© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Jatuh Bangun Tahaaluf Siyasi “PAS”

Jatuh Bangun Tahaaluf Siyasi “PAS”

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Wednesday 22 July 2015


PAS dan tahaaluf siyasi berpisah tiada. Sepanjang keberadaan PAS di persada alam ini penuh dihiasi dengan variasi tahaaluf dan kerjasama. Malah sewaktu Ulama Timur Tengah masih dibelenggu isu keharusan berdemokrasi dan kerjasama politik dengan bukan Islam bermula sekitar tahun 40-an, Ulama PAS telah memimpin tahaaluf mendahului kebanyakan kumpulan Islam lain di serata dunia.

1
Bekerjasama Dengan Sosialis

Sebelum PAS ditubuhkan, para Ulama kita telah bekerjasama dengan beberapa gerakan berhaluan kiri termasuk sosialis. Matlamatnya adalah untuk menuntut kemerdekaan dan membebaskan tanahair daripada British yang rakus menjarah tanah-tanah rakyat.

Namun, para Ulama kita tetap dengan dasar dan prinsip Islam walaupun sosialis teguh dengan dasar mereka. Apabila gerakan tersebut menuntut Ulama ini membuang jatidiri Islam dalam gerakan mereka, Ulama enggan dan hubungan pun putus. Parti sosialis lenyap dan PAS terus mekar.

Walaupun tahaaluf tiada, matlamat sebenar PAS dalam bertahaaluf telah berjaya, iaitu untuk memerdekakan watan dan menjadikan Islam agama utama tanahair.

2
Bertahaaluf Dengan Parti Negara

Pasca Merdeka, PAS bertahaaluf pula dengan Parti Negara, membenarkan Presidennya Dato’ Onn Ja’afar yang kalah di Johor untuk bertanding melawan Umno di Kuala Terengganu.

PAS tetap menjalankan agendanya merealisasikan sebuah kehidupan Islam di negara ini walaupun cuba diajak menyembunyikan Islam untuk memberi ruang kepada ideologi Parti Negara. Perselisihan antara dua ideologi ini mencetuskan perselisihan demi perselisihan. Lama kelamaan tahaluf itu berkubur, Parti Negara pun berkubur dengan matinya Dato Onn namun PAS masih utuh.

PAS tidak rugi dengan hancurnya tahaluf demikian. Matlamat tahaluf PAS untuk meningkatkan sokongan telah berhasil. PAS semakin dikenali rakyat dan kerusi di DUN-DUN serta Parlimen semakin bertambah menjadikan PAS sejak hari itu seteru terkuat parti Pemerintah.

3
Tragedi 13 Mei

Berikutan tragedi berdarah 13 Mei, keadaan telah mendesak Umno bekerjasama dengan PAS atas kekuatan yang ada pada parti Islam ini. Termeterailah tahaluf setelah Umno bersetuju dengan 8 syarat yang PAS tawarkan. Antara syaratnya ialah mengizinkan PAS menerapkan dasar Islam dalam kerajaan, membenarkan PAS bebas berdakwah dan bebas mengkritik kerajaan.

Matlamat kerjasama ini adalah untuk mengislamkan corak pentadbiran negara dari dalam. Namun, perkara ini amat tidak disukai Umno. Mereka cuba melanggar perjanjian dan mencetuskan tragedi darurat di Kelantan. Dengan itu mereka terus mengambil peluang memutuskan hubungan dengan PAS kerana takut perkembangan Islam yang tidak mampu dihadapi.

Ditambah dengan gangguan Berjasa (serpihan PAS) yang berpakat dengan kerajaan melawan PAS, kerajaan Kelantan jatuh buat kali pertama. Yang menyedihkan, setelah Umno berjaya memperalat golongan kecewa dalam PAS, mereka disisih begitu sahaja. Berjasa juga Hamim sejak itu ibarat hidup segan mati tak mahu, sedangkan PAS semakin giat mempersadai ideologi murninya.

Walaupun tidak lagi berada dalam kerajaan, segala perubahan yang dibawa PAS telah kekal hingga ke hari ini. Antaranya menhapuskan arak dalam majlis kerajaan, menubuhkan sistem perbankan Islamik, membenarkan kakitangan awam berpakaian menutup aurat dan sebagainya.

Hasil tahaluf itu, Malaysia menjadi negara paling pesat pertumbuhan Islamnya berbanding banyak negara lain. Sewaktu pelajar perempuan syariah di Mesir masih freehair dekad 70-an, pelajar Malaysia yang ke sana sudah mengenakan tudung di kepala.

Bermula saat itu sehingga ke hari ini Islam menjadi teras jatidiri rakyat walaupun belum mencapai tahap kesempurnaan. Kerajaan sendiri terpaksa mewajahkan diri sebagai pejuang Islam dengan mewujudkan UIA, Bank Islam, Islam Hadhari dan berbagai lagi kerana takut dijatuhkan rakyat.

4
PRU 1990, PAS Kembali Mentadbir Kelantan

Konflik dalaman Umno memunculkan Semangat 46. PAS bijak memanfaatkan peluang dengan menubuhkan gabungan parti-parti opisisi atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Setelah berjaya membantu S46 membantah keputusan pemilihan Umno di mahkamah, akhirnya Umno diharamkan dan Tun Mahathir terpaksa menubuhkan Umno Baru.

Namun Umno tetap Umno. Semangat 46 tidak mahu menerima perjuangan PAS dan rela menjilat kembali ludah mereka yang bertempel di tubuh Umno. Semangat 46 pupus sementara PAS memperoleh laba yang cukup besar, iaitu merampas sebuah kerajaan negeri!

Hasil tahaluf ini membuatkan rakyat kembali percaya kepada PAS. PRU 1990, PAS berjaya mengambil alih semula pentadbiran Kelantan. Negeri ini terus menjadi model sebuah pemerintahan Islamik walau dikecam sehingga ke peringkat White House.

5
Penubuhan Barisan Alternatif (BA)

Angin reformasi 1998 telah memunculkan parti KeAdilan di padang politik tanahair. PAS terus membentuk koalisi bersama parti tersebut sebagai memanfaatkan kemarahan rakyat terhadap BN ketika itu. Tertubuhlah Barisan Alternatif (BA). Turut bersama BA adalah DAP dan PRM.

Malangnya ikatan tersebut begitu longgar sekali. Ketegasan al-Marhum Ust Fadzil Noor yang tidak mahu melayan tuntutan DAP supaya membelakangkan agenda syariat membuat DAP keluar BA. Akhirnya koalisi ini terlerai begitu sahaja.

Walau bagaimanapun, hasil tahaluf tersebut berjaya memecahkan tembok dengan bukan Melayu dan bukan Muslim. Mereka mulai hadir ke program-program dan ceramah PAS. Dakyah Umno selama ini bahawa PAS anti bukan Melayu tidak lagi dipercayai. Sokongan non-Malay terhadap BN mulai menyusut dengan laju. PAS pula semakin didekati kalangan bukan melayu dan bukan Islam walaupun setelah tahaaluf terbatal.

6
Era Pakatan Rakyat (PR)

2004, PAS bertahaaluf pula dengan DAP dan PKR lewat koalisi PR. Walaupun dasar keduanya sekular, namun Majlis Syura putuskan tidak mengapa dengan perbezaan ini kerana matlamatnya hanyalah untuk menghadap BN. Benar sekali. Walaupun berkawan, Prinsip PAS tetap seperti dulu.

Tidak lama menaut kasih, PR berantakan kembali. Perjuangan syariah Islam yang selama ini menjadi agenda teras PAS mula dipersoal rakan tahaaluf. DAP cuba menjadi “taiko” dalam geng PR walaupun sebelum ini akur dengan prinsip PAS, kini mengugut prinsip tersebut. Kerana takut cita-cita PAS menjadi realiti, mereka terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan PAS.

Walaupun mengejutkan, itulah sunnatullah tahaaluf yang ditakdirkan sebagai proses mematangkan PAS. Hasil tahaaluf terkini ini, bukan Islam semakin dekat dengan PAS. Penubuhan DHPP menjadi buktinya. Siapa sangka dalam Islam sedang difitnah seluruh inci dunia, ada kalangan bukan Islam mahukan ajaran Allah ini menjadi undang-undang mereka.

Mengenang memori lalu, PAS dijangka akan terus kukuh dengan perkembangan-perkembangan menarik dewasa ini. Peralihan kepimpinan menunjukkan akar umbi PAS masih kuat berpegang kepada prinsip pembelaan agama. Sejak krisis PR berlaku pula, daftar keahlian baru PAS tidak kurang dari 5000 orang setiap bulan.

Ini membuktikan model tarbiah PAS yang mengadaptasi tinggalan tokoh-tokoh gerakan Islam dunia mula memberi kesan. Ramai yang mahu dibentuk mengikut acuan PAS. Ibarat tragedi 11 September, krisis yang berlaku hanya membuat ramai orang mengkaji dan mengenali Islam dengan lebih dekat.

7
Rumusan

Sejarah menunjukkan PAS tidak pernah rugi dalam bertahaaluf. Walaupun jumlah kerusi politik mengalami pasang surut kesan jatuh bangun tahaaluf, namun Islam yang menjadi agenda perjuangan PAS terus subur meranum. Ini mengiyakan kata-kata yang sering keluar dari mulut-mulut para murabbi selama ini, bahawa politik hanyalah wasilah yang digunakan PAS untuk menyebarkan Islam.

Apakah tahaaluf akan terus berlaku? Ya. Kerjasama di dalam Islam adalah suatu perintah Ilahi, selagi mana bermatlamat kebaikan. Firman Allah swt;
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَنْ صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَنْ تَعْتَدُوا ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum membuatkan kamu melampau terhadap mereka, hanya kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid al-Haram itu. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pelampauan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (al-Maidah: 2)

Galakan ini tidak terhad kepada mana-mana pihak. Selagi ada yang mahu menghulur tangan ke arah kebaikan dan sanggup menerima prinsip PAS, mereka boleh bersama PAS. Namun itu tidak menjadikan PAS perlu menurut segala kemahuan mereka. Panduan PAS adalah Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

Sehingga ke hari ini, tiada siapa boleh menafikan peranan PAS mencorak politik tanah air dan memposisikan Islam secara amat strategik. Oleh kerana itulah, Mereka yang mahu menumpang pengaruh PAS sepatutnya memahami pendirian PAS terlebih dahulu, bimbang terkubur laksana Berjasa, S46, Hamim, Parti Negara dan PSRM.

Biodata Penulis

Muhammad Marwan M.Shukrimun berasal dari Kuala Terengganu. Beliaumerupakan EXCO DPP Kuala Nerus. Salah seorang tenaga pengajar di MDQ.
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-