© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Keguguran Ahli Dari Perjuangan Islam, Ada Sunnahnya

Keguguran Ahli Dari Perjuangan Islam, Ada Sunnahnya

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 24 August 2015


Dewan Ulamak PAS Pusat meneliti dengan serius percubaan untuk memecah-belahkan perpaduan PAS oleh pihak-pihak tertentu menerusi hasutan kepada ahli untuk keluar daripada gerakan Islam PAS secara beramai-ramai. Sesungguhnya usaha sebegini bukannya baru. Sepanjang zaman, musuh-musuh kepada perjuangan politik Islam mencuba pelbagai cara sama ada dari dalam atau dari luar untuk melemahkan kekuatan PAS. Tentunya usaha dari dalam dengan menabur racun yang halus lebih berjaya berbanding usaha dari luar kerana menjadi seumpama api dalam sekam yang membakar tanpa sedar.

Namun, sejarah membuktikan PAS terus gagah sejak ditubuhkan 1951 meskipun mengharungi pelbagai kocakan dalaman termasuk gugurnya beberapa belas pimpinan tertinggi PAS pada 1982. Hal ini kerana kekuatan PAS adalah pada dasar Islam yang dipegang serta rujukan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas yang memandu hala tuju dan gerak kerja PAS.

Pemimpin dan ahli boleh datang dan pergi, namun parti berasaskan Islam yang membawa cahaya kebenaran Islam akan terus berjalan dan berlangsung. Allah berfirman;
يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللَّهُ إِلَّا أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka sedang Allah enggan melainkan menyempurnakan cahaya-Nya walaupun dibenci oleh orang yang kufur.” (surah Taubah, ayat 32)

Keguguran Tentera Talut

Keguguran sebilangan pimpinan dan ahli dari perjuangan PAS mengingatkan kita dengan tapisan yang dilakukan oleh Allah terhadap tentera Talut, seorang raja yang dipilih oleh Allah bagi memimpin Banu Israel memerangi si zalim Jalut. Dalam perjalanan perang, tentera Talut diuji dengan sebatang sungai. Mereka tidak dibenarkan minum airnya melainkan sekadar secebok tangan. Majoriti tentera gagal dalam ujian lalu digugurkan dari barisan tentera sehinggakan tinggal sekumpulan kecil sahaja kalangan mereka.

Menurut satu riwayat daripada al-Sudi bilangan mereka ialah 80 000. Yang terpaksa digugurkan kerana gagal tapisan pertama ialah 76 000 manakala yang berjaya hanya 4 000 sahaja. Lantas sebahagian besar daripada kumpulan kecil yang berjaya tapisan pertama ini pula teruji perasaan mereka dengan kebimbangan setelah mereka menyeberangi sungai. Lalu mereka mengeluh, “Tiada upaya kita dengan bilangan kecil ini untuk menghadapi Jalut dan tenteranya yang ramai!!”

Namun, segelintir yang lain pula menegaskan keimanan mereka bahawa mereka mampu menang dengan bantuan Allah. Kata mereka, “Betapa banyak kumpulan yang sedikit mengalahkan kumpulan yang banyak dengan izin Allah sedang Allah bersama orang-orang yang sabar.” (rujuk surah al-Baqarah, ayat 249);
فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَن شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَن لَّمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلاَّ مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلاَّ قَلِيلاً مِّنْهُمْ، فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ ءَامَنُوا مَعَهُ قَالُوا لاَ طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ. قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلاَقُوا اللهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللهِ وَاللهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
“Tatkala Talut keluar membawa tenteranya, ia berkata, ‘Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan suatu sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, ia bukanlah pengikutku. Dan siapa tidak meminumnya kecuali menceduk seceduk tangan, maka ia adalah pengikutku’. Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Talut dan orang-orang yang beriman bersama dia telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata, ‘Tiada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tentaranya’. Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata, ‘Berapa banyak yang telah terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang ramai dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar’.”

Menurut al-Sudi, golongan yang lemah iman itu berjumlah 3680 orang lebih. Manakala golongan yang kuat imannya hanyalah 310 orang lebih sebagaimana bilangan tentera Badar. Namun, kesabaran menjadi sebab untuk mereka menang akhirnya mengalahkan Jalut.

Perang Uhud

Ketika berlaku perang Uhud di saat tentera Quraisy telah tiba ke sempadan Madinah, Rasulullah saw keluar dengan jumlah tentera Islam seramai seribu orang. Namun, dipertengahan jalan 1/3 tentera telah mengundurkan diri secara tiba-tiba dengan pelbagai alasan dengan diketuai oleh kepala Munafikin yang bermuka-muka dengan Nabi iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Tujuannya untuk melemahkan semangat baki tentera Islam. Sekalipun pembelotan dilakukan kaum munafik, namun baginda meneruskan juga perjuangan dan hasilnya kemenangan pada pusingan pertama perang telah memihak kepada baginda saw.

وَمَآ أَصَٰبَكُمْ يَوْمَ ٱلْتَقَى ٱلْجَمْعَانِ فَبِإِذْنِ ٱللَّهِ وَلِيَعْلَمَ ٱلْمُؤْمِنِينَ. وَلِيَعْلَمَ ٱلَّذِينَ نَافَقُوا۟ ۚ وَقِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ قَٰتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَوِ ٱدْفَعُوا۟ ۖ قَالُوا۟ لَوْ نَعْلَمُ قِتَالًا لَّٱتَّبَعْنَٰكُمْ ۗ هُمْ لِلْكُفْرِ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ مِنْهُمْ لِلْإِيمَٰنِ ۚ يَقُولُونَ بِأَفْوَٰهِهِم مَّا لَيْسَ فِى قُلُوبِهِمْ ۗ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يَكْتُمُونَ
“Dan apa yang menimpa kamu pada hari bertemunya dua pasukan, maka (kekalahan) itu adalah dengan izin (takdir) Allah, dan agar Allah mengetahui siapa orang-orang yang beriman. Dan supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang munafik. Kepada mereka dikatakan; Marilah berperang di jalan Allah atau pertahankanlah (dirimu). Mereka berkata; Sekiranya Kami mengetahui akan terjadi peperangan, tentulah Kami mengikuti kamu.” Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran dari pada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak terkandung dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan.” (surah Ali Imran, ayat 166-167)

مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمْ عَلَيْهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلْخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِ ۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى ٱلْغَيْبِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجْتَبِى مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُ ۖ فَـَٔامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ ۚ

“Allah sekali-kali tidak akan tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu yang sekarang ini, sehingga dia menyaksikan yang buruk (munafik) dari yang baik (mukmin). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlibatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib. Akan tetapi Allah memilih dari Rasul-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya.” (surah Aali Imran, ayat 179)

Rom Menaja Masjid Dhirar

Kerajaan Rom selaku musuh Islam mendalangi dan menaja penubuhan sebuah masjid di Madinah menerusi golongan munafik bagi memecah-belahkan kesatuan umat Islam. Ia menjadi pengajaran bagi mereka yang bersedia untuk bersekongkol dengan pihak luar bagi melemahkan Islam dan memecah-belahkan kesatuan Islam. Tidak mungkin musuh Islam sudi membantu jika tiada muslihat dan kepentingan. Tajaan itu adakalanya bersifat material seperti bantuan kewangan, projek dan sebagainya, adakalanya juga bersifat sokongan seperti kata-kata perangsang dan membakar semangat para pembantunya itu.

وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًۢا بَيْنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَآ إِلَّا ٱلْحُسْنَىٰ ۖ وَٱللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَٰذِبُونَ
“Dan (diantara orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (kepada jamaah orang-orang Mukmin), untuk kekafiran dan memecah belah antara orang-orang Mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah; Kami tidak menghendaki selain kebaikan (islah dan pembaharuan). Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam kenyataan mereka).” (surah al-Taubah, ayat 107)

Seruan

Saya menyeru seluruh ahli PAS untuk istiqamah meneruskan perjuangan politik Islam menerusi wadah PAS. Kita bersama PAS memperjuangkan kuasa politik Islam hanyalah kerana Allah demi memperjuangkan agama-Nya. Selagi PAS terus menjadikan Islam sebagai dasarnya dengan empat rujukannya iaitu al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas maka kita akan terus istiqamah sehingga kemenangan. Sesungguhnya kemenangan Islam itu semakin hampir. Hanya orang yang sabar bakal menikmatinya.

Biodata Penulis

Dato Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri merupakan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-