© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Home » » Istidraj: Limpahan Rezeki Kerana Maksiat

Istidraj: Limpahan Rezeki Kerana Maksiat

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday, 24 August 2015


“Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu (kesenangan) untuk mereka; sehingga ketika mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka secara tiba-tiba, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” Begitulah terjemahan firman Allah Taala yang dipetik daripada surah Al-An’aam, ayat 44 yang berbunyi;
فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah dengan sepenuh kesungguhan, iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan bersungguh-sungguh meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan setiap usaha yang kita lakukan di dunia yang sementara ini, akan dinilai di sisi Allah sebagai ganjaran pahala di akhirat kelak, seterusnya menyelamatkan kita daripada azab api neraka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah sangatlah banyak, sehingga tidak ada seorangpun yang dapat menghitungnya sama ada nikmat itu berupa harta, keluarga, pangkat, kesihatan dan yang paling besar dan paling tinggi nilainya ialah nikmat hidayah Iman dan Islam. Segala nikmat ini datang daripada Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nahl, ayat 53;
وَمَا بِكُمْ مِنْ نِعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ
“Dan segala nikmat yang ada padamu (datangnya) daripada Allah.”

Justeru apabila kita dikurniakan nikmat oleh Allah, sepatutnya kita lebih patuh kepada perintah-Nya, menjauhi segala larangan-Nya dan mensyukuri segala nikmat pemberian-Nya. Namun pemberian tersebut acapkali dilupai, nikmat-Nya seringkali dimungkiri sehingga kebanyakan manusia tidak bersyukur, sombong, takabbur, ingkar dan tidak melakukan apa yang disuruh oleh Penciptanya dengan sifat Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, setiap manusia merasai nikmat pemberian-Nya sama ada manusia itu beriman ataupun tidak. Kita biasa melihat orang bukan Islam yang diberikan kekayaan dan kesenangan hidup, tetapi masih tetap dengan kekufurannya. 

Kadangkala kita melihat orang Islam yang ingkar dengan melakukan maksiat, tetapi hidupnya senang, tampak seolah-olah bahagia, diberikan kesihatan tubuh badan, memiliki rumah besar, kereta mewah, perniagaannya maju dan memiliki kesenangan duniawi. Inilah yang dinamakan Istidraj, iaitu pemberian Allah kepada seseorang terhadap apa sahaja yang dia ingini sehingga dia makin jauh dari Allah. Perkara ini dijelaskan disebuah hadis daripada Uqbah bin Amir ra daripada Nabi Muhammad saw bersabda;

إِذَا رَأَيْتَ اللهَ تَعَالَى يُعْطِي الْعَبْدَ مِنَ الدُّنْيَا مَا يُحِبُّ وَهُوَ مُقِيمٌ عَلَى مَعَاصِيْهِ فَإِنمَّا ذَلِكَ مِنهُ اسْتِدْرَاجٌ
“Apabila kamu melihat Allah mengurniakan seseorang hamba nikmat dunia yang dia ingini sedangkan masih bergelumang dengan maksiat, maka hanyasanya itu adalah Istidraj.” (riwayat Ahmad dan al-Baihaqi)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Mereka yang mendapat Istidraj mungkin merasakan dirinya disayangi dan diredhai oleh Allah kerana sangkaan dirinya mendapat pelbagai nikmat dan kurniaan secara berterusan. Maka muncullah ungkapan-ungkapan takabbur seperti “tidak solat pun boleh dapat cemerlang dalam pelajaran” atau “tidak perlu bersusah payah solat dan meminta daripada tuhan pun boleh kaya, kamu yang solat siang malam pun tidak kaya-kaya”, na’uzubillah. Sebenarnya, mereka telah melakukan satu kesilapan yang amat besar.

Begitu juga orang bukan Islam, mereka dilimpahi nikmat keduniaan, dipanjangkan umur dan sering mendapat kejayaan sehingga mereka menyangka mereka berada di jalan yang benar. Hakikatnya, azab yang pedih bakal menimpa di akhirat nanti. Mari sama-sama kita tekuni Firman Allah dalam surah Aali-Imran, ayat 178:
وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ خَيْرٌ لِّأَنفُسِهِمْ ۚ إِنَّمَا نُمْلِي لَهُمْ لِيَزْدَادُوا إِثْمًا ۚ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
“Jangan sekali-kali orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka, kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia) dan mereka pula beroleh azab yang hina (di akhirat kelak).”

Di dalam kitab “Fi Zilaalil Quran” karangan Syed Qutub menjelaskan bahawa nikmat bagi orang yang kafir itu hanyalah fitnah dan tipu-daya yang kuat. Maka harta, kekuasaan, kenikmatan duniawi dan seumpamanya yang dikurniakan kepada mereka yang kafir merupakan istidraj yang akan menyebabkan mereka makin jauh dari cahaya kebenaran.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Seperti yang kita ketahui, sejarah tentang istidraj seperti yang Allah rakamkan dalam al-Quran mengandungi penceritaan Firaun yang bukan sahaja kufur kepada Allah malah zalim dan takabbur. Dia dilimpahi pelbagai nikmat, umur yang panjang, kekayaan, kesihatan malah dikatakan tidak pernah bersin sepanjang hayatnya. Nikmat-nikmat yang dikecapi ini bukan menjadikannya seorang insan yang bersyukur sebaliknya dirinya angkuh sehingga menobatkan dirinya sebagai tuhan. Akhirnya Firaun ditenggelamkan bersama-sama pengikutnya di Laut Merah.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Khutbah Kedua
الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ؛ فَذَرْنِي وَمَن يُكَذِّبُ بِهَـٰذَا الْحَدِيثِ ۖ  سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ (٤٤). أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله. إِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْن
Allah menyatakan dalam ayat 44 Surah al-Qalam yang dibacakan tadi bermaksud, “Biarkan Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan) dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Menjadi suatu kewajipan kepada kita mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah. Janganlah kita sia-siakan setiap nikmat yang diterima dengan perlakuan dan sikap yang mengundang kemurkaan Allah. Setiap nikmat perlu disyukuri dengan mengingatinya, mengurus tadbir harta dan nikmat yang dikecapi dengan sebaik-baiknya. Jangan lupa berinfaq dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan kerana ada bahagian mereka dari rezeki yang diberikan kepada kita. Mudah-mudahan segala nikmat yang diberi akan diberkati dan menjadi sebab untuk kita lebih dekat dengan Allah.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم، أللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَالمسْلِمِيْنَ فِىْ بِلَادِنَا هَذَا وَفِىْ الْعِرَاقِ وَفِىْ فَلَسْطِيْنِ وَفِىْ كُلِّ مَكَانٍ وَفِىْ كُلِّ زَمَانٍ. اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ  وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ
Ya Allah! Muliakanlah Islam dan pendokong-pendokongnya, bantulah Islam dan perkembangannya, bantulah pendakwah-pendakwah Islam dan para mujahidinnya. Ya Allah, hancurkanlah kekufuran serta golongan munafik dan musyrikin, binasakanlah musuh-musuh agama-mu dan segala sekutunya, Engkau eratkanlah hubungan kami sesama Islam. Elakkan kami dari permusuhan yang boleh menyebabkan terlerainya persaudaraan Islam. Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap pemimpin-pemimpin kami, pandulah mereka, kurniakanlah ilham kepada mereka, agar negeri kami sentiasa makmur dan berkat.
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الأَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Biodata Penulis

Disunting daripada Laman Web Dewan Ulamak PAS Perak
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM) | Pengerusi AKTAR 2017 Ustaz Hazmi bin Dibok
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-