaran. Baginda melarang membunuh anak-anak, para wanita, orang yang sudah tua, orang kurang upaya, para rahib di biara-biara, para petani, buruh dan lain-lainnya yang tidak terlibat dalam peperangan. Sejarah pembebasan al-Quds menyaksikan prinsip damai umat Islam ketika menakluk Jerusalem, Khalifah Umar al-Khattab radhiallahu anhu mengumumkan jaminan keamanan kepada penganut agama lain. Tetapi ketika tentera Salib datang menyerbu bandar itu, kanak-kanak dilemparkan ke atas dinding, orang-orang dewasa dibakar, perut mereka dirobek untuk melihat apakah mereka ada menelan emas, orang-orang Yahudi digiring ke dalam sinagog mereka dan kemudian dibakar, hampir 70 000 orang mati dibunuh secara beramai-ramai. Kemudian, ketika umat Islam dipimpin oleh Salahuddin al-Ayubi berjaya mengembalikan al-Quds kepangkuan Islam, para tawanan diperlakukan dengan baik tidak seperti mana perlakuan tentera Salib kepada tawanan perang sebelum ini yang dibunuh dengan kejam.

Islam menetapkan bahawa para tawanan perang mestilah ditangani dengan baik, mereka berhak mendapat bantuan perubatan jika sakit atau terluka, selain tidak boleh diseksa oleh tentera Islam. Ada beberapa hukuman bagi tawanan;
  1. Dibunuh; jika terbukti dia “penjahat perang” dan hukuman itu mestilah di atas perintah ulul amri. Nabi pernah memerintahkan Uqbah bin Abi Mu’aith dan al-Nadhr bin al-Harith yang dikenali sebagai penjahat perang.
  2. Tidak dibunuh, boleh digunakan untuk pertukaran tawanan perang atau ditebus dengan harta.
  3. Dibebaskan tanpa syarat; dalam peristiwa Fathu al-Makkah, Nabi membebaskan seluruh penduduknya kecuali Hilal bin Khattal, Miqbas bin Shubabah dan Abdullah bin Saad bin Abi Sarh yang dikenali sebagai penjahat perang. Mereka dibunuh bukan sebab menjadi tawanan perang tetapi kerana kejahatan lampau yang telah dilakukan terhadap umat Islam. Justeru, hukum bersifat khusus ini tidak boleh dijadikan hukum bersifat umum.
Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
فَإِذَا لَقِيتُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَضَرْبَ الرِّقَابِ حَتَّى إِذَا أَثْخَنتُمُوهُمْ فَشُدُّوا الْوَثَاقَ فَإِمَّا مَنًّا بَعْدُ وَإِمَّا فِدَاء حَتَّى تَضَعَ الْحَرْبُ أَوْزَارَهَا ذَلِكَ وَلَوْ يَشَاء اللَّهُ لانتَصَرَ مِنْهُمْ وَلَكِن لِّيَبْلُوَ بَعْضَكُم بِبَعْضٍ وَالَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَلَن يُضِلَّ أَعْمَالَهُمْ
“Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) maka pancunglah leher mereka. Sehingga apabila kamu telah mengalahkan (menewaskan) mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berakhir. Demikianlah apabila Allah menghendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka, tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain, dan orang-orang yang syahid pada jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka.” (surah Muhammad: 4)

Manakala dalam surah al-Insaan, ayat 8;
وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَى حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا
“Dan mereka (iaitu orang yang beriman) memberi makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan.”

Rasulullah sallallahualaihi wasalam pernah bersabda tentang perlakuan terhadap tawanan perang bernama Umamah bin Uthal;
أُحْسِنُوا إسَارَهُ
“Perbaikilah belenggu (tahanan)-nya (maksudnya supaya tidak menyakiti).”

Selanjutnya lagi baginda bersabda;
اجْمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَكُمْ مِنْ طَعَامٍ، فَابْعَثُوا بِهِ إلَيْهِ
“Kumpulkanlah makanan milik kalian dan kirimkanlah kepada dia (tawanan itu).” (Sirah al-Nabawiyah Ibn Hisyam)

Dengan perlakuan yang baik tidak hairanlah jika ramai tawanan perang dari kalangan bukan Islam itu yang setelah dilepaskan memeluk Islam. Perlakuan baik terhadap tawanan yang telah disyariatkan Islam lebih sepuluh abad mendahului Konvensyen Geneva. Inilah salah satu bukti keagungan Islam yang dipegang oleh Islam sejak 1400 tahun yang lalu. Ketika dunia belum lagi celik dan mengenali batasan-batasan peraturan dan hak asasi, Islam telah menggariskan peraturan dan hak dalam persoalan peperangan dan hubungan antarabangsa. Bukan sekadar atas nama kemanusiaan dan ketamadunan, bahkan atas nama agama yang membabitkan persoalan halal dan haram serta perhitungan pada hari kiamat. Ini semua adalah bukti bahawa tuduhan Islam sebagai agama ganas dan tidak berperikemanusiaan adalah palsu dan bohong. Tuduhan yang tidak berpijak di atas teks Islam yang sebenar. Islam sebenarnya telah mendahului tamadun dan peradaban yang wujud pada hari ini.

Bagaimanapun, di kalangan umat Islam masih ada yang keliru dan berhujah secara jahil mendakwa bahawa tawanan perang wajib dibunuh berdasarkan ayat 67 petikan surah al-Anfal.
مَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَكُونَ لَهُ أَسْرَى حَتَّى يُثْخِنَ فِي الْأَرْضِ تُرِيدُونَ عَرَضَ الدُّنْيَا وَاللَّهُ يُرِيدُ الْآخِرَةَ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan (untuk tujuan harta) sebelum ia dapat mengalahkan (menewaskan) sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Ayat di atas ini adalah ‘Itab (teguran) kepada Nabi dan Para Sahabat yang mengambil harta fida’ bukan ayat tentang hukum wajib bunuh ke atas tawanan perang Badar. Jika ada yang mendakwa bahawa ayat ini sebagai hukum wajib bunuh tawanan perang, justeru mengapa Rasulullah tidak membunuh tawanan bernama Umamah bin Uthal pada tahun ke-6 Hijrah, sedangkan peristiwa Perang Badar berlaku pada tahun ke-2 Hijrah?

Dalam Islam, peperangan tidak boleh disasarkan kepada kepentingan-kepentingan awam. Terdapat larangan yang dikeluarkan oleh khalifah Abu Bakar al-Siddiq radhiallahu anhu kepada para mujahidin yang akan bertolak ke Syria, agar tidak merobohkan bangunan, tidak menebang pokok-pokok kurma dan memusnahkan buah-buahan, tidak membunuh binatang kecuali sekadar untuk dimakan.

Di zaman kekhalifah Umar al-Khattab pula, seorang warga suku Bakr bin Wa’il telah membunuh seorang warga awam bukan Islam di Hirah. Khalifah menghukumnya dan memerintahkan dengan adil supaya pembunuh tersebut diserahkan kepada kaum keluarga pihak yang dibunuh. Perintah ini dilaksanakan dan ahli waris yang dibunuh menjatuhkan hukumannya.

Walaupun umat Islam diperintah untuk mempersiapkan diri dengan berbagai macam senjata, tetapi ketika penggunaannya haruslah melihat kepada keperluan. Tujuan jihad bukan untuk memusnahkan, menjahanamkan atau menghancur-lantak, melainkan untuk melumpuhkan kekuatan lawan sehingga tidak wujud lagi kejahatan daripada mereka. Namun larangan-larangan tersebut boleh berubah mengikut keadaan. Misalnya, jika musuh memerangi umat Islam secara keseluruhan, ketika itu umat Islam dibenarkan pula membalas sesuai dengan perlakuan mereka.
وَقَاتِلُواْ الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً
“Dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya.” (surah al-Taubah: 36)

Demikian juga jika mereka menghancurkan kepentingan-kepentingan awam yang dimiliki umat Islam.
فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُواْ عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ
“Oleh sebab itu barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia, seimbang dengan serangannya terhadapmu.” (surah al-Baqarah: 194)

Janganlah kita terikut-ikut dengan emosi liar. Kejahatan musuh tidak sepatutnya disusuli dengan keganasan membabi buta daripada pihak Islam. Jika kita ingin membalas kejahatan dan kezaliman mereka, cara yang digunakan itu tidak sepatutnya sehingga menjatuhkan kredibiliti kita sebagai umat yang mulia, adil dan saksama, walaupun dalam ketegasan.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia