© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Pengajaran Daripada Peristiwa Ahzab

Pengajaran Daripada Peristiwa Ahzab

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 22 July 2015


Peristiwa perang Ahzab ini kekal dalam ingatan umat Islam dan disuburkan ingatan ini setiap kali kita menyambut Hari Raya. Menandakan penentangan yang berterusan dan menyeluruh daripada golongan kuffar di sepanjang zaman. Ini menjadi hujjah mengapa peristiwa ini sangat signifikan dalam sejarah Islam. Perang ini juga diletakkan sebagai tajuk surah dalam al-Quran, iaitu surah al-Ahzab yang mana Allah telah menceritakan peristiwa ini daripada ayat 9 hingga ayat 23.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا. إِذْ جَاؤُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتْ الأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا. هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالا شَدِيدًا. وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلاَّ غُرُورًا. وَإِذْ قَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْهُمْ يَا أَهْلَ يَثْرِبَ لا مُقَامَ لَكُمْ فَارْجِعُوا وَيَسْتَأْذِنُ فَرِيقٌ مِّنْهُمُ النَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوْرَةٌ وَمَا هِيَ بِعَوْرَةٍ إِن يُرِيدُونَ إِلاَّ فِرَارًا. وَلَوْ دُخِلَتْ عَلَيْهِم مِّنْ أَقْطَارِهَا ثُمَّ سُئِلُوا الْفِتْنَةَ لَآتَوْهَا وَمَا تَلَبَّثُوا بِهَا إِلاَّ يَسِيرًا. وَلَقَدْ كَانُوا عَاهَدُوا اللَّهَ مِن قَبْلُ لا يُوَلُّونَ الأَدْبَارَ وَكَانَ عَهْدُ اللَّهِ مَسْؤُولا. قُل لَّن يَنفَعَكُمُ الْفِرَارُ إِن فَرَرْتُم مِّنَ الْمَوْتِ أَوِ الْقَتْلِ وَإِذًا لّا تُمَتَّعُونَ إِلاَّ قَلِيلا. قُلْ مَن ذَا الَّذِي يَعْصِمُكُم مِّنَ اللَّهِ إِنْ أَرَادَ بِكُمْ سُوءًا أَوْ أَرَادَ بِكُمْ رَحْمَةً وَلا يَجِدُونَ لَهُم مِّن دُونِ اللَّهِ وَلِيًّا وَلا نَصِيرًا. قَدْ يَعْلَمُ اللَّهُ الْمُعَوِّقِينَ مِنكُمْ وَالْقَائِلِينَ لإِخْوَانِهِمْ هَلُمَّ إِلَيْنَا وَلا يَأْتُونَ الْبَأْسَ إِلاَّ قَلِيلا. أَشِحَّةً عَلَيْكُمْ فَإِذَا جَاءَ الْخَوْفُ رَأَيْتَهُمْ يَنظُرُونَ إِلَيْكَ تَدُورُ أَعْيُنُهُمْ كَالَّذِي يُغْشَى عَلَيْهِ مِنَ الْمَوْتِ فَإِذَا ذَهَبَ الْخَوْفُ سَلَقُوكُم بِأَلْسِنَةٍ حِدَادٍ أَشِحَّةً عَلَى الْخَيْرِ أُوْلَئِكَ لَمْ يُؤْمِنُوا فَأَحْبَطَ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ وَكَانَ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرًا. يَحْسَبُونَ الأَحْزَابَ لَمْ يَذْهَبُوا وَإِن يَأْتِ الأَحْزَابُ يَوَدُّوا لَوْ أَنَّهُم بَادُونَ فِي الأَعْرَابِ يَسْأَلُونَ عَنْ أَنبَائِكُمْ وَلَوْ كَانُوا فِيكُم مَّا قَاتَلُوا إِلاَّ قَلِيلا. لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا. وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الأَحْزَابَ قَالُوا هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلاَّ إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا. مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا
“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari Malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.”

“Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari Malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.”

“Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.”

“Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.”

“Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata; Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.”

“Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata; Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah. Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata; Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan. Pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).”

“Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja.”

“Padahal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya).”

“Katakanlah (wahai Muhammad); Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja.”

“Katakanlah; Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu; bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka.”

“Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya; Marilah bersatu dengan kami, sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja.”

“Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.”

“Mereka menyangka bahawa tentera “al-Ahzab” itu belum pergi; dan kalaulah tentera al-Ahzab datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu), mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.”

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera al-Ahzab, berkatalah mereka; Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.”

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (al-Ahzab: 9-23)

Menurut al-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah, ayat 9 hingga ayat 23 surah al-Ahzab ini memulakan penerangannya mengenai peristiwa peperangan Ahzab dengan mengingatkan orang-orang beriman supaya mengenangkan nikmat Allah yang telah menghalau tentera-tentera bersekutu yang berniat untuk menghapuskan mereka, jika tidak kerana pertolongan Allah dan kekuasaan-Nya yang halus. Justeru itu, di dalam ayat yang pertama ini al-Quran hanya menerangkan tabiat, permulaan dan penghabisan peristiwa itu dengan ringkas sahaja dengan tujuan untuk menonjolkan nikmat yg besar itu sebelum menceritakannya dengan terperinci. Ia mengingatkan mereka dengan nikmat dan meminta mereka, yakni orang mukmin mengingati-Nya di samping bertujuan mengingatkan orang-orang beriman agar menurut perintah Allah yang meminta mereka mengikuti wahyu-Nya, berserah kepada-Nya dan tidak mengikut orang-orang kafir dan munafiq. Allah juga yang melindungi orang-orang yang bertugas mengembangkan dakwah dan agama-Nya dari pencerobohan orang-orang kafir dan munafiq.

Firman Allah Taala;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا
“Wahai orang-orang beriman, ingatlah nikmat Allah yg dikurniakan kepada kamu ketika kamu diserang oleh tentera-tentera al-Ahzab, lalu Kami hantarkan kepada mereka ribut yang kencang dan tentera-tentera Malaikat yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu lakukan.” (al-Ahzab: 9)

Demikianlah dalam ayat permulaan yang ringkas ini al-Quran menyebut permulaan dan penghabisan peperangan itu, iaitu kedatangan pasukan-pasukan tentera musuh dan bagaimana Allah melepaskan angin ribut dan tentera-tentera yang tidak dapat dilihat oleh orang-orang beriman. Juga berkenaan pertolongan Allah yang ada kaitannya dengan ilmu Allah yang mengetahui keadaan mereka dan melihat perbuatan-perbuatan yang mereka lakukan.

Kemudian selepas peperangan secara umum itu barulah al-Quran memulakan penceritaan yang terperinci. Firman Allah Taala;
إِذْ جَاؤُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتْ الأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا
“Iaitu ketika mereka menyerang kamu dari atas dan bawah, dan ketika mata (kamu) memandang liar dan hati (kamu) sebak sehingga ke kerongkong (kerana cemas) dan kamu menaruh berbagai-bagai sangkaan terhadap Allah.” (al-Ahzab: 10)

Firman Allah Taala lagi;
هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالا شَدِيدًا
“Di sanalah orang-orang Mukminin diuji dan digoncangkan hati mereka dengan goncangan yang kuat.” (al-Ahzab: 11)

Firman Allah Taala lagi;
وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلاَّ غُرُورًا
“Dan kenangilah orang-orang munafiqin dan orang-orang yang mempunyai penyakit di dalam hati mereka berkata; Tiada yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita melainkan palsu belaka.” (al-Ahzab: 12)

Firman Allah Taala lagi;
وَإِذْ قَالَت طَّائِفَةٌ مِّنْهُمْ يَا أَهْلَ يَثْرِبَ لا مُقَامَ لَكُمْ فَارْجِعُوا وَيَسْتَأْذِنُ فَرِيقٌ مِّنْهُمُ النَّبِيَّ يَقُولُونَ إِنَّ بُيُوتَنَا عَوْرَةٌ وَمَا هِيَ بِعَوْرَةٍ إِن يُرِيدُونَ إِلاَّ فِرَارًا
“Dan kenangilah ketika segolongan dari mereka berkata; Wahai penduduk Yathrib! Bukan tempatnya bagi kamu berjuang di sini, oleh itu baliklah! Segolongan yang lain dari mereka pula meminta izin hendak balik dari Nabi sambil berkata; Sesungguhnya rumah-rumah kami terdedah kepada serangan-serangan musuh sedangkan sebenarnya rumah-rumah itu tidak terdedah. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri sahaja.” (al-Ahzab: 13)

Menurut al-Syahid Sayyid Qutb rahimahullah, itulah gambaran ketakutan dan kesusahan yang menyelubungi kota Madinah. Tiada seorangpun dari penduduknya yang terselamat dari ketakutan itu, kerana dikepung dari segenap sudutnya oleh tentera-tentera musyrikin Quraish, Ghatfan dan orang-orang Yahudi Bani Quraizah dari hulu dan hilirnya. Rasa cemas dan takut ini tidak berbeza-beza di dalam hati setiap mereka. Cuma yang berbeza ialah cara mereka menyebut peristiwa itu, sangkaan masing-masing ketika menghadapi kesusahan dan tanggapan terhadap nilai-nilai sebab-sebab dan natijah menghadapi sesuatu peristiwa. Justeru, ujian ini merupakan satu ujian yg sempurna dan halus. Ia dapat membezakan di antara orang-orang yang beriman dengan orang-orang munafiq dengan perbezaan yang tegas dan tidak diragui.

Pada hari peperangan ini, dapat dilihat situasi orang-orang munafiq meliputi ciri-cirinya, segala emosi dan lintasan-lintasan fikiran dan segala gerak geri mereka. Semuanya terbentang di hadapan kita seperti yang diceritakan oleh al-Quran. Gambaran kekalutan mereka, ketakutan, kecemasan dan kesusahan yg dipamerkan melalui wajah-wajah dan debaran-debaran di dalam jantung mereka. Ini dijelaskan oleh ayat 10 surah al-Ahzab.
إِذْ جَاؤُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتْ الأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا
“Iaitu ketika mereka menyerang kamu dari atas dan bawah, dan ketika mata (kamu) memandang liar dan hati (kamu) sebak sehingga ke kerongkong (kerana cemas) dan kamu menaruh berbagai-bagai sangkaan terhadap Allah.” (al-Ahzab: 10)

Muhammad Ibn Maslamah al-Ansari menyebutkan, “Pada malam kami mengawal parit pertahanan itu sama seperti siang. Panglima-panglima perang tentera kaum Musyrikin bergilir-gilir di antara mereka. Sehari dipimpin oleh Abu Suffian Ibn Harb, hari yang lain oleh Khalid Ibn Walid, kemudiannya oleh Amr ibn al-‘Ash diganti pula oleh Ikrimah bin Abu Jahal, seterusnya diketuai pula oleh Hubairah Abu Wahab dan yang lainnya hingga keadaan menjadi begitu gawat dan turut mencemaskan orang ramai.”

Angkatan perang Musyrikin telah melakukan serangan mengejut pada waktu dinihari, lalu Rasulullah saw menyediakan para sahabatnya berperang hingga ke malam. Di dalam Musnad Imam Ahmad, Rasulullah saw dan setiap dari tentera Islam tidak dapat meninggalkan tempat masing-masing sehingga baginda sendiri tidak dapat menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan menggabungkan keseluruhan waktu itu pada waktu Isyak. Situasi yang dilakukan oleh kaum musyrikin itu ditempuhi oleh Rasulullah saw dan tentera Islam selama sebulan.

Firman Allah;
ِإِنْ تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ
“Kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak).” (al-Nisa: 104)

Para sahabat mengadu kepada Nabi saw perihal mereka tidak dapat menunaikan sembahyang. Nabi saw menjawab mengatakan bahawa baginda juga tidak sempat menunaikan solat. Sehinggalah Allah mengundurkan tentera-tentera Musyrikin dan kedua-dia pihak pulang ke tempat kediaman masing-masing. Kemudiannya Usayd Ibn Hudair mengetuai satu angkatan perang seramai 200 orang berkawal di tepi parit pertahanan itu lalu diserang hendap oleh tentera berkuda musyrikin di bawah pimpinan Khalid Ibn Walid yang sentiasa mencari kelalaian dan kelemahan umat Islam.

Kesibukan berperang ini telah menyebabkan baginda Rasulullah saw bersabda;
مَلأَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ بُيُوتَهَمْ وَقُبُورَهُمْ نَارًا كَمَا شَغَلُونَا عَنِ الصَّلاةِ الْوُسْطَى حَتَّى غَابَتِ الشَّمْسُ
“(Semoga) Allah penuhi rumah-rumah mereka dan kubur-kubur mereka dengan api neraka kerana mereka (kaum musyrikin) telah membuat kita begitu sibuk dari mendirikan solat Asar sehingga tenggelam matahari.”

Rasulullah saw turut berdoa;
اللُّهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ سَرِيعَ الْحِسَابِ اهْزِمِ الْأَحْزَابَ، اللَّهُمَّ اهْزِمْهُمْ وَزَلْزِلْهُمْ
“Ya Allah yang menurunkan Kitab (al-Quran), yang segera membuat perhitungan, celakakan pasukan al-Ahzab, hancur-leburkan pakatan mereka.”

Di samping itu juga, tentera Muslimin juga menghadapi tipu daya kaum munafiqin dan penyebar-penyebar khabar angin di kota Makkah dan di dalam barisan-barisan bala tentera Islam. Di dalam suasana kesusahan dan kecemasan yang menggoncangkan hati itu, orang-orang munafiqin mendapat peluang mendedahkan rahsia jiwa mereka yang keji tanpa kebimbangan dikecam oleh sesiapapun. Mereka melemahkan semangat orang Islam, memecah-belahkan mereka, menimbulkan keraguan terhadap janji Allah dan sebagainya. Mereka merasa aman bahawa tiada sesiapapun akan menyalahkan apa sahaja yang mereka lakukan.

Golongan munafiqin dan penyebar-penyebar khabar angin seperti mereka ini memang terdapat di dalam semua kumpulan-kumpulan Islam. Sikap mereka dalam menghadapi keadaan gawat itu adalah sama dengan sikap saudara-saudara mereka tadi. Mereka adalah contoh golongan manusia yang berulang-ulang di dalam generasi-generasi dan kumpulan manusia di sepanjang zaman. Mereka menghasut penduduk Madinah supaya meninggalkan barisan perjuangan dan pulang ke rumah dengan alasan bahawa kedudukan mereka bertahan di hadapan “khandak” tidak membawa apa-apa makna. Ini adalah contoh dakyah mereka untuk meracuni pemikiran umat Islam ketika itu dan jika waktu sekarang pelbagai modus operandi diadakan supaya orang beriman meninggalkan Jamaah Islam dan perjuangan Islam. Mereka melontarkan tuduhan kepada puak Islam dengan tuduhan seperti neo-khawarij, ekstrem, ahli bida’ah dan pelbagai gelaran dan tindakan hodoh mereka untuk menjatuhkan reputasi perjuangan Islam pada pandangan masyarakat.

Biodata Penulis

Dr. Riduan Mohd Nor, mantan guru sekolah Victoria Institution Kuala Lumpur, telah memperolehi Sarjana Sastera Sains Politik dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM pada tahun 2004. Pada hari 26 Okt 2013 beliau memperolehi ijazah Doktor Falsafah dari Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM. Kini beliau menjadi pendakwah bebas di samping memimpin Maahad Tahfiz yang beliau bangunkan sendiri di Terengganu untuk mendidik anak tempatan. Semoga Allah memberkati usaha beliau dan kurnia kejayaan yang tiada sempadan untuk berbakti pada agama, negara dan dunia sejagat.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-