© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Sabar: Rahsia Kemenangan Perjuangan Islam

Sabar: Rahsia Kemenangan Perjuangan Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 18 November 2015



Sahabatku, sayugia perjuangan ini perlukan tahap sabar yang tinggi. Sabar menghadapi ancaman musuh dan terpaksa sabar jua menghadapi karenah dalaman. Tanpa kesabaran membuatkan emosi terganggu dan tindakan tergopoh gapah. Lebih malang, tanpa sabar kita akan kehilangan nusrah dari Allah.

Sahabatku, perkataan sabar ini pastinya mudah disebut namun sukar dipraktiskan. Kesempatan Ramadhan ini, banyakkan membaca al-Quran, Hadis dan Sirah Nabi sallallahualaihi wasallam. Jangan menjauhkan diri dari jamaah serta jangan sekali-kali bertindak ketika perasaan dalam situasi marah dan fikiran dalam keadaan buntu.

Sahabatku, sabar juga adalah senjata berkesan untuk memastikan perjuangan Islam yang kita dokong ini berjaya lantaran ia adalah asas memohon nusrah daripada Allah.

Hayati Firman Allah ini:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Allah swt) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (surah al-Baqarah : 153)

Sahabat Seperjuanganku, tidak rugi orang yang bersabar. Meskipun umum melihat, orang yang bersabar seperti orang yang kalah dan lemah. Namun kita yakin, kesabaran kita berasas dan berdasarkan tindakan secara jamaie (kolektif).

Hayati Firman Allah ini:
وَالْعَصْرِ

“Demi Masa!”

إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ

“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.” 

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (surah al-Asr : 1-3)

Sahabatku, kata Imam al-Ghazali, sabar adalah kedudukan dari kedudukan agama dan darjat dari darjat-darjat orang-orang yang menempuh jalan menuju Allah. Oleh kerana jalan dakwah adalah jalan panjang berliku-liku yang penuh dengan segala onak dan duri maka seseorang yang melalui jalan itu harus memiliki kesabaran tinggi dan padu. Luqman al-Hakim pernah menasihati puteranya supaya bersabar menerima cubaan dalam berdakwah.
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الأُمُورِ
“Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (surah Luqman: 17)

Sahabatku, sesungguhnya kesabaran melahirkan sikap positif. Kesabaran dalam Islam mempunyai hubung kait dengan Tuhan. Umat Islam dididik untuk memahami kesabaran adalah sebahagian daripada iman. Justeru, kesabaran mempunyai keuntungan dan kebaikannya di sisi Tuhan. Kesabaran itu adalah jambatan bagi mendapat pertolongan Ilahi. Di samping itu, ganjaran yang besar sedang menanti mereka yang bersabar. Dalam surah al-Baqarah ayat 155, Allah menjanjikan;
 وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
“Berikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar.”

Sahabatku, sabar bukan bermaksud menerima sahaja keadaan serta menanti perubahan tanpa adanya usaha. Sebaliknya, umat Islam disuruh bersabar dan serentak dengan itu melakukan amal serta usaha. Rasul-rasul yang dimuliakan Allah sebagai Ulul Azmi seperti Nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad mereka beramal serta berusaha dengan bersungguh-sungguh di samping sikap sabar menghadapi sepak terajang politik kaumnya. Sebagai contoh, Nabi Nuh membina bahtera, Nabi Ibrahim memecahkan berhala dan berdakwah kepada Namrud, Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan membawa Bani Israel keluar dari Mesir. Demikian juga dengan Nabi Isa dan Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam.

Firman Allah:
إِن يَكُن مِّنكُمْ عِشْرُونَ صَابِرُونَ يَغْلِبُواْ مِئَتَيْنِ وَإِن يَكُن مِّنكُم مِّائَةٌ يَغْلِبُواْ أَلْفًا مِّنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ
“Jika ada di antara kamu dua puluh orang penyabar, nescaya mereka akan mengalahkan dua ratus orang. Dan jika ada di antara kamu seratus orang (penyabar), nescaya mereka akan mengalahkan seribu orang kafir.” (surah al-Anfal: 65).

Sahabatku, Tidak ada keberanian yang sempurna tanpa kesabaran. Sebab kesabaran adalah nafas yang menentukan lama atau tidakan sesebuah keberanian bertahan dalam diri seseorang itu. Kesabaran adalah daya tahan psikologi yang menentukan sejauh apa kita mampu membawa beban, dan sekuat apa kita mampu survive dalam menghadapi tekanan hidup.

Sahabatku, Musuh-musuh Islam berada di mana-mana, mereka tidak pernah duduk diam, secara sembunyi atau nyata mereka akan berusaha dengan segala upaya untuk memastikan syariat Islam lenyap dari muka bumi dan orang-orang Islam tidak jauh beza dengan mereka. Kita perlu sabar dalam erti kata “kesedaran diri untuk tetap bergerak, berusaha, dan berjuang”. Jangan sampai musuh-musuh Islam itu lebih sabar dan tabah dari kita, dengan perancangan yang teratur, sehingga kemenangan berada di pihak mereka. Hendaklah pejuang-pejuang Islam itu selalu bersiap sedia dengan segala macam cara dan upaya untuk berjihad, menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang akan mengurangi kewibawaan dan kemurnian serta keagungan agama Islam. 

Sahabatku, Allah bersama-sama orang yang sabar, menguatkan, memantapkan, meneguhkan, mengawasi, dan menghibur mereka. Allah sebagai tempat bergantung, sehingga kita akan terlepas dari keputus-asaan saat menjalani perjuangan. Hidup memang penuh dengan perjuangan, tetapi selama kita bersabar kita tidak perlu takut karena Allah bersama orang-orang yang sabar.

Sahabatku, adakalanya ujian datang dari permasalahan dalaman jamaah itu sendiri. Untuk itu, di dalam diri seseorang pejuang Islam itu perlu dihiasi dengan keindahan akhlak islam dan diwarnai dengan akhlak dan adab berjamaah agar sepanjang merentasi ujian ini sentiasa dinaungi oleh rahmat Allah. 

Sahabatku, tidak ada perjuangan Islam yang selalu berjalan dengan mulus tanpa suatu rintangan. Perjuangan Islam akan sentiasa bertembung dengan tentangan. Seorang pejuang Islam akan sentiasa berhadapan perlawanan dari pihak-pihak yang tidak suka atau tidak menginginkan berdirinya syariat Islam, dan hal ini sudah merupakan sunnatullah yang harus ditempuhi, bukan ditakuti. Selamanya, kebatilan itu akan menentang tertegaknya kebenaran.

Sahabatku, cemuhan atau olok-olok yang keluar mulut mereka yang tidak menginginkan berkembangya syiar Islam. Ternyata ujian itu tidak hanya datang pada kita yang merupakan manusia akhir zaman, tetapi juga datang kepada Rasulullah sallallahualaihi wasallam. Hal ini dapat kita lihat melalui firman Allah;
وَإِذَا رَأَوْكَ إِن يَتَّخِذُونَكَ إِلاَّ هُزُوًا أَهَذَا الَّذِي بَعَثَ اللَّهُ رَسُولا
“Dan apabila mereka melihatmu (Muhammad), mereka hanyalah menjadikanmu sebagai ejekan (dengan mengatakan): ‘Inikah orang yang diutus Allah sebagai Rasul?” (surah al-Furqon: 41)

Sahabatku, jika Rasulullah sallallahualaihi wasallam memperoleh ujian dalam menjalankan perjuangan Islam, maka sangatlah wajar kalau kitapun mengalaminya sama. Dan tentunya, tidaklah patut bagi kita untuk mundur daripada perjuangan Islam. Hendaknya kita mencontoh Rasulullah sallallahualaihi wasallam dan para sahabat baginda yang sentiasa sabar dan istiqamah dalam perjuangan Islam meskipun ujian dan tentangan itu semakin berat.

Sahabatku, selain berupa cemuhan, ujian juga biasa datang dalam bentuk tuduhan, tudingan, bahkan juga sebutan-sebutan yang merosak nama baik Islam mahupun pejuang Islam itu sendiri. Rasulullah sallallahualaihi wasallam pernah dituduh “tukang sihir”. Berbagai sebutan buruk kini menyelimuti perjuangan Islam. Ramai para aktivis perjuangan Islam yang mendapat label fundamentalis, radikal, ekstremis, takfiri bahkan “terroris”, sebuah label yang sangat merendahkan citra Islam dan wibawa pejuang Islam. Pembunuhan karakter dan pencemaran nama baik ini merupakan sebuah usaha untuk menentang perjuangan Islam. Melalui pencemaran nama baik itulah, mereka mengharapkan agar Islam menjadi nama yang sentiasa dibenci oleh masyarakat umum. 

Sahabatku, betapapun besar ancaman dan penganiayaan yang dilakukan oleh para kaum kafir, munafik dan fasik kepada perjuangan Islam namun ia tidak membuatkan Rasulullah sallallahualaihi wasallam dan para sahabat gentar ataupun mundur dari perjuangan Islam. Kerana janji Allah adalah lebih berharga daripada harta dan nyawa mereka. Janji Allah begitu mulia kepada umatnya yang berjuang dan mengutamakan perjuangan Islam.  

Sahabatku, perjuangan Islam bukanlah perkara yang ringan. Sama-sama kita kuatkan dan luruskan niat dalam perjuangan Islam. Tundukkan pandangan mata dan hati dari segala bentuk duniawi yang akan melemahkan iman dan menidurkan kita daripada perjuangan Islam.

Sahabatku, sikap sabar akan membuatkan seseorang itu tidak akan menyerah kalah kepada keadaan sukar yang terjadi dalam perjuangan. Sabar menjadi senjata paling ampuh dan amat tajam disamping menjadi perisai untuk menumpaskan segala rintangan di hadapan. Dengan bersikap sabar kita akan tenang dan mampu berfikir rasional dimana dapat mencari alternatif-alternatif lain sebagai jalan keluar demi merealisasikan kejayaan sebuah perjuangan.

Sahabatku, sesungguhnya kita berjuang kerana titah perintah Allah dan itulah kemenangan hakiki yang telah kita miliki secara tidak langsung. Adapun kemenangan dunia hanyalah anugerah dan hadiah daripada Allah yang akan digunakan demi kepentingan menegakkan kebenaran.

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan ahli Parlimen Temerloh (P.88). Mantan Ketua Pemuda PAS ini pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-