© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Sombong Meruntuhkan Jamaah

Sombong Meruntuhkan Jamaah

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday 1 August 2015


Sombong sifat Iblis, tawaduk sifat para Nabi-nabi. Iblis dihalau daripada syurga kerana sombong dan angkuh tidak mahu menurut Nabi Adam as. Kerana Adam dijadikan daripada tanah, Iblis dijadikan Allah daripada api. Akhirnya iblis dihalau daripada syurga kerana keangkuhannya. Allah merakamkan di dalam al-Quran;
وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُواْ لآدَمَ فَسَجَدُواْ إِلاَّ إِبْلِيسَ لَمْ يَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ. قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلاَّ تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ قَالَ أَنَاْ خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ
“Dan sungguh, Kami telah menciptakan kamu. Kemudian membentuk (tubuh)mu, kemudian Kami berfirman kepada para Malaikat; Bersujudlah kamu kepada Adam, maka mereka pun sujud kecuali Iblis. Ia (Iblis) tidak termasuk mereka yang bersujud. (Allah) berfirman; Apakah yang menghalangmu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu? (Iblis) menjawab; Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.” (surah al-A’raf, ayat 11-12)

Sifat mazmumah ini tidak kenal siapakah individu tersebut, sama ada ulamak atau bukan ulamak, kaya atau miskin, cerdik atau jahil. Penyakit ini akan meninggalkan kesan yang paling merbahaya kepada individu dan jamaah. Benih kesombongan terlalu kerap muncul tanpa kita sedari. Semakin tinggi perasaan sombong, semakin sukar kita mengesan penyakit itu dalam diri. Sombong sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah saw ialah;
مَنْ سَـفَهَ اْلحَقَّ وَغَمَصَ النَّاسَ
“(Orang sombong ialah) orang yang menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.” (riwayat Muslim)

Betullah pesanan baginda Nabi kepada kita supaya jangan bersifat sombong. Lebih-lebih lagi kita di dalam jamaah Islam, jangan ada sifat sombong dan angkuh terutama sesama ahli dan orang ramai. Sombong sesama ahli akan merenggangkan ukhwah dan melemahkan gerak kerja parti. Tidak ada siapa di dalam jamaah suka kepada individu yang sombong.

Jika sikap sombong di luar jamaah, lebih parah. Orang sombong sukar untuk didekati, orang tawaduk senang didampingi. Macam mana kita hendak sebarkan pengaruh PAS ke luar jika individu PAS bersikap sombong dengan orang ramai. Islam akan tersebar apabila da’ienya tawaduk dan tidak sombong. Siapa hendak dekat dengan kita jika persepsi awal sudah dbentuk sehingga menjauhkan orang ramai dengan dakwah kita. Kerana sombong akan dipalingkan daripada melihat kebenaran.

Firman Allah;
سَأَصْرِفُ عَنْ آيَاتِيَ الَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِي الأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَإِن يَرَوْا كُلَّ آيَةٍ لاَّ يُؤْمِنُواْ بِهَا وَإِن يَرَوْا سَبِيلَ الرُّشْدِ لاَ يَتَّخِذُوهُ سَبِيلاً وَإِن يَرَوْا سَبِيلَ الْغَيِّ يَتَّخِذُوهُ سَبِيلاً ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا وَكَانُواْ عَنْهَا غَافِلِينَ
“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takabbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.” (surah al-A’raf, ayat 146)

Na’uzubillah min zaalik, semoga terhindar kita daripada penyakit ini kerana bimbang kebenaran dilindungi dan diselimuti dari padangan kita kerana wujudnya sifat takabbur. Perkara inilah yang paling ditakuti kerana ia boleh membawa kepada kemurkaan Allah.

Sombong berpunca daripada diri apabila merasa dirinya lebih daripada sahabat-sahabat seperjuangan yang lain dan meninggikan dirinya ke atas mereka. Merasakan dirinya sempurna, orang lain semuanya cacat, lemah, bengap dan kurang. Seolah-olah dirinya sempurna, tiada cacat cela. Jika di dalam mesyuarat memaksa pandangan beliau diterima. Jika ahli mesyuarat menolak ia tetap berdegil dengan pandangannya. Sebarang pandangan ahli mesyuarat diperlekeh begitu sahaja.

Bangga dengan keilmuan dan kepetahannya. Menjatuhkan maruah dan darjat orang lain dengan ungkapan yang tidak sedap di dengar. Tidak suka bergaul dengan orang yang tidak setaraf dengannya. Bersikap memilih kawan yang tertentu. Orang kenamaan dan kaya menjadi pilihan. Sukar untuk menegur orang lain, walaupun dia kenal individu tersebut. Berjalan di dalam keadaan sombong dan bongkak, seolah-olah dunia dia yang punya.
وَلا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلا تَمْشِ فِي الأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (surah Luqman, ayat 18)

Oleh itulah di dalam manhaj usrah PAS menitik berat soal penyakit sombong, supaya penyakit ini tidak menular di dalam jamaah. Ia amat merbahaya kepada jamaah. Meliarkan orang daripada PAS, ia bukan menjinakkan orang ramai. Penekanan sudut ini amat penting kepada setiap individu, terutama mereka yang bergelar pemimpin. Godaan iblis amat kuat kepada mereka yang bergelar pemimpin.

Cara Merawat Penyakit Sombong
  1. Sering bermuhasabah diri, kerana ini lebih tepat. Kita sendiri yang lebih mengetahui daripada orang lain tentang kelemahan dan kekuatan diri.
  2. Banyak membaca kisah- kisah Nabi dan Sahabat yang bersikap tawaduk walaupun mereka adalah orang terpilih di atas dunia ini.
  3. Mengetahui hakikat tawaduk dan bahayanya penyakit sombong.
  4. Menginsafi diri jika kita merasa diri kita hebat, ada lagi orang lain lebih hebat daripada kita.
  5. Jauhlah diri daripada berkawan dengan orang yang berpewatakan sombong, kerana ia akan mempengaruhi cara hidup kita.
  6. Lihatlah ahli-ahli PAS diperingkat bawah, mereka ikhlas dan mempunyai jiwa yang besar walaupun mereka ini manusia yang tidak dikenali di bumi tetapi dikenali di langit. Janganlah kita sombong dengan mereka. Kadang-kadang kehebatan kita kerana hasil pengorbanan yang mereka lakukan untuk PAS.
  7. Pergiatkan tarbiyah fardhiah melebihi daripada tarbiah secara berjamaah. Kerana tarbiah fardiah ia berterusan tanpa perlu menunggu program yang diatur oleh parti.
  8. Railah kelemahan sahabat yang bekerja di dalam jamaah, bukan mengherdik dan mencerca mereka jika sedikit kesilapan yang dilakukan.
Jelas Umar al-Khattab ra di dalam Durrat al-Nasihin;
رأس التواضع أن تبتدئ بالسلام على من لقيته من المسلمين, وأن ترضى بالدون من المجلس , وأن تكره أن تذكر بالبر والتقوى
“Puncak tawaduk adalah memulakan salam terhadap sesiapapun di kalangan kaum Muslimin yang kamu temui, redho untuk duduk di posisi yang lebih rendah dan enggan mempromosikan kelebihan (kebaikan) dan ketakwaan diri (kepada orang lain).”

Kesimpulannya, tidak layak kita di dalam jamaah bersifat sombong. Ini bukan akhlak Islam yang diajar oleh Nabi kita Muhammad saw. Sifat ini merugikan jamaah dan individu itu sendiri. Kita perlu menyedari bahawa hakikat kejadian kita bukanlah sekadar makhluk bersifat fizikal semata-mata, tetapi juga makhluk spiritual. Kita lahir dengan tangan kosong (mengharap rahmat), dan kita pun akan dikembalikan kepada Allah dengan tangan kosong (mengharap redha). Firman Allah;
ِإِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kami adalah milik Tuhan dan kepada-Nyalah kami kembali.” (surah al-Baqarah, ayat 156)

Kita perlu berusaha untuk membersihkan diri dari penyakit tadi, bahkan mereka juga berkewajipan mengambil langkah-langkah perlu bagi melindungi dirinya. Seandainya perkara ini diabaikan dan tidak diubati maka sudah pasti ia akan bersarang di dalam diri, sehingga sukar untuk diubati.

Menutup perbicaraan ini suka untuk saya mengajak ahli-ahli PAS menyemak nasihat Imam al-Ghazali r.hm yang termaktub dalam bukunya Bidayatul Hidayah;
ينبغي ان لا تنظر إلى احد إلا وترى أنه خير منك وأن الفضل له على نفسك، فإن رأيت صغيرا، قلت؛ هذا لم يعص الله تعالى وأنا عصيته فلا شك أنه خير مني، وإن رأيت كبيرا، قلت؛ هذا قد عبد الله تعالى قبلي فلا شك أنه خير مني وإن كان جاهلا، قلت؛ هذا قد عصى الله بجهل وأنا عصيته بعلم فحجة الله علي آكد وما أدري بما يختم لي وبما يختم له...هكذا وهكذا
“(Agar kamu bersifat tawaduk) semestinya kamu tidak melihat seseorang itu kecuali penilaianmu mengarah bahawa diri orang lain itu lebih baik daripada kamu dan dia lebih utama berbanding kamu, jika dia lebih muda dari kamu, katakan bahawa dia masih muda belum banyak maksiat kepada Allah sedangkan saya sudah banyak melakukan maksiat, tentu sahaja dia lebih baik dari aku. Dan jika kamu lihat orang yang lebih tua dari kamu, katakanlah dia telah lebih dahulu beribadah kepada Allah jauh sebelum aku melakukannya, tentu sahaja dia lebih baik dari aku, jika melihat orang yang tidak berilmu (jahil), katakanlah dia melakukan kesalahan kerana ketidak-ketahuannya sedang aku melakukan dosa kepada Allah dalam keadaan aku tahu akan akibatnya, hujjah Allah terhadapku akan lebih dahsyat dan aku tidak tahu bagaimana akhir kehidupanku dan kehidupannya (barangkali lebih baik daripada aku)... demikian seterusnya.”

Biodata Penulis

Ust Haji Idris bin Haji Ahmad merupakan Naib Presiden PAS 2015-2017 merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan PAS Pusat. Berikut adalah teks ucapan beliau dalam Liqa’ al-Fikri PAS Kedah kali pertama sesi 2015/2017 pada 31 Julai 2015 bersamaan 15 Syawal 1436 di Kompleks PAS Kedah.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-