© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Merdeka: 1.5 Juta Syahid di Algeria

Merdeka: 1.5 Juta Syahid di Algeria

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 5 September 2015


Pada saat kehangatan negara menyambut Kemerdekaan Kali Ke-58, saya berada di negara yang telah mengajar erti kemerdekaan sebenar yang tidak terhingga nilainya. Negara sejuta setengah syahid itulah gelaran kepada negara Algeria yang telah mengorbankan lebih daripada sejuta rakyatnya untuk mendapat kemerdekaan daripada penjajah Perancis. Umat Islam melalui zaman kegelapan sejak kejatuhan Khilafah Islamiyyah di Turki, bermula daripada kelemahan umat Islam sendiri kerana meninggalkan agama yang telah menjadikan mereka contoh dan tauladan kepada umat manusia dari pelbagai bidang dan aspek kehidupan.

Racun asabiyyah perkauman dan mazhab yang dijadikan faktor oleh penjajah ditelan hidup-hidup sehingga sanggup menjadi alat kepada penjajah Barat menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Al-marhum Syaikh Muhammad al-Ghazali, seorang alim dan pemikir Islam memberikan komennya terhadap situasi umat Islam pada ketika itu (maksudnya), “Umat Islam berdepan dengan kezaliman orang-orang Turki dan kebodohan orang-orang Arab.”

Kezaliman orang-orang Turki terhadap bangsa dan kaum lain walaupun seagama dengan mereka. Kebodohan orang-orang Arab kerana sanggup menjadi alat kepada penjajah memecahkan kerajaan Islam. Akibatnya kejatuhan Khilafah Islamiyyah Uthmaniyyah, maka negara-negara umat Islam dibahagi-bahagikan mengikut kehendak penjajah melalui Perjanjian Pangkor, Sykes Picot, Balfour dan lain-lain lagi. Buat pertama kali dalam sejarah umat Islam hilang tempat bergantung.

Algeria dipegang oleh penjajah Perancis sejak dari tahun 1830 sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1964. Bukan sahaja kekayaannya dikaut dan dirompak kerana begitulah tabiat penjajah, bahkan jatidiri rakyatnya mahu dicabut supaya tidak ada lagi jatidiri bangsa Arab Muslim. Para ulama ditahan, sekolah-sekolah agama ditutup. Bahasa Arab dilarang untuk diajar, jatidiri Islam dicabut, gerakan Kristianisasi dikembangkan. Penjajah Perancis memberikan tanah dan bangunan kepada bangsa Perancis dan konco-konconya. Rakyat Algeria dihalau dan dihambat ke pendalaman sama seperti yang dilakukan oleh Zionis Yahudi terhadap umat Islam Palestin.

Gerakan menentang penjajah dimulakan oleh para ulama dan pejuang-pejuang. Pada tahun 1832 al-Amir Abdel Qader memulakan gerakan jihad terhadap penjajah Perancis dengan perang gerila menentang penjajah yang mempunyai pelbagai kelengkapan canggih dan tersusun. Pihak Perancis menanganinya dengan pelbagai bentuk kekerasan dan kekejaman sehingga mereka berjaya menahan al-Amir Abdel Qader pada tahun 1847.

Gerakan jihad tidak boleh dipadamkan; perjuangan diteruskan silih berganti oleh generasi selepas daripada itu sehinggalah pada tahun 1931 munculnya seorang tokoh ulama dan pejuang Abdel Hamid bin Badis yang mengambil pendekatan membangunkan anak-anak muda dengan tarbiyah Islam, meniupkan semangat jihad dalam diri mereka untuk menentang penjajah Perancis. Slogannya yang masyhur dikenang sehingga ke hari ini;
الاسلام ديننا، والعربية لغتنا، والجزائر وطننا
“Islam adalah agama kami, bahasa Arab adalah bahasa kami dan Algeria adalah watan kami.”

Hasil daripada tarbiyah yang panjang ini sehingga melahirkan kesedaran menyeluruh, maka tercetuslah revolusi pada tahun 1954 sehingga kemerdekaan dicapai pada tahun 1962. Perjuangan yang panjang dan berliku ini mengorbankan lebih dari sejuta rakyat Algeria. Mereka sekali-kali tidak tunduk dan mengikut telunjuk penjajah.

Saya terkedu melihat bagaimana pengorbanan yang begitu mahal dilakukan oleh rakyat Algeria untuk mencapai kemerdekaan. Betapa tinggi nilainya sebuah kemerdekaan. Kemerdekaan bukan semata-mata menghalau penjajah daripada bumi yang dijajah bahkan kemerdekaan sebenar ialah memerdekakan roh, jasad dan pemikiran daripada agenda penjajah. Rakyat Algeria bukan sahaja tanahair mereka dijajah bahkan mereka juga tidak rela roh dan jiwa Islam mereka disentap oleh penjajah. Mereka mengorbankan nyawa sebegitu ramai jumlahnya untuk merasai erti kemerdekaan yang sebenar.

Erti kemerdekaan yang diucapkan oleh Rub’ie bin A’amir kepada Rustum, panglima tentera Parsi;
إن الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن ضيق الدنيا إلى سعتها, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام
“Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu berubah daripada pengabdian sesama hamba kepada pengabdian kepada Tuhan yang Maha Esa. Daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Pada hari ini negara kita menyambut kemerdekaan Kali ke-58. Bermakna sudah 58 tahun penjajah meninggalkan negara kita yang tercinta ini. Adakah kita benar-benar merdeka dengan erti kata yang sebenar? Itu persoalan yang mesti dijawab oleh seluruh rakyat. Jangan semata-mata kita melaungkan kata keramat “Merdeka” saban tahun, tetapi negara kita masih lagi dibelenggu oleh sistem penjajah ke atas rakyat. Tidak dinafikan bukan semua yang ditinggalkan oleh penjajah itu buruk dan tidak elok. Islam mengajar kepada kita;
الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
“Hikmah kebijaksanaan itu adalah barang tercicir kepada orang mukmin yang di manapun ia boleh diambil maka dia berhak mengambil manfaatnya (selama tidak bercanggah dengan hukum syarak).”

Di sana ada perkara-perkara baik ditinggalkan oleh penjajah yang wajar dikekalkan dan di sana ada perkara-perkara mesti dibuang demi untuk memerdekakan jiwa kita daripada belenggu penjajah.

Sistem perundangan adalah contoh yang paling jelas bahawa negara kita masih belum merdeka secara keseluruhannya. Perundangan Islam hanya berlegar pada aspek kekeluargaan dan muamalat sahaja sedangkan undang-undang jenayah masih lagi mengekalkan undang-undang penjajah. Walaupun penjajah telah meninggalkan tanahair kita akan tetapi amalan penjajah masih lagi diamalkan. Di zaman penjajah kekayaan watan dirompak dan dibawa pulang ke negara mereka. Setelah merdeka kekayaan negara juga dirompak dan mengkayakan golongan yang tertentu sahaja. Di zaman penjajah cukai diambil dari rakyat, setelah merdeka cukai yang tidak patut terus dibebankan terhadap rakyat. Di zaman penjajah tanah dimiliki oleh penjajah. Selepas merdeka berapa ramai anak watan yang tidak memiliki tanah sendiri untuk membuat rumah kediaman.

Walaupun negara kita tidak mengorbankan sejuta setengah syahid untuk mencapai kemerdekaan sebagaimana negara Algeria. Akan tetapi jasa mereka yang memperjuangkan kemerdekaan jangan sekali dilupakan. Al-marhum Tunku Abdul Rahman al-Hajj dan rakan-rakannya telah mencurahkan jasanya untuk kemerdekaan ini. Bahkan juga di sana terdapat nama-nama yang “sengaja” dilupakan dari lipatan sejarah demi untuk menjaga kepentingan golongan yang tertentu walaupun jasa mereka sangat besar kepada tanahair ini. Tok Janggut, Tuan Guru Hj Abdurrahman Limbong, Dato Maharajalela, Mat Kilau, Dato Bahaman, Rosli Dhoby, Dr Burhanuddin al-Helmi dan lain-lain lagi adalah tokoh-tokoh yang telah mengorbankan jasa yang sangat besar untuk kemerdekaan ini.

Kemerdekaan itu adalah satu nikmat maka syukurilah nikmat ini dengan mengembalikan erti kemerdekaan yang sebenar di dalam diri anak watan semua.

Biodata Penulis

Ustaz Muhammad Khalil bin Abdul Hadi dilahirkan di Terengganu pada tarikh 20 Mac 1977. Beliau merupakan anak sulong kepada Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau juga adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-