© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Tajdid Untuk Kemenangan

Tajdid Untuk Kemenangan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 24 August 2015


Sejarah gerakan Islam menyaksikan pelbagai gerakan tajdid berlaku di seluruh alam Islam. Gerakan-gerakan ini dapat dilihat selepas perang dunia yang pertama (1916-1919) atau lebih khusus selepas kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah (1924). Di Mesir telah muncul gerakan Ittiba’ al-Sunnah (1919) dan Ikhwanul Muslimin (1928). Sebelumnya ialah gerakan yang di pimpin oleh Syed Jamaludin al-Afghani dan Syeikh Mohd Abduh. Di Indonesia, Parti Syarikat Islam (1909) dan di Tanah Melayu gerakan pembaharuan oleh Syed Sheikh al-Hadi (1918) dan gerakan Parti Syarikat Islam 1926. Di India gerakan oleh Sheikh Waliyullah al-Dahlawi dan mutakhir Jamaat Islami oleh Abul A’la Al Mawdudi. Di Malaysia, kebangkitan Islam secara teratur dan berterusan adalah di bawah gerakan PAS yang sehingga hari ini telah berlalu selama 62 tahun.

Meneliti liku-liku perjuangan PAS selama lebih enam dekad, penilaian seharusnya dilakukan dalam rangka meningkatkan lagi keupayaan PAS. Justeru kertas ini mengemukakan tiga tajuk perbincangan, iaitu Kejayaan Semasa PAS, Gerakan Kesedaran Baru dan Peranan Tarbiyah PAS.

Kejayaan Semasa PAS

Sebagai sebuah gerakan Islam PAS telah berjaya mengemukakan alternatif bagi menyelesaikan permasalahan masyarakat dan ummah ke arah membangunkan  sebuah negara yang adil dan generasi yang bermaruah pada masa hadapan. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS pernah menyebut seperti berikut, “Menjadi kewajipan kita Menarik keluar manusia daripada gelap kepada cerah. Gelap ini bermacam-macam; gelap riba, gelap rasuah, gelap seks, salah guna seks, salah guna kuasa dan bermacam-macam lagi. Kita sebagai gerakan Islam perlu menarik orang ini keluar supaya menuju kepada nur yang satu iaitu Islam.” (Kelantan Universiti Politik Terbuka: 221).

Tugas-tugas ini telah dijalankan dalam kerangka Muwajahah Silmiyah yang dilakukan oleh PAS. PAS telah berjaya membangunkan dasar institusi dan badan yang menjaga kepentingan umat. Lembaga-lembaga ini telah berjaya menjana perubahan masyarakat dalam pelbagai bidang justeru PAS dapat menyusun tenaga kerja dalam masyarakat dan melaksanakan (tanfiz) ajaran Islam sekurang-kurangnya dalam bidang kemampuan PAS. Di antaranya ialah;
  1. Membangunkan di dalam negara ini sebuah jemaah Islam dan gerakan Islam.
  2. Membangunkan dasar-dasar di peringkat negeri seperti meminda undang-undang tubuh kerajaan Negeri Terengganu dengan meletakkan al-Quran, al-Sunnah, al-Ijma’ dan al-Qias sebagai rujukan tertinggi (digazetkan pada 2003) dan meluluskan undang-undang jenayah bagi Negeri Kelantan.
  3. Penubuhan institusi-institusi tarbiyah dan pendidikan seperti ILHAM dan penubuhan institusi-institusi pendidikan bermula daripada peringkat pra-sekolah (PASTI), Penubuhan pasukan kerja Amal, Penubuhan institusi Latihan dan perkaderan (ILHAM), dan Pembangunan institusi ekonomi koperasi.
  4. Membangunkan persatuan-persatuan (NGO) sebagai nukleus gerakan umat seperti penubuhan Institut amar makruf dan nahi mungkar atau Sukarelawan Pendidikan Rakyat (KAWAN).

Gerakan Kebangkitan dan Pembaharuan
  1. Gerakan pemulihan demokrasi (BERSIH) sudah diperjuangkan oleh PAS dan ternyata gerakan ini mendatangkan perubahan.
  2. Gerakan kebangkitan seperti ANAK dan PENDIDIK.
  3. Menyemarakkan kepimpinan ulamak PAS sentiasa menyahut cabaran perjuangan dengan semangat dedikasi. Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) menyaksikan kegagalan komponen BN mempertahankan majoriti 2/3 di Parlimen. PAS telah memimpin sebuah perubahan untuk masyarakat majmuk dan menjadikan Islam berdaulat dalam negara ini.
  4. Mendokong gerakan perpaduan umah; PAS telah memasuki pelbagai rundingan di peringkat  antarabangsa untuk penyatuan dan perpaduan umat dalam isu-isu Acheh, Afghanistan, Iraq, Yaman dan lain-lain.
  5. Membina jatidiri masyarakat melalui kepimpinan masjid dan kariah.

Memimpin Kebangkitan

Semenjak lebih dua dekad mutakhir, Muktamar PAS membicarakan soal keperluan memimpin ummah melalui kaedah muwajahah silmiyyah; kejayaan yang dicapai adalah setakat menguasai negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah dan bersama rakan pakatan di Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Dominasi UMNO ke atas orang Melayu masih belum dipecahkan. Sehubungan dengan itu maka sebuah gerakan kesedaran yang  baru (Tajdid) hendaklah dipelopori di peringkat akar umbi oleh PAS bagi menjayakan sebuah perubahan dalam masyarakat Melayu.

Tajdid Ijtima’ie

Gerakan ini boleh diistilahkan sebagai Tajdid Ijtima’ie. Iaitu sebuah gerakan kesedaran untuk menyatu padukan kekuatan Islam dan kekuatan demokrasi. Dalam mengungkap kepentingan tersebut, saya memetik Dr. Siddiq Fadzil dalam bukunya ‘Islam dan Melayu’ seperti berikut;

“Memang untuk merealisasikan aspirasi politik selamanya memerlukan kekuatan, terutama kekuatan kepimpinan. Dalam konteks Malaysia hari ini, kita memerlukan kepimpinan yang mampu memperjuangkan aspirasi politik masa kini: sebuah negara demokratik yang sejahtera, adil dan beradab berasaskan nilai-nilai luhur kemanusiaan dan keislaman. Kita memerlukan politik baru yang mengakomodasi kedua-dua arus besar: demokrasi dan Islamisasi. Kedua-dua aspirasi tersebut tidak seharusnya dibiarkan bertembung dan berkonflik hancur-hancuran. Dalam menangani isu demokrasi dan Islam, pilihan kita bukan either... or, sama ada negara demokratik yang tidak Islamik, atau negara Islamik yang tidak demokratik. Yang harus diperjuangkan adalah sebuah negara demokratik yang sekaligus Islamik. Persoalan yang selalu ditimbulkan, apakah dua kekuatan ini (demokratic force dan Islamic force) dapat bertaut dan berganding secara harmonis? Titik pertemuan tetap ada, andainya sistem politik Islam dapat mengekalkan ciri dinamiknya, berkembang secara luas mengikut keperluan realiti zaman dan lingkungan, tidak membeku dalam bentuk tertentu; dan andainya demokrasi juga tidak di bekukan dalam definasi dan bentuk tertentu.”

Gerakan kesedaran ini atau Tajdid Ijtima’ie seharusnya dapat dibangunkan melalui :-
  1. Gerakan Dakwah dan Pendidikan Masyarakat
  2. Gerakan Amar Makruf Dan Nahi Mungkar
  3. Gerakan Pemerkasaan sosial ekonomi ummat

Tajdid Haraki iaitu suatu gerakan tarbiyyah dapat dilaksanakan bagi mencapai matlamat di bawah;
  1. Mengekalkan perpaduan melalui ikatan ukhuwwah Islamiyah
  2. Mendaulatkan perjuangan Islam melalui kaedah amal jama’ie
  3. Membangunkan saff kekuatan Islam dikalangan ummah di seluruh dunia

Peranan Tarbiyah PAS Melahirkan Para Nuqaba’, Para Amilin dan Para Ansar

PAS berusaha untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang mampu memimpin perancangan untuk menghasilkan gerak kerja sebelas perkara seperti yang dinyatakan dalam Fasal 6 Perlembagaan PAS. Fasal-fasal ini menuntut PAS membangunkan al-safwat al-mukhtarah dalam setiap bidang kehidupan yang hendak digunakan oleh PAS dan dibangunkan bersama-sama Islam. Sebelas perkara ini dikira sebagai bidang-bidang kegiatan dalam kehidupan masyarakat di Malaysia yang mesti dipimpin oleh PAS menurut ajaran Islam. Pemimpin mestilah mengetahui sebaik-baiknya ajaran Islam dan tasawwur Islam dalam pembangunan bidang berkenaan agar ia dapat dibudayakan secara Islam.

Persoalannya mengapa tarbiyyah? kerana tarbiyyah sahaja memampukan seseorang mempunyai kekuatan kerohanian dan keilmuan sehingga dia lahir sebagai seorang yang berilmu, berakhlak dan pandai bekerja. Dengan kata lain, peranan tarbiyyah itu ialah mengadunkan kemampuan ilmu akhlak dan kemahiran dalam diri sesorang manusia sehingga menjadi fakulti yang mampu memimpin dan menggerakkan orang lain untuk kemakmuran di muka bumi Allah dan mendapat keredhaan Allah di hari akhirat.

Aplikasi Tarbiyyah Dalam Aktiviti PAS

Ahli-ahli PAS seharusnya dapat memperolehi impak daripada semua kegiatan yang dilakukan. Sebagai contoh adalah seperti yang dikemukakan di bawah :-


Bentuk Program

Penyertaan

Objektif

Kuliah Umum

Pemimpin, petugas, penyokong, ahli dan orang ramai

Pentakrifan Islam dan keilmuan

Usrah TAK

Semua ahli PAS (sesuai dengan peringkat masing-masing)

Memahami tarbiyyah di peringkat
ta’arif, takwin dan tanfiz

Tamrin

Pimpinan/ pekerja dan penyokong PAS

Pendisiplinan dan kemahiran

Kuliah Haraki

Pimpinan/ pekerja dan ahli PAS

Pengukuhan kepada usrah dan tamrin

LiqaFikri

Pimpinan, petugas dan penyokong

Pembinaan fikrah berjamaah
dan keilmuan

Mukhayyam

Pimpinan, petugas dan pendokong (mana yang berkenaan)

Pembudayaan hidup berjamaah
dan pembangunan sumber

Kursus Kepimpinan dan Organisasi

Petugas dan pendokong

Pembangunan sumber

Kursus Perguruan

Petugas dan pendokong

Pembangunan sumber

Lawatan Sambil Belajar/
Ziarah

Pemimpin, petugas, pendokong/ ahli

Pembangunan sumber

Kegiatan Khitabah Dan Imamah

Petugas

Pembangunan sumber

Himpunan

Pemimpin

Pembudayaan

Demonstrasi

Pemimpin, petugas, penyokong, ahli dan orang ramai

Pembudayaan

Aktiviti NGO

Pemimpin, pekerja dan penyokong dan orang ramai

Program perlaksanaan ta’arif, takwin dan tanfiz (TAK)

Semoga program-program yang diadakan ini akan menjana pembangunan sumber manusia melalui kaedah tarbiyah Islamiah yang diselenggara oleh PAS demi meninggikan Syariat Islam dan mencari keredhaan Allah.

Biodata Penulis

Kertas Kerja ini disediakan untuk program Liqo’ al-Fikr, Air Kuning, Perak pada 4 April 2014 oleh Ustaz Dato’ Hj. Abu Bakar Bin Chik (Timbalan Pengerusi Lajnah PAS Pusat).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-