© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Home » » Penegasan PAS Tetap Perjuangkan Islam

Penegasan PAS Tetap Perjuangkan Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday, 16 November 2015


“PAS Mahu Menyertai UMNO” adalah lafaz atau kalimah yang diratib sejak lebih 5 atau 6 tahun yang lalu. Ia terus diratib dengan agenda tersendiri oleh pihak desprado samaada luar PAS atau yang masih berada di tepian gelanggang.

Tiga kali muktamar berturut-turut Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden parti menafikan fitnah tersebut dan menegaskan betapa PAS tidak pernah berhasrat untuk menyertai UMNO selama mana UMNO masih berdiri di atas dasar nasionalisme mereka, malah memperteguhkan lagi bahawa PAS tetap dengan membawa prinsip dan dasar perjuangan Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Mengambil kesempatan atas kemudahan media baru yang pantas mengalirkan racun fitnah, mereka terus meratib saban waktu bahawa PAS mahu menyertai UMNO. Sementelah mereka menyedari bahawa sebahagian rakyat di negara ini mudah terpedaya dengan fitnah yang disebar.

Tidak memadai penegasan Tuan Guru Presiden di beberapa siri muktamar tahunan, penafian demi penafian telah dibuat khasnya oleh Setiausaha Politik Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Namun fitnah serupa terus diratib. Saya yakin, mereka sudah kehabisan modal dan kekeringan idea untuk memburukkan PAS dan menjatuhkan reputasi Presiden PAS. Maka mereka terus mengulang sebut dan terus menabur fitnah yang serupa sementara mereka menyedari bahawa masih ada orang mahu mempercayai fitnah mereka.

Ironinya, setelah lebih 5 atau 6 tahun api fitnah ini ditiup dan dihidupkan, PAS masih kental dengan dasar dan prinsip perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi bertuah ini. Ternyata gabungan PAS dan UMNO itu tidak pernah menjadi kenyataan.

Justeru itu memadailah jika saya menyebut bahawa ia bukan sahaja tidak benar malah merupakan fitnah yang jahat. Kedudukan PAS hari ini yang terus istiqamah dengan dasar perjuangannya menjadi jawapan secara praktis betapa PAS tidak pernah menyertai UMNO dan BN.

Sementara perbincangan, pertemuan atau apa jua tindakan yang mungkin dilihat duduk bersama antara PAS dan UMNO seperti isu pembentukan Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan yang turut melibatkan mesyuarat bersama dengan pihak kerajaan pusat pimpinan UMNO dan BN adalah bermaksud tindakan “ta’awun a’lal birri wa taqwa” iaitu berkerjasama atas nama kebajikan dan taqwa demi kepentingan bersama ummat Islam. Lantaran inilah yang diajar oleh Islam.

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (surah al-Maaidah : 2)

Sebelum ini, atas nama membela ummat Islam Palestine, al-Marhum Tuan Guru Dato Hj Fadzil Mohd Nor pernah berucap sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Tindakan itu adalah bijak dan murni berasaskan “ta’awun a’lal birri wa taqwa”

Malah terlalu banyak lapangan dan ruang yang boleh membentuk “ta’awun a’lal birri wa taqwa” atau kerjasama berasaskan kebajikan dan taqwa kepada Allah swt antara PAS, UMNO dan parti-parti politik lain demi kepentingan agama Islam dan ummatnya. Selain isu pelaksanaan syariah dan membela ummat Islam Palestine, ruang ta’awun itu terus terbuka untuk menangani isu pengaruh dan kuasa ekonomi mahupun politik ummat Islam di negara tercinta ini agar tidak terus terhakis dan luntur.

Pasti sahaja kepentingan Islam itu melewati sempadan bangsa, warna kulit, bahasa lidah, parti politik, ngo, individu dan sebagainya. Justeru sempadan Islam ialah kalimah tauhid ((Laa iLaa ha iLLallah / لا إله إلا الله )). Kerananya, seluruh ummat Islam mesti bersatu mempertahankan kemurnian syariat dan kesucian syiarnya. Sekian.


Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan bekas Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia