© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Fenomena Ta’adud Jamaah Satu Penilaian

Fenomena Ta’adud Jamaah Satu Penilaian

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Tuesday 28 July 2015


Kesedaran terhadap Islam memberikan kesan yang membanggakan kepada perkembangan penghayatan Islam. Tetapi selagi kuat kebangkitan Islam, bertambah kuat penentangan musuh Allah. Musuh Allah tidak pernah memejamkan mata bagi mengekalkan kekuasaan syaitan(السلطة الشيطانية) bertapak di bumi Allah dan tidak akan merestui umat Islam merdeka daripada ideologi dan pemerintahan mereka. Hasil daripada kesedaran umat Islam untuk mengembalikan khilafah Islamiyyah dan syariat Allah bertakhta di singgahsana dunia ini, maka lahirlah individu-individu yang mempunyai cita-cita tinggi mengajak manusia kepada perlaksanaan Islam yang menyeluruh. Amal fardhiyy tidak mampu memikul kewajiban dan tanggungjawab semasa ini.

Penilaian yang berasaskan tuntutan syara’ supaya membentuk amal jama’ie telah mencetuskan penubuhan jamaah yang menggabungkan tenaga-tenaga Islam dan Muslimin seluruhnya. Tetapi di dalam keghairahan untuk mengikuti perkembangan kesedaran Islam ini, bercambahnya jamaah-jamaah Islam di atas sebab yang berbagai-bagai. Sedari atau tidak, fenomena ta’adud jamaah ini membuahkan kesan-kesan positif dan negatif terhadap Islam dan umatnya. Yang pasti, kelahiran ta’adud jamaah berpunca daripada kekhilafan pada perkara usul atau furu’.

1
Aspek-Aspek Perselisihan

Kekhilafan umat dakwah di zaman ini berpunca pada dua aspek:-
  • Pertama : Khilaf Pada Perkara Usul dan Mazhab Itiqadi
Kekhilafan ini lahir pada perkara-perkara yang thabit di dalam al-Quran, hadis dan ijma’ para ulama. Khilaf ini adalah sesuatu yang terkeji dan dilarang oleh syara’. Hanya satu golongan sahaja yang selamat daripada api neraka dan berada di atas kebenaran iaitu golongan yang menepati al-Quran dan Sunnah Rasul. Daripada Anas ra berkata, Nabi Muhammad saw bersabda;
إِنَّ بَنِي إِسْرَائِيلَ افْتَرَقَتْ عَلَى إِحْدَى وَسَبْعِينَ فِرْقَةً، وَإِنَّ أُمَّتِي سَتَفْتَرِقُ عَلَى اثْنَتَيْنِ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلا فِرْقَةً وَاحِدَةً ، قَالَ يَزِيدُ الرَّقَاشِيُّ : وَهِيَ الْجَمَاعَةُ
Maksudnya : Sesungguhnya Bani Israel akan berpecah kepada tujuh puluh satu golongan. Umatku akan berpecah kepada tujuh puluh dua golongan . Semuanya di dalam neraka melainkan satu, berkata Yazid al-Raqasyi iaitu jamaah ini (ahli Sunnah wa al-Jamaah).

Firman Allah Taala (surah al-Ana’am, ayat 159);
إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا لَسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belahkan agama (pegangan) mereka menjadi beberapa golongan dan bukanlah engkau daripada golongan itu sesuatu pun.

Kesimpulannya kekhilafan ini melahirkan dua jamaah atau golongan; iaitu golongan yang berada di atas dasar dan manhaj Islam untuk melaksanakan Islam dan syariatnya. Golongan ini digelar sebagai Hizbullah, jamaah Islam atau harakah al-Islamiyyah dan sebagainya yang mempunyai ciri-ciri jamaah Islam. Dan; golongan yang dibina di atas asas ideologi dan anutan yang bercanggah dengan Islam dan tidak menepati ciri-ciri jamaah Islam.

Jamaah yang disyariatkan penubuhannya untuk melakukan amal dakwah dan jihad, semestinya menepati kaedah-kaedah berikut;
  1. Jamaah itu tidak diorganisasikan di atas asal kullie’ yang bercanggah dengan usul-usul Ahli Sunnah wa al-Jamaah. Jika tidak menepati ciri itu, jamaah itu adalah satu golongan daripada golongan-golongan pemusnah atau berada di atas bida’ah (kesesatan) juzu’iyyah yang besar.
  2. Jamaah itu hendaklah mengikat wala’ dan bara’-nya pada ikatan Allah dan Sunnah Rasulullah saw di atas garisan manhaj kenabian dan bukan yang lain.
  3. Jamaah itu berintima’ kepada Jamaah Muslimin dengan kefahaman yang umum dan syumul.
Ciri-ciri jamaah inilah yang disebut oleh Rasulullah saw sebagaimana sabdanya;
تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ
Maksudnya : Beriltizamlah kamu dengan jamaah muslimin dan pemimpinnya.
  • Kedua : Khilaf Pada Aspek Furu’ dan Persoalan Ijtihadiyyah
Sejarah telah menayangkan kepada kita kesan kekhilafan pada aspek ini melahirkan mazhab-mazhab fekah Islam. Perkara-perkara ijtihadiyyah ialah perkara-perkara yang tiada dalil yang thabit di dalam al-Quran, Hadis dan Ijma’. Kekhilafan pada masalah ijtihadiyyah tidak dapat dielakkan, bahkan ia suatu yang waqi’ dan mendatangkan rahmat serta keluasan hidup untuk menghayati hukum-hakam Islam. Ruang lingkup kekhilafan ini juga merangkumi pandangan-pandangan yang tiada nas, penilaian maslahat-maslahah dan mafasid, fekah aulawiyyat, siasah syar’iyyah dan syura.

Hasil daripada kekhilafan pandangan melahirkan kekhilafan mawqif dan tindakan. Kekhilafan amal dan mawqif ini, di antara punca asasi yang melahirkan ta’adud jamaah di zaman ini. Tetapi ta’adud mazhab berbeza dengan ta’adud jamaah Islam. Dr. Solah Sawi menyebut bahawa;
وهو أن المذاهب الفقهية حركات علمية بحتة، تمحورت حول عدد من الاجتهادات العلمية، وليس لها برامج محددة للاحتساب العام وتغيير الواقع القائم في الأمة أما الحركات الإسلامية فهى حركات جهادية قاست ابتداء من اجل تغيير الواقع الجاهلي وإقامة النظام الإسلامي
Maksudnya : Sesungguhnya mazhab-mazhab fekah ialah gerakan-gerakan keilmuan semata-mata berteraskan mengenai beberapa ijtihad-ijtihad amaliyyah dan tiada baginya aktiviti-aktiviti jihad yang dibataskan untuk mengubah kedudukan yang berlaku pada umat. Adapun gerakan-gerakan Islamiyyah ialah gerakan jihadiyyah yang tertegak pada permulaannya untuk mengubah kedudukan jahiliyyah dan menegakkan sistem Islam.

2
Kelahiran Jamaah Islam

Pada ambang kejatuhan khilafah Uthmaniyyah dan penjajah Barat menguasai tanahair umat Islam. Pada waktu itu, lahirnya mujaddid-mujaddid setempat untuk mengembalikan kekuatan dan kemuliaan Islam seperti Sheikh Jamaluddin al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan sebagainya. Tetapi selepas perang dunia ke-2, umat Islam kehilangan silsilah khilafah yang dibina oleh datuk nenek mereka dengan air mata dan darah. Tanahair umat Islam difaraidkan. Undang-undang dan ideologi-ideologi sesat dipusakai kepada umat Islam oleh penjajah Salibiyyin. Di awal abad ini, Allah melahirkan mujaddid di setiap tanahair umat Islam. Mujaddid-mujaddid Islam menubuhkan jamaah Islam di setiap tanahair masing-masing. Imam Hasan al-Banna menubuhkan Ikhwan al-Muslimin di Mesir, Abu ‘Aala al-Maududi menubuhkan Jamaah Islami di Pakistan, ditubuhkan PAS di Malaysia dan lain-lain lagi.

Tetapi di pertengahan ke-2 abad ini, umat Islam dibentangkan dengan fenomena percambahan Jamaah Islam. Percambahan jamaah-jamaah (ta’adud jamaah) ini mencorakkan fenomena perpecahan dan kebingungan umat Islam. Kelahiran ta’adud jamaah berasaskan beberapa punca;
  1. Ada jamaah yang ditubuhkan dengan sebab kesedaran untuk mengembalikan umat kepada kesyumulan Islam dan melaksanakan kefardhuan zaman.
  2. Ada jamaah atau pertubuhan yang diasaskan untuk memberi kekuatan kepada jamaah Islam yang telah ada dan sebagai platform untuk memperluaskan dakwah Islam dan amal Islami yang bertepatan dengan manhaj dan prinsip jamaah Islam yang induk. Contohnya kelab atau persatuan Ngo-ngo dakwah.
  3. Ada jamaah yang ditubuhkan di atas alasan tidak puas hati. Tidak puas hati terhadap beberapa aspek pada jamaah yang telah ada. Di antaranya ialah;
  • Melihat dan mengira jamaah yang telah ada tidak menekankan pada beberapa aspek seperti tarbiyyah, ekonomi, tassawuf, politik dan sebagainya. Dan beranggapan jamaah yang telah ada hanya menekankan satu juzu’ sahaja daripada Islam.
  • Menuduh jamaah yang telah ada tidak syarie’ atau terpesong pada pengamalannya.
Ada juga jamaah yang diilhamkan oleh musuh-musuh Islam atau diperalatkan oleh pertubuhan atau parti bukan Islam untuk menyanggah dan berhadapan dengan jamaah Islam yang telah ada. Firman Allah (surah al-Taubah, ayat 107);
وَالَّذِينَ اتَّخَذُواْ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya : Dan orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang Islam), dan menguatkan keingkaran mereka sendiri, serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman dan juga untuk dijadikan tempat intipan bagi orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya sebelum itu, dan mereka bersumpah dengan berkata; Tidaklah kami kehendaki dengan membina masjid (jamaah baru) ini melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya mereka berdusta.

Sebab turunnya ayat ini kerana terdapat seorang di kalangan puak Khazraj yang dipanggil Abu ‘Amir al-Rahib telah membina masjid untuk mengumpulkan jamaah di kalangan Ansar dan bersaing jamaah Islam yang dipimpin Rasulullah saw. Abu ‘Amir al-Rahib ini adalah seorang pembesar di kalangan Khazraj, kuat beribadah di zaman jahiliyyah (sebelum kedatangan Nabi ke Madinah) dan banyak membaca ilmu-ilmu Ahl al-Kitab. Setelah kedatangan Nabi ke Madinah, Aus dan Khazraj bersatu, Ansar dan Muhajirin bersaudara atas nama Islam, kemenangan di Badar sehingga Islam mula dikenali oleh setiap bangsa, Abu ‘Amir al-Rahib mula merancang untuk memimpin jamaah baru, progresif dan lebih inklusif daripada jamaah Rasulullah saw.

Berkata Abu ‘Amir al-Rahib kepada kumpulan barunya;
ابْنُوا مَسْجِدًا وَاسْتَعِدُّوا بِمَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ سِلَاحٍ، فَإِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى قَيْصَرَ مَلِكِ الرُّومِ، فَآتِي بِجُنْدٍ مِنَ الرُّومِ وَأُخْرِجُ مُحَمَّدًا وَأَصْحَابَهُ
Maksudnya : Dirikanlah masjid dan bersedialah dengan apa yang kamu mampu dengan senjata dan kekuatan, saya akan pergi ke mahligai kaisar Rom, saya akan datang bersama tentera Rom dan mengeluarkan Muhammad dan sahabat-sahabatnya.

Tatkala mereka selesai mendirikan masjid, mereka pun datang dengan wajah yang manis kepada Nabi Muhammad saw dan berkata;
قَدْ فَرَغْنَا مِنْ بِنَاءِ مَسْجِدِنَا، فَنُحِبُّ أَنْ تُصَلِيَ فِيهِ وَتَدْعُوَ لَنَا بِالْبَرَكَةِ
Maksudnya : Sesungguhnya kami telah selesai membina masjid kami. Kami sangat menyukai agar engkau bersembahyang dan berdoa keberkatan untuk kami.

Maka Allah pun menurunkan ayat 108 surah al-Taubah:
لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya : Jangan engkau solat di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang telah engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (awal wujudnya), sudah sepatutnya engkau solat padanya (istiqamah). Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah kasih orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

Di dalam Asas fi al-Tafsir, al-Ustaz Said Hawwa menyatakan bahawa daripada kisah masjid Dhirar ini, kita memahami bahawa tidak sepatutnya kita taraddud (ragu) untuk mencabut segala usaha yang mengancam keamanan dan kesatuan Muslimin. Wajib ke atas kita, bersegera menghancurkan segala perancangan memecah-belahkan jamaah Islam. Tanpa disedari, betapa banyak jamaah yang dipergunakan oleh musuh Islam menjadi masjid Dhirar? Masjid adalah jami’ (tempat berhimpun) dan simbol jamaah serta markaz kesatuan Islam. Rasulullah saw telah membakar dan Allah telah melarang berada di tempat himpunan manusia walaupun ia digelar ‘masjid’ jika ia diasaskan untuk mengelirukan umat, memudharatkan kaum Muslimin, menolak hukum Allah dan menyokong musuh Allah dan Rasul-Nya.

Biodata Penulis

Ustaz Mohd Nor bin Hamzah merupakan ADUN Bukit Payong. Pernah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar. Beliau adalah mantan pensyarah Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah (KUDQI).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-