© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-
Akademi Tarbiyah DPPM
Home » » Faktor-Faktor Perselisihan Umat Islam

Faktor-Faktor Perselisihan Umat Islam

This Article Checked By Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) on Thursday 11 February 2016


Tidak dapat disembunyikan lagi isu perpecahan yang sering dilalui oleh kaum Muslimin sepanjang abadnya bermacam-macam kesukaran, permasalahan dan krisis sehingga tiada satupun belahan negara umat Islam ini yang boleh terselamat dari fenomena negatif tersebut. Berkata seorang penyair Arab, Mahmoud Ghanim ketika menggambarkan fenomena tragis yang menimpa umat Islam ini;
أني اتجهت إلى الإسلام في بلد تجده كالطير مقصوصا جناحاه
Maksudnya : Aku menuju ke negeri-negeri umat Islam, aku dapatinya seumpama beburung yang patah sayapnya.

Semenjak tahun 1926, kaum Muslimun tidak mampu untuk membentuk Jamaah al-Islamiyyah yang satu di bawah satu kepimpinan dalam satu negara. Oleh itu, kita dapati dalam satu negara, wujudnya persatuan-persatuan di atas asas ilmu, persatuan-persatuan yang dibina untuk kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan dan kesatuan-kesatuan yang berdiri di atas asas fikrah atau politik yang luas. Sehingga kita mendapati adanya peribadi-peribadi yang tidak beriltizam dengan mana-mana tanzim jamaah.

Wujudnya konflik di kalangan umat Islam memang suatu kenyataan yang tidak siapa pun dapat membantahnya. Semua pihak sudah sama-sama merasakan pahitnya konflik, namun belum juga ada tanda-tanda ia akan mereda. Penelitian al-Quran dan Sunnah telah mendedahkan beberapa sebab perselisihan atau perpecahan ini. Sebab-sebab perselisihan terebut telah disusun oleh al-Ustaz Said Hawwa di dalam kitab “Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan”. Saya hanya menakalkan secara ringkas sebab-sebab tersebut, iaitu;

1
Tidak Mengikuti Jalan Allah

Firman Allah Taala (surah al-Ana’am, ayat 153);
وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menuruti jalan-jalan yang lain daripada Islam, kerana jalan-jalan yang lain itu mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertakwa.

Satu ketika dahulu di Yathrib sebelum dikenali Madinah al-Munawwarah, dua kabilah besar ‘Aus dan Khazraj pernah bermusuhan dan berbunuhan saban tahun sebelum kedatangan Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam. Dan setelah kedatangan Baginda Nabi, tautan hati-hati mereka mulai padu, mekar, dan ikatan persaudaraan di antara mereka menjadi kuat atas dasar ukhuwwah al-Islamiyyah. Hal ini berterusan sehinggalah datang seorang Yahudi bernama Syash bin Qais menyebut perihal permusuhan mereka sebelum ini. Lantaran itu, Baginda sallallahu‘alaihi wasallam kembali mengingatkan kaum ‘Aus dan Khazraj dengan sabdanya;
أبدعوى - الجاهلية - وأنا بين أظهركم؟
Maksudnya : Adakah kamu hendak kembali menyeru kepada – Jahiliyyah – sedangkan aku masih ada (hidup) bersama kamu?

2
Melupai Satu Juzu’ Daripada Agama Allah

Firman Allah Taala (surah al-Maidah, ayat 14);
وَمِنَ الَّذِينَ قَالُواْ إِنَّا نَصَارَى أَخَذْنَا مِيثَاقَهُمْ فَنَسُواْ حَظًّا مِّمَّا ذُكِّرُواْ بِهِ فَأَغْرَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَسَوْفَ يُنَبِّئُهُمُ اللَّهُ بِمَا كَانُواْ يَصْنَعُونَ
Maksudnya : Dan di antara orang-orang yang berkata bahawa kami ini orang-orang Nasrani, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka melupakan sebahagian daripada apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka sampai ke hari kiamat dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan.

Perpaduan akan kekal selama umat Islam masih menghayati al-Quran secara utuh (al-iman bi al-kitab kullihi). Tetapi apabila penghayatan al-kitab (al-Quran) tidak lagi utuh, apabila sebahagian ajarannya diketepikan, tidak dijadikan panduan dalam kehidupan bermuamalat, bermasyarakat, berpolitik dan berbudaya maka berlakulah saling sengketa, permusuhan, benci-membenci persis nasib yang menimpa kaum nasrani yang berpecah-belah sebaik sahaja mereka melupakan (mengenepikan) sebahagian dari ajaran dan peringatan Allah. Justeru kita mestilah memahami dan menghayati Islam sebagai agama cara hidup yang komprehensif dan sempurna iaitu Islam adalah al-din, agama wahyu Ilahi yang mutlak dan murni yang ditanzilkan untuk menjadi petunjuk kepada manusia menjalani segala aspek kehidupannya.

3
Hasad Dengki dan Marah Memarahi

Firman Allah Taala (surah al-Syura, ayat 14);
وَمَا تَفَرَّقُوا إِلاَّ مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ
Maksudnya : Dan umat tiap-tiap Rasul tidak akan berpecah-belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka pengetahuan (apa yang disuruh dan apa yang dilarang) berlakunya (perselisihan yang demikian itu) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.

Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam telah mentafsirkan (البغي) dengan sabdanya;
دَبَّ إِلَيْكُمْ دَاءُ الْأُمَمِ قَبْلَكُمُ الْحَسَدُ، وَالْبَغْضَاءُ هِيَ الْحَالِقَةُ لَا أَقُولُ تَحْلِقُ الشَّعَرَ وَلَكِنْ تَحْلِقُ الدِّينَ
Maksudnya : Telah merebak di kalangan kamu penyakit umat-umat sebelum kamu iaitu hasad-dengki dan marah-memarahi. Ia adalah pencukur. Aku tidak berkata pencukur yang mencukur rambut. Sesungguhnya ia adalah pencukur yang mencukur agama. (riwayat al-Tirmizi)

Demikianlah kalau sudah tidak ada lagi sikap saling percaya di kalangan umat. Bagaimana mungkin kita mengharapkan berlakunya pertemuan, perundingan dan perdamaian yang tulen kalau dilubuk hati masing-masing tersimpan rasa tidak percaya kepada pihak lain. Kerana itu langkah ke arah mewujudkan perpaduan harus juga bermula dengan usaha menumbuhkan sikap saling percaya di kalangan sesama umat. Tetapi ini juga tidak mudah kerana percaya kepada seseorang atau sesuatu pihak harus berlaku secara tabi‘ie, tidak dapat dipaksa-paksakan.

4
Tidak Beraqal (Mementingkan Nafsu Melebihi Kitab Allah)

Firman Allah Taala (surah al-Hasyr, ayat 14);
لا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعًا إِلاَّ فِي قُرًى مُّحَصَّنَةٍ أَوْ مِن وَرَاء جُدُرٍ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لّا يَعْقِلُونَ
Maksudnya : (Orang-orang Yahudi dan munafiq) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbentang kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya) permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras, engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka.

Sifat nafsu itu cenderung kepada kejahatan lebih-lebih lagi ia pula didorong oleh peranan syaitan yang sentiasa melaga-lagakan kita supaya berpecah dan bermusuh-musuhan di antara satu sama lain. Di antara kejahatan nafsu ialah bersifat tamak dan mementingkan diri. Umat yang hidupnya mengikut dorongan hawa nafsu semata dan angkuh, mereka  itulah umat yang  berada dalam suasana jahiliyyah. Kerana keangkuhan, seorang manusia itu menolak nilai-nilai kebenaran dan keadilan atas sentimen kepentingan peribadi dan kelompok.

5
Tidak Bersatu Hati Untuk Akhirat

Sabda Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam;
لَا تُفْتَحُ الدُّنْيَا عَلَى أَحَدٍ إِلَّا أَلْقَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بَيْنَهُمْ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Maksudnya : Tidak akan dibuka dunia kepada seseorang melainkan Allah akan melontarkan perasaan permusuhan dan marah-memarahi sesama mereka sehingga hari kiamat. (riwayat Ahmad dan al-Bazzar)

Formula asasnya memang sudah jelas, tetapi realitinya tidak semua orang rela dan bersedia untuk kembali kepada hukum Allah. Sikap tersebut akan mengundang laknat oleh Allah, bererti ia mendapat kemurkaan Allah di mana hidupnya akan menjadi susah, tidak tenang, tidak bahagia, tidak mendapat rahmah Allah, tidak mendapat keberkatan dari Allah dan saling bermusuhan. Akibat mendapat laknat Allah itu, hatinya akan menjadi keras dan dia dengan mudah sahaja akan menjadi marah dan gelisah.

6
Tiada Rahmat Allah

Firman Allah Taala (surah Hud, ayat 118-119);
وَلَوْ شَاء رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلاَ يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ. إِلاَّ مَن رَّحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya : Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah)); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu; Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa).

Allah telah menyebut sifat-sifat mereka yang layak mendapat rahmat Allah sebagaimana firman-Nya (surah al-Taubah, ayat 71);
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagiannya menjadi penolong kepada sebahagian yang lain, mereka menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada kemungkaran dan mereka mendirikan solat dan memberikan zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha kuasa lagi Maha Bijaksana.

Kecuaian pada salah satu daripada sifat ini bererti kecuaian kepada kesatuan umat Islam.

7
Menghidap Empat Jenis Penyakit

Empat jenis penyakit ini boleh menyebabkan perselisihan yang parah kepada umat Islam, iaitu;
  1. Kebakhilan yang ditaati
  2. Hawa nafsu yang diikuti
  3. Dunia yang dilebihi
  4. Kagum dengan pandangan sendiri
Seorang telah datang bertanya Abu Tha’labah al-Khusyaniyy dan bertanya, “Bagaimana engkau beramal dengan ayat ini?”

Abu Tha’labah bertanya, “Ayat mana?”

Lelaki itu membacakan firman Allah dari surah al-Maidah, ayat 105;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ لاَ يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا اهْتَدَيْتُمْ إِلَى اللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah diri kamu. Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudharat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayat petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya) Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu balasan apa yang kamu telah lakukan.

Abu Tha’labah menjawab, “Demi Allah aku pernah bertanya Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam tentang ayat ini, jelas Baginda Nabi” ;
بَلِ ائْتَمِرُوا بِالْمَعْرُوفِ، وَتَنَاهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ، حَتَّى إِذَا رَأَيْتَ شُحًّا مُطَاعًا، وَهَوًى مُتَّبَعًا، وَدُنْيَا مُؤْثَرَةً، وَإِعْجَابَ كُلِّ ذِي رَأْيٍ بِرَأْيِهِ فَعَلَيْكَ بِخَاصَّةِ نَفْسِكَ وَدَعِ الْعَوَامَّ ، فَإِنَّ مِنْ وَرَائِكُمْ أَيَّامًا الصَّبْرُ فِيهِنَّ مِثْلُ الْقَبْضِ عَلَى الْجَمْرِ، لِلْعَامِلِ فِيهِنَّ مِثْلُ أَجْرِ خَمْسِينَ رَجُلًا يَعْمَلُونَ مِثْلَ عَمَلِكُمْ
Maksudnya : Bahkan kamu suruhlah amal kebaikan dan cegahlah kemungkaran sehingga apabila engkau melihat kebakhilan ditaati, nafsu diikuti, dunia dilebihi dan para pengkagum berbangga dengan pandangannya sendiri. Wajib ke atas engkau menjaga diri dan usah pedulikan orang awam. Sesungguhnya di belakangmu adanya hari-hari, seorang yang sabar padanya seperti seorang yang menggenggam besi panas. Pekerja Islam pada hari itu dianugerahkan ganjaran seperti lima puluh orang yang beramal dengan amalan kamu. (riwayat al-Tirmizi, hadis hasan gharib sahih)

Ketika ayat 105, surah al-Maidah ini diturunkan, Hassan al-Basri pun berkata;
الحمد لله بها، والحمد لله عليها، ما كان مؤمن فيما مضى، ولا مؤمن فيما بقي، إلا وإلى جانبه منافق يكره عمله
Maksudnya : Segala puji bagi Allah atas (diturunkan-Nya) ayat ini, tidak ada seorang yang beriman pun di zaman dahulu mahupun sekarang melainkan wujudnya munafik yang membenci perbuatannya.

Manakala kata Sa’id bin al-Musayyab;
إذا أمرت بالمعروف ونهيت عن المنكر، فلا يضرك من ضل إذا اهتديت
Maksudnya : Maka ber-amar makruf dan nahi mungkar-lah kalian, kerana tiadalah (orang sesat itu) mampu memberikan mudharat kepadamu apabila kamu telah mendapat petunjuk.

Apabila umat ini sudah dibodohkan musuh-musuhnya, diselewengkan oleh para pemburu dunia dan orang-orang munafik, petugas-petugas Islam mestilah terus istiqamah menyampaikan amar makruf dan nahi mungkar sekalipun ada waktunya perlu berundur kerana sikap melampau mereka. Ajaran Islam sudah menjadi asing bagi pada waktu itu, kecuali orang-orang yang sentiasa konsisten untuk kembali kepada ajaran Allah. Nyatalah sabda Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam;
بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
Maksudnya : Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasing. (riwayat Muslim)

Biodata Penulis

Ustaz Mohd Nor bin Hamzah merupakan ADUN Bukit Payong. Pernah melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar. Beliau adalah mantan pensyarah Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah (KUDQI).
Share this article :
 
Unit Penerbitan dan Media IT (UPIM)
Ketua Pengarah AKTAR Ustaz Mohd Hanif Haron | Timbalan Pengarah AKTAR Ustaz Hud Saleh
Pejabat Dewan Pemuda PAS Pusat, No 318-A, Lot 1636, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur .
Copyright © 2011. Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia - All Rights Reserved
© Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia 2011-