© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Memahami “Thawabit” Perjuangan PAS

Memahami “Thawabit” Perjuangan PAS

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 23 July 2015


Masih terdapat mereka yang keliru dalam menilai bagaimana cara perjuangan PAS. Mereka hairan kenapa PAS menjadikan agama sebagai asas perjuangannya. Cemburu mereka bukan kepalang apabila PAS terus meraih sokongan ummah meskipun diselubungi fitnah dan tohmahan dari segenap sudut.

PAS ditubuhkan pada tahun 1951 oleh para penggerak Islam, dari kalangan ulama’ dan ilmuan berbagai bidang dan tokoh masyarakat yang terawal menentang penjajah. Tujuannya adalah menyambung perjuangan Islam, berdakwah sehingga berpolitik, meneruskan gerakan Islah dan Tajdid.

PAS sentiasa meletakkan posisi perjuangannya yang telah ditetapkan oleh Allah, iaitu menegakkan Islam dengan segala sifat dan cirinya di-dalam al-Quran dan ditafsirkan oleh Rasulullah ﷺ sehingga tidak boleh dibuat-buat dengan lakonan atau dikelirukan.

Penyertaan masyarakat bersama PAS adalah terdiri daripada semua peringkat, kesemua mereka tetap pendirian walaupun tidak dipilih dalam mesyuarat agong atau muktamar. Mereka tidak dicalonkan dalam piliharaya dan tidak mendapat projek dan balak tetapi tidak merajuk dan terus beristiqamah.

Hal tersebut menjadikan mereka dipelihara Allah Ta’ala bersama keikhlasan walaupun dianggap bodoh. Biarlah saya tegaskan kembali bahawa:
  1. Dasar perjuangan PAS adalah Islam. Penegasan ini boleh dirujuk pada Perlembagaan PAS Fasal Ke-3. Islam ertinya tunduk dan patuh kepada Allah Ta’ala. Kepatuhan dan ketundukan itu adalah bermaksud untuk meraih redha Allah Ta’ala.
  2. PAS ditubuhkan untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hakamnya (bukan sekadar teori) menuju keredhaan Allah Ta’ala.
  3. PAS berjuang untuk mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. Objektif ini tercatat di dalam Perlembagaan PAS Fasal Ke-5.
  4. PAS memperjuangkan Islam sebagai akidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan. Perkara ini termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal Ke-6 di bawah tajuk usaha-usaha PAS.
Antara usaha PAS ialah menyeru umat manusia kepada Syariat Allah Ta’ala dan Sunnah Rasul-Nya ﷺ melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan. Biarpun halangan sebesar gunung, PAS tidak pernah gentar mendepaninya demi melunaskan cita-cita perjuangan Islam.

Sesiapa yang terkeliru tidak mengikuti PAS daripada awal dan pula hanya memintas di tengah jalan, hanya meramal untuk menang di dunia sahaja demi meraih mahkota kepimpinan. Sesiapa yang tidak Istiqamah di atas akidah, dasar dan matlamat pasti berundur, melompat, terlompat atau dilempar keluar daripada jama’ah.

Sesiapa yang hanya ingin berlakon, Allah Maha Mengetahui dia hanya pelakon dan dikeluarkan tanpa diduga dan disangka bersama pelakon tambahannya. Sesiapa yang mengubah PAS lain daripada ketetapan Allah tersebut pasti tenggelam mengikut ketetapan Allah juga.

Allah telah menetapkan ciri-ciri kepada kumpulan Islam yang dinamakan umat di dalam kalangan umat Islam yang besar dan umat manusia yang lebih besar termasuk bukan Islam yang wajib diselamatkan dengan rahmat Allah daripada Islam. Firman Allah Ta’ala, Surah Aali-Imran, ayat 104:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada dikalangan kamu (orang-orang yang beriman itu), satu ummah (kumpulan) yang berdakwah kepada kebajikan (Islam semua ajarannya) dan yang menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Merekalah orang-orang yang mendapat kejayaan (dunia dan di akhirat).”

Ayat ini dibaca dan ditulis ketika PAS mula-mula ditubuhkan. (Sila rujuk buku “Umat Islam dan Parti Islam”, karangan al-Marhum Ustaz Ahmad Azam, yang diterbitkan sebelum merdeka apabila PAS masuk ke dalam gelanggang politik).

Firman Allah, Surah al-Nur ayat 55:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“Allah telah berjanji kepada kalangan orang-orang yang beriman daripada kalangan kamu dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Dia jadikan mereka golongan yang memerintah di bumi, sebagaimana dikurniakan kepada kalangan dahulu daripada mereka. Di mana Allah menjadikan agama yang diredainya (Islam) untuk mereka, berkuasa dan Allah menukarkan keadaan daripada mereka berada dalam ketakutan kepada keamanan. Mereka memperhambakan diri kepada Allah, dan sesiapa yang kufur selepas itu, maka merekalah orang-orang yang fasik.”

Janji yang tidak diketahui jarak masa dan perjalanannya, sehingga Nabi Nuh alaihissalam dan segelintir pengikutnya menunggu selama lebih 900 tahun, di-ikuti oleh Para Rasul selepasnya bersama umat masing-masing, inilah adat perjuangan Islam.

Mereka yang tidak tahu adat ini akan pasti lari lintang pukang kerana tidak nampak penghujung perjalanannya dengan mata kasar, sama seperti makhluk yang matanya sama aras dengan perutnya maka berfikir dengan “isi perut”, tidak dengan akal.

Mereka yang menghayati ayat-ayat Allah Ta’ala sanggup menunggu sehingga mati, walaupun dia tidak sempat melihat kejayaannya di masa hayat, mungkin cucu atau cicitnya beberapa generasi, namun tetap beriman kepada janji Allah yang tidak tamat riwayatnya dengan kematian seseorang.

Seumpama kisah filem yang tamat dengan kematian heronya atau sekadar sampai ke Putrajaya sahaja. Perjuangan Islam tidak berakhir sehinggalah hari kiamat, kerana harapan perjuangan Islam hanya penerimaan Allah dan redha-Nya yang tidak perlu diperharui atau dipinda dan diubah. Firman Allah Ta’ala:
وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
“Jangan kamu berasa hina atau lemah ketika menghadapi penentang kamu, sekiranya kamu menderita kesakitan, mereka juga berada dalam kesakitan yang sama, namun keadaan kamu berbeza, kerana kamu berharap daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan.” (Surah al-Nisa’, ayat 104)

Rasulullah ﷺ telah menafsirkan ayat-ayat ini dalam perjuangan Islam bersama masyarakat majmuk di masa kumpulannya paling lemah ditindas di Makkah tanpa negara dan ketika paling kuat bernegara sehingga membebaskan Makkah, dengan huraian mengikut panduan Allah bertonggakkan umat Islam dalam jama’ahnya dahulu.

Rasulullah ﷺ memulakan perjuangannya dengan misi menjadikan umat bersatu dengan akidah, dasar dan matlamat, bekerjasama dengan kawan dan lawan termasuk bukan Islam sehingga bermaaf-maafan apabila mencapai kemenangan, menjadikannya tidak sama dengan perjuangan yang lain.

Beristiqamah dengan makna teguh, tidak berganjak dalam perkara thawabit (aqidah, dasar dan matlamat). Murunah (anjal, atau boleh menerima perubahan) dalam perkara mutaghayyirat (menerima perubahan) dalam perkara pendekatan, uslub dan strategi. Sehingga Islam menunjukkan rahmat kepada masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan budaya dalam keadaan Islam memimpin bukan mengikut telunjuk pihak lain.

Di samping berpadu dan bersama dalam perkara thawabit sehingga tidak diizinkan berpecah pendapat. Berpadu juga dalam perkara mutaghayyirat walaupun berbeza pendapat dan berkhilaf dalam urusan berparti atau berjama’ah. Tetap setia kepada jama’ah apabila sudah menjadi keputusan dalam berjama’ah walaupun sehingga dirinya ditolak, tidak dilantik lagi atau dipecat, tetap bersama jama’ah.

Tegasnya seseorang dan kumpulan dalam berjama’ah tidak dizinkan berdegil dengan pendapatnya apabila sudah ada keputusan jama’ah, inilah adab dalam kumpulan Islam sepanjang zaman. Barangsiapa yang tidak berpegang kepada adab ini maka tidak layak bersama jama’ah. Lebih malang nasibnya kalau menunjukkan sifat menolak kalau tiada yang memilih dirinya, dengan sendiri mendedahkan isi hatinya bahawa dia bersama jama’ah kalau dipilih berada di atas (berjawatan), dan tidak pula bersedia berada di bawah.

Orang yang berfikiran materialistik (kebendaan) seperti ini tidak menyedari bahawa lantai yang berada di bawah lebih amana dan selamat daripada atap yang berada di atas apabila menghadapi ribut dan petir atau gempa bumi.

Rasulullah ﷺ pernah menerima pandangan orang lain dalam perkara bukan wahyu dalam peristiwa Badar dan sanggup menerima pandangan lain juga dalam perstiwa Uhud dan inilah ketetapan Allah walaupun pandangan itu menyebabkan gugurnya para syuhada’ yang ramai dan ramai pula mendapat kecederaan, termasuk batang tubuh Rasulullah ﷺ.

Bandingkan diri kita dengan Sa’ad bin Ubadah radhiallahu anhu yang dilucutkan jawatan oleh Rasulullah ﷺ dalam peristiwa “Fathu al-Makkah”, Khalid bin al-Walid radhiallahu anhu yang dipecat Khalifah Umar al-Khattab tetap bersama saff perjuangan Islam sehingga wafat. Begitulah juga yang berlaku Ka’ab bin Malik radhiallahu anhu kerana tidak menyertai perjalanan ke Tabuk sehingga diambil tindakan disiplin, dipulau beberapa bulan, tidak keluar daripada jama’ah dan tidak menerima tawaran Raja Ghassan (Kerajaan Ghassanid) supaya meninggalkan jama’ahnya.

Firman Allah:
 إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah al-Ahqaf, ayat 13)

Rasulullah ﷺ menyatakan berdasarkan mafhumnya bahawa secupak bijiran yang disumbangkan oleh para sahabatku tidak sama dengan sumbangan generasi terkemudian walaupun emas sebesar Bukit Uhud. Mustahil ada kalangan ahli PAS yang menyumbang sebesar Bukit Uhud, maka jangan tunjuk kita lebih kuat daripada para sahabat Rasulullah ﷺ.

Mereka yang tidak merasai kemanisan perjuangan Islam bersama fadhilatnya tidak akan merasai hakikat ini. Mereka yang merasai kemanisan iman dalam perjuangan dapat membezakan di antara kawan dan wali, boleh berkawan dengan kalangan DAP dan sepertinya tetapi tidak boleh berwalikan DAP, kerana tidak beriman dan budiman.

Mereka yang tidak ada kefahaman dan kemanisan tersebut sanggup hidup dan mati bersama kalangan DAP dan yang sewaktu dengannya kerana tidak mampu membezakan di antara kawan dan wali.

Akhirnya, bacalah dan hayatilah firman Allah Ta’ala di dalam Surah al-Isra’, ayat 36;
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
“Dan jangan kamu mengikut (atau bercakap atau menulis) apa-apa yang kamu tidak ada ilmu berkenaannya, sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan fikiran kamu semuanya akan disoal Allah secara bertanggungjawab dengan amanah ilmu.”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-