© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Wawancara NewsAsia Bersama Presiden PAS

Wawancara NewsAsia Bersama Presiden PAS

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 24 July 2015


Dialog yang menyentuh isu DS Najib, hudud, PAS, GHB, masa depan pembangkang dan politik di Asia Barat.

1
Adakah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mempertahankan DS Najib Razak?

Sebenarnya saya mempertahankan konsep demokrasi. Saya mahu perubahan yang berlaku melalui proses yang betul, bukan diturunkan begitu sahaja. Mestilah melalui pilihanraya. Oleh kerana itu saya lebih berminat supaya pertukaran Perdana Menteri berlaku melalui proses pilihanraya, bukan melalui proses digulingkan tanpa melibatkan majoriti rakyat.

2
Adakah Dato’ Seri percaya dengan tuduhan terhadap DS Najib Razak?

Mengikut kaedah perundangan Islam dan kaedah ini diterima oleh Barat, seorang yang dituduh tidak terus dianggap bersalah, mesti dianggap tidak bersalah dan mesti dibuktikan terlebih dahulu «أن المتهم بريء حتى تثبت إدانته». Ini proses perundangan yang betul. Tidak boleh menganggap seseorang yang dituduh terus dianggap bersalah. Itu satu cara yang salah. Saya mahu supaya pelaksanaan dan proses keadilan yang betul.

3
Adakah Dato’ Seri berpendapat siasatan yang dijalankan adil dan tepat di sisi undang-undang?

Kita mempunyai satu kewajipan untuk memperkenalkan proses keadilan Islam kepada masyarakat. Kita tidak boleh terikut dengan sistem Barat yang terlalu mudah untuk buat tuduhan dan bertindak. Banyak sejarah yang membuktikan, mereka yang sepatutnya diambil tindakan, tidak diambil tindakan. Mereka yang diambil tindakan didapati tidak bersalah pada akhirnya. Itu berlaku. Oleh sebab itu kita mesti teliti dan cermat.

Mengikut Islam, kita perlu melihat apa yang zahir melalui penyiasatan yang adil dan telus oleh kalangan yang diberikan hak untuk melakukan tindakan. Apa yang berlaku pada hari ini hanyalah melalui media dan tuduhan hasil daripada pertarungan sama ada di antara kerajaan dengan pembangkang atau pertarungan kuasa dalam parti UMNO yang memerintah sendiri.

4
Dato’ Seri menyebut tentang permainan media. Apa yang dimaksudkan sebenarnya?

Sepatutnya media membuka minda rakyat untuk membuat tindakan yang adil. Kerana dalam amalan demokrasi, rakyat adalah hakim dan media adalah saksi. Oleh sebab itu hakim memerlukan keterangan daripada saksi yang adil.

Hari ini, kita mengalami perlumbaan media melalui media baru (langit terbuka), potensi media dimanipulasi untuk melariskan jualan bukan kebenaran. Media tidak boleh mempengaruhi rakyat dengan propaganda-propaganda yang tidak benar.
5
Jika rakyat adalah hakim, bagaimana mereka boleh menunjukkan perasaan mereka?

Perubahan berlaku dalam negara demokrasi mestilah melalui: Yang pertama, kehidupan rakyat yang selesa dan tiada tekanan terhadap rakyat. Kedua adalah media yang terbuka, bebas dan adil. Ketiga adalah pelaksanaan demokrasi yang betul. Ketiga-ketiga perkara ini sangat lah penting di mana ketiga-tiga ini tidak ada dalam negara Asia dan Afrika yang mencapai kemerdekaan daripada penjajahan. Ini sangat malang.

Di Eropah yang mengamalkan demokrasi, kita melihat bagaimana kerajaan boleh dihukum oleh rakyat dengan mudah dan menukar kerajaan. Oleh sebab itu kita melihat tiada satu parti yang selama-lamanya memerintah di negara Barat seperti Britain, Amerika dan lain-lain termasuk Jepun.

Tetapi dalam negara kita ini, kita melihat seolah-olah mahu supaya satu parti memerintah selama-lamanya. Seolah-olah tiada kekurangan dari parti itu. Mestilah bila lama memerintah ada kekurangan. Oleh sebab itu, kita perlu berjuang untuk memperbetulkan semua saluran-saluran ini.

6
Adakah PAS bersedia untuk bekerja bersama dengan UMNO?

Kita mempunyai pengalaman yang panjang terakam dalam sejarah PAS, sama ada sebelum kemerdekaan atau selepas kemerdekaan.

Sebelum kemerdekaan, pemimpin PAS pernah bekerjasama dengan semua pihak samada kanan atau kiri, nasionalis atau sosialis, atau yang paling ekstrim untuk menentang penjajah. Dan kerjasama kita adalah beradab, bermoral, berprinsip dan bermatlamat.

Apabila menyanggah moral, prinsip dan matlamat, kita berpisah. Dengan UMNO kita pernah bekerjasama ddan menyertai kerajaan campuran tahun 1970 dan bersama menubuhkan Barisan Nasional pada tahun 1974. Namun kita terpaksa berpisah apabila berlaku pertembungan kefahaman dan berbeza pendekatan antara kedua-dua parti.

7
Adakah PAS akan bergabung dengan UMNO dalam kerajaan persekutuan?

Saya tidak bersetuju. Kita pernah berpengalaman dalam membentuk kerajaan bersama pada tahun 1970 dan 1974. Apa yang pasti kita mengambil sikap berada di luar kerajaan dan kita mempunyai kerajaan negeri yang kita perintah seperti Kelantan, apa yang pasti kerajaan pusat tidak menyekat agenda kita untuk dilaksanakan di Kelantan tanpa kita masuk kerajaan pusat.

Kita boleh bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan pusat dalam mengendalikan urusan rakyat tanpa masuk kerajaan.

8
Adakah Dato’ Seri melihat kritikan Tun. Dr. Mahathir bagus untuk Malaysia?

Saya memuji Tun Mahathir sebagai seorang Perdana Menteri yang berani, mempunyai pendirian dan sikap beliau sendiri dalam semua keadaan sama ada dalam politik nasional atau antarabangsa. Saya menghormati beliau. Beliau seorang yang berani dan berterus terang.

Kita menerima cara berterus terang Tun Mahathir tetapi kita tidak bersetuju supaya digulingkan tanpa proses demokrasi yang betul.

9
Adakah Pakatan Rakyat (PR) masih wujud?

Sekurang-kurang pakatan adalah dua parti. Kalau satu parti tiada pakatan. Kita telah berjaya mewujudkan pakatan rakyat merangkumi tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP. Kita mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan DAP apabila DAP melakukan sesuatu yang dianggap bercanggah dengan parti dan moral pakatan rakyat. Kita mengambil tindakan namun hubungan kita dengan PKR masih ada.

Di antaranya apabila DAP secara langsung memaksa kita menghentikan agenda untuk melaksanakan beberapa perkara Islam yang diwajibkan oleh agama. Padahal perkara ini berkait dengan orang Islam sahaja dan orang bukan Islam diberi pilihan. Namun DAP juga mengasak kita dalam isu ini. Contohnya dalam isu pilihanraya majlis perbandaran, kita mengambil kira perbandaran itu mestilah meraikan masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama, jangan satu kaum sahaja.

Kita mahukan keharmonian semua kaum. Kalau dibuat pemilihan, satu kaum sahaja yang menguasai kawasan bandar akan menimbulkan ketegangan kerana menghidupkan bandar bukan sahaja penduduk termasuklah petani, nelayan, pemandu teksi dan sebagainya. Oleh sebab itu, untuk mengurus satu bandar mestilah melibatkan semua kalangan ini.

Apabila ditumpukan kepada satu kalangan sahaja, ini menimbulkan satu hubungan yang tidak baik diantara kaum dimana DAP tidak menghormati pandangan ini. Padahal dalam kerjasama PR, kita boleh berbeza pendapat dan pendekatan tetapi tidak boleh memaksa antara satu sama lain. Oleh sebab itu, PAS membuat keputusan putus hubungan dan DAP lebih awal memutuskan hubungan dengan kita. Namun hubungan kita dengan PKR masih diteruskan dan hubungan dengan beberapa pimpinan DAP masih diteruskan kerana disana ada negeri-negeri DAP yang tidak bersetuju dengan pimpinan pusat, di sana ada pimpinan DAP yang tidak bersetuju dengan pimpinan mereka sendiri.

10
Apakah kesan penubuhan parti baru?

Kita berpengalaman dalam isu ini sejak tahun 1960-an. Pada tahun 60-an dahulu pernah ditubuhkan parti IMAM, parti Islah serpihan pada PAS. Di akhir 70-an ditubuhkan al-Arqam, satu NGO dan antara tahun 1978 dan 1980 ditubuhkan parti BERJASA, parti HAMIM dan parti AKIM. Inilah serpihan-serpihan PAS.

Di mana kita mempunyai dasar yang lurus yang kita anggap betul dan diterima oleh rakyat dan kita konsisten dengan rakyat. Kita mempunyai cawangan-cawangan yang meluas di seluruh negara yang tidak ada pada parti-parti lain termasuk UMNO sendiri dan rakan-rakan kita.

Kita juga mempunyai kumpulan kepimpinan yang melibatkan semua lapangan, bukan sahaja ulama’ termasuk professional dalam segala bidang. Dalam pengalaman kita, semua parti serpihan yang ditubuhkan ini tidak boleh bertahan lebih dari dua tahun.

11
Adakah Dato’ Seri meramalkan bahawa Gerakan Harapan Baru yang baru ditubuhkan tidak akan bertahan lebih dari 2 tahun?

Saya melihat kepada tanda-tanda awal, di antaranya mereka mendapat sokongan ahli parti dalam pemilihan sekadar 20%. Sokongan yang sedikit dan ditolak oleh parti sendiri sebelum ditolak oleh rakyat. Di mana anggota-anggota parti adalah merupakan anggota cawangan dari seluruh negara.

12
Dato’ Seri mengatakan hudud tidak dikenakan kepada orang bukan Islam, adakah itu pendirian tetap PAS?

Sebenarnya itu yang diajar oleh Islam di mana ketika Islam memerintah dunia selama lebih 1300 tahun, Islam memerintah negara yang mengandungi masyarakat majmuk, pelbagai kaum dan berbilang agama, di mana langkah kita terhadap penganut bukan agama Islam dengan tidak memaksa mereka menganut agama Islam kerana Islam melarang kita memaksa penganut agama lain menganut Islam.

Di Kelantan kita dapati sesetengah insiden bahawa non-Muslim telah didenda oleh pegawai kerajaan Kelantan, apa respon Dato’ Seri terhadap perkara ini?

Kita tidak mendapat maklumat yang tepat, mengikut konsep kita, kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam mengikut peraturan-peraturan orang Islam. Namun di sana ada perkara yang perlu dipelihara sensitiviti rakyat sebagaimana kita orang Islam wajib menjaga sensitiviti orang bukan Islam. Contohnya Islam membenarkan penyembelihan lembu tetapi orang Hindu mempersucikan lembu. Adalah tidak beradab bagi orang Islam menyembelih lembu di hadapan orang Hindu.

Oleh sebab itu, sensistiviti mesti dijaga. Dalam hal ini, perlu juga orang bukan Islam menjaga sensitiviti orang Islam tetapi apabila melakukan sesuatu yang terdedah yang menimbulkan ketegangan hubungan kaum di antara penganut pelbagai agama, maka perlu ada kawalan.

13
Gerakan Harapan baru menuduh PAS tidak menonjolkan Muslim moderat tetapi lebih bersifat tradisional?

Dalam Islam, tidak ada protestan, ortodoks, liberal, kita adalah Islam yang satu dan kita Islam yang boleh menghadapi perkembangan masa sepanjang zaman. Ini yang ada dalam Islam. Dalam Islam ada perkara yang tetap, ada perkara yang boleh berubah. Apa yang berlaku adalah mereka yang mahu mencapai kemenangan yang cepat ke Putrajaya tanpa mempunyai konsisten dengan dasar dan agenda parti.

Kita mendapat maklumat rakan-rakan ini mahu mengheret PAS dengan cepat bersama dengan parti-parti lain termasuk untuk bekerjasama dengan UMNO. Bahkan saya pernah mencadangkan pada tahun 2008 supaya diwujudkan Unity Government yang melibatkan semua parti politik dan tidak ada pembangkang. Pada masa itu, ramai kalangan menolak dengan keras dan hari ini selepas PR gagal dalam pilihanraya yang lalu, idea saya pada tahun 2008 mahu ditimbulkan semula untuk mengheret PR dan bekerjasama dengan UMNO dan BN.

Saya merasakan keadaan sudah berubah. Kita sedang mengalami UMNO yang banyak masalah dan belum selesai. Banyak melibatkan bebanan UMNO terhadap tanggungjawab yang berkait dengan rakyat. Kita merasakan bahawa adalah tidak wajar menyertai kerajaan sekarang ini dalam keadaan UMNO tidak boleh menyelesaikan masalah. Adalah lebih baik kita bersendirian, rakyat menyokong kita dan menolak UMNO dalam pilihanraya.

14
Apakah pandangan PAS tentang ISIS?

Yang pertama kita perlu memahami bahawa terdapat dalam kalangan mereka yang mahukan Islam dengan dua kriteria golongan negatif tentang ajaran Islam. Pertama mereka yang memandang ringan dengan ajaran Islam sehingga meminggirkan hukum-hukum Islam kerana mengambil jalan yang mudah semata-mata untuk menarik sokongan tanpa konsisten dengan ajaran Islam. Kedua adalah mereka yang gopoh melaksanakan Islam tanpa melihat kemampuan rakyat untuk menanggung isu-isu yang perlu diselesaikan. Sepatutnya mesti melalui proses kefahaman dan kemampuan rakyat itu sendiri.

Di mana mereka yang mahu cepat ini bertindak dengan cara yang agresif dan sangat malang bagi kita menunjukkan gambaran yang salah terhadap Islam, memaksa orang masuk Islam, membunuh diplomat, bertindak secara melampau. Ini bukan dari ajaran Islam kerana Islam melarang konsep melampau, melampau ibadat, melampau makan minum, melampau pergaulan dan melampau dalam tindakan. Itu dihalang oleh Islam. Dalam semua agama pun melarang sikap melampau ini.

Apa yang malang ialah apabila kuasa-kuasa besar dan Barat sama ada Amerika, Eropah, Cina dan Russia mengambil kesempatan daripada kelemahan-kelemahan yang wujud di negeri-negeri bekas jajahan khususnya negeri orang Islam untuk memangkin kekuatan mereka.

Yang pertama dengan adanya pertembungan di dalam negeri-negeri ini, mereka boleh mendapat keuntungan lumayan daripada peniaga-peniaga senjata untuk menjual senjata dengan isu ketegangan yang berlaku di negara-negara umat Islam.

Yang kedua, mereka boleh menaikkan harga minyak untuk memangkinkan ekonomi mereka dengan krisis yang berlaku.

Pada saya, ISIS adalah agenda yang direkayasa kuasa Barat untuk menjadi masalah kepada negara-negara kecil.

15
Jadi Dato’ Seri menyalahkan kuasa Barat di sebalik krisis ISIS?

Ya. Saya menyalahkan Barat dan kalangan ISIS sendiri yang bersemangat tetapi tidak belajar dengan cara ilmu yang tepat. Sepatutnya seorang Islam mestilah mempelajari ajaran Islam dengan sepenuhnya, bukan dengan semangat sahaja.

16
Adakah wajar orang Islam Malaysia menyertai ISIS?

Saya menasihati rakyat Malaysia dan semua umat Islam supaya jangan terlibat dengan ISIS dan penglibatan ini bukan sahaja dalam kalangan orang Islam di negeri orang Islam termasuk di negara Barat sendiri. Apa yang didedahkan oleh media sebahagian mereka adalah orang-orang Islam yang tinggal di Britain, Perancis, dan Amerika. Dan sebahagian ditangkap oleh Turki dan mereka adalah agen kepada inteligen Barat yang dimasukkan dalam kawasan itu.

17
Bagaimana PAS memanfaatkan golongan professional?

Hubungan di antara agamawan dan professional dalam pelbagai bidang bukan perkara baru dalam PAS, bahkan penubuhan PAS sejak tahun 1951 melibatkan golongan professional seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, termasuklah Prof. Ahmad Ibrahim (Peguam Negara Singapura) yang merupakan AJK PAS Pusat pada tahun 1950-an. Oleh sebab itu, PAS tidak mempunyai masalah yang besar sekiranya kita memimpin negara.

18
Adakah Dato’ Seri melihat Malaysia sebagai negara berbilang agama atau negara Islam?

Negara Islam yang menerima masyarakat majmuk berbilang kaum. Negara Islam yang terbuka. Al-Quran sendiri menyebut bahawa kalau sekiranya tiada pertarungan diantara kebenaran dan kesalahan yang dibawa oleh Islam, nescaya gereja-gereja dan kuil-kuil dimusnahkan oleh penganut agama yang berbeza.
وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan mesjid-mesjid, yang di dalamnya (masjid-masjid) itu banyak disebut nama Allah.”

Oleh sebab itu, apabila Islam berkuasa di negeri ini, kita akan melihat rumah-rumah ibadat yang bukan Islam masih ada. Ini adalah menunjukkan bahawa Islam boleh mentadbir masyarakat majmuk, berbilang kaum dan berbagai agama.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-