© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Jangan Khianat

Jangan Khianat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 5 September 2015


Khianat ialah perbuatan terkutuk dan jahat yang bertujuan menganiayai atau mendatangkan kecelakaan dan kekecewaan kepada orang lain, dengan melakukan tipu-daya, perbuatan licik, curang, belot atau tidak setia sama ada kepada negara dan seumpamanya. Khianat juga bererti membantu menguatkan musuh untuk melemahkan jamaah Islam, membocorkan rahsia, merosakkan reputasi jamaah Islam agar sokongan berpihak kepada sebaliknya. Secara umumnya khianat itu bererti mengingkari tanggungjawab yang telah dipercayakan terhadap dirinya, baik datangnya daripada orang lain mahupun daripada Allah dan Rasul-Nya.

Menurut Raghib al-Asfahaniy, khianat dan nifak adalah dua jenis sikap yang serupa bahkan orang khianat itu boleh dianggap munafik. Perbezaannya, khianat memiliki konotasi sabotaj terhadap janji (baiah) sesama manusia, sedangkan nifak memiliki konotasi sabotaj terhadap agama Allah. Justeru nifak mempunyai erti yang lebih luas dan umum. Sabda Rasulullah saw;
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ
“Tanda kemunafikan ada tiga; apabila berkata dusta, apabila berjanji memungkirinya dan apabila diberi amanah khianat.” (riwayat al-Bukhari)

Berkata Imam al-Baidhawi di dalam tafsirnya, khianat adalah lawan kepada sikap amanah. Firman Allah di dalam surah al-Anfal, ayat 27;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَخُونُواْ اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُواْ أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

Dalam ayat ini Allah membicarakan mereka yang berlaku khianat itu jelas sebenarnya beriman kepada-Nya (yakni mengetahui perintah-perintah Allah dan rukun-rukun agama-Nya), justeru di akhir ayat ini disebut {وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ} yakni kamu mengetahui bahawa yang demikian itu adalah amanah tanpa ragu-ragu lagi. Bertepatanlah makna “Mukmin” itu sendiri yang juga bermaksud mereka yang memegang panji amanah (yakni amanah kepercayaan terhadap Allah dan Rasul).

Perkataan mengenai khianat di dalam ayat ini diulang sebut sebanyak dua kali, sebahagian mufassirin menyatakan bahawa ia menandakan terdapat dua bentuk pengkhianatan di sini, iaitu pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan juga pengkhianatan kepada amanah yang telah dipercayakan manusia ke atasnya. Mereka yang khianat kepada Allah dan Rasul akan diadili di mahkamah Allah di akhirat kelak, mereka yang khianat kepada amanah orang lain akan diadili di dunia lagi apatah lagi di akhirat nanti.

Oleh kerana itu, merujuk situasi hari ini ada di antara gerakan-gerakan Islam seperti Ikhwan al-Muslimin, HAMAS termasuklah PAS yang mensyaratkan sighah (lafaz) baiah terutamanya kepada saff kepimpinan yang telah ditaklifkan untuk beriltizam bersama ketua sama ada senang atau susah, selama tidak menyuruh kepada mungkar, dan semata-mata untuk menegakkan syariat Allah. Bahkan mensyaratkan suatu hukuman yang boleh dijatuhkan di dunia lagi dalam kandungan baiah kifa’iyah {بيعة كفائية} (janji khusus untuk sebahagian) bagi menangani situasi kritikal andainya berlaku pengkhianatan terhadap Gerakan Islam. Hal itu dilakukan sebagai peringatan kepada saff kepimpinan bahawa dosa pengkhianatan adalah sangat terkutuk apalagi ia dilakukan bukan sekadar berdepan dengan pengadilan Allah tetapi juga seluruh umat Islam yang dikhianatinya. Menurut Syaikh Dr. Abd al-Rahman al-Barr, Baiat al-Ridhwan adalah salah satu contoh baiah kifa’iyah kerana ia tidak sekadar melibatkan perintah untuk dengar dan taat arahan Rasulullah saw, tetapi juga ada di kalangan sahabat yang menuturkan sighah baiahnya untuk mati mempertahankan Islam.

Pengamalan PAS terhadap baiah adalah kesinambungan kepada salah satu Sunnah Anbiya’, dan PAS Kelantan antaranya yang telah mengaplikasikan ‘keharusan’ sighah khusus itu, iaitu baiah kifa’iyah ketika rata-rata PAS negeri majoritinya mengamalkan baiah ‘ainiyah {بيعة عينية}, untuk sighah umum. Ini kerana tekanan UMNO terhadap PAS Kelantan sangat dahsyat, jadi untuk mengelakkan wujudnya pimpinan-pimpinan yang ‘lompat parti’ dan membasmi pengkhianatan demi pengkhianatan itu, sighah khusus ‘talak tiga’ dicadangkan oleh al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengelakkan tragedi pengkhianatan jijik berulang. Perkara ini adalah rahsia parti, tetapi apabila ada individu yang melanggarnya menjadilah tanggungjawab ketua atau wakilnya untuk mengingatkan baiah yang pernah dilafazkannya.

Tanpa paksaan dan desakan, wakil-wakil rakyat PAS yang dicalonkan di negeri Kelantan berikrar sepenuh hati melafazkan sighah khusus tersebut. Kini, apabila berlaku pengkhianatan tiba-tiba wakil rakyat yang ‘lompat parti’ bertempik-teriak mengatakan ‘talak tiga’ itu tidak betul! Sesungguhnya PAS tidak ada masalah untuk menerima dengan lapang dada hujjah-hujjah mereka itu, sesungguhnya PAS juga tidak rela meruntuhkan mana-mana institusi rumah tangga, bahkan jika ada ruang agar ia dipertahankan, pertahankanlah dengan cara yang benar-benar menunjukkan mereka sayangkan keluarga iaitu dengan tidak mengkhianati baiah yang telah dilafazkan. Iya, 1001 macam alasan dan tuduhan boleh dikemukakan terhadap PAS, tetapi tanyalah kepada hati kalian dengan ‘jujur’; apakah jawaban pengkhianatan itu di hadapan Allah swt setelah berikrar, bersumpah melafazkan janji? Apakah rakyat yang pergi mengundi redha dengan pengkhianatan ‘lompat parti’ ini?

Imam al-‘Alusiy berkata dalam Ruh al-Ma‘ani;
أَصْلُ الْخَوْنِ النَّقْصُ كَمَا أَنَّ أَصْلَ الْوَفَاءِ الْإِتْمَامَ، وَاسْتِعْمَالُهُ فِي ضِدِّ الْأَمَانَةِ لِتَضَمُّنِهِ إِيَّاهُ
“Dasar perkataan khianat itu ialah kekurangan sebagaimana asalnya menyempurnakan janji (melaksanakan kepercayaan orang lain dengan penuh dedikasi) kemudian perbuatannya bersalahan dengan sifat amanah yang patut olehnya (yakni tidak beramal dengan apa yang disuruh).”

Sebahagian mufassirin berkata bahawa ayat ini (surah al-Anfal, ayat 27-28) diturunkan ke atas Abu Lubabah Ibnu ‘Abd Munzir, seorang sahabat Nabi ketika beliau diutus Rasulullah saw kepada suku kaum Bani Quraizhah setelah mereka menyerah kalah dan dikepung selama 21 malam (riwayat lain menyebut 25 malam) oleh tentera Muslimin. Pada awalnya Rasulullah saw mensyaratkan agar Bani Quraizhah patuh dengan hukuman yang akan dikendalikan Sa’ad ibnu Mu’az, tetapi Bani Quraizhah enggan lantas mencadangkan kepada Rasulullah saw agar dikirimkan Abu Lubabah kepada mereka kerana harta, kaum keluarga dan anak-anak Abu Lubabah ada bersama mereka.

Rasulullah saw bersetuju, lantas mengutuskan Abu Lubabah agar bertemu dengan Bani Quraizhah. Di perkampungan Bani Quraizhah, kaum Yahudi yang terkepung bertanya kepada Abu Lubabah;
يَا أَبَا لُبَابَةَ، مَا تَرَى أَنَنْزِلُ عَلَى حُكْمِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ
“Wahai Abu Lubabah apakah pendapatmu, kalaulah tadi hukuman ini diputuskan sahaja oleh Saad bin Muaz?”

Lalu Abu Lubabah menunjukkan tangan ke batang lehernya, maksudnya bahawa Saad bin Muaz ra tetap akan memutuskan hukum bunuh ke atas kamu wahai kaum Yahudi, yakni janganlah kalian buat begitu. Walaupun perbuatan itu hanyalah berbentuk isyarat pergerakan tangan, perbuatan Abu Lubabah itu jelas dinyatakan Allah swt sebagai pengkhianatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Sebelum ayat dari surah al-Anfal; 27-28 diturunkan, Abu Lubabah telahpun menyedari kesilapannya dan berkata;
وَاللَّهِ مَا زَالَتْ قَدَمَايَ عَنْ مَكَانِهِمَا حَتَّى عَرَفْتُ أَنِّي قَدْ خُنْتُ اللَّهَ تَعَالَى وَرَسُولَهُ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ
“Demi Allah, belum sempat aku mengangkat kedua kakiku dari tempat itu, aku telah sedar bahawa perbuatanku tadi sebenarnya adalah pengkhianatan terhadap Allah dan Rasul-Nya saw.”

Para mufassirin menyebutkan bahawa pengkhianatan Abu Lubabah yang tidak disengajakan itu berlaku kerana menjaga maslahah syakhsiah (maslahah peribadi), justeru ayat seterusnya daripada ayat 28 surah al-Anfal ini berbunyi;
وَاعْلَمُوا أَنَّمَآ أَمْوَلُكُمْ وَأَوْلَـدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

Diriwayatkan selepas daripada itu Abu Lubabah tertunduk menyesal dan bertaubat sehingga beliau kurus kering kerana mengikat dirinya di tiang masjid mengharapkan pengampunan daripada Allah. Abu Lubabah tidak makan dan minum sampai tujuh hari (ada riwayat mengatakan enam hari dan sembilan hari), kemudian baharulah Rasulullah saw memberitakan kepada Abu Lubabah bahawa Allah telah menerima taubatnya, beliau gembira lantas berazam untuk menyedekahkan seluruh hartanya kepada fakir miskin dan memulaukan kaum kerabatnya. Mendengar kesungguhan itu Rasulullah saw melarang Abu Lubabah menyedekahkan seluruh hartanya dan mensyaratkan hanya 1/3 sahaja.

Kepada orang yang melakukan khianat selama ia tidak bertaubat dan kembali kepada kebenaran, atau tidak menyesali perbuatannya yang jijik itu bahkan terus angkuh dan sombong, Allah melarang wujudnya daya umat Islam untuk membela dengan hujjah bagi melindungi orang-orang yang berbuat khianat, atau bermusuh dengan orang yang tidak bersalah semata-mata kerana mengasihani orang yang melakukan khianat;
وَلاَ تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا 
“Dan janganlah kamu menjadi pembela orang-orang yang khianat.” (surah al-Nisa’: 105)
وَلاَ تُجَادِلْ عَنِ الَّذِينَ يَخْتَانُونَ أَنفُسَهُمْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِيمًا
“Dan janganlah kamu berbantah-bantah (untuk membela) orang-orang yang mengkhianati dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa.” (surah al-Nisa’: 107)

Kesimpulannya, perbuatan khianat tidak hanya dikutuk sebagai maksiat dalam agama tetapi juga mengandungi bahaya terhadap kehidupan sosial manusia. Hal ini kerana perbuatan khianat boleh menimbulkan sikap curiga dan permusuhan dalam masyarakat, dan hubungan sesama individu menjadi retak akibat kekacauan yang ditimbulkan oleh sikap khianat.

Abdullah bin Ubai adalah watak yang popular dalam siri-siri pengkhianatan terhadap perjuangan Rasulullah saw. Bahaya yang ditimbulkan Abdullah bin Ubai sangat jelas ketika menjelang Perang Uhud, dia menghasut jamaah Muslimin agar keluar dari barisan jihad dan berhujjah kononnya itulah kehendak Nabi saw pada asalnya. 1000 pasukan Muslimin di Uhud, menjadi berkurang sehingga 700 orang. Peranan mereka sewaktu peristiwa Uhud membuktikan pengkhianat sering wujud dalam kehidupan jamaah Muslimin. Nabi Adam dikhianati Iblis, Nabi Musa dikhianati Samiri, Nabi Isa dikhianati Bani Israel, dan Nabi Muhammad dikhianati kaum munafik!

Moga kita semua dikurniakan Allah jiwa yang istiqamah untuk menegakkan agamanya.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-