© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Krisis Jemaah: Sikap Sebagai Pengikut

Krisis Jemaah: Sikap Sebagai Pengikut

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Sunday 6 September 2015


Mehnah dan tribulasi sering wujud dalam perjuangan para Nabi dan Rasul. Persoalannya, bagaimanakah sejarah perjuangan mereka itu turut mengajar kita tentang sikap yang sepatutnya dipamerkan sebagai pengikut sekaligus mewarisi perjuangan mereka.

Krisis Perang Tabuk

Selepas Perang Tabuk, tiga orang sahabat Nabi iaitu Murarah bin Rabi’, Hilal bin Umayyah dan Ka’ab bin Malik dijatuhkan hukuman pulau oleh Rasulullah saw kerana tidak mematuhi arahan untuk keluar berperang. Walaupun ketiadaan mereka tidaklah memberi kesan besar dalam peperangan tersebut, bahkan peperangan tersebut sebenarnya tidakpun berlaku, tetapi keberangkatan tentera Muslimin adalah bertujuan untuk berjaga-jaga andainya benar musuh-musuh Islam sedang menunggu di Tabuk. Kepulangan tentera Islam dari Tabuk ke Madinah dalam situasi tidak berperang, namun hukuman tetap dikenakan terhadap tiga orang sahabat ini bertujuan untuk mendidik para sahabat lain bahawa pentingnya soal mematuhi arahan.

Apabila Rasulullah saw memerintahkan mereka bertiga dipulaukan dari jamaah Islam, semua sahabat akur tanpa bantahan. Walaupun ada di kalangan mereka adalah rakan karib, teman rapat dan seumpamanya tetapi arahan Rasulullah saw tetap dipatuhi. Ketiga-tiga orang itu langsung tidak ditegur oleh sesiapa. Mereka ke pasar, tiada yang mahu berurus niaga. Apabila bertemu, senyuman pun tidak diberikan. Rasulullah saw juga enggan bersemuka dengan mereka setiap kali terserempak, termasuklah arahan agar mereka berjauhan dengan isteri sebagai hukumannya. Hubungan antara manusia, bahkan suami isteri sekalipun tidak dianggap lebih tinggi daripada arahan sebuah kepimpinan Islam yang ditunjangi Rasulullah saw. Walaupun ada yang merasa sedih, rasa keterlaluan dengan sikap pemulauan itu, arahan tetap arahan.

Kemudian turunlah wahyu supaya pemulauan tersebut ditamatkan. Allah mengetahui mereka sudah insaf dengan perbuatannya. Para sahabat yang mendapat tahu berita pengampunan itu pantas berlari berjumpa ketiga-tiga orang sahabat yang dihukum itu untuk memaklumkan khabar gembira tersebut. Justeru kepatuhan para sahabat, maka anasir-anasir gangguan seperti melanggar keputusan pimpinan berjaya dirawat, seterusnya jamaah Islam berjaya dipertahankan.

Krisis Pengingkar-pengingkar Zakat

Zaman kekhalifahan Abu Bakar al-Siddiq ra, timbul pula kumpulan umat Islam yang enggan membayar zakat. Mereka berpendapat, zakat hanya perlu dibayar kepada Rasulullah saw sahaja. Wafatnya baginda, mereka mula menunjukkan taring penentangan terhadap syariat Islam. Mereka mendakwa tiada lagi keperluan untuk zakat selepas Rasulullah saw wafat. Khalifah Abu Bakar mengambil keputusan tidak popular, iaitu berperang menghadapi pengingkar-pengingkar zakat. Pada mulanya Umar menyatakan ketidaksetujuan kerana berijtihad dengan pesanan Rasulullah saw, bahawa sesama Islam tidak boleh diperangi. Tetapi Abu Bakar ada hujjah syarak dan sebagai ketua, dia berhak menentukan tanpa dipengaruhi pendapat majoriti.

Akhirnya Saidina Umar al-Khattab akur dan turut sama berperang. Walaupun Umar mempunyai pandangan peribadinya sendiri, beliau tahu sebagai pengikut adalah lebih baik patuh daripada ingkar. Memerangi golongan yang benar-benar rosak kefahamannya terhadap Islam dan boleh mempengaruhi orang lain untuk turut serta dengan kepercayaan sesat mereka lebih utama daripada berbantah-bantah tentang kebenaran sehingga mengakibatkan perpecahan dalam jamaah Islam.

Walaupun Nabi pernah menyatakan;
لَوْ كَانَ بَعْدِي نَبِيٌّ لَكَانَ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ
“Jika ada Nabi lagi selepasku nescayalah dia Umar al-Khattab.” (riwayat Ahmad, al-Tirmidzi, al-Hakim di dalam Mustadrak)

Tetapi, hal itu tidaklah menjadi alasan untuk Umar al-Khattab “syok sendiri”, mendakwa dia-lah sahaja penerus “legasi Rasulullah saw” atau menentang keputusan Abu Bakar al-Siddiq. Sebaliknya mengenepikan pendapat peribadi dan kembali kepada keputusan pimpinan yang diterajui Abu Bakar. Dengan kepatuhan umat Islam kepada Khalifah untuk memerangi penjenayah zakat, tidak sampai setahun kumpulan itu menyerah kalah dan kembali mengikut syariat Islam. Abu Bakar meninggalkan pemerintahan dalam keadaan berjaya menyelesaikan krisis murtad dan onar pengingkar zakat yang melanda jamaah Muslimin.

Krisis Pertelingkahan Para Sahabat Nabi

Di Zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib, ketika beliau baru sahaja dilantik sebagai khalifah, beliau berpandangan supaya difikirkan dahulu soal menyatukan kembali umat Islam yang bertelingkah. Namun sahabat-sahabat Nabi antaranya Muawiyah ra, Talhah ra, ibnu al-Zubair ra termasuklah isteri Nabi, Saydatina Aisyah r.ah tidak bersepakat dengan pandangan Saidina Ali. Mereka berijtihad urusan qisas ke atas pembunuh Uthman mestilah dilaksanakan terlebih dahulu.

Keputusan Saidina Ali iaitu mengutamakan kesatuan umat Islam sebenarnya positif jika dilihat daripada situasi fitnah yang berlaku, lebih-lebih lagi apabila para pengikut Abdullah bin Saba’ (Saba’iyah) menyebarkan propaganda bahawa Khalifah Ali tidak bertanggungjawab terhadap isu pembunuhan Khalifah Uthman al-Affan di Madinah. Lagi pula mencari pembunuh Khalifah Uthman bukanlah mudah kerana ia dilakukan tidak secara individu, tetapi dirancang sulit oleh satu kumpulan jahat yang masing-masing mengaku sebagai pembunuh Khalifah.

Benar, pembunuhan terhadap Khalifah Uthman adalah suatu mafsadah yang wajib ditangani, tetapi dalam soal umat Islam berpecah-belah sehingga menyukarkan keadilan itu ditegakkan maka maslahah penyatuan umat Islam mestilah dilakukan terlebih dahulu. Justeru, situasi yang sebenar berlaku bukanlah kerana kebencian di antara sahabat-sahabat Rasulullah saw, tetapi peristiwa fitnah yang melangkaui fikiran manusia untuk berfikir secara waras. Kerana itu baginda Nabi saw pernah mengingatkan sebelum kewafatannya;
إِنَّهَا سَتَكُونُ فِتْنَةٌ الْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنْ الْقَائِمِ وَالْقَائِمُ خَيْرٌ مِنْ الْمَاشِي وَالْمَاشِي خَيْرٌ مِنْ السَّاعِي
“Sesungguhnya akan berlaku fitnah orang yang duduk ketika itu lebih baik daripada orang berdiri. Manakala orang berdiri lebih baik daripada orang berjalan dan orang berjalan lebih baik daripada orang berlari (riwayat lain menunggang/ berkenderaan).” (riwayat al-Tirmidzi)

Kata Saidina Ali bin Abi Talib (dalam Bidayah wa al-Nihayah, Ibnu Kathir);
إِنَّ اللَّهَ أَعَزَّنَا بِالْإِسْلَامِ وَرَفَعَنَا بِهِ، وَجَعَلَنَا بِهِ إِخْوَانًا بَعْدَ ذِلَّةٍ وَقِلَّةٍ وَتَبَاغُضٍ وَتَبَاعُدٍ، فَجَرَى النَّاسُ عَلَى ذَلِكَ مَا شَاءَ اللَّهُ؛ الْإِسْلَامُ دِينُهُمْ، وَالْحَقُّ قَائِمٌ بَيْنَهُمْ، وَالْكِتَابُ إِمَامُهُمْ، حَتَّى أُصِيبَ هَذَا الرَّجُلُ بِأَيْدِي هَؤُلَاءِ الْقَوْمِ الَّذِينَ أَذَلَّهُمُ الشَّيْطَانُ لِيَنْزِغَ بَيْنَ هَذِهِ الْأُمَّةِ، أَلَا وَإِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ لَا بُدَّ مُفْتَرِقَةٌ كَمَا افْتَرَقَتِ الْأُمَمُ قَبْلَهَا، فَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّ مَا هُوَ كَائِنٌ
“Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita dengan Islam, diangkat martabat kita dan dijadikan kita semua bersaudara selepas fasa kehinaan, kekurangan (minoriti), kebencian dan permusuhan. umat manusia kekal dalam fasa kehinaan tersebut sampailah waktu yang ditentukan Allah (ikut Islam mulia, jauhi Islam hina). Islam adalah agama mereka dan kebenaran itu tegak di kalangan mereka, al-Quran pimpinan (panduan) mereka, sehinggalah musibah menimpa lelaki ini (Uthman Ibn Affan) yang didalangi suatu komplot syaitan untuk menghembuskan api permusuhan di tengah masyarakat umat. Ketahuilah, umat ini pasti berselisih sebagaimana perselisihan yang menimpa umat terdahulu. Kita berlindung kepada Allah dari keburukan yang akan terjadi.”

Jelasnya lagi;
 أَلَا وَإِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً؛ شَرُّهَا فِرْقَةٌ تُحِبُّنِي وَلَا تَعْمَلُ بِعَمَلِي، وَقَدْ أَدْرَكْتُمْ وَرَأَيْتُمْ، فَالْزَمُوا دِينَكُمْ، وَاهْتَدُوا بِهَدْيِ نَبِيِّكُمْ، وَاتَّبِعُوا سُنَّتَهُ، وَأَعْرِضُوا عَمَّا أَشْكَلَ عَلَيْكُمْ حَتَّى تَعْرِضُوهُ عَلَى الْكِتَابِ، فَمَا عَرَّفَهُ الْقُرْآنُ فَالْزَمُوهُ، وَمَا أَنْكَرَهُ فَرُدُّوهُ، وَارْضَوْا بِاللَّهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، وَبِالْقُرْآنِ حَكَمًا وَإِمَامًا
“Sedarilah umat ini akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Golongan yg paling buruk adalah golongan yang menisbahkan kecintaan kepadaku, tetapi tidak mengikuti amal perbuatanku. Kalian telah menemukan dan melihat sendiri. Teguhlah di atas ajaran agama Islam, terokailah petunjuk Nabi dan teladanilah sunnah Nabi. Tinggalkan perkara sukar di atas diri kalian (menyebabkan kalian berbantah-bantah) sehinggalah kalian dapati penyelesaiannya di dalam al-Quran. Justeru, ambillah petunjuk al-Quran, apa jua perkara yang ditegakkan tegakkan, yang diingkari maka tolaklah, redhailah Allah sebagai tuhan (pemutus masalah kalian), Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Nabi dan al-Quran sebagai sumber hukum dan dokongan.”

Kerana ingkar arahan kepimpinan, perpecahan umat Islam semakin dahsyat. Dari titik perselisihan antara pemimpin dan pengikut itulah akhirnya memunculkan kumpulan Khawarij dan Syiah. Kata ulama sirah, sejak pembunuhan Saidina Uthman, dunia Islam tidak pernah aman daripada fitnah. Ketidakpatuhan membiakkan lagi bahana fitnah ini.

Kesimpulan

Daripada ketiga-tiga kisah di atas, syarak mengajar kita bagaimana umat Islam perlu patuh dengan keputusan pimpinan. Bukan soal lembut atau kasar, bukan soal peribadi siapapun yang memberikan arahan, tetapi soal prinsip ketaatan. Tiada lagi ijtihad apabila ketua pimpinan telah meletakkan satu keputusan. Menurut kaedah fiqh; <حكم الحاكم يرفع الخلاف> yakni, keputusan pemimpin mengangkat atau menutup segala khilaf.

Dalam isu Gerakan Harapan Baru (GHB), saff kepimpinan PAS telah menetapkan supaya ahli tidak menyertai GHB. Apabila ia adalah arahan, ia wajib dipatuhi. Untuk menyelesaikan kocakan yang berlaku mutakhir ini, ahli-ahli PAS mesti bersikap teguh mendokong keputusan presiden. Walaupun pahit untuk ditelan, walaupun ketidakstabilan itu ditimbulkan oleh sahabat karib sendiri, kaum kerabat, keluarga atau orang tersayang, semua itu tidak boleh mendahului keputusan pimpinan demi maslahah yang lebih besar iaitu keberjayaan Islam.

Jika tidak, akan berulanglah kisah pertelingkahan di zaman Saidina Ali. Perpecahan akan terus berlaku dan membarah sehingga menimbulkan firqah-firqah yang pelbagai. Maka, ambillah panduan sirah yang telah diatur Allah. Ia panduan buat semua umat Islam terkemudian. Ini kerana, keutuhan Jamaah Islam bukan hanya bergantung kepada pimpinan, tetapi juga bergantung kepada tahap sikap para pengikut. Krisis jamaah di zaman Saidina Ali bukanlah kerana kelemahan peribadi khalifah (ketua), Rasulullah saw sendiri mengiktiraf Ali sebagai sahabat yang paling faqih. Saidina Umar ra juga pernah mengungkapkan {لولا علي لهلك عمر} sebagaimana riwayat Ibnu Abd al-Barr, “Jika tiada Ali, nescaya binasalah Umar”.

Krisis zaman perpecahan umat Islam berpunca daripada sikap para pengikut yang tidak mahu patuh kepada kepimpinan dan suka mengambil keputusan sendiri. Insafilah sabdaan Rasulullah saw;
 أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ، وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ أُمِّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي، وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ
“Aku mewasiatkan kamu (umat Islam) agar bertakwa kepada Allah, dengar dan taat (kepada pimpinan) sekalipun perintah itu datang dari hamba Habshiy. Sesungguhnya sesiapa yang hidup (selepas kewafatan Rasulullah saw) akan berlaku khilaf yang pelbagai, justeru wajiblah kamu menuruti Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ al-Rasyidin selepasku. Genggamlah erat-erat sekuatnya dengan gerahammu. Berwaspadalah terhadap perkara yang baharu...” (riwayat al-Hakim dalam Mustadrak)

Biodata Penulis

Muhammad Marwan M.Shukrimun berasal dari Kuala Terengganu. Beliau merupakan EXCO DPP Kuala Nerus. Salah seorang tenaga pengajar di MDQ.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-