© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Membina Generasi Al-Quran

Membina Generasi Al-Quran

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Monday 6 July 2015


Sahabat Seperjuanganku, kita adalah pejuang. Pejuang yang memikul amanah untuk memperjuang dan mempertahankan Islam di bumi tercinta ini. Dasar dan prinsip perjuangan kita pula adalah suatu yang bersumberkan Al Quranil Kareem. Justeru itu, menjadi satu kewajipan kepada pejuang untuk membaca, memahami, menghayati dan melaksanakan seluruh kandungan al-Quran al-Karim.

Sahabatku, al-Quran al-Karim adalah mukjizat Nabi saw. Memiliki al-Quran adalah memiliki mukjizat. Inilah antara rahsia kekuatan diri dan perjuangan kita. Selama cara hidup kita berpaksi kepada al-Quran al-Karim, kita bukan sahaja mulia tetapi juga hebat dan kuat. Selamat dari "fenomena gelincir landasan" Islam dan perjuangannya.

Sahabatku, dampingilah al-Quran al-Karim. Jadikan ia amalan rutin hidup kita sebagai pejuang. Membacanya satu ibadah. Memahaminya satu keindahan. Menghayatinya satu kehebatan. Sementelah Ramadhan ini juga adalah dimasyhurkan sebagai “Bulan al-Quran”. Padanya diturunkan al-Quran al-Karim.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (surah al-Baqarah : 185)

Sahabatku, lebih penting kepada seorang pejuang ialah hujjah untuk mengangkat Islam dan meninggikannya mengatasi ideologi ciptaan manusia. Maka al-Quran adalah adalah wahyu Allah swt yang memuatkan hujjah untuk mereka yang beriman kepada Allah swt. Hujjah untuk mempamerkan keindahan dan kehebatan Islam juga hujjah untuk mematahkan pemikiran dan strategi jahat musuh Islam.

Sahabat Seperjuanganku, jangan berjauhan dengan al-Quran. Sudahlah kita tidak sempat hidup di zaman Rasulullah saw, jauh pula kita dengan al-Quran al-Karim meletakkan kita sebagai insan yang sangat rugi. Marilah kita membina diri kita sebagai generasi Al Quran yang hidup antara helaian al-Quran al-Karim.
إِنَّ هَٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا
“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.” (surah al-Israk : 9)

Sahabat Seperjuanganku, ummat Islam sedang berdepan dengan pelbagai ancaman dan rintangan yang boleh merosakkan aqidah, akhlak dan fikrah mereka. Sebahagiannya hilang kepekaan terhadap perancangan musuh yang bermaksud untuk melemahkan Islam dan ummatnya.

Sahabatku, kita tidak boleh berpeluk tubuh. Membiarkan siku lutut kita longlai dimamah virus takut dan malas berdepan situasi ini. Kita semua kena bangkit berjuang lantas menjulang prinsip Islam dan setiap sendi syariat serta syiarnya. Jangan sampai mereka merancang sedang kita masih mendakap tubuh.

Sahabatku, Ramadhan tidak sewajarnya menjadikan kita letih dan lesu sehingga hilang maya upaya justeru Ramadhan adalah bulan jihad. Bulan kebangkitan ummah untuk melonjak izzah (kemuliaan dan kehebatan). Bangkitlah dengan semangat jihad yang tinggi dan jitu demi membawa risalah Islam, membasmi kejahilan, memimpin dan menyelamatkan ummah dari terus menjadi mangsa amukkan jahiliyah.

Sahabatku, meninggalkan jihad menjadikan kita hina. Nabi saw pernah bersabda:
ماَ تَرَكَ قَوْمٌ الجِهَادَ إلاَّ عَمَّهُمُ اللهُ بِالْعَذَابِ

“Tidaklah sesuatu kaum yang meninggalkan jihad melainkan Allah swt menimpakan azab (kehinaan) ke atas mereka seluruhnya.” (riwayat al-Tabarani fil Awsat)

Sahabat Seperjuanganku, kita tidak punya banyak masa untuk madah berhelah. Leraikan segala yang membelenggu diri. Ayuh kita turun bergelanggang. Sahut semboyan juang dan usah peduli seruan yang mendorong untuk kita khianati amanah perjuangan Islam ini. Ingatlah penegasan Allah swt :
لَّا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا
“Tidaklah sama keadaan orang yang duduk bersahaja (tidak turut berjuang) dari kalangan orang yang beriman - (selain daripada orang yang berkeuzuran) - dengan orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk bersahaja dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik dan Allah melebihkan orang yang berjuang atas orang yang duduk bersahaja dengan pahala yang amat besar.” (surah al-Nisa' : 95)

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan ahli Parlimen Temerloh (P.88). AJK PAS Pusat sesi 2015-2017, juga merupakan mantan Ketua Pemuda PAS ini pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-