Headlines Articles :
Home » » Keharusan Taadud: Huraian Keseluruhan Tulisan Syeikh Yusuf al-Qaradawi

Keharusan Taadud: Huraian Keseluruhan Tulisan Syeikh Yusuf al-Qaradawi

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Saturday, 25 July 2015


Huraian sesetengah pihak berkaitan tulisan Syeikh Yusuf al-Qaradawi di dalam kitab “Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam” berkenaan soal berbilang-bilang parti politik dilihat tidak menyeluruh dalam satu topik yang ditulis oleh al-Qaradawi yang hanya memetik beberapa klausa sahaja lantas membuat huraian yang tersendiri.

Al-Qaradawi dalam tulisannya yang dipetik tersebut berbahas mengenai topik isu-isu dalam negara Islam yang membabitkan soal demokrasi, ta’adud (berbilang-bilang) dan keterlibatan wanita di arena politik serta pilihanraya. Dalam konteks ini satu bab ini perlu difahami dengan jelas dan menyeluruh.

Al-Qaradawi bersetuju dalam perkara demokrasi yang tidak bercanggah dengan nilai Islam di antaranya melibatkan soal majoriti dan keterbukaan. Sehubungan itu, kepelbagaian parti politik adalah salah satu tanda demokrasi. Maka, mana mungkin diistilahkan demokrasi jika tiada kepelbagaian parti politik kerana sistem demokrasi adalah undian melalui suara majoriti maka sudah pasti wujudnya banyak pihak sekurang-kurang dua.

Dalam masa yang sama, al-Qaradawi juga ada menghuraikan selepas mengharuskan kepelbagaian atau berbilang-bilang parti serta jemaah adalah merujuk kepada ta’adud ta’awun atau takhassus (saling membantu) bukannya ta’adud yang tudhadh (berlawanan).
على أن يكون هذا التعدد تعدد تنوع وتخصص، لا تعدد تعارض وتناقض، وأن يقف الجميع صفا واحدا في كل القضايا المصيرية التي تتعلق بالوجود الإسلامى، وبالعقيدة الإسلامية، وبالشريعة الإسلامية، وبالأمة الإسلامية
“Justeru yang (harusnya) berlaku berbilang-bilang ini adalah yang saling membantu dan bukan yang bersifat berlawan dan bertembung dan hendaklah semua pihak bersatu di dalam barisan yang satu di dalam (menghadapi) isu-isu yang berkaitan dengan akidah, syariah dan umat Islam.”

Di dalam perenggan yang lain al-Qaradawi menyatakan;
ومثل هذا التعدد أو الاختلاف - اختلاف التنوع - لا يؤدي إلى تفرق ولا عداوة، ولا يلبس الأمة شيعا، ويذيق بعضها بأس بعض بل هو تعدد واختلاف في ظل الأمة الواحدة، ذات العقيدة الواشجة. فلا خوف منه، ولا خطر فيه، بل هو ظاهرة صحية

“Dan pelaksanaan berbilang-bilang (parti atau jemaah) - yang bersifat membantu - hendaklah tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan sehingga menjadikan umat berpuak-puak, bahkan hendaklah kepelbagaian itu di dalam naungan umat yang bersatu yang mempunyai akidah yang mantap. (Sekiranya ini berlaku - kepelbagaian yang bersifat tanawwu’ - maka ianya bukanlah perkara yang perlu ditakuti dan ianya tidak membahayakan bahkan merupakan suatu perkara yang sihat.”

Justeru, kepelbagaian yang diharuskan oleh al-Qaradawi tidak bersifat mutlak bahkan ia bersifat muqayyad (terikat) kepada jenis ta’adud. Maka mengumumkan sesuatu yang terikat adalah tidak tepat kerana ia mengubah maksud sebenar yang disampaikan oleh al-Qaradawi.

Sehubungan itu, tidak wajar dengan beberapa klausa dalam satu bab dipetik tanpa dikaitkan dengan huraian lengkap yang saling berkait antara sebelum dan selepasnya. Ini akan menimbulkan kekeliruan dengan maksud sebenar.

Realiti yang berlaku, wujudnya GHB adalah ta’adud yang tudhadh (membawa pertembungan) kerana beberapa perkara:-
  1. GHB diwujudkan oleh mereka yang kecewa kerana kalah di dalam muktamar PAS ke-61 yang lepas.
  2. Menarik ahli PAS untuk sertai mereka.
  3. Kesediaan mereka untuk bertanding dengan PAS dalam medan pilihanraya sedangkan yang menjadi tumpuan untuk dikalahkan adalah UMNO/BN.
Maka, jelas ia tidak bersifat membantu bahkan bersaing dan bertentangan.

Selain itu, sangkaan baik yang dilontarkan dalam hal kerjasama antara PAS dan GHB dalam fokus gerak kerja di Pantai Timur dan Barat serta non-Muslim antara bangsa India dan Cina menunjukkan pandangan sempit mereka terhadap gerak kerja PAS yang telah dan sedang dilakukan.

PAS tidak hanya fokus di Pantai Timur bahkan PAS aktif di seluruh Malaysia sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak. Hanya soal enakmen jenayah syariah ditekankan di Kelantan kerana:-
  1. PAS telah memerintahkan Kelantan lebih 20 tahun.
  2. Enakmen jenayah syariah telah pun digerakkan di Kelantan dalam konteks KJS sejak 1993.
PAS juga tidak hanya fokus kepada bangsa India. Mungkin pihak terbabit hanya melihat kepada ketua DHPP dari bangsa India maka menjadikan beliau beranggapan PAS hanya fokus kepada bangsa India tetapi tidak Cina sedangkan kita tahu PAS di Kelantan sudah mendekati masyarakat Tiong Hua dan penganut agama Buddha semenjak al-marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar Kelantan.

Akhirnya, apa sahaja yang membawa kepada perpecahan maka ia adalah tercela dan dilarang. Kembali kepada asas Islam iaitu kesatuan dengan tali (agama) Allah.
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.”

Apa yang diharuskan oleh al-Qaradawi adalah apabila asas ini tidak dilanggar. Sebab itu ta’adud (kepelbagaian) adalah bersyarat iaitu mesti ta’awun (saling membantu) atau takhassus (fokus kepada gerak kerja).

Biodata Penulis

Ustaz Haji Khirul Muntanazar bin Ismail merupakan Pengerusi Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP), Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).
Share this article :
 
Penasihat Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz | Timbalan Penasihat Ustaz Khalil bin Abdul Hadi
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia