© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Pengusiran Bani Nadhir: Kisah Dan Iktibar

Pengusiran Bani Nadhir: Kisah Dan Iktibar

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 27 July 2015


Bani Nadhir merupakan salah satu kabilah terbesar dari bangsa Yahudi yang tinggal berjiran dengan bangsa Arab (‘Aus dan Khazraj) di Madinah. Setelah kedatangan Rasulullah saw, mereka memeterai perjanjian dengan orang Islam sebagaimana yang terdapat dalam perjanjian keamanan dan kerjasama yang disebut “Piagam Madinah” - Mithaaq al-Madinah - namun tabiat khianat yang berakar umbi dalam jiwa Yahudi, mendorong mereka untuk melanggar perjanjian tersebut.

Sebelum Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, sudah ada tiga kabilah besar bangsa Yahudi yang menetap di sana. Mereka adalah Bani Qainuqa’, Bani Nadhir, dan Bani Quraizhah. Masing-masing mempunyai sekutu dari kalangan penduduk asli Madinah. Bani Qainuqa’ dan Bani Nadhir bersekutu dengan Khazraj, sedang-kan Bani Quraizhah menjadi sekutu ‘Aus.

Setiap kali terjadi peperangan di antara mereka dengan sekutu masing-masing, orang-orang Yahudi bersikap berlepas diri sambil mengancam kaum musyrikin (‘Aus dan Khazraj) ketika itu dengan mengatakan pemberitaan Nabi Akhir Zaman;
إنه سيبعث نبي في آخر الزمان نقتلكم معه قتل عاد وإرم
“Akan tiba masanya kebangkitan seorang Nabi di akhir zaman. Kami bersamanya memerangi kalian seperti memerangi ‘Ad dan Iram.”

Namun, tatkala Rasulullah saw telah muncul dari kalangan bangsa Arab Quraish, berimanlah ‘Aus dan Khazraj, sementara orang-orang Yahudi justeru masih mendustai kebenaran Baginda saw. Muaz bin Jabal ra mempersoalkan sikap dolak-dalih bangsa Yahudi ini sebagaimana katanya;
يا معشر يهود! اتقوا الله وأسلموا! فقد كنتم تستفتحون علينا بمحمد صلى الله عليه وسلم، وتخبروننا بأنه مبعوث وتصفونه بصفته، فما الذي غيركم؟
“Hai sekalian kaum Yahudi! Bertakwalah kepada Allah dan masuklah Islam. Sebenarnya kalianlah yang sering memberitakan kedatangan Muhammad saw, kalianlah yang menyatakan kepada kami sifat-sifat Nabi Akhir Zaman yang akan muncul. Justeru (penolakan terhadap Muhammad saw) adakah ada lagi (Nabi Akhir Zaman) selainnya menurut kamu?”

Lalu salah seorang wakil kabilah Bani Nadhir, Salaam bin Mushkam menjawab bahawa mereka (bangsa Yahudi) adalah kaum yang sangat arif mengenai kedatangan Nabi Akhir Zaman, tetapi setelah kedatangan Nabi Muhammad saw mereka menganggap perkhabaran itu tersasar atau batil menurut pengetahuan mereka.

Turunlah firman Allah Taala:
وَلَمَّا جَاءَهُمْ كِتَابٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ وَكَانُوا مِنْ قَبْلُ يَسْتَفْتِحُونَ عَلَى الَّذِينَ كَفَرُوا فَلَمَّا جَاءَهُمْ مَا عَرَفُوا كَفَرُوا بِهِ فَلَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الْكَافِرِينَ
“Dan setelah datang kepada mereka al-Quran dari Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka, padahal sebelumnya mereka biasa memohon (kedatangan Nabi) untuk mendapat kemenangan atas orang-orang kafir, namun setelah datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka ingkar kepadanya. Maka laknat Allah-lah atas orang-orang yang ingkar itu.” (surah al-Baqarah: 89)

Firman-Nya lagi dalam surah yang lain:
وَقَالَتْ طَائِفَةٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمِنُوا بِالَّذِي أُنْزِلَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُوا آخِرَهُ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Dan berkatalah segolongan ahl al-Kitab (sesama sendiri); Berimanlah kamu kepada al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula.” (surah Aali-Imran: 72)

Yakni, mereka Ahli Kitab pada awalnya percaya berita perutusan Nabi Akhir Zaman dan kemudiannya mereka ingkar serta ragu. Sejak Nabi Muhammad saw menjadi pilihan Allah sebagai Rasul-Nya yang terakhir, kaum Yahudi sering menabur keraguan dan kesangsian kepada orang-orang yang beriman. Antara contohnya, apabila Allah menyatakan melalui lisan Nabi-Nya bahawa ahl al-Kitab yang ingkar dan kaum musyrikin akan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam;
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِينَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أُوْلَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari ahl al-Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk.” (surah al-Bayyinah: 6)

Apabila mendengar ayat tersebut, mereka menyindir-nyindir kaum Muslimin yang dianggapnya bodoh dan ‘bengap’ terhadap teks dan konteks ayat tersebut. Kemudian cerdik pandai Yahudi membuat hujjah baru;
سندخل النار فترة محدودة جداً من الزمن وبعد ذلك نخرج من النار، ويدخل الله عز وجل المسلمين النار أبد الآبدين
“Kami akan masuk neraka untuk tempoh masa yang sangat terhad, selepas itu kami dikeluarkan dari neraka, kemudian Allah Azza wa Jalla memasukkan kaum Muslimin ke dalam neraka selama-lamanya.”

Allah menyentuh perihal dolak-dalih kaum Yahudi di dalam surah al-Baqarah ayat 80;
وَقَالُواْ لَن تَمَسَّنَا النَّارُ إِلاَّ أَيَّامًا مَّعْدُودَةً
“Dan mereka (kaum Yahudi) berkata; Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu.”

Allah memberi cadangan kepada kaum Yahudi yang degil bahawa jika mereka sudah berangan-angan menggapai mahligai syurga di akhirat dengan hujjah yang direka-reka, maka bercita-citalah pula untuk mati agar mereka mendapat tahu nasibnya di akhirat kelak.
قُلْ إِن كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خَالِصَةً مِّن دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُاْ الْمَوْتَ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ. وَلَن يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi);  Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar. Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.” (surah al-Baqarah: 94-95)

1
Rencana Keji Bani Nadhir Terhadap Rasulullah saw

Selepas peristiwa sedih yang menimpa umat Islam di medan Uhud dan pemulauan kabilah Yahudi Bani Qainuqa’, Bani Nadhir menjadi semakin angkuh, lancang, biadab, dan berani menyuarakan kata-kata berunsur ugutan di hadapan Rasulullah saw. Mereka juga turut membuat perancangan secara diam-diam untuk memerangi jamaah Muslimin yang dipimpin Rasulullah saw. Sebelum peristiwa di Uhud, Ketua Umum kabilah Bani Nadhir, Ka’ab bin al-Asyraf mewakili mereka keluar ke Makkah bersama-sama dengan 40 orang pengikutnya menemui Abu Sufyan (yang menjadi pemimpin Makkah selepas kematian Abu Jahl). Pemergian mereka adalah bagi menyatakan kemarahan terhadap tentera Islam yang menang di Badar dan kesediaan mereka mengadakan pakatan baru, iaitu membantu Abu Sufyan dan kaum kafir Quraish dalam usaha memerangi dan memporak-perandakan jamaah Rasulullah saw.

Dalam Sirah al-Nabawiyah coretan Ibn al-Kathir menceritakan bahawa kaum kafir Quraish merasa hairan dengan hasrat Ka’ab bin al-Asyraf memerangi umat Islam kerana bangsa Yahudi bukanlah kaum yang menyembah patung-patung berhala, mereka berpegang dengan ajaran samawi yang diturunkan Taurat kepada Nabi-nabi mereka, manakala Nabi Muhammad saw diturunkan kepadanya al-Quran memiliki susur galur yang sama. Lantaran itu, kafir Quraish bertanya kepada Ka’ab bin al-Asyraf;
أديننا أحب إليك أم دين محمد وأصحابه؟ وأيُّ الفريقين أهدى سبيلاً؟
“Adakah pegangan kami (ajaran berhala) yang paling engkau sukai atau ajaran Muhammad (Islam) serta para sahabatnya? Dan di antara dua kumpulan ini manakah yang paling betul jalan (agama) nya?”

Jawab Ka’ab bin al-Asyraf;
أنتم أهدى منهم سبيلاً
“Kalianlah yang paling benar jalan (agama)nya.”

Ka’ab bin al-Asyraf sanggup bertahaaluf dengan kafir Quraish untuk menghancur dan menggagalkan jamaah Rasulullah saw di Madinah. Allah Taala menyentuh perihal mereka di dalam al-Quran;
أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُواْ نَصِيبًا مِّنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُواْ هَؤُلاء أَهْدَى مِنَ الَّذِينَ آمَنُواْ سَبِيلاً
“Tidakkah engkau perhatikan (merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada sembahan yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (di Makkah) bahawa mereka (kaum kafir) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman.” (surah al-Nisa’: 51)

Rasulullah saw telah memilih beberapa orang sahabatnya untuk membunuh Ka’ab bin al-Asyraf kerana permusuhannya yang nyata terhadap Allah dan Rasul-Nya. Antara sahabat yang ditugaskan ialah Muhammad bin Maslamah, ‘Ibad bin Basyar, Abu Nai’lah, al-Harith bin ‘Aus dan sekumpulan puak ‘Aus. Setelah Ka’ab bin al-Asyraf berjaya dibunuh, kabilah Yahudi Bani Nadhir masih meneruskan perjanjian damai dengan umat Islam dan bekerjasama dengan Rasulullah saw di Madinah. Itulah hikmahnya, mengapa Rasulullah saw menugaskan pembunuhan Ka’ab bin al-Asyraf seorang, bukan seluruh kabilahnya sekalipun sebenarnya permusuhan Bani Nadhir dan dendamnya mereka terhadap Rasulullah saw masih hangat dan menyala-nyala di balik hitamnya arang.

Pada bulan Rabi’ al-Awal tahun ke-4 H, Rasulullah saw termasuk beberapa orang sahabat antaranya Abu Bakr al-Siddiq ra, Umar al-Khattab ra dan Saidina Ali bin Abi Talib pergi ke perkampungan Bani Nadhir untuk membincangkan urusan diyat dua orang dari kabilah Bani ‘Amir yang dibunuh secara tidak sengaja oleh ‘Amr bin Umayyah al-Dhamri ra kerana menyangka bahawa mereka kaum musyrikin di dalam peristiwa Bi’ru Ma’unah. Pemergian Rasulullah saw bertemu Bani Nadhir sebagai bukti kesetiaan baginda terhadap perjanjian dengan mereka, iaitu dengan cara meminta pandangan dan bantuan sebagai rakan sekutu kerajaan Islam di Madinah. Malangnya, kepercayaan Rasulullah saw terhadap Bani Nadhir dikhianati. Sedang Rasulullah saw duduk bersandar di salah satu perumahan kabilah Bani Nadhir, berlaku komplot jahat Bani Nadhir untuk membunuh Nabi dengan cara menjatuhkan batu besar dari atas atap rumah mereka. Huyay bin Akhtab merupakan pemain utama komplot pembunuhan ini dengan mengarahkan ‘Amru bin Jahash agar menghempapkan batu itu ke atas kepala Rasulullah saw. Allah mengkhabarkan kepada Rasulullah saw tentang perancangan jahat mereka, lantas baginda bingkas bangun dari tempat tersebut dengan segera seolah-olah mempunyai sesuatu keperluan menuju ke Madinah.

Tindakan mengejut Rasulullah saw itu menimbulkan tanda tanya kepada para sahabat, yang kemudiannya mereka menyusul sama pulang ke Madinah. Di Madinah, Rasulullah saw menceritakan rencana keji orang-orang Yahudi Bani Nadhir ke atasnya. Oleh kerana para sahabat meletakkan sepenuh kesetiaan kepada Allah dan Rasul-Nya, tidaklah mereka mempersoalkan kenyataan baginda Nabi tentang perancangan Bani Nadhir. Tidak pula para sahabat membantah Rasulullah saw kerana perancangan Bani Nadhir itu akan menyebabkan perjanjian damai atau kerjasama politik (tahaaluf siyasi) dengan umat Islam terbatal sama sekali. Bani Nadhir menyedari kesannya, justeru mereka tidak memberikan apa-apa reaksi bahkan akur apabila Rasulullah saw mengutuskan Muhammad bin Maslamah dan memberitahu kepada mereka;
اخرجوا من المدينة ولا تساكنوني بها، وقد أجلتكم عشرًا، فمن وجدته بعد ذلك منكم ضربت عنقه
“Keluarlah dari negara kami dan jangan kalian tinggal di sini, aku berikan kamu tempoh 10 hari. Sesiapa yang masih kekal di sana akanku penggal lehernya.”

Ketika kabilah Yahudi Bani Nadhir bersiap-siap untuk keluar dari perkampungan mereka ekoran pengkhianatan terhadap Rasulullah saw, tiba-tiba Abdullah bin Ubai, si munafik yang mahu mengekalkan status “tahaaluf siyasi” masyarakat Madinah dengan Bani Nadhir melarang mereka keluar sambil mengumumkan harapan baru, iaitu berjanji untuk menghantar 2 000 orang penyokong-penyokongnya mempertahankan hak Bani Nadhir.
لا تخرجوا من دياركم؛ فإنَّ معي ألفي رجل يدخلون معكم حصونكم، يدافعون عنكم ويموتون دونكم
“Janganlah kalian keluar dari penempatan kalian. Kerana saat ini aku bersama 2 000 orang yang akan bertahan menyatakan sokongan bersama kalian. Mereka bersedia untuk mati membela hak-hak kalian.”

Allah mendedahkan pembelaan Abdullah bin Ubai itu di dalam surah al-Hasyr ayat 11;
َأَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ نَافَقُوا يَقُولُونَ لِإِخْوَانِهِمُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِنْ قُوتِلْتُمْ لَنَنْصُرَنَّكُمْ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
“Tidakkah engkau merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap golongan munafik? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab; Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu turut sama keluar bersama-sama kamu, kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapa yang menentang kamu selama-lamanya, kalau kamu diperangi sudah tentu kami akan membela kamu! Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa mereka adalah pendusta.”

Kerana harapan palsu sang munafik, Bani Nadhir mengubah fikiran untuk kekal berkubu atas arahan Huyay bin Akhtab. Harapan baru Abdullah bin Ubai itu diterima bulat-bulat oleh kabilah Bani Nadhir yang kononnya mahu membantu mereka walaupun berlaku pertumpahan darah. Huyay bin Akhtab menghantar utusan kepada Rasulullah saw menyatakan;
إنا لن نخرج من ديارنا، فاصنع ما بدا لك
“Kami tidak akan keluar daripada kampung halaman kami. Buatlah apa yang kalian mahu.”

Kedegilan Bani Nadhir dibayar dengan pengepungan tentera kaum Muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah saw. Apabila Bani Nadhir melihat tentera Islam, mereka melepaskan anak-anak panah sambil berkubu di pokok-pokok kurma dan kebun-kebun tanaman mereka. Pengepungan berlaku selama 15 hari, Bani Nadhir masih bertahan mengharapkan bantuan yang dijanjikan oleh Abdullah bin Ubai. Rasulullah saw mengarahkan tentera Muslimin menebang dan membakar pohon-pohon kurma yang menaungi kabilah Bani Nadhir. Firman Allah;
مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَى أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِينَ
“Mana-mana pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah izin Allah (kerana Dia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin) dan kerana hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik.” (surah al-Hasyr: 5)

Perbuatan tentera Islam yang membakar tanaman-tanaman milik Bani Nadhir itu telah menggerunkan jiwa kaum munafik dan menjadilah mereka orang-orang yang berdusta.
وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
“Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa mereka (kaum munafik) adalah pendusta.” (surah al-Hasyr: 11)

Allah mengibaratkan sikap kaum munafik itu seperti Syaitan;
كَمَثَلِ الشَّيْطَانِ إِذْ قَالَ لِلْإِنْسَانِ اكْفُرْ فَلَمَّا كَفَرَ قَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ رَبَّ الْعَالَمِينَ
“(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia; Berlaku kufurlah engkau! Setelah orang itu berlaku kufur (dan diazab), berkatalah Syaitan kepadanya; Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!”

Setelah bantuan tidak kunjung tiba seperti yang diharapkan Bani Nadhir, baharulah ketakutan dan kegelisahan menyeringai mereka. Akhirnya mereka menghantar utusan kepada Rasulullah saw untuk menyerah diri dan keluar dari Madinah. Rasulullah saw meletakkan syarat kepada Bani Nadhir agar keluar tanpa membawa senjata. Mereka hanya dibenarkan keluar bersama harta yang mampu dibawa dengan seekor unta. Rasulullah saw juga menjamin darah mereka akan terpelihara selama mereka tidak memulakan lagi persengketaan dengan umat Islam. Apabila Bani Nadhir mendengar syarat Rasulullah saw itu, mereka mengambil segala harta benda yang boleh dibawa, mereka meruntuhkan rumah-rumah mereka agar ia tidak dapat dihuni lagi. Bani Nadhir berangkat keluar dari Madinah, sebahagiannya menetap di Khaibar (100 batu dari Madinah), sebahagiannya pula menuju ke Syam.
وَمَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْهُمْ فَمَا أَوْجَفْتُمْ عَلَيْهِ مِنْ خَيْلٍ وَلَا رِكَابٍ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُسَلِّطُ رُسُلَهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Dan apa jua yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari peninggalan harta benda mereka (yang telah diusir itu, maka kamu tidak berhak mendapatnya), kerana kamu tidak memecut seekor kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang mengalahkan mereka); tetapi Allah memberikan kekuasaan kepada Rasul-rasul-Nya mengalahkan sesiapa yang dikehendakiNya (dengan tidak payah berperang); dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (surah al-Hasyr: 6)

Berikutan pengusiran Bani Nadhir, harta rampasan bagi kaum Muslimin terdiri daripada 50 baju besi, 50 topi perang dan 340 bilah pedang yang boleh digunakan untuk pertembungan yang seterusnya.

Sebenarnya pertempuran umat Islam dengan Bani Nadhir bukanlah suatu situasi yang dirancang oleh Rasulullah saw dan kaum Muslimin kerana mereka turut menghadapi ancaman daripada kaum musyrikin Quraish yang masih mencari-cari peluang untuk membelasah umat Islam. Lebih-lebih lagi kemahiran yang dimiliki setiap kabilah-kabilah Yahudi di Madinah ini boleh dimanfaatkan oleh umat Islam, Bani Qainuqa’ pakar dalam pertahanan, mereka membuat pedang, baju besi dan alat-alat peperangan sejak sekian lama. Bani Nadhir pakar dalam pertanian, sumber-sumber tanamannya menjadi tumpuan di setiap pasaran. Manakala Bani Quraizhah pula pakar dalam bidang ekonomi. Tetapi permusuhan mereka yang nyata terhadap Allah dan Rasul telah menatijahkan suatu situasi yang tidak dirancang oleh akal manusia, iaitu pengusiran habis-habisan kabilah-kabilah Yahudi dari Madinah.

2
Menginsafi Kehinaan Bani Nadhir Dalam Surah al-Hasyr

Surah al-Hasyr telah diturunkan berkenaan pengusiran Bani Nadhir. Antaranya firman Allah Taala:
هُوَ الَّذِي أَخْرَجَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مِنْ دِيَارِهِمْ لِأَوَّلِ الْحَشْرِ مَا ظَنَنْتُمْ أَنْ يَخْرُجُوا وَظَنُّوا أَنَّهُمْ مَانِعَتُهُمْ حُصُونُهُمْ مِنَ اللَّهِ فَأَتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ حَيْثُ لَمْ يَحْتَسِبُوا وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ الرُّعْبَ يُخْرِبُونَ بُيُوتَهُمْ بِأَيْدِيهِمْ وَأَيْدِي الْمُؤْمِنِينَ فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ
“Dia-lah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab dari perkampungan mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab). Allah menimpakan (azab-Nya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkan-Nya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah milik mereka dengan tangan mereka sendiri sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambillah pelajaran wahai orang-orang yang berakal fikiran.”

وَلَوْلَا أَنْ كَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِمُ الْجَلَاءَ لَعَذَّبَهُمْ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآَخِرَةِ عَذَابُ النَّارِ
“Dan kalaulah tidak kerana Allah telah menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka, tentulah Dia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka juga beroleh azab seksa neraka pada hari akhirat kelak.”

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ شَاقُّوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ يُشَاقِّ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“(Mereka ditimpakan azab) yang demikian, kerana mereka menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya. Dan (ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya.” (surah al-Hasyr: 2-4)

Imam Bukhari dalam Sahih-nya (kitab al-Maghazi wa Tafsir al-Quran) bahawa Sa’id bin Jubair bertanya kepada Ibnu Abbas tentang Surah al-Hasyr. Kata beliau, “Ia juga dikenal surah Bani al-Nadhir.”

3
Pengajaran

Sejak zaman Rasulullah saw, kaum Yahudi dikenali sebagai bangsa yang tidak sepakat dalam semua perkara sekalipun ia melibatkan maruah bangsa dan kepercayaannya sendiri. Walaupun kabilah Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah sama-sama tinggal di Madinah, masing-masing membawa haluan sendiri. Ketika umat Islam memerangi Bani Qainuqa’ kerana perbuatan mereka mencemari kaum muslimah, Bani Nadhir dan Bani Quraizah tidak menawarkan apa-apa bantuan terhadap saudara se-Yahudi mereka itu. Mereka hanya diam dan lihat Bani Qainuqa’ terusir dari kota Madinah. Begitu juga ketika Bani Nadhir menghadapi kepungan tentera Islam, Bani Quraizah masih tidak memberikan apa jua bantuan dan mereka hanya diam dan lihat (playsafe).

Malangnya di zaman ini, perangai playsafe Yahudi ini menjangkiti umat Islam. Mereka membiarkan saudara-saudara mereka diasak oleh musuh, mereka tidak mempedulikan saudara-saudaranya yang dihina, dicaci bahkan dibunuh. Mereka tidak sepakat dalam hukum-hakam agama, mereka suka memencilkan diri dari ayat-ayat Allah dan sanggup bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan lain untuk mengaburi kebenarannya. Sabda baginda saw;
لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ، فَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ لَدَخَلْتُمُوهُ، قَالُوا : مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ : فَمَنْ إِلا هُمْ
“Sungguh kalian (umat Islam) akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sekalipun jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang biawak (yang sempit), pasti kalian akan mengikutinya.”

Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasul Allah, apakah yang dimaksudkan itu kaum Yahudi dan Nasrani?”

Baginda saw menjawab, “Lantas siapa lagi selain mereka?”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-