© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Muhasabah Ramadhan

Muhasabah Ramadhan

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 6 July 2015


Sahabat Seperjuanganku. Alhamdulillah, seribu kali Alhamdulillah kerana kita masih dipilih oleh Allah swt untuk menjadi peserta Ramadhan tahun ini. Mudah-mudahan kita tidak melepaskan peluang keemasan yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya serta memperbanyakkan koleksi ibadah dan amal ukhrawi kita.

Sahabatku, Kita adalah pejuang agama Allah swt. Sungguh berat ujian yang terpaksa kita tempuh. Ujian itu datang dari arah kiri dan kanan, depan dan belakang malah atas dan bawah. Nyata kita sangat memerlukan pertolongan dari Allah Tuhan Yang Maha Kuasa. Tiada upaya dan daya kita mendepani ujian dan cabaran perjuangan ini melainkan kita mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah swt.

Sahabatku, Ambillah kesempatan Ramadhan, bulan yang penuh dengan rahmat dan berkat ini untuk banyak bermunajat mengadu hal kepada Allah swt. Adukanlah segala berat beban yang terpaksa ditanggung ekoran kelemahan diri kita, adukanlah segala pahit getir yang terpaksa dilalui akibat tekanan dan serangan musuh-musuh Islam. Adukanlah segala sedih pilu yang terpaksa dipendam akibat fitnah dan tohmahan dari luar dan dalam jamaah kita. Yakinlah. Optimislah, bahawa Allah swt pasti mendengar doa dan munajat kita. Marilah kita hayati firman Allah swt:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
“Dan Tuhan kamu berfirman; Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (surah Ghafir : ayat 60)

Ramadhan telah diperkayakan oleh Allah swt dengan saat dan detik waktu yang dimustajabkan doa. Maka berdoalah. Sabda Nabi saw:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:  َثلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga pihak yang tidak ditolak doa mereka iaitu Pemimpin yang Adil, orang yang berpuasa ketika ia berbuka dan doa orang yang kena zalim.” (Riwayat Imam Tirmizi)

Sahabat Seperjuanganku, jangan berputus asa dan jangan resah gelisah. Sabar, tenang dan fokus pada tanggungjawab dan amanah yang kita galas. Tunaikan tanggungjawab itu semampu mungkin dan bertawakkal kepada Allah swt. Ingatlah penegasan Allah swt:
فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ
“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.”
إِنَّا كَفَيْنَاكَ الْمُسْتَهْزِئِينَ
“Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu.” (surah al Hijr : ayat 94-95)

Sahabat Seperjuanganku, perjuangan kita untuk mendaulatkan Syariat Allah swt di atas tanahair tercinta ini terlalu mencabar. Jalannya berliku dan sangat curam. Kita sering dipersenda dan dianggap asing di bumi sendiri. Mereka bangga melihat kita berduka dan mereka seronok menyaksikan kita bersedih.

Sahabatku, kita tiada pilihan. Walau apa yang terpaksa kita hadapi, perjuangan ini mesti dipangku dan digalas berat bebannya sehingga berjaya dinobatkan sebagai sebuah syariat yang memandu hala tuju hidup ummah dan menjadi manhaj yang mendasari peraturan dan undang-undang mereka.

Sahabatku, tidak mudah menghadapi situasi ini. Namun kita ditakdirkan hidup sebagai pejuang. Perjuangan ini adalah pilihan wajib kita. Sama ada kita setuju atau tidak, kita terpaksa berjuang bagi menjulang kalimah Allah swt ke mercunya. Namun kita faham bahawa kita mempunyai kelemahan dari pelbagai sudut khasnya kelemahan spiritual.

Sahabatku, marilah kita manfaatkan Ramadhan ini untuk membina kekuatan diri sama ada kekuatan fizikal mahupun spiritual dengan menghayati Ramadhan dan menekuni segala ibadah serta elakkan diri dari terjebak dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah apatah lagi perkara mungkar dan keji. Bebaskan diri dari hambatan dosa dan bayangannya. Sabda Nabi saw:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبه
“Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan penghayatan, nescaya diampunkan dosanya yang terdahulu.” (riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Sahabat Seperjuanganku, hari ini kita terdedah kepada dunia tanpa sempadan. Hilang sempadan dosa pahala dan tiada lagi sempadan moral akhlak. Facebook dan whatsapp group menjadi medan untuk menatah kalimah tanpa pedoman. Kasar, kesat, maki hamun, menghina, mempersenda, lucah dan segala bagai menjadi rutin yang mencemarkan media sosial tersebut. Jika kita berdepan dengan situasi ini, jangan izinkan diri terjebak. Sabar dan tahan diri. Ingat sabda Nabi saw:
الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ
“Puasa adalah pelindung. Maka janganlah kamu mencarut dan melakukan perkara bodoh. Sekiranya diajak bergaduh, maka katalah; Sesungguhnya aku sedang berpuasa. Sebanyak dua kali.” (riwayat Imam Bukhari)

Sahabat Seperjuanganku, kepungan musuh terhadap perjuangan Islam ini sentiasa mencengkam. Mereka melakukannya dari segenap sudut. Matlamat mereka hanya untuk memadam agama Allah dan melemahkan kita para pejuang Islam. Mereka lancarkan serangan dalam aneka wajah. Mereka mahu rosakkan pemikiran, akhlak, budaya dan cara hidup ummah.

Sahabatku, pastinya kita tidak boleh berpeluk tubuh menyaksikan perancangan mereka. Kita mesti bangkit menggerakkan seluruh pancaindera anugerah Allah swt ini untuk julang panji perjuangan Islam sekaligus menangkis segala serangan musuh durjana. Janganlah lemah siku lutut, akal budi dan jiwa raga kita tatkala berdepan dengan helah musuh Allah swt. Firman Allah swt:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
“Dan bersiap sedialah semampu mungkin untuk menentang mereka (musuh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (surah al-Anfaal : 60)

Sahabatku, senjata yang paling berkesan untuk memastikan kita berupaya mendepani segala bentuk kekuatan musuh bukan lagi harta benda, besi tajam mahu pun peluru laju. Tetapi senjata itu ialah Taqwa. Inilah senjata yang sekian lama mendap dan hilang dari tangan ummat Islam dewasa ini. Tanpa Taqwa, bukan sahaja musuh gagal ditewaskan, kita juga menjadi lemah dan jauh dari pertolongan Allah swt.

Sahabatku, Ramadhan adalah kesempatan terbaik untuk kita para pejuang Islam memugar kembali sifat taqwa dalam jiwa. Justeru objektif utama program Ramadhan yang dianjurkan oleh Allah swt adalah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Firman Allah swt:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu menjadi insan yang bertaqwa.” (surah al-Baqarah : 183)

Sahabat seperjuanganku, Miliki sifat taqwa ini. Ia menguatkan kita dan menjadi asas kemenangan kita. Hayati apa yang pernah diungkap oleh Saidina Umar Al Khattab ra kepada Komander Tentera Islam di Iraq iaitu Saad bin Abi Waqqas ra:
فَإِنِّي آمُرَكَ وَمَنْ مَعَكَ مِنَ الأَجْنَادِ بِتَقْوَى اللهِ عَلَى كُلَّ حَالٍ، فَإِنَّ تَقْوَى اللهِ أَفْضَلُ الْعُدَّةِ عَلَى الْعَدُوِّ، وَأَقْوَى الْمَكِيدَةِ فِي الْحَرْبِ، وَآمُرَكَ وَمَنْ مَعَكَ أَنْ تَكُونُوا أَشَدَّ احْتِرَاساً مِنَ الْمَعَاصِي مِنْكُمْ مِنْ عَدُوِّكُمْ؛ فَإِنَّ ذُنُوبَ الْجَيْشِ أَخْوَفُ لَهُمْ مِنْ عَدُوِّهِمْ، وَإِنَّمَا يُنْصَرُ الْمُسْلِمُونَ بِمَعْصِيَةِ عَدُوِّهِمْ لِلَّهِ، وَلَوْلَا ذَلِكَ لَمْ تَكُنْ لَنَا بِهِمْ قُوَّةٌ، لِأَنَّ عَدَدَنَا لَيْسَ كَعَدَدِهِمْ وَلَا عُدَّتُنَا كَعُدَّتِهِمْ، فَإِذَا اسْتَوَيْنَا فِي الْمَعْصِيَةِ كَانَ لَهُمُ الْفَضْلُ عَلَيْنَا فِي الْقُوَّةِ
“Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan. Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik-baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan. Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar-benar berwaspada daripada maksiat yang tercetus dikalangan kamu jua dari musuh-musuh kamu. Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh-musuh mereka. Sesungguhnya orang-orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt. Jika tidak demikian, tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka. Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki. Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita.”

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan ahli Parlimen Temerloh (P.88). AJK PAS Pusat 2015-2017, juga merupakan mantan Ketua Pemuda PAS, pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-