Headlines Articles :
Home » » Parti Islam Baru? Strategis Bersalut Nafsu

Parti Islam Baru? Strategis Bersalut Nafsu

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday, 9 July 2015


Menarik cerita Ramadan tahun ini. Syaitan diikat, tetapi nafsu-nafsi bermaharajalela. Menyaksikan bekas pemimpin (diulangi : bekas PEMIMPIN) parti Islam bereaksi sangat luar biasa hanya kerana tidak terpilih. Kita sangkakan selama ini mereka telah hadam tajuk berkenaan jawatan adalah beban. Nampaknya jawatan pada mereka menjadi rebutan, kalah menjadi kekecewaan. Patutlah ahli PAS tidak lagi pilih mereka. Mengecewakan.

Parti Islam baru ini nanti kononnya bersifat progresif melibatkan ngo-ngo Islam yang lain. Ada juga idea dari ustaz yang menzahirkan seolah-olah dirinya sahajalah yang menguasai sains kemanusiaan atau fiqh sunnatiLlah, kononnya parti ini nanti bukan jamaah tetapi parti Islam yang boleh disertai oleh oleh semua ahli jamaah-jamaah yang ada sebagai platform politik. Bolehlah jamaah Alami/IRC (dulunya JIM) menjayakan hasratnya untuk memimpin Malaysia tahun 2020 dengan turut menyertai parti baru ini sebagai alternatif andai agenda di dalam PAS dan PKR tidak kesampaian. Sementelah lagi ISMA sudah mendahului mereka melalui Parti Berjasa (Arus Baru) dalam PRU ke-13. Ini era langit terbuka, tidak perlu bersembunyi di belakang tiang elektrik, orang sudah nampak kelibatnya.

Saya mengumpamakan penubuhan Parti Islam baru ini ibarat menoreh luka baru pada tubuh kesatuan umat yang telah dipenuhi parut luka lama. Ia bukan satu-satunya dalam sejarah harakah Islam di Malaysia. Jamaah al-Arqam pernah melalui perpecahan sebelum era sesatnya. Tokoh-tokoh alim seperti Ustaz Akbar Anang, Ustaz Rushdi, Ustaz Mokhtar (bukan Mokhtar Senik) dan lain-lain yang pernah bersama Ustaz Asyaari keluar al-Arqam. Selepas itu bermulalah era pelik dalam al-Arqam. ABIM pada tahun 1982 juga mengalami perpecahan yang sangat dahsyat hasil kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno. Dua tiga kali mesyuarat agungnya kecoh dan huru-hara hinggalah akhirnya ABIM dipimpin Dr Siddiq Fadzil dan memutuskan untuk mesra kerajaan dan terus bersama Anwar.

ABIM juga berdepan dengan konflik dalaman apabila kumpulan Alami/IRC cuba menjayakan agenda mereka dengan menguasai ABIM. Usaha tersebut gagal sehingga membawa kepada ABIM menyekat keanggotaan Alami/IRC menjadi ahli mereka. Cerita ini anda boleh dapatkan dari senior-senior ABIM. Selepas kegagalan menguasai ABIM, kumpulan Alami/IRC itu cuba pula di dalam Pas dengan mengambil kesempatan di atas kelunakan Ustaz Haji Abdul Hadi ketika itu. Kepercayaan yang diberikan kepada mereka agar larut dan berintimak dengan PAS dikhianati dengan menjalankan kerja jamaah dalam jamaah. Dalam tempoh 1984 hingga 1988 itu mereka berusaha merancang penguasaan PAS. Tetapi berjaya dibongkar dan sebahagian mereka dipecat sementara sebahagiannya keluar. Ini sebahagian dari sejarah luka perpecahan.

Hasil dari perpecahan ABIM, lahirlah jamaah ABIM Perlis di bawah pimpinan al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain yang kemudiannya bergerak berasingan sebagai ngo Haluan berdaftar pada tahun 1988. Ada pun jamaah Alami/IRC yang dilihat gagal menjayakan agenda mereka dalam PAS dalam tahun 1988 itu, melahirlah ngo JIM pada tahun 1990. Luka perpecahan tidak pernah berhenti. Haluan juga melalui pengalaman perit di tahun 1995-1996 apabila ada golongan yang mencetuskan huru-hara dalam jamaah dengan usaha untuk menguasai tampuk kepimpinan jamaahnya tetapi gagal. Sementara perpecahan dalaman jamaah Alami/IRC kemudiannya pula tidak lagi dapat dibendung. Kelahiran ngo ISMA pada tahun 1996 yang asalnya hanya sebagai wajihah atau proksi kepada jamaah Alami/IRC yang seangkatan dengan JIM, tiba-tiba selepas era reformasi berubah menjadi jamaah yang berasingan. Lahirnya persaingan yang sangat ketara antara Alami/IRC/JIM dengan ISMA. Perbalahan itu semakin ketara dengan lahirnya IKRAM sebagai rebranding kepada Alami/IRC/JIM tersebut pada tahun 2010. Anda boleh melihat perbalahan mereka termasuk figura-figura utama kedua-dua belah pihak secara terbuka di dalam Facebook pada ketika itu.

Apa yang saya lihat, golongan ini bukan sahaja memecahbelahkan sesama gerakan Islam. Malah ketika mereka menyertai Parti Keadilan Nasional (PKN) selepas era reformasi pun kerja-kerja ingin menguasai itu terus berjalan. Kongres Parti Keadilan Nasional menjadi sasaran. Kumpulan pro ABIM seperti Ruslan Kasim dan lain-lain disisihkan. Kumpulan Pro Jim ketika seperti Saari Sungip, Fuziah Saleh dan lain-lain menguasai jawatan-jawatan utama PKN. Tetapi ia bukanlah isu utama, kerana mereka menyusup di dalam tubuh parti yang berideologi pragmatik, bukan parti  atau jamaah Islam. Cuma perangai atau sikap ingin memimpin dan menguasai itu sangat ketara sehingga sanggup menjatuhkan sesama kumpulan Islam (pro ABIM) dalam PKN ketika itu.

Itulah sejarah luka lama kesatuan harakah Islam di Malaysia. Adakah tiada langsung usaha menyatukan? Jawapannya ada. Tetapi gagal kerana strategis yang disaluti nafsu. Pada era penghujung 80-an dan awal 90-an, al-Marhum Ustaz Harun Taib pernah mengarang buku berjudul Taadud Jemaah yang menjadi salah satu tajuk teks usrah PAS. Buku ini menjadi bahan yang dipersenda oleh Mazslee Malik ketika dia mencanangkan gagasan “Ummah Centric” dan juga buku yang diperlekeh oleh kelompok “lepak maqasid” Wan Ji. Sedangkan buku itu selain dipenuhi dalil dan hujjah pentingnya kesatuan dalam satu jemaah serta buruknya perpecahan, ia juga mencadangkan front bersama antara kumpulan-kumpulan Islam apabila ia telah wujud berbilang-bilang. Al-Marhum telah mendahului usaha menyatukan dengan gagasan tersebut. Front yang dicadangkan itu ialah satu pakatan yang dianggotai oleh semua wakil-wakil kumpulan atau jamaah Islam yang akan bersetuju dan berpegang dengan ketetapan bersama. Tetapi, usaha mewujudkan front bersama itu menjadi gagal dan tidak releven bila ABIM memilih untuk kekal bersama Anwar dalam Umno. Sementara syura Alami/IRC/JIM pula membenarkan anggotanya yang terpilih menyelusup atau menganggotai Umno. Sedangkan semua sedar bahawa PAS berlawan dengan Umno dalam politik.

Malah bukan itu sahaja. Alami/IRC/JIM sendiri pernah mengusahakan usaha penggabungan atau disebut-sebut di kalangan mereka dengan “indimaj” sesama kelompok Islam yang berfikrah ikhwan. Bukan sekali, malah berkali-kali. Pernah di tahun 1995 tetapi gagal. Juga percubaan di tahun 2009, kemudian 2012 setelah kelahiran IKRAM. Tetapi masih gagal. Kenapa? Kerana usahanya seolah-olah ingin bergabung, tetapi pelaksanaannya seperti ingin memimpin dan menguasai. Kumpulan mana yang suka tubuhnya diselusupi dan dikuasai? Usaha penggabungan dan kesatuan itu amat baik dan strategik, tetapi jika diselaputi nafsu ingin menguasai, ia menjadi hodoh. Ia lahir dari rasa ego kononnya hanya merekalah yang layak dan terbaik.

Presiden Pas, Ustaz Haji Abdul Hadi, berulang-ulang menegaskan dalam ucaputamanya dalam beberapa kali mesyuarat agung Pas, menyatakan kesyukurannya kepada Allah kerana di Malaysia, walaupun telah wujud berbilang-bilang kumpulan Islam, tetapi dalam bab politik mereka bersama PAS. Tidak menubuhkan parti-parti Islam yang baru. Tidak seperti negara-negara yang lain seperti Indonesia, Mesir, Turki, Pakistan, Afghanistan dan lain-lain negara yang menyaksikan perpecahan sokongan golongan Islam kerana berbilang-bilang parti Islam. Ustaz Haji Abdul Hadi sudah tentu dengan pengalamannya di peringkat gerakan Islam antarabangsa menyaksikan kesan buruk dari masalah-masalah tersebut. Sangat pelik bila kita terus sengaja menoreh luka baru di atas parut luka-luka lama. Tidak belajar dari sejarah perpecahan umat Islam dan  perpecahan antara harakah Islam.

Saya melihat, penubuhan PasMa, G-18 atau parti Islam yang baru hanyalah tidak lebih dari menjayakan agenda “pecah dan perintah” oleh musuh-musuh Islam. Tidak kiralah musuh itu dari sebelah mana sekali pun. Dari liberal kapitalis atau dari sosialis komunis. Datang dari Amerika atau Russia. Blok kanan ataupun kiri, Timur atau Barat. Lebih menyedihkan jika agenda pecah dan perintah musuh itu dijayakan oleh orang yang mengaku sudah lama berjuang Islam. Sama ada oleh anggota parti Islam yang terkilan kerana tidak terpilih sebagai pimpinan, mahu pun kumpulan ngo Islam yang dari dulu ingin memimpin dan menguasai. Kedua-dua alasan itu, adalah salutan nafsu yang cuba digilap oleh pakar strategis mereka sebagai idea baru yang cemerlang. Bersatu adalah rahmat, berpecah adalah azab. Usahlah ikutkan nafsu, terutamanya di bulan Ramadan yang berkat ini. sumber

Biodata Penulis

Abdullah Abd Khabir merupakan Pengkaji Gerakan Islam
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia