© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Kenali Jama’ah Muslimin dan Kewajiban Baiah Terhadapnya

Kenali Jama’ah Muslimin dan Kewajiban Baiah Terhadapnya

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Friday 17 July 2015


Terdapat banyak hadis Nabi yang membicarakan tentang Jama’ah Muslimin ini seumpama hadis Huzaifah Ibnu al-Yamani yang panjang terdapat sabdaan Nabi menegaskan:
تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ
“Hendaklah kamu bersama dalam Jama’ah Muslimin dan ketuanya.” (riwayat Bukhari Muslim)

Dalam hadis lain:
مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ قِيدَ شِبْرٍ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ الْإِسْلَامِ مِنْ عُنُقِهِ
“Barangsiapa yang memisahkan diri daripada Jama’ah walaupun sejengkal, maka bererti dia telah melepaskan ikatan Islam daripada tengkuknya.” (riwayat Abi Daud)

Kata Imam al-Syathibi dalam kitabnya al-I’thishom, kalimah Jama’ah dalam hadis ini membawa maksud:
  1. Kumpulan yang besar daripada kalangan umat Islam
  2. Jama’ah Para Ulama mujtahidin
  3. Para Sahabat Nabi
  4. Sebuah organisasi umat Islam yang dipimpin oleh seorang Amir
Setelah itu, Imam al-Syathibi membuat kesimpulan bahawa Jama’ah Muslimin ini pada hakikatnya merujuk kepada sebuah organisasi yang dipimpin oleh seorang Amir yang menjalankan dasar al-Quran dan al-Sunnah manakala organisasi selain itu tidak dikira sebagai Jama’ah Muslimin.

Jama’ah Muslimin terdahulu yang dipimpin oleh Rasulullah saw dan pengikutnya adalah di kalangan Sahabat merupakan sebuah Jamaah yang hanya beriman kepada Allah, berakidahkan Islam sebagai agama dan cara hidup, mempertahankan Rasulullah dan dakwah Islam dan berbaiah untuk berjihad mempertahankan agama sehingga tertegak. Inilah kesempurnaan Jama’ah Muslimin suatu ketika dahulu. Justeru, Jama’ah Muslimin mengikut kehendak hadis ialah seperti berikut:
  1. Jama’ah yang diasaskan berdasar tuntutan Syahadah dan menegakkan panji Islam
  2. Jama’ah yang terdiri daripada kalangan umat Islam yang teguh berpegang kepada syariat Allah dan saling tolong-menolong antara ahli Jama’ah
  3. Jama’ah yang menjayakan agenda Islami bagi memberi kemuliaan kepada umat Islam
  4. Jama’ah yang tetap istiqamah dalam menegakkan perjuangan Islam dan mengeluarkan manusiadaripada perhambaan terhadap thaghut
  5. Jama’ah yang berjuang tanpa sempadan bahkan perjuangannya adalah syumul meliputi seluruh ummah
Berdasarkan ciri-ciri Jama’ah Muslimin tersebut, jelas bahawa Jama’ah Muslimin bukan sahaja hanya tertumpu kepada Jama’ah Rasulullah saw bahkan ia terpakai kepada Jama’ah Muslimin yang diasaskan pada zaman ini.

Mengikut Syeikh Said Hawwa dalam kitabnya Min Ajli Khuthwah ilal Amam A’la Thariq al-Jihad al-Mubarak menegaskan bahawa kenyataan Rasulullah saw pada kalimah “Dakhanun” adalah merujuk kepada fahaman sesat dan menyeleweng dizaman kita pada hari ini. Justeru, wajib umat Islam menggabungkan diri dalam Jama’ah Muslimin yang diketuai oleh pemimpin yang beriman. Sayugianya, umat Islam hanya perlu diwakili oleh sebuah Jama’ah Muslimin sahaja bagi mengukuhkan ikatan dan menguatkan pertahanan.

Pada zaman kita ini telah berlaku “Ghiyab Fikratil Jama’ah” iaitu hilangnya pemikiran untuk menyatukan umat Islam dalam satu Jama’ah demi membangunkan kembali khilafah Islamiyah. Apa yang telah diusahakan oleh Imam al-Syahid Hassan al-Banna itu adalah langkah kearah kesatuan yang diimpikan ini. Manakala baiah kepada Jama’ah Muslimin ini adalah wajib di zaman berlakunya “Dakhanun” bagi mengembalikan kesejagatan ummah. Syeikh Fathi Yakan memberi penegasan bahawa baiah kepada Jama’ah pada hari ini adalah wajib bagi mendisiplinkan anggota Jama’ah dalam satu kekuatan.
اعلم أن البيعة هي العهد على الطاعة، كأن المبايع يعاهد أميره على أنه يسلم له النظر في أمر نفسه وأمور المسلمين، لا ينازعه في شيء من ذلك، ويطيعه فيما يكلفه به من الأمر على المنشط والمكره
“Baiah bermaksud janji setia untuk memberi ketaatan seumpama pemberi baiah berjanji dengan ketuanya untuk menerima pandangan dan segala kebijaksanaan tentang urusan dirinya dan urusan kaum Muslimin, sedikitpun tanpa menentangnya; serta taat kepada perintah pimpinan yang dibebankan kepadanya, suka mahupun tidak” (Ibnu Khaldun: al-Mukaddimah)

البيعة تعني إعطاء العهد من المبايع على السمع والطاعة للأمير، في المنشط والمكره، والعسر واليسر، وعدم منازعته الأمر، وتفويض الأمور إليه
“Baiah juga bermaksud memberi janji setia untuk dengar dan taat kepada ketua dalam keadaan selesa atau hadapi masalah, ketika susah atau senang dan tidak akan canggah arahan ketua serta menyerahkan apa jua perkara berlaku kepada kebijaksanaannya.” (Dr. Muhammad Abdul Qader Abu Faris: al-Nizhom al-Siyaasi fi al-Islam)

Jadi, baiah ini tidak hanya berkait dengan sebuah kerajaan Islam sahaja akan tetapi ianya adalah berkait juga dengan Jama’ah Islam yang diasaskan bagi menegakkan ketuanan Islam di atas muka bumi dengan syarat Jama’ah ini ialah Jama’ah yang berobjektifkan membangun khilafah yang telah dimusnahkan. Baiah yang diberikan oleh anggota kepada ketua atau presiden, pada hakikatnya bukanlah baiah kepada ketua, ianya adalah baiah kepada amal Islami dan atas dasar laksana suruhan Islam.

Oleh yang demikian, baiah yang diberikan tersebut adalah kepada Allah. Maka, pelanggaran baiah adalah haram dan berdosa. Sekiranya dalam sighah baiah dilafazkan sumpah dengan nama Allah serta disandarkan kepada beberapa perkara yang disepakati oleh pembaiah dan pemberi baiah, maka perkara tersebut adalah terpakai. Kenyataan ini boleh dirujuk dalam kitab al-Baiah fi al-Nizham al-Siyaasi al-Islami wa Tatbiiqaatuha fil Hayah al-Siyasiyah al-Muasirah karya Ahmad Shiddiq Abdul Rahman.

Sedikit huraian terhadap perkembangan berkaitan Jama’ah Muslimin yang diperbincangkan pada hari ini, penulis melihat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah Jama’ah yang menepati ciri-ciri Jama’ah Muslimin. Dasar yang terkandung dalam perlembagaan PAS adalah jelas dan menjunjung syariat. Maka, baiah dengan sighah yang telah ditentukan sama ada ianya baiah khas untuk memikul jawatan sebagai pemimpin kepada rakyat atau ianya baiah am dalam menganggotai Jama’ah sebagai jentera yang menggerakkan Jama’ah tersebut adalah syarie dan bukan ijtihad semata-mata.

Segala pelanggaran baiah ini sudah tentu akan mengakibatkan kesan hukum yang jelas, maka hati-hatilah dalam beriltizam dengan Jama’ah Islam ini dan jangan sesuka hati memilih Jama’ah yang ragu-ragu dibangunkan atas dasar tidak puas hati.

Biodata Penulis

Ustaz Mohd Asri bin Mat Daud merupakan lulusan M.A Kemahiran Fatwa Syar'ie, Pusat Fatwa, Mesir. B.A Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Syariah Islamiah) dan Diploma Pengajian Tinggi Islam, Pusat Pengajian Tinggi Zamalek. Beliau berpengalaman menulis beberapa buah buku yang telah terjual di seluruh Malaysia, antaranya; Pertentangan Islam dan Barat, Fenomena Riddah dan penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w, Kemuliaan al-Quran dan Sejarah Pemalsuannya, Israk Mikraj Menelusuri Hikmah dan Pengajaran. Beliau turut membentang kertas kerja akademik/ilmiah dalam bidang muamalat moden atau fiqh semasa atau siasah syariyyah dalam seminar kebangsaan dan luar negara.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-